Jam 11 lebih pagi tadi parlimen dibubarkan...pasti akan diikuti oleh DUN semua negeri kecuali Sarawak...yang jelas DS Najib membuat kenyataan pembubaran dengan rasa penuh insaf dengan ada yang mengatakan seolah-olah macam merayu mengharap agar semua orang beri sokongan padanya. Kenyataan pada perkara kemungkinan berlaku peralihan kuasa seolah-olah ada pihak yang beranggapan PM macam seolah dah surrender. Fahaman aku berlainan pulak....kahkahkah....peralihaan kuasa memang pasti berlaku...khususnya diperingkat negeri, dan rayuan sememangnya saya akui berlaku...tapi satu rayuan ikhlas...sb aku yakin dengan keikhlasan pasti akan ada kesan membawa baraqah dan kemenangan dari Allah s.w.t. Harapan agar semua pihak menerima agar peralihan kuasa dengan baik juga adalah satu signal awal untuk dua, tiga negeri perlu redha dengan kehilangan kuasa luar jangka dan tidak dicemari dengan pemberontakkan yg tidak demokrasi....berlaku kerana tidak boleh menerima kehilangan kuasa...Fikir-fikirkan maksud sebenarnya yg perlu tafsiran apa yang tersirat disebalik kelembutan bahasa tetapi memberi satu panahan yg jelas dan tajam dan boleh memberi kesan yg sungguh menyusuk mendalam akan maksudnya.
KUALA LUMPUR 3 April - Berikut ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengumumkan pembubaran Parlimen, di Putrajaya hari ini.
Sehubungan dengan itu, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuatkuasa hari ini
Sehubungan dengan itu, saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk mengadap ketua-ketua negeri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran DUN masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.
Rakyat Malaysia yang dikasihi.
Hari ini empat tahun lalu, pada tanggal 3 April 2009, saya telah mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai PM negara Malaysia yang tercinta.
Dalam tempoh tersebut saya bersama-sama TPM, anggota jemaah menteri dan anggota pentadbiran yang lain telah pun dengan segala ikhtiar dan upaya, mencetuskan dan melaksanakan pembaharuan serta perubahan berpaksikan kepada falsafah 1 Malaysia, rakyat di dahulukan, pencapaian diutamakan serta dipandu oleh Dasar Transformasi Nasional.
Dalam tempoh 4 tahun yang lepas, rakyat Malaysia telah dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana program, perancangan serta dasar transformasi nasional yang melibatkan program transformasi kerajaan, ekonomi, politik dan sosial telah dilaksanakan dan seterusnya membuahkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan memakmurkan negara.
Kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan ini ialah yang meletakkan kepentingan tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia di atas segala-galanya. Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji, menepati janji, kami sebuah kerajaan yang apabila diberi amanah akan menjunjung dan melaksanakannya, bukan sikap kami menanam tebu di bibir.
Semuanya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan track rekod kami sepanjang 4 tahun yang lalu. Rakyat Malaysia yang dikasihi, pembubaran ini akan membuka laluan kepada bermulanya proses pilihan raya umum bagi kali yang ke-13 untuk negara semenjak tahun 1959. Iaitu apabila kita mula mengadakan pilihan raya umum yang pertama selepas merdeka.
Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sebagai asas pemerintahan. Kuasa mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat.
Sejarah telah menunjukkan bahawa kebunggaran demokrasi telah berjaya menyediakan asas-asas yang subur untuk kestabilan dan keamanan nasional yang telah dinikmati warga negara ini selama lebih 5 dekad.
Amalan demokrasi di Malaysia kekal dan berjaya kerana walaupun bersifat sengit dan amat berdaya saing namun pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya. Saya ingin menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional.
Semua parti politik yang memilih untuk terlibat dalam pilihan raya umum kali ini perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan.
Insaflah dan ambillah iktibar daripada apa yang berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. Kesan dan akhirnya keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik-taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita.
Sejarah selama ini telah membuktikan bahawa di malaysia sejak merdeka lagi, proses pilihan raya yang diadakan bersifat berwibawa, adil dan telus.
Kerajaan yang telah dipilih hasil pilihan raya umum sama ada di peringkat Persekutuan mahu pun di peringkat Negeri ialah kerajaan yang mendapat sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai dengan amalan demokrasi. Amalan demokrasi sebagai teras pemerintahan merupakan mekanisme terbaik yang pernah dicipta manusia.
Hakikatnya perbezaan pendapat, idea dan pandangan bukannya penyebab malapetaka atau punca perpecahan. Malah jika ditangani dan diuruskan secara baik sejarah telah menunjukkan ia mampu mendatangkan rahmat, yang akan membahagiakan rakyat dan memajukan negara.
Marilah kita sama-sama sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang memberikan komitmen untuk memelihara keutuhan proses demokrasi dan menghormati keputusan yang akan dibaut oleh rakyat.
Marilah kita bersama-sama berdoa agar pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar aman, lancar dan selamat.
Rakyat Malaysia yang dikasihi, saya inign beri jaminan bahawa kerajaan yang ada akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses pilihan raya.
Saya juga ingin menyeru di samping memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat bahawa jika berlaku sebarang peralihan kuasa sama ada di peringkat Persekutuan mahu pun di peringkat negeri ia akan dan perlu berlangsung secara aman dan tertib.
Inilah iltizam kita dalam menjunjung prinsip demokrasi. Inilah tekad kita dalam menggerakkan transformasi politik. Inilah komitmen kita dalam menghormati suara dan mendahulukan kepentingan rakyat.
Kepada semua rakyat Malaysia terutama yang tinggal di pantai timur Sabah janganlah bimbang dan takut. Laksana dan tunaikanlah tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan sebagai warganegara Malaysia. Pihak keselamatan negara akan menjalankan tugas mereka untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Setiap undi tuan-tuan dan puan-puan adalah penting. Jangan bazirkan ia. Jangan pertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia.
Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan. Ini kerana undi saudara saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara dan negeri tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua.
Dalam pilihan raya ini tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja bertanggungjawab memilih wakil saudara dan saudari bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi juga memilih kerajaan yang akan mendokong aspirasi tuan-tuan dan puan-puan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi, saya berdiri di sini dengan penuh rasa tawaduk dan terhormat kerana diberi kepercayaan untuk memimpin tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan akan memberikan yang terbaik demi untuk Malaysia dan warganya.
Di sini saya selaku ketua kerajaan Barisan (BN) ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah memberi kepercayaan kepada rakyat Malaysia kepada kami kerajaan Barisan nasional (BN) untuk menerajui kepimpinan negara semenjak lima tahun yang lepas.
Mulai hari ini saya dan rakan-rakan kepimpinan Barisan Nasional (BN) akan turun dan bertemu dengan rakyat seluruh pelosok negara bagi meyakinkan rakyat Malaysia kenapa kami Barisana Nasional (BN) perlu diberi peluang kembali untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang kukuh.
Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi insya Allah untuk melipat gandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita semua.
Ayuh, teruskan perjalanan kebangsaan untuk mencapai wawasan nasional ke arah Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi.
Ingatlah pencapaiannya bukan secara automatik. Ia memerlukan kita melipatgandakan usaha dan meneruskan kesinambungan kejayaan yang wujud.
Marilah kita bersama-sama berganding bahu, berpimpin untuk menjadikan impian ini sebuah realiti.
Malaysia yang maju, makmur dan selamat penuh dengan peluang serta sarat harapan bagi semua.
Demi Malaysia usaha bakti kita curahkan, kepada Tuhan kita berserah.
saifulfromslim
No comments:
Post a Comment