my advertise

THE BLOG OWNER

THE BLOG OWNER
“Kindness is a language which the deaf can hear and the and the blind can see”

MY Frenz / MY Sahabat

14 February 2015

BIOGRAFI-Tok Guru Hj Nik Abdul Aziz Bin Hj Nik Mat Alim (Tuan Guru Hj Nik Mat)

Kelahiran Tok Guru Hj Nik Abdul Aziz Bin Hj Nik Mat Alim (Tuan Guru Hj Nik Mat)



Anak kedua dari perkahwinan Tok Guru Haji Nik Mat Alim (Tuan Guru Haji Nik Mat) dengan isteri pertama ini dilahirkan pada tahun 1931 dan diberi nama Nik Abdul Aziz. Anak kelahiran Kampung Pulau Melaka ini membesar dalam suasana keluarga dan rumahtangga yang sederhana dan mengecapi zaman kanak-kanak seperti kanak-kanak lain.
Pendidikan Asas

Negeri Kelantan terkenal dengan keprihatinan warganegerinya yang mementingkan didikan Islam bagi setiap anak-anaknya. Hal ini agak ketara berbeza dengan warganegeri lain. Ini adalah disebabkan latarbelakang sejarahnya yang menyaksikan banyak tumbuh pusat-pusat pengajian pondok terutamanya. Sebagaimana anak-anak lain yang diberi didikan agama sejak awal oleh ibubapa masing-masing, maka Nik Abdul Aziz juga tidak terkecuali. Bahkan kedudukan beliau agak istimewa kerana pendidik awalnya ialah ayahnya sendiri yang sangat mengutamakan asuhan dan didikan agama bagi anak-anaknya. Jadual wajib setiap malam mereka adik beradik ialah mengaji Al-Quran. Dalam masa yang tidak lama, beliau didapati memiliki tahap kecerdasan yang tinggi dalam menangkap dan memahami setiap pelajaran. Hingga dapat menandingi teman-teman sepengajiannya bahkan dari kalangan yang lebih tua usianya. Kemudian diberi kepercayaan untuk mengantikan tempat ayahnya mengajar kanak-kanak lain membaca ayat-ayat lazim (Muqaddam).
Sekolah Rasmi

Pada umur enam tahun, beliau dihantar untuk berlajar di Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat untuk mempelajari asas membaca dan menulis. Pulang dari sekolah, kanak-kanak ini tidak begitu terpaut hati untuk banyak bermain-main dengan rakan-rakannya. Sebaliknya beliau lebih gemar mengisi masa petangnya untuk mengulangkaji pelajaran dan membuat sebarang kerjarumah yang ditugaskan oleh guru. Sesekali beliau turun ke tanah untuk bermain layang-layang dan gasing yang menjadi sebahagian hobi zaman kanak-kanaknya.Di sekolah ini, beliau adalah pelajar pertama yang memakai seluar panjang kerana Tuan Guru Haji Nik Mat Alim sangat tidak suka melihat kanak-kanak lelaki berseluar pendek. Walau bagaimana pun, persekolahan di Sekolah Kebangsaan itu tidak lama kerana setelah beberapa bulan, beliau berhenti atas kesedaran ayahnya yang menyedari kecenderungan anaknya itu dalam pengajian Islam.

Mengaji di Pondok Tok Kenali

Lalu beliau dihantar menuntut ilmu di Kubang Kerian berguru pada Tok Kenali. Di pusat pengajian pondok ini, beliau menunjukkan minat yang begitu mendalam sehingga cepat menghafal beberapa kitab-kitab matan dan membaca kitab-kitab berbahasa Arab. Menjelang usia remaja, Nik Abdul Aziz di hantar pula ke Besut, untuk belajar di Pondok Tuan Guru Haji Abbas. Di sini beliau sudah mula menguasai beberapa ilmu untuk amalan seharian. Bila sekali-sekala pulang ke kampungnya, beliau kadang-kadang mengantikan ayahnya menjadi iman dalam sembahyang dan mengajar Al-Quran.

Mula Menuntut Di Seberang Laut

Sekitar tahun 1952, beliau belayar ke India untuk menyambung pengajian di Universiti Deoband. Selama lima tahun di sana, beliau sempat berguru dengan seorang ulama hadith dan tarekat iaitu Maulana Husain Ahmad al-Madani. Kemudian pada tahun 1957, beliau menyeberang sempadan masuk ke Pakistan belajar di Lahore melanjutkan pengajian dalam bidang Tafsir Al-Quran.

Belayar Lebih Jauh

Kecenderungan yang begitu mendalam dalam menuntut ilmu agama, telah membawa beliau belajar lebih jauh. Kali ini belayar lagi dan kemudian turun untuk menjejakkan kaki di bumi Mesir. Di Universiti Al-Azhar anak muda yang berusia sekitar 30 tahun ini mengambil jurusan Bahasa Arab lantaran minatnya yang begitu mendalam. Di sini beliau meningkatkan penguasaannya dalam ilmu-ilmu Bahasa Arab seperti  balaghah, syair dan segala bentuk puisi Arab. Hingga akhirnya pemuda ini memperolehi Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab. Setelah itu Nik Abdul Aziz meneruskan pengajian dalam bidang Perundangan Islam (Syari'ah). Jurusan ini ternyata lebih mencabar. Beliau lebih banyak duduk bertekun membaca dan mutala'ah al-Umm (Imam as-Syafi'ie), Fath ul-Baari (Ibn Hajar al-Haitami), al-Iqna' dan beberapa kitab-kitab yang berjilid-jilid. Berkat ketekunan dan kesungguhan, beliau lulus dan mendapat Ijazah Sarjana Perundangan Islam di universiti tertua di dunia ini.

