my advertise

THE BLOG OWNER

THE BLOG OWNER
“Kindness is a language which the deaf can hear and the and the blind can see”

MY Frenz / MY Sahabat

08 January 2012

Rencana petikan dari Mingguan Malaysia -Bisik-Bisik Mingguan mengenai PENENTUAN ESOK


Penentuan esok 



BERSALAH atau tidak? Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim akan mengetahui nasibnya esok. Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan berhubung perbicaraan kes liwat terhadap pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.
Ia bakal menjadi peristiwa besar pertama yang mewarnai tahun baru 2012. Lagi hampir detik penentuan itu, Anwar makin tertekan. Dalam beberapa ceramah politik yang diatur bagi menyemarakkan kempen Bebas Anwar 901, air mukanya kelihatan keruh dan beliau sudah boleh menjangka keputusannya nanti.
Anwar selain Saiful, pasti tahu apa sebenarnya berlaku. Sesiapa sahaja boleh nafi dan berdalih tetapi tidak boleh menipu diri sendiri apatah lagi kepada Allah yang Maha Berkuasa dan Mengetahui. Awang harap apa sekalipun keputusan perbicaraan itu esok, ia akan diterima dengan fikiran yang lapang dan terbuka. Janganlah membenarkan diri terperangkap dengan emosi dan sentimen. Jika Anwar didapati tidak bersalah, hormatilah keputusan itu. Begitu juga sebaliknya.
Seandainya mahu memenangi hati rakyat, pembangkang mesti ada kelas termasuk akur kepada keputusan mahkamah. Lebih daripada itu, moral harus menjadi pegangan utama. Tiada kompromi. Membenarkan pakatan pembangkang dipimpin oleh seorang yang menghadapi masalah moral yang serius, adalah isyarat yang salah kepada rakyat. Pakatan pembangkang tidak akan melangkah jauh ke hadapan selagi Anwar menjadi terajunya.
Maka sebarang reaksi yang keterlaluan sekiranya beliau didapati bersalah, hanya mengundang imej lebih buruk kepada pergerakan pembangkang di negara ini. Senario 1998 dan 1999 tidak sama dengan sekarang. Anwar tidak lagi menerima simpati meluas sebagaimana waktu itu. Rakyat semakin jelas. Isu salah laku moral dan biseksual tidak sewajarnya diheret untuk dibebankan kepada rakyat.
Apatah lagi, dua kes liwat melibatkan mangsa yang berbeza. Seorang pemandu, Azizan Abu Bakar dan seorang lagi pembantu peribadi, Saiful. Mereka berdua adalah rakyat kecil yang tidak boleh dinafikan hak bagi mendapatkan pembelaan. Jangan lupa, keadilan bukan sahaja hak eksklusif buat pemimpin dan kenamaan, ia juga milik orang biasa. Esok, adalah ujian besar buat rakyat Malaysia sama ada memilih untuk masuk perangkap muslihat Anwar atau sebaliknya. Lebih dinantikan, apakah kejutan 901 dan kesudahannya?



Mengidam...


DI sebalik dilingkari isu moral termasuk kemungkinan dijatuhi hukuman penjara, Anwar Ibrahim membara mahu menjadi Perdana Menteri. Jika dipenjarakan sekalipun, katanya, beliau tetap akan bergelar Perdana Menteri selepas pembangkang menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan berkuasa. Itu cerita yang Anwar jaja. Amboi, bukan main angkuh bunyinya. Begitu sekali ledakan nafsu beliau untuk berkuasa. Belum pernah ada pemimpin yang segalak itu mengidamkan jawatan Perdana Menteri. Menurut Anwar, akan ada Perdana Menteri sementara jika beliau menjalani hukuman penjara dengan mengambil contoh Parti AKP di Turki. AKP memenangi pilihan raya pada 2002 ketika Recep Tayyip Erdogan dipenjarakan. Jawatan Perdana Menteri sementara disandang oleh Abdullah Gul yang kemudian menyerahkan kepada Erdogan selepas dibebaskan.
Anwar terlupa bahawa Erdogan bukan dipenjarakan kerana salah laku seks. Hukumannya atas pertuduhan menanam kebencian dalam beragama. Tiada kaitan langsung dengan isu moral. Bahkan, Erdogan dilihat pro Islam di kaca mata rakyatnya. Sedangkan Anwar dua kali menghadapi pertuduhan liwat. Akhlak Anwar jauh boleh dipersoalkan berbanding Erdogan. Anwar juga berdepan dengan isu rakaman video seks bersama seorang pelacur dan banyak isu lain berkaitan integriti. Imej AKP di Turki lebih tinggi dan para pemimpin serta ahli-ahlinya tidak meninggalkan parti.
Berbanding PKR, sokongan rakyat kepada parti itu merudum, makin ditinggalkan ramai ahlinya dan ditadbir secara lemah sehinggakan pemilihan parti itu seperti suasana dalam kandang haiwan di zoo. Dalam kenyataannya kelmarin, Anwar mahu jentera pakatan pembangkang bekerja habis-habisan bagi memenangi PRU13 supaya dapat membentuk kerajaan dan seterusnya membebaskan beliau dari penjara. Rupa-rupanya mahu menang bukan kerana komited untuk penambahbaikkan negara dan rakyat tetapi mempunyai matlamat bagi membebaskan diri. Awang geleng kepala.



Salah siapa?


