Daripada isu-isu yang telah kita himbau, nampak wujudnya beberapa kecenderungan pemikiran Pluralisme Agama yang bergerak aktif di Malaysia telah tersasar dari asas fahaman Islam yang sebenar. Walaupun tidak seburuk jika di banding dengan beberapa negara umat Islam lain tetapi oleh kerana masalah ini melibatkan aspek aqidah, apa-apa kepincangan perlu dianggap serius dan kritikal.Dalam realiti dunia tanpa sempadan hari ini, situasi di negara kita boleh mudah terpengaruh oleh perkembangan di negara lain dan keadaan boleh menjadi lebih buruk dalam jangka masa yang singkat.
Oleh kerana kerangka perlembagaan dan perundangan Malaysia membuka jalan kepada penanganan isu ini secara komprehensif, maka segala pendekatan yang ada termasuk pendidikan, kempen kesedaran, dialog, penguatkuasaan undang-undang hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi membenteras gejala Pluralisme Agama di negara kita.
Merujuk kepada kertas kerja yang dibentangkan oleh Dr. Yusri bin Mohamadbertajuk “Ancaman Pluralisme Agama di Malaysia: Satu Tinjauan Awal” di dalam Wacana Membanteras Pluralisme Agama dan Pemurtadan Umat anjuran Pertubuhan MUAFAKAT yang diadakan pada 14hb Disember 2010 telah menyarankan beberapa langkah pencegahan untuk dilaksanakan oleh pihak-pihak berkaitan. Antara langkah-langkah DRASTIK yang disarankan:
- Fatwa-fatwa yang jelas perlulah dikeluarkan berkenaan dengan faham Pluralisme Agama dan apa-apa amalan yang berkaitan dengannya.
- Penerangan tentang Pluralisme Agama, bahaya dan perinciannya perlu dimasukkan dalam sukatan pendidikan di semua peringkat yang sesuai.
- Maklumat dan penerangan tentang Pluralisme Agama perlu disebarkan di kalangan umat Islam dalam pelbagai bentuk kempen penerangan yang sesuai.
- Individu dan kumpulan yang menyebarkan faham ini perlu dinasihatkan dan jika mereka berterusan melakukannya perlu disusuli dengantindakan undang-undang.
- Pada masa yang sama, orang bukan Islam perlu diberi penerangan tentang asas dan falsafah di sebalik ajaran Islam berkaitan dengan hubungan dan interaksi dengan penganut agama lain. Dengan ini tidak akan timbul salah-faham terhadap ketegasan umat Islam dalam aspek ini. Mereka juga tidak akan secara sengaja terlibat dalam menganjurkan sesuatu yang boleh menjuruskan rakan-rakan Muslim mereka dalam gejala Pluralisme Agama.
Semoga Allah SWT sentiasa menunjukkan kepada kita kebenaran itu dengan sejelas-jelasnya dan memberi kekuatan kepada kita untuk mengikutinya dan mempertahankannya, serta menunjukkan kebatilan itu sebagai kebatilandan memberi kekuatan kepada kita untuk menjauhi dan mencegahnya. Dan semoga Allah SWT sentiasa memelihara Islam dan Umat Islam di negara yang dicintai ini. WaLlahu a`lam.
saifulfromslim
saifulfromslim
No comments:
Post a Comment