Belayar Pulang

Setelah lulus dalam jurusan Syari'ah, beliau bercita-cita pula untuk mendapatkan Diploma, tetapi hasrat itu terbantut apabila pulang dalam keadaan agak tergesa-gesa bersama Ustaz Yusof Bakar (bekas pensyarah Kolej Islam Kelang) pada awal 1962. Hampir duabelas tahun di rantau orang, bukanlah satu tempoh masa yang singkat. Berangkat ke luar negara ketika tanahair masih dalam jajahan British. Kini tanahair yang 'merdeka'nya masih kanak-kanak menyambutnya dalam suasana yang bagitu jauh berbeza. Sanak saudara yang menyambut tidak segera mengenalinya. Lebih-lebih lagi penampilannya yang jauh berbeza berbanding sewaktu berangkat sebelas tahun lalu. Anak muda berpakaian kemas dengan mengenakan talileher serta kasut yang berkilat itu akhirnya dicam orang apabila mereka terpandang kepada nama yang tertera pada beg yang dibawanyaNik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau mendapati negara ini sudah jauh berbeza terutama suasana di bandar. Tetapi apabila sampai di kampung halaman, keadaan yang agak mundur membuatnya berasa kekok buat beberapa ketika. Suasana Kampung Pulau Melaka jauh berbeza berbanding bandaraya Kaherah yang lebih moden.

Mula Bertugas

Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardhiyyah, Panchor merupakan institusi pendidikan terawal yang menerima khidmat bakti tokoh pendidik muda ini. Beliau turun awal pagi dari rumahnya di Kg Pulau Melaka menuju ke Panchor dengan berbasikal lumba (hadiah daripada Al-Marhum Tuan Haji Nik Abdullah bin Arsyad - lebih dikenali dengan panggilan Pak Nik Lah).Pada tahun ini juga (1962) Tuan Guru Haji Nik Mat Alim mengasaskan Sekolah Agama Darul Anwar di Kampung Pulau Melaka. Oleh kerana itu khidmat Haji Nik Abdul Aziz di Panchor tidak lama kerana berpindah mengajar di sekolah yang baru diasaskan oleh ayahnya itu. Selain menjadi tenaga pengajar di SADA, beliau juga diberi kepercayaan memegang jawatan Bendahari dalam organisasinya di samping ayahnya sendiri selaku Pengerusi.

Mengakhiri Zaman Bujang

Pada usia 31 tahun, beliau melangsungkan perkahwinan dengan seorang gadis berusia 14 tahun pilihan kedua orang tuanya. Gadis itu ialah Tuan Sabariah bte Tuan Ishak yang dilahirkan pada tahun 1948, anak keempat dari enam adik beradik. Isterinya ini adalah anak jati Kampung Panchor, Kemumin.

Pendidikan Tuan Sabariah bte Tuan Ishak

Mendapat pendidikan secara rasmi di salah sebuah sekolah kendalian Majlis Agama Islam Kelantan.  Apabila tamat darjah enam, beliau menyambung pengajian ke Sekolah Menengah Na'im lil Banat (Sek. Menengah Perempuan Na'im). Walaupun beliau bercita-cita untuk menyambung ke peringkat yang lebih tinggi, namun hasratnya itu terpaksa dipendamkan apabila beliau dijodohkan oleh ayahnya dengan Haji Nik Abdul Aziz (yang ketika itu sedang mengajar di SMATM Panchor).

Sebagai Penyelia KEMAS

Wargatua dari rakyat negara ini ketika itu kebanyakannya terdiri dari kalangan mereka yang buta huruf. Kenyataan ini memberi kesan yang mendalam dalam diri Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pada pendapatnya, tahap kesedaran berilmu dan beramal dengan baik dan betul adalah sukar untuk dicapai selagi masalah buta huruf ini tidak diatasi. Lalu beliau menerima tawaran untuk lantikan sebagai Penyelia bagi Kelas Dewasa (kini dikenali sebagai kelas KEMAS). Namun begitu, penglibatan beliau dalam KEMAS tidak lama kerana beberapa perkara yang menjadi syarat persetujuanya untuk menerima jawatan itu telah tergugat.
Iaitu beliau perlu diberikan kebebasan untuk  menyampaikan haq tanpa sebarang sekatan atau penentangan sekalipun bakal menyentuh mana-mana pihak samada di pihak KEMAS atau sesiapa sahaja. Kedua iaitu prinsip beliau menyampaikan sesuatu pengajaran agama adalah secara jelas menepati kandungan al-Quran dan al-Hadith, ijma' dan qias sebagaimana yang dipelajarinya. Pada bulan-bulan terawal, banyak kritikan dan tegurannya masih boleh diterima oleh lapisan pelajar termasuk pengelola kelas itu sendiri. Tetapi akhirnya kegiatannya menimbulkan suasana politis yang agak gawat dan kontroversi hingga beliau disekat dengan bermacam-macam halangan. Semuanya adalah kerana teguran dan kritikan itu telah tersentuh ke atas batang hidung pihak yang tidak senang dengan usahanya untuk menyuburkan semangat keIslaman di kalangan lapisan pelajar kelas dewasa itu. Akhirnya, dua tahun kemudian, Haji Nik Abdul Aziz meletak jawatan.

Bertugas di Maahad Muhammadi

Sebaik sahaja melepaskan jawatan di KEMAS, beliau langsung mendapat peluang mengajar di SMA Maahad Muhammadi Lil Banin (Lelaki) pada tahun 1964.

Sebagai Ahli Politik

Tiga tahun kemudian, apabila berlaku kekosongan kerusi Parlimen Kelantan Hilir (kini Pangkalan Chepa) berikutan kematian Tuan Haji Ahmad Abdullah (Haji Ahmad Perai), Haji Nik Abdul Aziz telah dicalonkan oleh PAS Kelantan untuk mempertahankan kerusi tersebut. Dengan izin Allah dan di atas ketokohan, kewibawaan yang jelas pada dirinya, PAS mengekalkan kerusi Parlimen tersebut.
Maka sejak itu kehidupan Haji Nik Abdul Aziz mula berubah. Tiba-tiba beliau menjadi begitu sibuk dengan tugas barunya sebagai Ahli Parlimen. Beliau sentiasa berulang alik dari rumahnya ke Kuala Lumpur. Tidak seperti wakil rakyat atau ahli parlimen lain yang lebih suka menetap di Kuala Lumpur, meninggalkan kawasan yang diwakili, meninggalkan rakyat yang telah mengundi mereka. Sebaliknya YB Haji Nik Abdul Aziz sanggup berulang alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Beliau masih meneruskan kewajibannya mengajar di Masjid Pulau Melaka dengan penuh komitmen.
Beliau sering balik lewat malam kerana memenuhi jemputan untuk berceramah di merata pelusuk tanahair. Masa untuk bersama keluarga menjadi begitu singkat. Ketika itulah Datin Tuan Sabariah memainkan peranan yang lebih besar dalam mengurus rumahtangga dan mengasuh anak-anak.
YB Haji Nik Abdul Aziz tetap akan pulang ke rumah walau bagaimana sibuk sekalipun. Waktu yang begitu terbatas bersama keluarga digunakan dengan sebaik mungkin untuk melayani anak-anak dan menyelesaikan sebarang masalah yang berbangkit.