AWANG setuju dengan pandangan bekas sahabat baik Anwar, Raja Petra Kamarudin dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, Ahad lepas bahawa pemimpin PKR itu bukan lagi pilihan bagi rakyat Malaysia.
Banyak persoalan menarik yang menuntut renungan menerusi wawancara tersebut daripada soal isu integriti Anwar, tadbir urus, rakaman video seks hinggalah kepada isu gay. ‘‘Soalnya, jika anda nak jadi gay, teruskanlah. Anda tidak boleh menjadi pemimpin dan gay sekali gus. Di Malaysia, anda kena pilihlah. Kalau nak jadi Perdana Menteri dan gay sekali gus, sudah tentu di Malaysia, tidak boleh,'' katanya. Dalam reaksinya pula, Anwar sekadar menempelak Raja Petra dan mengelak daripada menjawab persoalan yang dibangkitkan.
Sebelum ini, Raja Petra adalah antara pendokong Anwar tetapi kini sudah hilang keyakinan kepada Ketua Pembangkang itu. Beliau seperti biasa lantang mengkritik dan selalu sinikal kepada semua pihak sama ada kerajaan Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang.
Selain Raja Petra, ramai lagi telah meninggalkan Anwar. Dalam PKR sahaja, lebih 50 pemimpin kanan parti itu sudah keluar, yang senario seperti itu tidak menimpa parti politik lain. Terbaru, berbelas-belas sahabat Anwar tidak lagi mengikut perjuangan beliau. Kebanyakannya masih enggan membuat pendedahan tetapi sudah ada beberapa tokoh yang tampil ke hadapan termasuk Ismail Mina Ahmad.
Beliau adalah sahabat Anwar sejak di universiti, bersama-sama di Yayasan Anda, antara pengasas Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan bersama dalam pergerakan politik. Antara faktor mengapa Ismail bertindak demikian kerana mendapati sahabatnya itu cenderung kepada fahaman pluralisme agama yang boleh menggelincirkan akidah. ‘‘Saya mengambil keputusan meninggalkan beliau kerana fahaman pluralisme boleh membawa kepada kekufuran,” katanya. Ketika diinterviu, beberapa kali Ismail sebak kerana terdorong kuat untuk menegakkan kebenaran. Itu juga suatu jihad. Dengan sebegitu ramai pemimpin PKR dan sahabatnya meninggalkan beliau, persoalannya, siapa di pihak yang benar - mereka atau Anwar?



Buang masa


KEPUTUSAN pihak polis memberi kebenaran kepada penganjur Kempen Bebaskan Anwar 901 mengadakan perhimpunan di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, esok, menarik perhatian.
Awang secara peribadi tiada masalah dengan keputusan itu. Tentu ada sebab dan percaturan yang mungkin dianggap terbaik bagi mengendurkan risiko ketegangan. Ia boleh memperlihatkan sikap keterbukaan kerajaan termasuk kepada dunia luar.
Namun dalam Awang sentiasa menjadi warga negara yang menyokong kuat polis, Awang juga perlu membawa keresahan dan menyampaikan maklum balas orang ramai.
Keputusan membenarkan penyokong Anwar berhimpun mengecewakan banyak pihak terutama NGO dan orang ramai. Menyerahkan kepada penganjur agar bertanggungjawab terhadap sebarang kemungkinan buruk, bukan strategi yang sesuai. Janganlah percaya bulat-bulat jaminan PKR bahawa perhimpunan itu akan berlangsung dengan aman tanpa sebarang pelanggaran syarat. Sejak awal penubuhannya, parti itu bijak mengeksploitasi perhimpunan haram. Malah difahamkan, dengan kebenaran terhad yang diberikan oleh pihak polis itu, sudah ada rancangan beberapa pihak penyokong Anwar untuk berhimpun di beberapa lokasi di ibu negara selain di mahkamah Jalan Duta.
Maka Awang boleh faham kekecewaan orang ramai dan NGO. Mereka bersungguh-sungguh dan lantang bersuara demi keamanan tetapi akhirnya suara kelompok minoriti yang didengari. Pihak berkuasa kita memang mudah mengalah kepada ugutan dan kerap terperangkap dalam permainan yang dicorakkan oleh pembangkang. Itu persepsi ramai.
Di Malaysia, lebih mudah menjadi budak jahat dan nakal maka akan mendapat perhatian dan layanan baik. Ketika menghadapi perhimpunan haram Bersih tahun lalu, ribuan aduan polis dibuat tetapi ia umpama mencurah air ke daun keladi. Tiada negara lain yang rakyatnya membuat aduan polis sebegitu banyak sehingga boleh mencatat rekod dunia. Di Singapura, ada dua atau tiga aduan sahaja, pasti disusuli dengan tindakan segera yang menyakinkan.
Dalam isu perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901, sekali lagi orang ramai mendapat isyarat yang mengelirukan. Selepas banyak memberi amaran, polis tunduk lagi. Lebih baik dari awal lagi, keluarkan kenyataan, membenarkan sahaja perhimpunan. Tidak perlulah orang ramai dan NGO membuat ratusan lagi aduan polis. Nampaknya sikap responsif rakyat yang sanggup menghabiskan masa dan tenaga bergegas ke balai-balai polis di seluruh negara, tidak diambil perhatian. Untuk apa lagi ghairah membuat aduan polis kerana penghujung ceritanya tetap sama.

Petikan dari Mingguan Malaysia
oleh: Saifulfromslim

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...