Kenyataan terbaru dari Pak Lah
berhubung buku Awakening, yang seolah-olah dirinya menyebelahi
pembangkang. Yang menarik ialah Pak Lah
sendiri tidak akan terlibat dengan pelancaran buku Awakening ini. Sebabnya
kerana beranggapan ianya bukan buku tulisan dan tak terlibat pada penajaan dan
sebagainya. Nak tahu lebih lanjut baca kenyataan Tun Abdullah Badawi @ Pak Lah.
12 Ogos
Kenyataan Ini Dari Pejabat Tun
Abdullah Badawi
Sejak dua tiga hari yang lepas,
banyak berita diterbit mengenai 'buku Pak Lah'. Isu ini juga mendapat liputan
luas dalam media sosial dengan pelbagai reaksi dan komen. Sebelum saya memberi
apa-apa komen, mungkin saya perlu memberi sedikit penjelasan tentang buku
tersebut.
Pertamanya, buku tersebut tidak
ditulis oleh saya. Buku ini disusun oleh dua ahli akademik, James Chin dan
Bridget Welsh, dengan memuatkan beberapa rencana oleh pelbagai penulis yang
telah menyumbangkan tulisan masing-masing mengenai pentadbiran saya sebagai
Perdana Menteri. Ada yang dikhabarkan positif dan banyak juga yang negatif dan
kritikal.
Kedua, saya sendiri hanya terlibat
melalui wawancara yang dibuat oleh James Chin dan Bridget Welsh. Wawancara ini
lebih kepada menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh penulis-penulis yang
telah menyumbang kepada buku tersebut dan memberi saya ruang untuk menjelaskan
beberapa perkara dari sudut saya sendiri.
Ketiga, saya tidak menaja atau
meminta buku tersebut diterbitkan. Sudah menjadi perkara biasa para akademik
membuat analisa tentang sejarah politik negara kita dan sudah pasti era saya
tidak terlepas dari kajian ilmiah. Saya cuma telah setuju untuk diwawancara
agar suara, pendapat serta penjelasan saya dapat dimuatkan didalam buku
tersebut.
Keempat, oleh kerana saya bukan
penerbit, pencetak, pengarang ataupun penulis buku tersebut, saya tidak tahu,
tidak diberitahu dan tidak bertanggungjawab diatas mana-mana jemputan untuk
melancarkan atau membincangkan buku tersebut. Berita yang mengatakan pemimpin
dari parti pembangkang dijemput untuk melancarkan buku ini di Singapura -
kalaupun benar - adalah keputusan penerbit buku, bukan saya.
Kelima, saya tidak merancang untuk
menghadiri pelancaran buku tersebut. Ini kerana saya tidak mahu orang membuat
andaian yang buku ini ditulis atau ditaja oleh saya. Saya cuma menjawab soalan
yang ditanya. Biarlah jawapan-jawapan saya menjadi tumpuan pembaca.
Berlatarbelakangkan fakta-fakta
diatas, saya berharap orang awam mendapat gambaran yang lebih jelas tentang
'buku Pak Lah'. Sekali lagi, ini bukan buku yang ditulis atau ditaja oleh saya.
Mungkin ada yang bertanya, kenapa Pak Lah setuju untuk diwawancara oleh
pengarang-pengarang yang dikatakan selalu menulis rencana yang kritikal? Saya
bersetuju diwawancara kerana perlu ada penjelasan saya sendiri didalam kajian
ilmiah ini. Suka atau tidak, setuju atau tidak, saya berpegang kepada prinsip
keterbukaan sebagai paksi kepada demokrasi yang matang. Prinsip keterbukaan
inilah yang saya amalkan apabila didatangi dengan permohonan oleh para
pengarang buku ini untuk diwawancara. Walaupun saya dimaklumkan buku ini bakal
memuatkan rencana yang kritis dan 'unflattering' tentang kepimpinan saya, saya
masih setuju diwawancara atas semangat keterbukaan demi perdebatan yang
seimbang dengan mengambil kira semua sudut pandangan.
Sudah pasti pandangan-pandangan
dalam buku ini akan mengundang reaksi-reaksi tertentu. Terpulanglah kepada
semua pihak untuk membuat rumusan masing-masing. Prinsip keterbukaan bermaksud
kita sedia memberi ruang kepada semua untuk bersuara. Tetapi janganlah pula ada
yang membuat andaian bahawa buku ini ditulis oleh Pak Lah yang sudah bersubahat
dengan pembangkang untuk menentang partinya sendiri. Itu sudah memesong fakta
dan menjadi fitnah. Apa juga teguran yang diberikan dalam wawancara saya yang
dimuatkan dalam buku ini dibuat kerana saya ingin melihat UMNO terus diberikan
mandat dan kepercayaan oleh rakyat. Saya tak pernah meninggalkan UMNO dan
Insya'Allah bila tiba masanya nanti, saya akan menghembuskan nafas terakhir saya
di dunia ini masih lagi sebagai ahli UMNO yang cintakan negaranya.
Pandangan aku: Kenapa Pak Lah
sanggup ditemuramah oleh pihak yang nyata pro pembangkang. Jika Pak Lah nak
beri pandangan dengan jujur dan mengambil pendekatan yang positif, sepatutnya cari penerbitan yang lebih jujur atau
penerbitan yang bukan pro pembangkang. Dah jadi macam ini siapa harus
disalahkan? Aku betul-betul tak faham dan menjadi seribu tandatanya pasal
penerbitan Awakening ini….
saifulfromslim
saifulfromslim
No comments:
Post a Comment