Pilihanraya Umum 1969

Masa berlalu begitu pantas. Seluruh negara disibukkan pula oleh suasana menghadapi pilihanraya umum. YB Haji Nik Abdul Aziz dicalonkan sekali lagi untuk mempertahankan kerusi parlimen Kelantan Hilir. Dalam satu peristiwa, YB Haji Nik Abdul Aziz pernah diserang dengan lontaran batu oleh kumpulan Pemuda Tahan Lasak UMNO sewaktu beliau pulang dari satu majlis ceramah di Pasir Putih. Undi besar yang diperolehi oleh beliau telah mengekalkan kerusi Kelantan Hilir di tangan PAS.
Beberapa hari kemudian tercetus peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. YB Haji Nik Abdul Aziz menyatakan;
Takdir Allah,.. Allah tidak mahu melihat PAS ini terus menerus hidup dalam keadaan budak atau keanak-anakan, maka Allah mendatangkan peristiwa 13 Mei yang melahirkan akta-akta sensitif, yang melarang manusia menyebut perkara-perkara seperti Melayu, China dan melarang manusia menyebut hal-hal yang bersangkutan dengan kerakyatan dan sebagainya.
Bermula dari situlah maka orang-orang PAS berusaha untuk mencurahkan kerja-kerja sebagai gerakan parti. PAS bukanlah menyebatkan satu teori, tetapi menjalankan dasar al-Quran dan al-Hadith yang merupakan dasar agama. Kita rasa bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjalankan kegiatan agama, maka kita buat usrah, kita mula menterjemahkan buku-buku yang dikarang oleh pejuang-pejuang Islam seperti menterjemahkan buku Ma'alim Fit-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan) yang ditulis oleh Allahyarham Sayyid Qutb termasuk juga membawa masuk buku-buku karangan Bapak Nasir dari Indonesia yang menterjemahkan ayat-ayat al-Quran yang menyentuh persoalan jihad, politik dan sebagainya.
Maka lahirlah kuliah-kuliah Jumaat dan sessi ceramah untuk mengisi kekosongan waktu yang ada. Maka berkembanglah PAS yang bukan lagi dalam bentuk PAS budak-budak, tetapi PAS yang telah remaja....
petikan dari
Kemucut Dalam Perjuangan Islam
karangan
YB Haji Nik Abdul Aziz
Ekoran peristiwa inilah Menteri Besar Kelantan Dato' Mohd Asri yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan telah mengistiharkan percantuman kerajaan negeri dengan kerajaan pusat membentuk kerajaan campuran dengan PArti Perikatan atas dasar memelihara kepimpinan dan ketuanan Melayu di negara ini. Dan tindakan ini juga kemudiannya telah membawa kepada penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional pada 1974.

Prinsip Tetap Tidak Berubah

Tindakan PAS menyertai BN tidak bermakna dasar dan prinsip perjuangan telah dikesampingkan. YB Abu Bakar Hamzah (ahl parlimen PAS) semasa memberi jawaban bertulis dalam soaljawab di parlimen menegaskan:
"Samada kerajaan sedar atau tidak bahawa PAS satu parti politik yang menjadi anggota Barisan Nasional telah membuat dan mengeluarkan fatwa bahawa tindakan parti ini memasuki Barisan Nasional sesungguhnya ditegah atau haram. Perbuatan ini adalah haram dari segi syari'at Islam, tetapi PAS terpaksa memasukinya buat sementara waktu..."
Isu ini telah menjadi polemik yang hangat di kalangan ahli-ahli PAS. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah memainkan peranan yang besar dalam mententeram dan memberi penerangan kepada ahli dan penyokong PAS khususnya di peringkat negeri Kelantan. Penjelasan beliau yang  berdasarkan hujjah dan dalil al-Quran dan Hadith serta sirah perjuangan Rasulullah saw diterima dengan baik dan suasana kembali reda dan tenang sekurang-kurang untuk beberapa ketika.

Mageran

Namun suasana tenang tidak kekal lama. Kini timbul pula krisis kepimpinan yang terpaksa dihadapi dengan bijaksana oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Menteri Besar Kelantan Dato' Mohd Asri disifatkan oleh sebahagian ahli sebagai bertindak keterlaluan dalam menyeret PAS bergabung dalam BN. Sehingga membawa kepada tertubuhnya Berjasa oleh Dato Muhammad Nasir sebagai protes terhadap Dato Mohd Asri.
Suasana krisis ini dieksploitasi dan diambil kesempatan oleh pihak BN dengan sebaik mungkin. Untuk cubaan pertama mereka mengatur dan merancang satu usul undi tidak percaya sebagai memercikkan bunga api untuk perancangan seterusnya. Usul ini telah dibawa oleh Dato' Ishak Lotfi tetapi tidak terlaksana. Namun bunga api itu telah menyambar daun-daun dan ranting-ranting kering lain. Demonstrasi demi demonstrasi terancang berlaku satu demi satu.
Manakala di pihak Kuala Lumpur pula, mereka telah bersiap sedia untuk meluluskan Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Dharurat (Kelantan) 1977 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato Hussien Onn. Dan hari yang malang bagi rakyat Kelantan itu pun tiba bila rang undang-undang itu diluluskan dan perintah berkurung telah dikenakan ke atas negeri Kelantan dan kerajaan PAS Kelantan yang dipimpin oleh Dato Muhammad Nasir itu pun kehilangan kuasa.

