Kelahiran Tok Guru Hj Nik Abdul Aziz Bin Hj Nik Mat Alim (Tuan Guru Hj Nik Mat)
Anak kedua dari perkahwinan Tok Guru Haji Nik
Mat Alim (Tuan Guru Haji Nik Mat) dengan isteri pertama ini dilahirkan pada
tahun 1931 dan diberi nama Nik Abdul Aziz. Anak kelahiran Kampung Pulau Melaka
ini membesar dalam suasana keluarga dan rumahtangga yang sederhana dan
mengecapi zaman kanak-kanak seperti kanak-kanak lain.
Pendidikan Asas
Negeri Kelantan terkenal dengan
keprihatinan warganegerinya yang mementingkan didikan Islam bagi setiap
anak-anaknya. Hal ini agak ketara berbeza dengan warganegeri lain. Ini adalah
disebabkan latarbelakang sejarahnya yang menyaksikan banyak tumbuh pusat-pusat
pengajian pondok terutamanya. Sebagaimana anak-anak lain yang diberi didikan
agama sejak awal oleh ibubapa masing-masing, maka Nik Abdul Aziz juga tidak
terkecuali. Bahkan kedudukan beliau agak istimewa kerana pendidik awalnya ialah
ayahnya sendiri yang sangat mengutamakan asuhan dan didikan agama bagi
anak-anaknya. Jadual wajib setiap malam mereka adik beradik ialah mengaji
Al-Quran. Dalam masa yang tidak lama, beliau didapati memiliki tahap kecerdasan
yang tinggi dalam menangkap dan memahami setiap pelajaran. Hingga dapat
menandingi teman-teman sepengajiannya bahkan dari kalangan yang lebih tua
usianya. Kemudian diberi kepercayaan untuk mengantikan tempat ayahnya mengajar
kanak-kanak lain membaca ayat-ayat lazim (Muqaddam).
Sekolah Rasmi
Pada umur enam tahun, beliau dihantar
untuk berlajar di Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat untuk mempelajari asas membaca
dan menulis. Pulang dari sekolah, kanak-kanak ini tidak begitu terpaut hati
untuk banyak bermain-main dengan rakan-rakannya. Sebaliknya beliau lebih gemar
mengisi masa petangnya untuk mengulangkaji pelajaran dan membuat sebarang
kerjarumah yang ditugaskan oleh guru. Sesekali beliau turun ke tanah untuk
bermain layang-layang dan gasing yang menjadi sebahagian hobi zaman
kanak-kanaknya.Di sekolah ini, beliau adalah pelajar pertama yang memakai
seluar panjang kerana Tuan Guru Haji Nik Mat Alim sangat tidak suka melihat
kanak-kanak lelaki berseluar pendek. Walau bagaimana pun, persekolahan di
Sekolah Kebangsaan itu tidak lama kerana setelah beberapa bulan, beliau
berhenti atas kesedaran ayahnya yang menyedari kecenderungan anaknya itu dalam
pengajian Islam.
Mengaji di
Pondok Tok Kenali
Lalu beliau dihantar menuntut ilmu di
Kubang Kerian berguru pada Tok Kenali. Di pusat pengajian pondok ini, beliau
menunjukkan minat yang begitu mendalam sehingga cepat menghafal beberapa
kitab-kitab matan dan membaca kitab-kitab berbahasa Arab. Menjelang
usia remaja, Nik Abdul Aziz di hantar pula ke Besut, untuk belajar di Pondok
Tuan Guru Haji Abbas. Di sini beliau sudah mula menguasai beberapa ilmu untuk
amalan seharian. Bila sekali-sekala pulang ke kampungnya, beliau kadang-kadang
mengantikan ayahnya menjadi iman dalam sembahyang dan mengajar Al-Quran.
Mula Menuntut Di Seberang Laut
Sekitar
tahun 1952, beliau belayar ke India untuk menyambung pengajian di Universiti
Deoband. Selama lima tahun di sana, beliau sempat berguru dengan seorang ulama
hadith dan tarekat iaitu Maulana Husain Ahmad al-Madani. Kemudian pada tahun 1957, beliau menyeberang sempadan
masuk ke Pakistan belajar di Lahore melanjutkan pengajian dalam bidang Tafsir
Al-Quran.
Belayar Lebih Jauh
Kecenderungan yang begitu mendalam dalam
menuntut ilmu agama, telah membawa beliau belajar lebih jauh. Kali ini belayar
lagi dan kemudian turun untuk menjejakkan kaki di bumi Mesir. Di Universiti
Al-Azhar anak muda yang berusia sekitar 30 tahun ini mengambil jurusan Bahasa
Arab lantaran minatnya yang begitu mendalam. Di sini beliau meningkatkan
penguasaannya dalam ilmu-ilmu Bahasa Arab seperti balaghah, syair dan
segala bentuk puisi Arab. Hingga akhirnya pemuda ini memperolehi Ijazah Sarjana
Muda Bahasa Arab.
