MY Frenz / MY Sahabat
07 July 2012
Anwar membuat kenyataan bersifat retorik dan gimik
ANALISIS - Malam tadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian beliau akan berundur dan menyerahkan perjuangan politik kepada generasi muda sekiranya beliau gagal dalam misi mengemudi Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pandangan kali pertamanya disuarakan menerusi satu temu bual dengan akhbar Financial Times pertengahan minggu ini.
Ekoran pengumuman yang dilihat agak mengejutkan ramai ini, anak sulungnya, Nurul Izzah dan beberapa pemimpin PR termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, barisan pembangkang masih memerlukan kepimpinan beliau.
Dalam kemunculan pertamanya pada majlis awam malam tadi susulan laporan Financial Times, Anwar yang kini memainkan peranan sebagai Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PR dan juga Ketua Umum PKR berkata: "Ini cubaan saya yang terakhir."
“Jika kami menang, kami akan meneruskan. Jika tidak, biar generasi baru mengambil alih perjuangan.
“Biar saya bersara dan kembali kepada (kerja) mengajar," kata beliau pada ceramah yang di Rawang dan disusuli ceramah di Selayang.
Pendirian ini mencetuskan reaksi berbelah bahagi di kalangan pengikut dan pesaing politiknya.
Begitu juga dengan penganalisis politik sementara bancian Sinar Harian Online setakat jam 5 petang tadi menunjukkan majoriti menyifatkan langkah Anwar tidak wajar (sila layari ruang bancian online untuk memberi pandangan anda). Pembaca diberi empat pilihan untuk dipilih.
Ketika dihubungi Sinar Harian Online, penganalisis politik berpendapat kenyataan Anwar itu satu gimik dan strategi politik semata-mata.
Menegaskan pendiriannya, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, beliau melihat pendirian Anwar sebagai satu gimik dan strategi politik yang diatur bagi memenuhi hasratnya menjadi Perdana Menteri.
Beliau berkata, mustahil seorang yang berjiwa dan mempunyai cita-cita besar seperti Ketua Umum PKR itu mengambil keputusan untuk mengundur diri dalam arena politik walaupun Anwar mengalami kegagalan pada PRU13.
“Saya fikir itu cara beliau seolah-olah mahu memberi tekanan kepada rakyat dan penyokongnya supaya memastikan beliau tidak bersara.
“Itu strategi politik untuk kembalikan semula sokongan dan pastikan penyokongnya tak lari,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Dalam satu kenyataan semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara terus-terang berkata, Anwar tidak perlu berlengah-lengah dengan hasratnya untuk bersara daripada dunia politik.
"Dia patut bersara sekarang, tak ada guna langsung...dia (Anwar) punya hajat cuma nak jadi Perdana Menteri," katanya yang memecat Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada awal September 1998.
Dr Mahathir yang membawa Anwar ke dalam Umno tiga dekad yang lalu juga berkata, kenyataan Anwar itu merupakan retorik politik sahaja kerana menurut beliau jika pakatan pembangkang kalah dalam PRU13, Ketua Pembangkang itu masih terus dengan impiannya untuk menjadi Perdana Menteri.
Mohamed Mustafa berkata, namun sekiranya pendirian yang dikatakan beliau adalah benar, corak politik di Malaysia akan mengalami perubahan yang besar.
Menurutnya lagi, PR yang diketuai dan dipimpin Anwar akan berpecah belah dan menghadapi kesuraman dalam politik mereka.
“Sudah pasti arena politik akan berbeza dan PR akan mengalami banyak kesukaran.
“PKR dan PR akan harungi masa depan yang lebih suram, malah akan berdepan dengan perpecahan, namun itu mustahil untuk Anwar bersara kerana kalau beliau nak bersara tak perlu tunggu selepas pilihan raya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohamed Mustafa berkata, perkara yang dikatakan Anwar tidak perlu dipandang serius kerana beliau mempunyai cara yang tersendiri bagi memenuhi hasratnya.
Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia pula berkata, kenyataaan Anwar itu mempunyai dua perspektif yang berbeza.
Berkemungkinan ia satu strategi serta pendekatan beliau untuk memancing pengundi atas pagar yang belum membuat keputusan untuk memilih calon menjelang PRU13 supaya memberi sokongan kepadanya buat kali terakhir jika gagal membawa PR ke Putrajaya.
Keduanya, mungkin disebabkan faktor umur beliau yang semakin meningkat untuk bertanding dalam PRU14 nanti, jika kali ini beliau gagal membawa partinya (PR) mengambil alih kerajaan pusat.
Malah menurut beliau, keadaan politik memang akan bernbeza sekiranya kenyataan Anwar itu benar kerana perpaduan PR yang berbeza ideologi hanya boleh dikekalkan melalui kepimpinan beliau.
Di sebalik tanggapan bahawa Anwar membuat kenyataan bersifat retorik dan gimik, pendirian beliau bukan sesuatu baru dalam arena politik khususnya di negara-negara maju.
Kita belum biasa dengan pendekatan seperti ini di negara ini.
Siapa tidak mahu menang pilihan raya yang menjanjikan kuasa. Tidak kira BN atau PR.
Sekurang-kurangnya Anwar meletakkan kata dua dan sedia memikul tanggungjawab jika gagal mengemudi PR dalam PRU13. Kemungkinan ini satu lagi politik baru yang belum diuji.
PRU13 ditambah dengan satu lagi eksperimen janji politik.
Janji Anwar ini juga akan membawa implikasi ke atas landskap politik negara jika apa yang diperkatakan menjadi kenyataan. Tunggu dan lihat!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment