KOTA BHARU 26 Jan. - Seorang guru dihukum penjara 12 tahun dan sebatan tujuh kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merogol serta mencabul muridnya yang berusia 12 tahun dalam makmal sains di sebuah sekolah di Pasir Puteh, dekat sini tiga tahun lalu.
Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Yek Hock Soon, 29, setelah didapati bersalah atas kedua-dua tuduhan tersebut.
Beliau menetapkan demikian setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.
''Saya mengambil kira tentang kepentingan awam serta hubungan antara tertuduh dan mangsa iaitu sebagai seorang guru dan murid yang mana hubungan itu sepatutnya suci dan bertanggungjawab. Penting bagi badan perundangan membendung jenayah seperti ini.
''Dengan itu, saya menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebatan ke atas tertuduh bagi kesalahan merogol mangsa serta tiga tahun penjara dan dua sebatan bagi kesalahan mencabul. Hukuman dijalankan secara berasingan,'' katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, Hock Soon yang berasal dari Sitiawan, Perak didakwa merogol mangsa di makmal sains sebuah sekolah jenis kebangsaan di Pasir Puteh antara pukul 8 pagi dan 3 petang, awal bulan Ogos 2009.
Bagi kesalahan itu, bekas guru Bahasa Cina dan Sains itu didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.
Hock Soon turut didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa tersebut dengan niat hendak mencabul kehormatannya di tempat sama pada pukul 12.15 tengah hari, 17 Ogos 2009.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu mencabul dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.
Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Rosmizan Sulaiman yang mewakili tertuduh memohon hukuman yang ringan dikenakan kerana ia merupakan kesalahan pertama tertuduh.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh.
''Dalam kes ini, mangsa merupakan anak murid tertuduh sendiri dan kejadian berlaku di sekolah. Tertuduh mengajar di sekolah itu dan mangsa belajar di situ. Kes rogol dan cabul tidak sepatutnya berlaku.
''Minta juga pertimbangan mahkamah akan trauma yang melanda mangsa akibat perbuatan tertuduh. Saya mohon hukuman yang berat dikenakan,'' katanya.
No comments:
Post a Comment