Setelah itu Nik Abdul Aziz meneruskan pengajian dalam
bidang Perundangan Islam (Syari'ah). Jurusan ini ternyata lebih mencabar.
Beliau lebih banyak duduk bertekun membaca dan mutala'ah al-Umm (Imam as-Syafi'ie), Fath ul-Baari (Ibn Hajar al-Haitami),
al-Iqna' dan beberapa kitab-kitab yang berjilid-jilid. Berkat ketekunan dan
kesungguhan, beliau lulus dan mendapat Ijazah Sarjana Perundangan Islam di
universiti tertua di dunia ini.
Belayar Pulang
Setelah lulus dalam jurusan Syari'ah,
beliau bercita-cita pula untuk mendapatkan Diploma, tetapi hasrat itu terbantut
apabila pulang dalam keadaan agak tergesa-gesa bersama Ustaz Yusof Bakar (bekas pensyarah Kolej Islam Kelang) pada awal 1962. Hampir
duabelas tahun di rantau orang, bukanlah satu tempoh masa yang singkat.
Berangkat ke luar negara ketika tanahair masih dalam jajahan British. Kini
tanahair yang 'merdeka'nya masih kanak-kanak menyambutnya dalam suasana yang
bagitu jauh berbeza. Sanak saudara yang menyambut tidak segera mengenalinya.
Lebih-lebih lagi penampilannya yang jauh berbeza berbanding sewaktu berangkat
sebelas tahun lalu. Anak muda berpakaian kemas dengan mengenakan talileher
serta kasut yang berkilat itu akhirnya dicam orang apabila mereka terpandang
kepada nama yang tertera pada beg yang dibawanyaNik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau mendapati negara
ini sudah jauh berbeza terutama suasana di bandar. Tetapi apabila sampai di
kampung halaman, keadaan yang agak mundur membuatnya berasa kekok buat beberapa
ketika. Suasana Kampung Pulau Melaka jauh berbeza berbanding bandaraya Kaherah
yang lebih moden.
Mula Bertugas
Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah
Mardhiyyah, Panchor merupakan institusi pendidikan terawal yang menerima
khidmat bakti tokoh pendidik muda ini. Beliau turun awal pagi dari rumahnya di
Kg Pulau Melaka menuju ke Panchor dengan berbasikal lumba (hadiah daripada Al-Marhum Tuan Haji Nik
Abdullah bin Arsyad - lebih dikenali dengan panggilan Pak Nik Lah).Pada tahun ini juga (1962) Tuan Guru Haji Nik Mat
Alim mengasaskan Sekolah Agama Darul Anwar di Kampung Pulau Melaka. Oleh kerana
itu khidmat Haji Nik Abdul Aziz di Panchor tidak lama kerana berpindah mengajar
di sekolah yang baru diasaskan oleh ayahnya itu. Selain menjadi tenaga pengajar
di SADA, beliau juga diberi kepercayaan memegang jawatan Bendahari dalam
organisasinya di samping ayahnya sendiri selaku Pengerusi.
Mengakhiri
Zaman Bujang
Pada usia 31 tahun, beliau melangsungkan
perkahwinan dengan seorang gadis berusia 14 tahun pilihan kedua orang tuanya.
Gadis itu ialah Tuan Sabariah bte Tuan Ishak yang dilahirkan pada tahun 1948,
anak keempat dari enam adik beradik. Isterinya ini adalah anak jati Kampung
Panchor, Kemumin.
Pendidikan Tuan
Sabariah bte Tuan Ishak
Mendapat pendidikan secara rasmi di salah
sebuah sekolah kendalian Majlis Agama Islam Kelantan. Apabila tamat
darjah enam, beliau menyambung pengajian ke Sekolah Menengah Na'im lil Banat
(Sek. Menengah Perempuan Na'im). Walaupun beliau bercita-cita untuk menyambung
ke peringkat yang lebih tinggi, namun hasratnya itu terpaksa dipendamkan apabila
beliau dijodohkan oleh ayahnya dengan Haji Nik Abdul Aziz (yang ketika itu sedang mengajar di SMATM
Panchor).