Bertenang

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menghadapi suasana yang gawat dan kritikal ini dengan tenang. Untuk seketika beliau mengambil sikap berkecuali. Tidak berpihak kepada blok Dato' Mohd Asri dan tidak juga di pihak Dato' Muhammad Nasir. Namun, beliau tetap menjalankan peranan sebagai ulama yang terus prihatin kepada anggota masyarakat. Bukan satu kerja mudah untuk mententeramkan anggoat masyarakat khususnya ahli-ahli PAS. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pernah mensifatkan apa yang berlaku hanya umpama 'ribut dalam cawan' yang kocakannya lambat laun akan reda.
Sebenarnya, suasana ini telah menimbulkan kesedaran kepada ahli PAS bahawa PAS memerlukan satu anjakan paradigma baru yang mempunyai momentum lebih kuat untuk berdepan dengan gerakan kebatilan. Ahli-ahli PAS Kelantan menyedari bahawa mereka sebenarnya memerlukan seorang pewaris Nabi untuk memimpin mereka. Tidak ada tokoh lain yang dilihat berlayakan untuk memimpin mereka selain Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Lalu beliau pun dipilih sebagai Pesuruhjaya Negeri Kelantan.
Semenjak Kelantan terlepas dari tangan PAS secara 'paksaan' itu, diikuti pula kekalahan yang dialami (pilihanraya umum 1978) PAS hanya memenangi 2 kerusi parlimen. Kemudian Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz selaku Pesuruhjaya mengatur gerakkerja untuk menghadapi pilihanraya peringkat DUN. Persaingan yang dihadapi lebih sengit kerana berdepan dengan BN dan Berjasa. Keputusannya muktamad, Kelantan terus terlepas kepada BN yang memenangi 23 kerusi DUN, manakala Berjasa 11 sedang PAS hanya mendapat 2 kerusi sahaja.

Ledakan Semangat Baru

PAS Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz membawa kepada satu ledakan yang samasekali berlainan berbanding kepimpinan zaman Dato' Mohd Asri. Tambahan pula gandingan tokoh veteran seperti Pak Nik Lah, tokoh ulama dari kalangan muka-muka baru seperti Ustaz Haji Yahya Othman, PAS Kelantan kini mengorak langkah dengan lebih teratur walaupun sebagai pembangkang yang hanya mempunyai dua suara di Dewan Undangan Negeri.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menyusun barisan petugas dan pejuang tanpa memilih bulu. Apa yang penting pada pandangan beliau ialah kelayakan dan kredibiliti pada seseorang. Penyusunan ini telah memberi nafas baru kepada gerakkerja parti untuk mendekati rakyat. Walaupun pilihanraya baru saja berlalu, namun PAS Kelantan masih dalam suasana bekerja untuk menghadapi pilihanraya. Rumah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tetap sibuk menerima kunjungan setiap masa.
Siri pilihanraya berikutnya diharungi dengan menurut strategi yang lebih teratur hasil penyusunan semula tenaga-tenaga penggerak yang lebih berwibawa, lebih mantap dan lebih tahan lasak dengan gandingan tenaga veteran dan tenaga baru. Kalangan pengundi sentiasa diberi penerangan melalui pertemuan hati ke hati dan melalui rapat-rapat umum. Ternyata dengan penampilan kepimpinan baru ini telah dapat menarik kembali sokongan yang lebih bermakna. Kalau sebelum ini sokongan mereka tidak ada beza dengan sokongan yang diterima oleh pihak BN (Umno khususnya) yang kedua bentuk sokongan lebih berasaskan kebendaan.
Kini penyokong dan para simpatisan mulai memahami dasar perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Gerakan penerangan dan ceramah memberikan kefahaman ini secara beransur-ansur. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pernah mengatakan bahawa lambat-laun Kelantan akan kembali kepada PAS.
Suasana yang rancak ini tergugat untuk seketika apabila timbul sekali lagi krisis kepimpinan ekoran kenyataan YDP PAS Dato' Mohd Asri untuk membawa PAS kembali ke dalam BN. Protest yang lebih meluas kembali kedengaran. Bukan saja di Kelantan, bahkan di seluruh tanahair. Akhirnya beliau telah mengambil sikap untuk bertanggung-jawab di atas kenyataannya itu dengan membuat keputusan untuk meletak jawatan dan menarik diri dari PAS dan kemudiannya menubuhkan HAMIM.
Kegawatan ini sedikit sebanyak terkena juga tempiasnya kepada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Beliau dikatakan terlibat secara langsung mendesak dan memberi tekanan yang membawa kepada apa disifatkan sebagai pemecatan YDP PAS tersebut. Tetapi, segala tohmah dan tuduhan itu terjawab apabila Tuan Guru menulis Kemucut Dalam Perjuangan Islam. Kata beliau

... bekas Dato' Yang Di Pertua telah meletak jawatan, bukan dipecat. Dalam surat perletakan jawatan ditulis secara sedar atau tidak bahawa ada satu pakanan jahat untuk menggulingkan beliau ..

Oleh itu maka dapat difahami bahawa Tuan Guru langsung tidak terlibat dalam konfrantasi PAS-Asri itu. Manakala dalam Muktamar ke 29 (Dewan Bahasa dan Pustaka) perwakilan termasuk Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz telah secara sebulat suara memilih Tuan Guru Haji Yusuf Rawa sebagai YDP yang baru.

Era Kepimpinan Ulama Bermula

Keadaan terus menjadi tenang dan program kuliah, ceramah, usrah dan sebagainya kembali menjadi rancak apabila PAS melangkah ke era baru. Satu suasana yang dirasakan cukup berbeza dari sebelumnya. Kerana orang ramai beranggapan bahawa PAS di zaman Dato Asri lebih mirip kepada gerakan kebangsaan.
Kuliah-kuliah yang dianjurkan oleh PAS baik di Pulau Melaka sendiri, di Dewan Zulkifli atau di mana-mana terus mendapat sambutan. Tahun demi tahun kehadiran semakin ramai. Masjid Pulau Melaka mula dirasakan semakin sempit. Kuliah yang disampaikan oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pada setiap malam Khamis dan Jumaat di Masjid Pulau Melaka dan di Dewan Zulkifli menambat hati beratus-ratus pengunjung saban waktu. Bahkan terdapat 'penuntut' ilmu yang berulang tiap minggu dari Jertih ke Dewan Zulkifli setiap hari Jumaat.
Penyampaian yang jelas disertai dengan misalan yang tepat menjadikan kuliah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sangat diminati oleh sesiapa sahaja yang hadir. Sehinggakan jika mereka terlepas dari menghadiri kuliah tersebut, pasti mereka akan membeli pita rakaman kuliah yang telah mereka ketinggalan itu. Ketika inilah, di Kelantan bahkan di seluruh Malaysia, ahli-ahli PAS mulai mengikuti kuliah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan ceramah-ceramah lain-lain pemimpin (al-Fadhil; Dato' Haji Fadzil Mohd Noor, Haji Abdul Hadi Awang dan lain-lain) melalui pita-pita rakaman yang disebaredar ke seluruh negara. PAS kini bangkit dalam Era Kepimpinan Ulama.
PAS terus berkembang. Ketokohan dan penampilan Tuan Guru sebagai seorang ulama yang haraki telah menarik minat dan sokongan angkatan muda. Ditambah lagi dengan perlantikan al-Fadhil Tuan Guru Haji Fadzil Mohd Noor sebagai YDP baru menggantikan al-Fadhil Tuan Guru Haji Yusuf Rawa yang uzur, dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Timbalan YDP, manakala Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pula selaku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat menggantikan Tuan Haji Husin Rahimi (Ahli Parlimen Pasir Putih).

