Raya tahun ini bersamaan 2013 M dan 1434 H....
Hari ini Raya...iaitu raya kali ke 55 buat aku, yang berlangsung pada 8hb Ogos 2013 bersamaan 1 syawal 1434 Hijrah...terkenang aku meraikan Hari Raya ketika aku kanak-kanak dan remaja di Slim River ini.
Cerita pasal raya aku masih ingat disekitar tahun 1965. Aku beraya dekat kampung di Kampung Baru Slim River. Bila raya yang penting baju baru. Emak akan buat kueh untuk hari raya. Seingat aku takde jualan kueh raya masa itu. Semuanya mesti dibuat sendiri. Orang kampung akan buat secara individu atau secara kelompok kueh-kueh ini dikalangan ahli keluarga. Masa tu Tv tak le meriah sangat. Hanya ada TV RTM hitam putih yang bersiaran mula pukul 3.00 petang hingga jam 12.00 malam. Siaran paling best masa ini, ialah Tayangan gambar Melayu seminggu sekali dan masa raya adalah tambahan siaran. Selain itu drama mingguan seperti Potret Minggu ini dan beberapa cerita orang putih seperti Hawaii Five 0, The fugitive dan cerita jepun the Samurai sangat dapat perhatian. Masa ini yang meriah ialah panggung wayang. Di Slim Panggung Raya yang berhampiran padang Local Counsel Slim River merupakan paling meriah. Disini ada tayangan gambar Melayu yang dah mula ada warna. Filem Hindustan sangat kerap ditayangkan. Sentiasa mendapat sambutan dari kalangan orang kampung dan estate persekitaran pekan Slim River ini. Jika dibanding dengan hari ini ketika raya, pekan Slim River lebih meriah pada raya diera tahun sekitar tahun tahun 1965 hingga ke tahun 70an. Stesyen Bas Mogah menjadi nadi utama dan sentiasa ramai dari pagi seawal jam 5.00 pagi hingga 12.00 malam. Bas slim beroperasi hingga larut malam kerana ada midnite show di panggung Raya.
Di Slim River ini tika bulan puasa yang paling meriah ialah kat masjid kerana ada majlis moreh, makan nasi minyak setiap malam hingga ke hari 29 terakhir puasa. Semua budak-budak kesana untuk berbuka puasa. Rasanya kat Slim masa itu Masjid dikendalikan oleh oleh Tok Siak yang bernama Pak Haron yang mana sudah arwah dan meninggal di Mekah ketika menunai fardu Haji. Pak Imam masa tu ialah ustaz Halim Helmi, Tuan Hj Hamzah, ustaz muda tika itu Ustaz Syed Hassan Idrus dan ada beberapa orang lagi yang aku dah lupa nama mereka.
Tika nak raya, budak-budak sibuk dengan bunga api dan main mercun serta Meriam Buluh. Tapi bagi aku ketika itu hanya main mercun kerana sepapan mercun boleh menjadi 24 bila ditanggal dari papannya. Kedai tarikan masa ini ialah kedai Mottey dimiliki seorang berbangsa India yang ada kedai TOL dari Majlis Tempatan bersebelan kedai gunting Cina yang masih ada hingga sekarang di Slim River ini. Disini bunga api, pistol api, roket lambung dan mercun dijual.
Aku ingat masa nak raya, mak aku akan buat biskut raya seperti, Dahlia, semperit, peanut butter biscuit, biskut cherry dan kueh tradisional seperti buah ulu, kueh bakar, kueh loyang dan begitu juga dodol dan lemang macam dah menjadi wajib disediakan. Mereka masak dengan mengguna dapur minyak gas dan oven yang berjenama Butterfly.
Malam 27, atau malam tujuh lekor di Kampung Baru ini sangat meriah kerana ia merupakan kampung yang juga terletak di Pekan Slim River ini. Pada malam ini moreh kat masjid paling memuncak, kerana berlaku upacara qatam tadarus al quran dan jamuan moreh boleh dianggap paling best dan sedap. Pelita menjadi wajib dikalangan semua rumah dipekan Slim ini. Permainan dikalangan budak-budak dikampung aku ialah bunga api dan mercun papan. Ada juga membuat pistol mercun yang mengguna batang payung sebagai struktur pistol yg dibuat bersama kayu atau papan tebal. Mercun disumbat didepan dan belakang. Apabila bahagian belakang dibakar yang depan akan turun terbakar dan terbang jauh, seolah-seolah seperti macam konsep pistol sebenar. Meriam buluh dengan karbait turut dimain oleh kalangan budak-budak di kampung baru Slim River ini.
Pagi Raya, macam biasa seperti hari ini juga iaitu solat sunat aidilfitri. Ziarah menziarahi turut diadakan dikalangan kelompok-kelompok iaitu jemaah masjid, golongan remaja dan kanak-kanak. Tapi masa ini konsep duit raya tidak begitu meriah seperti hari ini. Duit raya hanya diberi oleh ibu bapa dan saudara-mara terdekat saja.
Pada hari raya tumpuan ramai ialah dipanggung-panggung wayang. Kedai dan warung makan seperti Kedai makan Mastan dan Kadir Batcha menjadi tumpuan paling sesak. Begitu juga kedai-kedai runcit termasuk le kedai Motei menjadi tumpuan utama kanak-kanak. Mereka membeli mercun, bunga api dan tikam nombor untuk dapat hadiah jadi tumpuan utama.
Jamuan utama di Hari Raya masa dulu memang menarik tapi tak le sehebat seperti hari ini. Biskut raya, kueh bangkit, kueh bakar, kueh loyang, pulut wajib, lemang, dodol, ketupat, baulu dan kek buatan sendiri memang menjadi hidangan dikalangan semua rumah. Rendang, dan kari ayam serta daging menjadi menu wajib dikalangan semua rumah. Masa tu oren, sarsi ais krim soda lemenet dlm botol seperti botol kicap memang menjadi hidangan minuman masa itu. Aku masih ingat dirumah berkotak-kotak arwah ayah aku beli. Meriah dan sungguh nostalgia bila teringat raya-raya dimasa dulu-dulu di Slim River ini. Kini hanya tinggal seribu macam kenangan.
saifulfromslim.blogspot.com
No comments:
Post a Comment