Sebagai
Penyelia KEMAS
Wargatua dari rakyat negara ini ketika itu
kebanyakannya terdiri dari kalangan mereka yang buta huruf. Kenyataan ini memberi
kesan yang mendalam dalam diri Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pada pendapatnya,
tahap kesedaran berilmu dan beramal dengan baik dan betul adalah sukar untuk
dicapai selagi masalah buta huruf ini tidak diatasi. Lalu beliau menerima
tawaran untuk lantikan sebagai Penyelia bagi Kelas Dewasa (kini dikenali sebagai kelas KEMAS). Namun begitu, penglibatan beliau dalam KEMAS tidak
lama kerana beberapa perkara yang menjadi syarat persetujuanya untuk menerima
jawatan itu telah tergugat.
Iaitu beliau perlu diberikan kebebasan
untuk menyampaikan haq tanpa sebarang sekatan atau penentangan sekalipun
bakal menyentuh mana-mana pihak samada di pihak KEMAS atau sesiapa sahaja.
Kedua iaitu prinsip beliau menyampaikan sesuatu pengajaran agama adalah secara
jelas menepati kandungan al-Quran dan al-Hadith, ijma' dan qias sebagaimana
yang dipelajarinya.
Pada bulan-bulan terawal, banyak kritikan dan
tegurannya masih boleh diterima oleh lapisan pelajar termasuk pengelola kelas
itu sendiri. Tetapi akhirnya kegiatannya menimbulkan suasana politis yang agak
gawat dan kontroversi hingga beliau disekat dengan bermacam-macam halangan.
Semuanya adalah kerana teguran dan kritikan itu telah tersentuh ke atas batang
hidung pihak yang tidak senang dengan usahanya untuk menyuburkan semangat
keIslaman di kalangan lapisan pelajar kelas dewasa itu. Akhirnya, dua tahun
kemudian, Haji Nik Abdul Aziz meletak jawatan.
Bertugas di
Maahad Muhammadi
Sebaik sahaja melepaskan jawatan di KEMAS,
beliau langsung mendapat peluang mengajar di SMA Maahad Muhammadi Lil Banin
(Lelaki) pada tahun 1964.
Sebagai Ahli
Politik
Tiga tahun kemudian, apabila berlaku
kekosongan kerusi Parlimen Kelantan Hilir (kini Pangkalan Chepa)
berikutan kematian Tuan Haji Ahmad Abdullah (Haji Ahmad Perai),
Haji Nik Abdul Aziz telah dicalonkan oleh PAS Kelantan untuk mempertahankan
kerusi tersebut. Dengan izin Allah dan di atas ketokohan, kewibawaan yang jelas
pada dirinya, PAS mengekalkan kerusi Parlimen tersebut.
Maka sejak itu kehidupan Haji Nik Abdul Aziz
mula berubah. Tiba-tiba beliau menjadi begitu sibuk dengan tugas barunya
sebagai Ahli Parlimen. Beliau sentiasa berulang alik dari rumahnya ke Kuala
Lumpur. Tidak seperti wakil rakyat atau ahli parlimen lain yang lebih suka
menetap di Kuala Lumpur, meninggalkan kawasan yang diwakili, meninggalkan
rakyat yang telah mengundi mereka. Sebaliknya YB Haji Nik Abdul Aziz sanggup
berulang alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Beliau masih meneruskan
kewajibannya mengajar di Masjid Pulau Melaka dengan penuh komitmen.
Beliau sering balik lewat malam kerana
memenuhi jemputan untuk berceramah di merata pelusuk tanahair. Masa untuk
bersama keluarga menjadi begitu singkat. Ketika itulah Datin Tuan Sabariah
memainkan peranan yang lebih besar dalam mengurus rumahtangga dan mengasuh
anak-anak.
YB Haji Nik Abdul Aziz tetap akan pulang ke rumah
walau bagaimana sibuk sekalipun. Waktu yang begitu terbatas bersama keluarga
digunakan dengan sebaik mungkin untuk melayani anak-anak dan menyelesaikan
sebarang masalah yang berbangkit.
Pilihanraya
Umum 1969
Masa berlalu begitu pantas. Seluruh negara
disibukkan pula oleh suasana menghadapi pilihanraya umum. YB Haji Nik Abdul
Aziz dicalonkan sekali lagi untuk mempertahankan kerusi parlimen Kelantan
Hilir. Dalam satu peristiwa, YB Haji Nik Abdul Aziz pernah diserang dengan
lontaran batu oleh kumpulan Pemuda Tahan Lasak UMNO sewaktu beliau pulang dari
satu majlis ceramah di Pasir Putih. Undi besar yang diperolehi oleh beliau
telah mengekalkan kerusi Kelantan Hilir di tangan PAS.
Beberapa hari kemudian tercetus peristiwa
rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. YB Haji Nik Abdul Aziz menyatakan;
Takdir Allah,.. Allah tidak
mahu melihat PAS ini terus menerus hidup dalam keadaan budak atau
keanak-anakan, maka Allah mendatangkan peristiwa 13 Mei yang melahirkan
akta-akta sensitif, yang melarang manusia menyebut perkara-perkara seperti
Melayu, China dan melarang manusia menyebut hal-hal yang bersangkutan dengan
kerakyatan dan sebagainya.