Kalah Kali Pertama

PAS kini membariskan kepimpinan ulama yang berwibawa. Semuanya kini berada di saf paling hadapan untuk memimpin gerakan Islam yang mulai menggoncangkan tiang-tiang seri BN. Dalam siri pilihanraya 1986, untuk pertama kalinya Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz telah diamanahkan untuk bertanding di dua kerusi. Dun Semut Api dan Parlimen Bachok. Allah swt adalah sebaik-baik Perancang. Tuan Guru kalah untuk pertama kalinya di peringkat Parlimen dan pencalonan sulong bagi kerusi Dun ini sebenarnya telah membuka laluan yang sangat gemilang untuk hari-hari esok.
Pada hari keputusan pengiraan undi, Tuan Guru menyifatkan kekalahannya di parlimen Bachok adalah satu rahmat dari Allah. Kalau sebelum ini beliau terpaksa memikul amanah parti di peringkat urusan parlimen, kini beliau mempunyai masa yang lebih luas untuk mengatur strategi bagi merampas kembali Kelantan dari BN. Dahulu beliau terpaksa menanggung keletihan kerana berulang alik dari  Kota Bharu ke Kuala Lumpur  untuk menghadiri sidang parlimen dan sebagainya. Kini Tuan Guru mempunyai lebih banyak masa di Kelantan. Mulai saat inilah Tuan Guru dapat lebih tekun mengajar, mensyarahkan beberapa buah kitab. Antaranya ialah al-'Ilmaniyyah (Sekularisme) karangan Dr. Yusuf Qardhawi, Mauizatul Mukminin (Bimbingan Mukmin) dan Fiqh Sirah RasuluLlah saw oleh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buty. Syarahan beliau bagi kitab-kitab ini telah memberi satu suntikan kefahaman yang cukup dirasai oleh segenap hadirin dan pembeli tetap kaset-kaset kuliah tersebut. Masyarakat menjadi bertambah jelas dan semakin memahami kekarutan fahaman sekular apabila mendengar penerangan al-'Ilmaniyyah dan mulai mengangan-angankan suasana bahagia di zaman RasuluLlah saw  apabila mendengar penerangan Fiqh Sirah tersebut. Kuliah tersebut juga secara tidak langsung telah menjadi salah satu sumber pendapatan bagi segelintir individu. Sehingga ada syarikat di Kuala Lumpur telah menerbitkan siri-siri kuliah tersebut. Secara tidak langsung pita kaset yang beredar ke seluruh negara ini telah memainkan peranan media sebaran am radio walaupun sekadar 20 peratus. Namun kesannya cukup besar.

Membangun Bersama Islam

Krisis dalam UMNO telah meretakkan solidariti parti yang kununnya didakwa sebagai parti Islam terbesar di dunia. Kerusi Presiden telah tercabar. Tetapi Dato Sri Dr. Mahathir terselamat dari cubaan Tengku Razaleigh untuk menguasai kerusi keramat itu. Anak raja yang merasakan dirinya mempunyai pengikut yang ramai itu kemudiannya telah menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 untuk meneruskan cabaran dari luar terhadap Presiden UMNO itu.
Jentera pilihanraya PAS Kelantan pimpinan Tuan Guru hanya berehat lebih kurang sebulan sahaja setelah selesai pilihanraya 1986. Jentera pilihanraya terus di gerakkan secara berterusan seolah-olah akan menghadapi pilihanraya pada bila-bila masa sahaja. Setiap jentera di semua MTD menjalankan kerja-kerja mencula dengan agresif sehingga hampir 90 peratus nama yang ada dalam senarai pengundi telah dicula dalam masa beberapa tahun. Jentera muslimat yang turut melibatkan Datin Tuan Sabariah menjadi lebih mudah diurus lantaran mudahnya perhubungan antara Pesuruhjaya dengan wakil pihak muslimat iaitu isterinya sendiri. Segala masalah yang timbul dapat disalurkan dengan segera untuk tindakan pantas.
Bayangan kemenangan pula seolah-olah sudah terbayang apabila terbentuknya Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang menggabungkan PAS, BERJASA, HAMIM dan S46. Menjelang beberapa minggu sebelum pembubaran parlimen dan dewan undangan negeri-negeri, APU yang dipimpin oleh PAS mengistiharkan manifesto Membangun Bersama Islam. Peristiharan awal ini memberikan kesan yang mendalam ke hati para pengundi dan petugas pilihanraya.

