Najib Tun Razak
DS Najib Tun Razak
SHAH ALAM - Malaysia akan melaksanakan gaji minimum pada kadar RM900 untuk tenaga kerja di Semenanjung manakala Sabah dan Sarawak pula RM800 sebulan, demikian diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi.
Sambil menyifatkan ia sebagai "hadiah Hari Pekerja", Najib berkata, kadar itu ditetapkan dengan melakukan pengubahsuaian ke atas syor dibuat oleh Majlis Perundingan Gaji Negara.
Pengumuman yang dibuat sempena Hari Pekerja, Najib berkata, kadar itu akan dilaksanakan dalam tempoh enam bulan sejak tarikh ia dikuatkuasakan dan dijangka akan memanfaatkan kira-kira lima juta tenaga kerja.
Dalam mengumumkan perkara itu, Najib yang pada tahun lalu mengumumkan pelarasan gaji antara tiga hingga tujuh peratus bagi sektor awam tahun lalu memberitahu bahawa kadar gaji minimum masih rendah berbanding paras dituntut oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Badan induk itu yang memperjuangkan gaji minimum sejak lebih tiga dekad lalu, menuntut RM1,200 sebulan.
"Gaji minimum ini meliputi semual sektor pekerja di negara ini kecuali tenaga kerja domestik seperti pembantu rumah dan tukang kebun," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika mengumumkannya Putrajaya malam ini.
Pengumuman dibuat secara langsung menerusi televisyen tempatan.
Katanya, pekerja-pekerja di Semenanjung akan menikmati gaji minimum RM900 sebulan atau RM4.33 sejam manakala pekerja di Sabah dan Sarawak pula RM800 sebulan atau RM3.85 sejam.
Kerajaan turut menyediakan mekanisme pelaksanaan supaya penetapan gaji minimum itu tidak membebankan majikan dan tidak merugikan para pekerja dengan membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum.
Bagaimanapun untuk memberi ruang dan peluang kepada majikan kecil membuat persediaan, tempoh kuat kuasa bagi kategori itu ialah 12 bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan.
Menurut Najib, pengecualian 12 bulan itu tidak meliputi kepada firma profesional seperti klinik-klinik pergigian dan perubatan; firma guaman; firma arkitek; firma juru perunding dan sebagainya; walaupun mereka mempunyai bilangan pekerja lima atau kurang; mereka perlu mematuhi gaji minimum ini dalam masa enam bulan.
Pemberian tempoh masa yang mencukupi itu, menurut beliau, adalah supaya majikan dapat membuat persediaan secukupnya bagi menstrukturkan semula gaji pekerja dan operasi perniagaan masing-masing.
"Kerajaan juga menyediakan mekanisme pelaksanaan yang fleksibel supaya majikan yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum boleh memohon pelanjutan tempoh peralihan," katanya.
Najib berkata, kerajaan mengambil langkah itu supaya upah dan gaji yang diterima oleh pekerja-pekerja di negara ini adalah selaras dengan kadar produktiviti dan kos sara hidup.
Katanya, seramai 33.9 peratus tenaga kerja negara ini menerima gaji kurang daripada RM700 sebulan iaitu rendah daripada garis kemiskinan RM800 


saifulfromslim