Bermula dari
situlah maka orang-orang PAS berusaha untuk mencurahkan kerja-kerja sebagai
gerakan parti. PAS bukanlah menyebatkan satu teori, tetapi menjalankan dasar
al-Quran dan al-Hadith yang merupakan dasar agama. Kita rasa bertanggungjawab
sepenuhnya untuk menjalankan kegiatan agama, maka kita buat usrah, kita mula menterjemahkan
buku-buku yang dikarang oleh pejuang-pejuang Islam seperti menterjemahkan
buku Ma'alim Fit-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan) yang ditulis oleh
Allahyarham Sayyid Qutb termasuk juga membawa masuk buku-buku karangan Bapak
Nasir dari Indonesia yang menterjemahkan ayat-ayat al-Quran yang menyentuh
persoalan jihad, politik dan sebagainya.
Maka lahirlah
kuliah-kuliah Jumaat dan sessi ceramah untuk mengisi kekosongan waktu yang
ada. Maka berkembanglah PAS yang bukan lagi dalam bentuk PAS budak-budak,
tetapi PAS yang telah remaja....
petikan dari
Kemucut Dalam
Perjuangan Islam
karangan
YB Haji Nik Abdul Aziz
|
Ekoran peristiwa inilah Menteri Besar
Kelantan Dato' Mohd Asri yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan telah
mengistiharkan percantuman kerajaan negeri dengan kerajaan pusat membentuk
kerajaan campuran dengan PArti Perikatan atas dasar memelihara kepimpinan dan
ketuanan Melayu di negara ini. Dan tindakan ini juga kemudiannya telah membawa
kepada penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional pada 1974.
Prinsip Tetap
Tidak Berubah
Tindakan PAS menyertai BN tidak bermakna
dasar dan prinsip perjuangan telah dikesampingkan. YB Abu Bakar Hamzah (ahl parlimen PAS) semasa memberi jawaban bertulis dalam soaljawab di
parlimen menegaskan:
"Samada kerajaan sedar atau tidak bahawa
PAS satu parti politik yang menjadi anggota Barisan Nasional telah membuat
dan mengeluarkan fatwa bahawa tindakan parti ini memasuki Barisan Nasional
sesungguhnya ditegah atau haram. Perbuatan ini adalah haram dari segi
syari'at Islam, tetapi PAS terpaksa memasukinya buat sementara waktu..."
|
Isu ini telah menjadi polemik yang hangat
di kalangan ahli-ahli PAS. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah memainkan
peranan yang besar dalam mententeram dan memberi penerangan kepada ahli dan
penyokong PAS khususnya di peringkat negeri Kelantan. Penjelasan beliau
yang berdasarkan hujjah dan dalil al-Quran dan Hadith serta sirah
perjuangan Rasulullah saw diterima dengan baik dan suasana kembali reda dan
tenang sekurang-kurang untuk beberapa ketika.
Mageran
Namun suasana tenang tidak kekal lama.
Kini timbul pula krisis kepimpinan yang terpaksa dihadapi dengan bijaksana oleh
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Menteri Besar Kelantan Dato' Mohd Asri
disifatkan oleh sebahagian ahli sebagai bertindak keterlaluan dalam menyeret
PAS bergabung dalam BN. Sehingga membawa kepada tertubuhnya Berjasa oleh Dato
Muhammad Nasir sebagai protes terhadap Dato Mohd Asri.
Suasana krisis ini dieksploitasi dan
diambil kesempatan oleh pihak BN dengan sebaik mungkin. Untuk cubaan pertama
mereka mengatur dan merancang satu usul undi tidak percaya sebagai memercikkan
bunga api untuk perancangan seterusnya. Usul ini telah dibawa oleh Dato' Ishak
Lotfi tetapi tidak terlaksana. Namun bunga api itu telah menyambar daun-daun
dan ranting-ranting kering lain. Demonstrasi demi demonstrasi terancang berlaku
satu demi satu.
Manakala di pihak Kuala Lumpur pula,
mereka telah bersiap sedia untuk meluluskan Rang Undang-undang Kuasa-kuasa
Dharurat (Kelantan) 1977 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia,
Dato Hussien Onn. Dan hari yang malang bagi rakyat Kelantan itu pun tiba bila
rang undang-undang itu diluluskan dan perintah berkurung telah dikenakan ke
atas negeri Kelantan dan kerajaan PAS Kelantan yang dipimpin oleh Dato Muhammad
Nasir itu pun kehilangan kuasa.