1990 Menyapu Bersih

Parlimen dan DUN dibubarkan. Rakyat Kelantan menderu-deru menuju ke setiap pusat pembuangan undi dengan satu tekad yang nekad iaitu : Kami mahu Membangun Bersama Islam. Bahkan ramai pengundi yang tidak pernah mengundi PAS dan tidak pernah bercadang untuk mengundi PAS dalam pilihanraya 1990 itu, tetapi Allah Yang Maha Kuasa, Dialah yang menguasai setiap hati-hati dan membolak-balikkannya menurut semahuNya. Tetapi apabila berdiri di sisi meja dan mencapai pen untuk memangkah, tidak ada yang terlintas di dalam hati melainkan PAS, APU. APU, PAS. Sehinggakan pengundi-pengundi dari kalangan orang asli di ceruk hutan turut 'terpangkah'kan bulan purnama. Dan ada juga petugas SPR dari kalangan guru-guru yang bertugas di kawasan pendalaman, mengatakan: Kami orang SPR, tapi kami sokong Tok Guru.
Menjelang selepas zohor , keputusan awal dari statistik pembuangan undi tiba ke markaz besar di Dewan Zulkifli Kota Bharu. Suasana di dewan mulai hangat walaupun semua kipas berputar ligat di atas kepala. Kehangatan suasana terus memuncak apabila laporan tidak rasmi dari setiap PACA mulai tiba dan dikumpulkan di Kota Bharu. Orang ramai mulai berbisik: Pas menang. Apu menang.
Menjelang malam, PACA menyampaikan laporan pra-muktamad. Semua calon PAS untuk kerusi parlimen dan dun PAS telah dimenangi. Keputusan yang disiar lewat radio dan tv menimbulkan suasana yang berbeza di tempat-tempat yang berbeza. Di pihak APU (PAS) kegembiraan jelas tergambar dari tuturkata dan riak wajah manusianya. Di pejabat Umno pula, kemurungan menyelubungi suasana. Setiap keputusan terkini menambahkan kegembiraan dan kemurungan.
Namun sesusuk tubuh di rumah kayu bercat hijau di Kg Pulau Melaka langsung tidak mempedulikan urusan manusia di luar. Beliau asyik dan hanyut dalam solat hajat memohon pertolongan Allah swt untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Dalam dirinya terbit rasa takut. Khuatir. Setiap minit ketakutan dan kebimbangan itu semakin bertambah dan menjadi-jadi. Bukan takut kalah. Bukan khuatir akan kecundang lagi. Kerana kekalangan sudah menjadi mainan PAS sejak dulu lagi.
Tetapi yang sangat ditakuti dan dikhuatirkan oleh manusia yang seorang ini ialah godaan mata benda dunia dan gagal memikul amanah. Kerana kemenangan PAS itu sudah dijangkakan. Tetapi samasekali  tidak ada seorang manusia pun di bumi ini yang menjangka Allah swt akan memberi kemenangan total kepada APU (PAS, Berjasa, Hamim dan S46).
Keputusan muktamad:
APU mendapat 12 kerusi parlimen, 39 kerusi dun.
BN mendapat 0 kerusi parlimen, 0 kerusi dun.
Semua orang terperanjat. Darah pendokong dan penyokong PAS di seluruh tanahair berderau. Pesuruhjaya PAS Kelantan tersungkur sujud penuh kesyukuran di lantai rumahnya. Presiden UMNO Dato Sri Dr. Mahathir Muhammad ikut terkejut besar. Kemudian beliau menyatakan:

.......... kekalahan UMNO Kelantan berpunca daripada sikap rakyatnya yang masih dalam perangkap "parochialism"nya sendiri. Sikap taksub kenegerian dan politik masih menebal....

apabila memberi komen kepada kejatuhan kerajaan BN di Kelantan ke tangan APU (PAS). Beliau melihat faktor kenegerian apabila mensifatkan kemenangan itu antaranya adalah disebabkan oleh gandingan Tengku Razaleigh dan lain-lain pemimpian PAS, Hamim dan Berjasa. Malam itu juga satu rombongan dari Dewan Zulkifli berangkat ke rumah Pesuruhjaya di Kg Pulau Melaka. Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz keluar dalam keadaan gementar yang jelas dalam pandangan mereka. Mereka memujuk Tuan Guru supaya bersetuju dengan keputusan parti untuk memilihnya sebagai Menteri Besar. Rombongan pertama ini gagal. Alasannya, beliau takut tidak dapat menjalankan tugas dan memikul amanah dengan baik.
Kemudian menyusul pula beberapa rombongan lain dari kalangan pimpinan PAS Kelantan. Berusaha memujuk beliau untuk bersiap sedia mengangkat sumpah memegang jawatan sebagai Menteri Besar keesokan harinya. Rombongan ini juga gagal. Sehinggalah apabila keputusan muktamad dibuat oleh PAS Pusat, bahawa Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz mesti mengangkat sumpah esok hari.


Ulama Pertama Sebagai Menteri Besar



Maka mahu tidak mahu terpaksalah dengan berat hati keputusan itu diterima. Sami'na wa atho'na. Lalu keesokan harinya berangkatlah rombongan kepimpinan PAS, Berjasa, Hamim dan S46 diketuai oleh Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz ke Kota Darulnaim untuk majlis mengangkat sumpah sekaligus membentuk kerajaan APU di Kelantan. Untuk kali pertama dalam sejarah tanahair selepas merdeka, seorang ulama diamanahkan tugas berat untuk mentadbir sebuah negeri dalam persekutuan Malaysia. Umat Islam melalui gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia menyampai ucapan tahniah tidak putus-putus. Bermulalah masa untuk melaksana gagasan Membangun Bersama Islam yang dicanangkan sebelum ini. Satu tugas berat yang memerlukan bantuan dari langit untuk menghadapi berbagai bentuk halangan dan rintangan dari golongan yang menentang. Satu pembaharuan corak pentadbiran dan pemerintahan yang lebih telus sudah bermula di sini. Seruan reformasi itu sudah lama berkumandang. Hari mengangkat sumpah ini reformasi itu pun mula mengatur langkah. Biarlah kebangkitan itu terus bangkit bergelombang untuk terus melanda ke segenap pelosok tanahair sehingga Kuala Lumpur turut tersungkur menyembah Allah swt. Gelombang kebangkitan yang dikocak oleh sentuhan kepimpinan ulama itu tidak akan dapat ditahan lagi oleh sesiapa pun yang berjari duapuluh. Masa untuk berubah. Kurun baru untuk wajah-wajah baru. 

10 February 2015

KRONOLOGI KES LIWAT DATUK SERI ANWAR IBRAHIM DARI 28 JUN HINGGA 10 FEBRUARI 2015.

SELASA, 10 FEBRUARI 2015

KRONOLOGI KES LIWAT DATUK SERI ANWAR IBRAHIM DAri 28 JUN hingga 10 FEBRUARI 2015.




28 Jun 2008 : Bekas pembantu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, membuat laporan polis mendakwa Anwar meliwatnya di sebuah kondominium di Damansara.

30 Jun 2008 : Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Saiful yang membuat laporan polis ke atasnya bagi tuduhan liwat, dengan mendakwa laporan itu palsu dan berniat jahat.

