25 Julai 2012
KUALA LUMPUR - Kajian yang dilakukan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) terhadap 10,800 responden mendapati majoriti rakyat Kedah memilih Barisan Nasional (BN) untuk menerajui negeri itu semula.
Ahli Panel, Prof Dr Rohana Yusof berkata, rakyat negeri itu juga yakin dengan cara kepimpinan yang di bawah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menerajui negara.
Menurutnya, ini kerana corak pemerintahan yang dibawa oleh Perdana Menteri secara tidak langsung meningkatkan tahap ekonomi di negeri itu, berbanding Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
“Kajian itu menunjukkan 65 peratus kepimpinan Najib mampu meningkatkan tahap ekonomi negara berbanding 44 peratus yang dilakukan oleh Azizan untuk negeri itu.
“Malah 67 peratus juga menyukai corak kepimpinan Perdana Menteri berbanding dengan menteri besar yang hanya 41 peratus. Ini menunjukkan rakyat kini mula memihak kepada Kerajaan Persekutuan, “ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perbincangan Meja Bulat anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) yang bertajuk ‘PRU13: Malaysia Pilih Siapa?’. Perbincangan pusingan pertama ini membawa tajuk ‘Prestasi dan Potensi BN di 4 Negeri, Siapa Jadi Pilihan?’.
Rohana yang juga berkata, kajian ini dilakukan di 36 Dewan Undangan Negeri (DUN), turut mendapati 59 peratus rakyat Kedah mendakwa bahawa Kerajaan Negeri gagal mengotakan janji yang dibuat oleh mereka.
Katanya, 54 peratus tidak bersetuju agar pemerintahan Pas di Kedah dikekalkan tetapi jika perkara sebaliknya berlaku, 40 peratus rakyat di negeri itu tetap mahukan Azizan sebagai menteri besar.
“Jika BN berjaya menerajui Kedah, rakyat di negeri itu memilih Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, sebagai menteri besar di mana 69 peratus memihak kepadanya.
“Kajian ini jalankan terhadap penduduk di negeri itu yang berumur 21 tahun ke atas di pelbagai tempat membabitkan kawasan bandar dan kampung,” katanya.
Rohana berkata, UUM menjalankan kajian ini setiap enam bulan, malah ketepatannya adalah 90 peratus.
saifulfromslim ~ Dari Sinar Harian
No comments:
Post a Comment