Bertenang
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menghadapi
suasana yang gawat dan kritikal ini dengan tenang. Untuk seketika beliau
mengambil sikap berkecuali. Tidak berpihak kepada blok Dato' Mohd Asri dan
tidak juga di pihak Dato' Muhammad Nasir. Namun, beliau tetap menjalankan
peranan sebagai ulama yang terus prihatin kepada anggota masyarakat. Bukan satu
kerja mudah untuk mententeramkan anggoat masyarakat khususnya ahli-ahli PAS.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pernah mensifatkan apa yang berlaku hanya umpama
'ribut dalam cawan' yang kocakannya lambat laun akan reda.
Sebenarnya, suasana ini telah menimbulkan
kesedaran kepada ahli PAS bahawa PAS memerlukan satu anjakan paradigma baru
yang mempunyai momentum lebih kuat untuk berdepan dengan gerakan kebatilan.
Ahli-ahli PAS Kelantan menyedari bahawa mereka sebenarnya memerlukan seorang
pewaris Nabi untuk memimpin mereka. Tidak ada tokoh lain yang dilihat
berlayakan untuk memimpin mereka selain Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Lalu
beliau pun dipilih sebagai Pesuruhjaya Negeri Kelantan.
Semenjak Kelantan terlepas dari tangan PAS
secara 'paksaan' itu, diikuti pula kekalahan yang dialami (pilihanraya umum 1978) PAS hanya memenangi 2 kerusi parlimen. Kemudian Tuan
Guru Haji Nik Abdul Aziz selaku Pesuruhjaya mengatur gerakkerja untuk
menghadapi pilihanraya peringkat DUN. Persaingan yang dihadapi lebih sengit
kerana berdepan dengan BN dan Berjasa. Keputusannya muktamad, Kelantan terus
terlepas kepada BN yang memenangi 23 kerusi DUN, manakala Berjasa 11 sedang PAS
hanya mendapat 2 kerusi sahaja.
Ledakan
Semangat Baru
PAS Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru
Haji Nik Abdul Aziz membawa kepada satu ledakan yang samasekali berlainan
berbanding kepimpinan zaman Dato' Mohd Asri. Tambahan pula gandingan tokoh
veteran seperti Pak Nik Lah, tokoh ulama dari kalangan muka-muka baru seperti
Ustaz Haji Yahya Othman, PAS Kelantan kini mengorak langkah dengan lebih
teratur walaupun sebagai pembangkang yang hanya mempunyai dua suara di Dewan
Undangan Negeri.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menyusun
barisan petugas dan pejuang tanpa memilih bulu. Apa yang penting pada pandangan
beliau ialah kelayakan dan kredibiliti pada seseorang. Penyusunan ini telah
memberi nafas baru kepada gerakkerja parti untuk mendekati rakyat. Walaupun
pilihanraya baru saja berlalu, namun PAS Kelantan masih dalam suasana bekerja
untuk menghadapi pilihanraya. Rumah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tetap sibuk
menerima kunjungan setiap masa.
Siri pilihanraya berikutnya diharungi
dengan menurut strategi yang lebih teratur hasil penyusunan semula
tenaga-tenaga penggerak yang lebih berwibawa, lebih mantap dan lebih tahan
lasak dengan gandingan tenaga veteran dan tenaga baru. Kalangan pengundi
sentiasa diberi penerangan melalui pertemuan hati ke hati dan melalui
rapat-rapat umum. Ternyata dengan penampilan kepimpinan baru ini telah dapat
menarik kembali sokongan yang lebih bermakna. Kalau sebelum ini sokongan mereka
tidak ada beza dengan sokongan yang diterima oleh pihak BN (Umno khususnya)
yang kedua bentuk sokongan lebih berasaskan kebendaan.
Kini penyokong dan para simpatisan mulai
memahami dasar perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Gerakan penerangan dan
ceramah memberikan kefahaman ini secara beransur-ansur. Tuan Guru Haji Nik
Abdul Aziz pernah mengatakan bahawa lambat-laun Kelantan akan kembali kepada
PAS.
Suasana yang rancak ini tergugat untuk
seketika apabila timbul sekali lagi krisis kepimpinan ekoran kenyataan YDP PAS
Dato' Mohd Asri untuk membawa PAS kembali ke dalam BN. Protest yang lebih
meluas kembali kedengaran. Bukan saja di Kelantan, bahkan di seluruh tanahair.
Akhirnya beliau telah mengambil sikap untuk bertanggung-jawab di atas
kenyataannya itu dengan membuat keputusan untuk meletak jawatan dan menarik
diri dari PAS dan kemudiannya menubuhkan HAMIM.