7 Ogos 2008 : Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Hakim S M Komathy Suppiah membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin.

7 Nov 2008 : Hakim Mahkamah Sesyen S M Komathy Suppiah memutuskan supaya kes liwat Anwar dibicarakan di Mahkamah Sesyen selepas mendapati sijil untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak sah.
Dalam menolak permohonan pendakwaan (supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi), Komathy berkata sijil itu bercanggah dengan jangkaan perundangan Anwar bahawa Abdul Gani tidak akan terbabit dalam kes itu.

5 Mac 2009 : Mahkamah Tinggi memutuskan kes liwat itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan bukannya di Mahkamah Sesyen.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu berikutan permohonan pihak pendakwaan supaya dikaji semula keputusan Mahkamah Sesyen mengekalkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen.
Beliau berkata Hakim Mahkamah Sesyen S M Komathy Suppiah terkhilaf dalam memutuskan bahawa sijil pemindahan kes itu yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak sah.
6 Mac 2009 : Anwar memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi supaya kes liwatnya didengar di Mahkamah Tinggi.
10 Mac 2009 : Mahkamah Tinggi menetapkan 1 hingga 24 Julai sebagai tarikh perbicaraan kes liwat itu.

17 Jun 2009 : Anwar memfailkan permohonan untuk mengetepikan pertuduhan liwat beliau di Mahkamah Tinggi.

6 Nov 2009 : Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen penting dan sampel DNA yang didakwanya amat penting untuk pembelaannya dalam perbicaraan bagi pertuduhan liwat yang dihadapinya.
Antara dokumen penting itu ialah kenyataan yang direkodkan daripada saksi iaitu Saiful, Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan tiga doktor Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia dan laporan perubatan.

1 Dis 2009 : Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ia tidak boleh membatalkan pertuduhan meliwat terhadap Anwar hanya berdasarkan laporan perubatan yang menyatakan ketiadaan penetrasi.
Semasa menolak permohonan Anwar untuk mengetepikan pertuduhan liwatnya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata laporan perubatan tidak boleh dijadikan asas untuk mahkamah menggunakan kuasa untuk membatalkan pertuduhan itu.

3 Feb 2010 : Perbicaraan kes liwat Anwar dimulakan dengan Saiful memberi keterangan sebagai saksi pertama. Perbicaraan itu, di hadapan Hakim Mohamad Zabidin, bermula selepas 18 bulan Anwar dituduh pada Ogos 2008.
Dalam keterangannya, Saiful memberitahu bahawa Anwar yang didakwa meliwatnya, mengajaknya untuk melakukan hubungan seks di luar tabii.
Saiful berkata insiden itu berlaku pada 26 Jun 2008 selepas beliau dan Anwar selesai berbincang mengenai jadual kerja di sebuah unit kondominium Desa Damansara di sini.

5 Feb 2010 : Saiful memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak membuang air besar selama dua hari selepas diliwat oleh Anwar. Beliau juga memberi keterangan bahawa seluar yang dipakainya pada hari insiden itu berlaku adalah hadiah daripada Anwar.

9 Feb 2010 : Perbicaraan kes liwat itu ditangguhkan sekali lagi bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan maklum balas kepada afidavit jawapan terhadap permohonan Anwar supaya hakim menarik diri.
Ia ditangguhkan selepas pembelaan memohon supaya Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada mendengar kes itu dengan alasan beliau bertindak berat sebelah.

18 Feb 2010 : Anwar gagal dalam cubaannya untuk meminta Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes liwatnya.
Hakim Mohamad Zabidin, semasa menolak permohonan itu, memutuskan bahawa tidak ada sebab beliau perlu menarik diri daripada menghakimi kes itu, dan jika beliau berbuat demikian, ia seperti melarikan diri daripada tanggungjawabnya.

25 Feb 2010 : Anwar gagal dalam cubaannya untuk mendapatkan dokumen-dokumen penting termasuk contoh spesimen DNA Saiful sebelum bermulanya perbicaraan kes liwatnya, selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya.

3 Mac 2010 : Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Anwar, Karpal Singh, Mohd Saiful memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak membasuh duburnya selepas insiden liwat yang didakwa berlaku pada 26 Jun 2008 kerana beliau mahu "simpan bukti".
Saiful, saksi utama terhadap kes liwat ketua pembangkang itu, juga memberitahu bahawa beliau tidak mandi selepas insiden itu sebaliknya hanya menyiram tubuhnya.
Beliau mandi pada pagi sebelum insiden itu berlaku, katanya.

16 Ogos 2010 : Anwar gagal dalam cubaan keduanya untuk menggugurkan pertuduhan liwat terhadap dirinya selepas permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi.
Dalam usahanya menggugurkan pertuduhan itu, Anwar mendakwa integriti dan kesaksamaan keseluruhan pasukan pendakwaan adalah dicurigai berikutan dakwaan wujudnya hubungan antara Saiful dengan seorang daripada anggota pendakwaan.
20 Sept 2010 : Mahkamah Rayuan menolak rayuan Anwar untuk membatalkan pertuduhan liwatnya kerana ia tidak ada bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan perkara berkenaan.

6 Dis 2010 : Anwar sekali lagi gagal dalam cubaan keduanya meminta Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada menghakimi perbicaraan kes liwatnya selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya.
Anwar memohon penarikan diri hakim itu berikutan keengganannya mengenakan tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana menghina mahkamah kerana mengeluarkan laporan yang didakwa pihak pembelaan sebagai prejudis kepada kes itu.

14 Dis 2010 : Bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim, merayu kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya membantu mempercepatkan kes membabitkan anak lelakinya itu.

14 Jan 2011 : Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ketua Pembangkang itu untuk mengetepikan keengganan Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar perbicaraan itu.

16 Mei 2011 : Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar membela diri atas tuduhan meliwat Saiful tiga tahun lalu, selepas pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap Anwar.
Dalam penghakimannya, Hakim Mohamad Zabidin berkata saksi utama, Saiful, adalah seorang saksi yang benar, boleh dipercayai dan diyakini.