Kegawatan ini sedikit sebanyak terkena
juga tempiasnya kepada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Beliau dikatakan terlibat
secara langsung mendesak dan memberi tekanan yang membawa kepada apa disifatkan
sebagai pemecatan YDP PAS tersebut. Tetapi, segala tohmah dan tuduhan itu
terjawab apabila Tuan Guru menulis Kemucut Dalam Perjuangan Islam. Kata beliau
... bekas Dato' Yang Di Pertua telah meletak
jawatan, bukan dipecat. Dalam surat perletakan jawatan ditulis secara sedar
atau tidak bahawa ada satu pakanan jahat untuk menggulingkan beliau ..
|
Oleh itu maka dapat difahami bahawa Tuan
Guru langsung tidak terlibat dalam konfrantasi PAS-Asri itu. Manakala dalam
Muktamar ke 29 (Dewan
Bahasa dan Pustaka) perwakilan termasuk Tuan Guru Hj Nik
Abdul Aziz telah secara sebulat suara memilih Tuan Guru Haji Yusuf Rawa sebagai
YDP yang baru.
Era Kepimpinan
Ulama Bermula
Keadaan terus menjadi tenang dan program
kuliah, ceramah, usrah dan sebagainya kembali menjadi rancak apabila PAS
melangkah ke era baru. Satu suasana yang dirasakan cukup berbeza dari sebelumnya.
Kerana orang ramai beranggapan bahawa PAS di zaman Dato Asri lebih mirip kepada
gerakan kebangsaan.
Kuliah-kuliah yang dianjurkan oleh PAS
baik di Pulau Melaka sendiri, di Dewan Zulkifli atau di mana-mana terus
mendapat sambutan. Tahun demi tahun kehadiran semakin ramai. Masjid Pulau
Melaka mula dirasakan semakin sempit. Kuliah yang disampaikan oleh Tuan Guru
Haji Nik Abdul Aziz pada setiap malam Khamis dan Jumaat di Masjid Pulau Melaka
dan di Dewan Zulkifli menambat hati beratus-ratus pengunjung saban waktu.
Bahkan terdapat 'penuntut' ilmu yang berulang tiap minggu dari Jertih ke Dewan
Zulkifli setiap hari Jumaat.
Penyampaian yang jelas disertai dengan
misalan yang tepat menjadikan kuliah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sangat
diminati oleh sesiapa sahaja yang hadir. Sehinggakan jika mereka terlepas dari
menghadiri kuliah tersebut, pasti mereka akan membeli pita rakaman kuliah yang
telah mereka ketinggalan itu. Ketika inilah, di Kelantan bahkan di seluruh
Malaysia, ahli-ahli PAS mulai mengikuti kuliah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz
dan ceramah-ceramah lain-lain pemimpin (al-Fadhil; Dato' Haji Fadzil Mohd Noor, Haji Abdul
Hadi Awang dan lain-lain) melalui pita-pita
rakaman yang disebaredar ke seluruh negara. PAS kini bangkit dalam Era Kepimpinan Ulama.
PAS terus berkembang. Ketokohan dan penampilan Tuan
Guru sebagai seorang ulama yang haraki telah menarik minat dan sokongan
angkatan muda. Ditambah lagi dengan perlantikan al-Fadhil Tuan Guru Haji Fadzil
Mohd Noor sebagai YDP baru menggantikan al-Fadhil Tuan Guru Haji Yusuf Rawa
yang uzur, dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Timbalan YDP, manakala
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pula selaku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat
menggantikan Tuan Haji Husin Rahimi (Ahli Parlimen Pasir Putih).
Kalah Kali
Pertama
PAS kini membariskan kepimpinan ulama yang
berwibawa. Semuanya kini berada di saf paling hadapan untuk memimpin gerakan
Islam yang mulai menggoncangkan tiang-tiang seri BN. Dalam siri pilihanraya
1986, untuk pertama kalinya Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz telah diamanahkan untuk
bertanding di dua kerusi. Dun Semut Api dan Parlimen Bachok. Allah swt adalah
sebaik-baik Perancang. Tuan Guru kalah untuk pertama kalinya di peringkat
Parlimen dan pencalonan sulong bagi kerusi Dun ini sebenarnya telah membuka
laluan yang sangat gemilang untuk hari-hari esok.
Pada hari keputusan pengiraan undi, Tuan
Guru menyifatkan kekalahannya di parlimen Bachok adalah satu rahmat dari Allah.
Kalau sebelum ini beliau terpaksa memikul amanah parti di peringkat urusan
parlimen, kini beliau mempunyai masa yang lebih luas untuk mengatur strategi
bagi merampas kembali Kelantan dari BN. Dahulu beliau terpaksa menanggung
keletihan kerana berulang alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur
untuk menghadiri sidang parlimen dan sebagainya. Kini Tuan Guru mempunyai
lebih banyak masa di Kelantan. Mulai saat inilah Tuan Guru dapat lebih tekun
mengajar, mensyarahkan beberapa buah kitab. Antaranya ialah al-'Ilmaniyyah
(Sekularisme) karangan Dr. Yusuf Qardhawi, Mauizatul Mukminin (Bimbingan
Mukmin) dan Fiqh Sirah RasuluLlah saw oleh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buty.
Syarahan beliau bagi kitab-kitab ini telah memberi satu suntikan kefahaman yang
cukup dirasai oleh segenap hadirin dan pembeli tetap kaset-kaset kuliah
tersebut. Masyarakat menjadi bertambah jelas dan semakin memahami kekarutan
fahaman sekular apabila mendengar penerangan al-'Ilmaniyyah dan mulai
mengangan-angankan suasana bahagia di zaman RasuluLlah saw apabila
mendengar penerangan Fiqh Sirah tersebut. Kuliah tersebut juga secara
tidak langsung telah menjadi salah satu sumber pendapatan bagi segelintir
individu. Sehingga ada syarikat di Kuala Lumpur telah menerbitkan siri-siri
kuliah tersebut. Secara tidak langsung pita kaset yang beredar ke seluruh
negara ini telah memainkan peranan media sebaran am radio walaupun sekadar 20
peratus. Namun kesannya cukup besar.
Membangun
Bersama Islam
Krisis dalam UMNO telah meretakkan
solidariti parti yang kununnya didakwa sebagai parti Islam terbesar di dunia.
Kerusi Presiden telah tercabar. Tetapi Dato Sri Dr. Mahathir terselamat dari
cubaan Tengku Razaleigh untuk menguasai kerusi keramat itu. Anak raja yang
merasakan dirinya mempunyai pengikut yang ramai itu kemudiannya telah
menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 untuk meneruskan cabaran dari luar terhadap
Presiden UMNO itu.
Jentera pilihanraya PAS Kelantan pimpinan
Tuan Guru hanya berehat lebih kurang sebulan sahaja setelah selesai pilihanraya
1986. Jentera pilihanraya terus di gerakkan secara berterusan seolah-olah akan
menghadapi pilihanraya pada bila-bila masa sahaja. Setiap jentera di semua MTD
menjalankan kerja-kerja mencula dengan agresif sehingga hampir 90 peratus nama
yang ada dalam senarai pengundi telah dicula dalam masa beberapa tahun. Jentera
muslimat yang turut melibatkan Datin Tuan Sabariah menjadi lebih mudah diurus
lantaran mudahnya perhubungan antara Pesuruhjaya dengan wakil pihak muslimat
iaitu isterinya sendiri. Segala masalah yang timbul dapat disalurkan dengan
segera untuk tindakan pantas.
Bayangan kemenangan pula seolah-olah sudah
terbayang apabila terbentuknya Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang
menggabungkan PAS, BERJASA, HAMIM dan S46. Menjelang beberapa minggu sebelum
pembubaran parlimen dan dewan undangan negeri-negeri, APU yang dipimpin oleh
PAS mengistiharkan manifesto Membangun
Bersama Islam. Peristiharan awal ini memberikan kesan
yang mendalam ke hati para pengundi dan petugas pilihanraya.
1990 Menyapu
Bersih
Parlimen dan DUN dibubarkan. Rakyat
Kelantan menderu-deru menuju ke setiap pusat pembuangan undi dengan satu tekad
yang nekad iaitu : Kami mahu Membangun Bersama Islam. Bahkan ramai pengundi
yang tidak pernah mengundi PAS dan tidak pernah bercadang untuk mengundi PAS
dalam pilihanraya 1990 itu, tetapi Allah Yang Maha Kuasa, Dialah yang menguasai
setiap hati-hati dan membolak-balikkannya menurut semahuNya. Tetapi apabila
berdiri di sisi meja dan mencapai pen untuk memangkah, tidak ada yang terlintas
di dalam hati melainkan PAS, APU. APU, PAS. Sehinggakan pengundi-pengundi dari
kalangan orang asli di ceruk hutan turut 'terpangkah'kan bulan purnama. Dan ada
juga petugas SPR dari kalangan guru-guru yang bertugas di kawasan pendalaman,
mengatakan: Kami orang SPR, tapi kami sokong Tok Guru.
Menjelang selepas zohor , keputusan awal
dari statistik pembuangan undi tiba ke markaz besar di Dewan Zulkifli Kota
Bharu. Suasana di dewan mulai hangat walaupun semua kipas berputar ligat di
atas kepala. Kehangatan suasana terus memuncak apabila laporan tidak rasmi dari
setiap PACA mulai tiba dan dikumpulkan di Kota Bharu. Orang ramai mulai
berbisik: Pas menang. Apu menang.