6 Jun 2011 : Anwar gagal dalam percubaan ketiganya supaya Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes liwatnya. Beliau mengemukakan permohonan itu atas alasan terdapat prapenghakiman dan sikap berat sebelah oleh hakim itu apabila memutuskan bahawa Saiful adalah seorang saksi yang boleh dipercayai pada penggulungan kes pendakwa.

22 Ogos 2011 : Anwar yang memilih untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh apabila membacakan kenyataannya yang setebal 32 muka surat, menafikan beliau mengadakan hubungan seks dengan Saiful.
Anwar mempunyai tiga pilihan - memberi keterangan dari kandang saksi yang bermakna beliau boleh disoal balas oleh pihak pendakwaan; memberi keterangan dari kandang tertuduh yang bermakna beliau tidak boleh diperiksa balas oleh pihak pendakwaan tetapi dalam membuat keputusan, mahkamah mengambil kira fakta bahawa pihak pendakwaan belum menyoal balas tertuduh; atau memilih untuk berdiam diri.
Pada perbicaraan kes liwatnya yang pertama pada 1998, Anwar memberi keterangan dari kandang saksi.

6 Okt 2011: Mahkamah Tinggi memutuskan tidak perlu bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memberi keterangan sebagai saksi pembela dalam perbicaraan kes liwat Anwar.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najib dan Rosmah untuk mengetepikan sapina yang mengarahkan mereka menjadi saksi untuk pihak pembela pada perbicaraan kes liwat itu.
Hakim Mohamad Zabidin berkata selepas meneliti afidavit, hujah daripada pihak berkaitan, mahkamah bersetuju dengan peguam yang mewakili Najib dan Rosmah bahawa Anwar gagal menunjukkan kerelevanan dan kepentingan apabila mengemukakan sapina kepada perdana menteri dan isteri.

9 Jan 2012 : Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Saiful. Penghakiman 80 muka surat oleh Hakim Mohamad Zabidin menunjukkan adanya kemasukan zakar tetapi ia tidak disokong oleh bukti-bukti lain.
Beliau berkata mahkamah tidak boleh 100 peratus yakin mengenai integriti sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada Saiful kerana sampel itu mungkin telah dikompromi sebelum tiba di Jabatan Kimia untuk dianalisis.

9 Julai 2012 : Pihak pendakwaan mengemukakan petisyen rayuan mengandungi sembilan alasan, yang antara lain, supaya Anwar disabitkan atas tuduhan liwat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

12 Sept 2012 : Anwar menarik balik samannya terhadap Mohd Saiful kerana membuat laporan polis terhadapnya kerana meliwat dan mendakwa laporan itu bersifat palsu dan berniat jahat.

22 Feb 2013 : Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari dari 22 Julai 2013 untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Anwar.

18 Sept 2013 : Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk melucutkan kelayakan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai pendakwa raya bagi mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuannya terhadap keputusan membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat.

2 Okt 2013 : Mahkamah Rayuan menetapkan dua hari mulai 11 Disember untuk mendengar rayuan pihak pendakwa terhadap pembebasan Anwar. 

21 Nov 2013 : Anwar gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee Abdullah daripada bertindak sebagai pendakwa raya untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes rayuannya.
Anwar mengemukakan permohonan dengan alasan bahawa Muhammad Shafee tidak boleh bertindak sebagai pendakwa raya dalam kes rayuan itu kerana beliau (Muhammad Shafee) adalah saksi penting pada perbicaraan kes liwat.

11 Dis 2013 : Anwar gagal dalam permohonannya bagi kali kedua untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee.

20 Dis, 2013 : Anwar gagal dalam permohonannya bagi kali kedua untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee mengetuai pihak pendakwa raya. Ketika menolak permohonan Anwar, Mahkamah Rayuan memutuskan permohonan itu tidak mempunyai merit.
Kali ini, Anwar menggunakan maklumat daripada akuan berkanun bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim sebagai alasan untuk mengemukakan permohonan.

6 dan 7 Mac 2014 : Mahkamah Rayuan mendengar hujah daripada Muhammad Shafee dan peguam Karpal Singh.

7 Mac 2014 : Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan selepas mahkamah mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful, enam tahun lepas.
Hakim Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai panel tiga hakim mendengar rayuan pendakwa dalam kes itu, bagaimanapun membenarkan permohonan Anwar bagi penangguhan pelaksanaan hukuman, sementara menunggu keputusan rayuan dengan mengenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Anwar, Hakim Balia berkata mahkamah dengan sebulat suara memutuskan bahawa hakim perbicaraan telah tersilap dalam penghakimannya bahawa integriti sampel DNA yang digunakan dalam kes itu telah dikompromi.
Karpal Singh, ketika ditemui pemberita kemudian, berkata berikutan keputusan itu, Anwar tidak dapat mengemukakan borang penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Kajang pada 10 Mac.

24 April, 2014 : Ketua Pembangkang mengemukakan petisyen rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun atas kesalahan liwat di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan 35 alasan mengapa sabit kesalahan dan hukuman ke atasnya harus diketepikan.

14 Ogos 2014 : Mahkamah Persekutuan menetapkan 28 dan 29 Okt untuk mendengar rayuan akhir Anwar. Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pembela berikutan kematian peguam Karpal Singh yang terkorban dalam nahas jalan raya pada 17 April.

14 Okt 2014 : Mahkamah Persekutuan memutuskan Muhammad Shafee ialah seorang yang sesuai dan layak untuk mengetuai pasukan pendakwa dalam kes rayuan Anwar pada 28 Okt.
Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mencapai keputusan itu dengan sebulat suara, berkata saluran yang sesuai untuk Anwar mencabar pelantikan Muhammad Shafee ialah melalui semakan kehakiman dan bukan melalui notis usul.

28 dan 29 Okt 2014: Mahkamah Persekutuan mula mendengar hujah daripada pihak pembela dan pendakwa.

7 Nov 2014: Selepas lapan hari prosiding, Mahkamah Persekutuan menangguhkan ke satu tarikh lain keputusan rayuan akhir kes liwat Anwar.

26 Jan 2015: Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Januari keputusan rayuan akhir kes liwat Anwar terhadap Saiful.

10 feb 2015 : Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar dari Istana Kehakiman, Putrajaya dipercayai menuju ke Penjara Sungai Buloh. Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar Ibrahim yang dijatuhi Mahkamah Rayuan berikutan sabitan kesalahan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...