Menjelang malam, PACA menyampaikan laporan
pra-muktamad. Semua calon PAS untuk kerusi parlimen dan dun PAS telah
dimenangi. Keputusan yang disiar lewat radio dan tv menimbulkan suasana yang
berbeza di tempat-tempat yang berbeza. Di pihak APU (PAS) kegembiraan jelas
tergambar dari tuturkata dan riak wajah manusianya. Di pejabat Umno pula,
kemurungan menyelubungi suasana. Setiap keputusan terkini menambahkan
kegembiraan dan kemurungan.
Namun sesusuk tubuh di rumah kayu bercat
hijau di Kg Pulau Melaka langsung tidak mempedulikan urusan manusia di luar.
Beliau asyik dan hanyut dalam solat hajat memohon pertolongan Allah swt untuk
menghadapi sebarang kemungkinan. Dalam dirinya terbit rasa takut. Khuatir.
Setiap minit ketakutan dan kebimbangan itu semakin bertambah dan menjadi-jadi.
Bukan takut kalah. Bukan khuatir akan kecundang lagi. Kerana kekalangan sudah
menjadi mainan PAS sejak dulu lagi.
Tetapi yang sangat ditakuti dan
dikhuatirkan oleh manusia yang seorang ini ialah godaan mata benda dunia dan
gagal memikul amanah. Kerana kemenangan PAS itu sudah dijangkakan. Tetapi
samasekali tidak ada seorang manusia pun di bumi ini yang menjangka Allah
swt akan memberi kemenangan total kepada APU (PAS, Berjasa, Hamim dan S46).
Keputusan muktamad:
APU mendapat 12 kerusi parlimen, 39 kerusi
dun.
BN mendapat 0 kerusi parlimen, 0 kerusi
dun.
Semua orang terperanjat. Darah pendokong
dan penyokong PAS di seluruh tanahair berderau. Pesuruhjaya PAS Kelantan
tersungkur sujud penuh kesyukuran di lantai rumahnya. Presiden UMNO Dato Sri
Dr. Mahathir Muhammad ikut terkejut besar. Kemudian beliau menyatakan:
.......... kekalahan UMNO Kelantan berpunca daripada
sikap rakyatnya yang masih dalam perangkap "parochialism"nya sendiri.
Sikap taksub kenegerian dan politik masih menebal....
Kemudian menyusul pula beberapa rombongan lain dari kalangan pimpinan PAS Kelantan. Berusaha memujuk beliau untuk bersiap sedia mengangkat sumpah memegang jawatan sebagai Menteri Besar keesokan harinya. Rombongan ini juga gagal. Sehinggalah apabila keputusan muktamad dibuat oleh PAS Pusat, bahawa Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz mesti mengangkat sumpah esok hari.
Ulama Pertama
Sebagai Menteri Besar
Maka mahu tidak mahu terpaksalah dengan
berat hati keputusan itu diterima. Sami'na wa atho'na. Lalu keesokan harinya berangkatlah rombongan
kepimpinan PAS, Berjasa, Hamim dan S46 diketuai oleh Tuan Guru Hj Nik Abdul
Aziz ke Kota Darulnaim untuk majlis mengangkat sumpah sekaligus membentuk
kerajaan APU di Kelantan. Untuk kali pertama dalam sejarah tanahair selepas
merdeka, seorang ulama diamanahkan tugas berat untuk mentadbir sebuah negeri
dalam persekutuan Malaysia. Umat Islam melalui gerakan-gerakan Islam di seluruh
dunia menyampai ucapan tahniah tidak putus-putus. Bermulalah
masa untuk melaksana gagasan Membangun Bersama Islam yang dicanangkan sebelum
ini. Satu tugas berat yang memerlukan bantuan dari langit untuk menghadapi
berbagai bentuk halangan dan rintangan dari golongan yang menentang. Satu
pembaharuan corak pentadbiran dan pemerintahan yang lebih telus sudah bermula
di sini. Seruan reformasi itu sudah lama berkumandang. Hari mengangkat sumpah
ini reformasi itu pun mula mengatur langkah. Biarlah kebangkitan itu
terus bangkit bergelombang untuk terus melanda ke segenap pelosok tanahair
sehingga Kuala Lumpur turut tersungkur menyembah Allah swt. Gelombang
kebangkitan yang dikocak oleh sentuhan kepimpinan ulama itu tidak akan dapat
ditahan lagi oleh sesiapa pun yang berjari duapuluh. Masa untuk berubah. Kurun
baru untuk wajah-wajah baru.
No comments:
Post a Comment