my advertise

THE BLOG OWNER

THE BLOG OWNER
“Kindness is a language which the deaf can hear and the and the blind can see”

MY Frenz / MY Sahabat

28 September 2014

Anwar Ibrahim, satu kupasan pendapat oleh penulis Bukan Melayu

Oleh: Edwin Michael


Tersebutlah sebuah alkisah tentang Sang Kancil yang sering merasakan dirinya cerdas, cerdik dan pintar dan tiada haiwan lain yang mampu menandinginya. Maka, pada suatu hari, ketika Sang Kancil sedang berjalan-jalan menyusuri sebatang sungai, Sang Kancil bertemu dengan Sang Siput.
Sang Siput lalu bertanya sebab Sang Kancil kelihatan sangat gembira pada hari itu. Lalu Sang Kancil dengan angkuhnya menjawab bahawa dialah penghuni hutan yang cerdas, cerdik dan pintar. Sang Siput tidak bersetuju kerana baginya dialah penghuni hutan yang layak digelar sedemikian. Dengan ketawa bernada ego, Sang Kancil bertanya bagaimana Sang Siput mampu menjadi cerdas dan tangkas sedangkan tubuhnya sudahlah kecil, berjalan pula teramat perlahan.
Sang Siput marah lalu mencabar untuk menguji siapa yang paling cerdas, tangkas dan bijak. Lalu satu pertandingan lumba lari diatur pada keesokan harinya. Sang Kancil bersetuju. Pada sebelah malam, Sang Kancil telah bertemu dengan Sang Tikus Mondok untuk membantu mengatur strategi buatnya. Strategi Sang Tikus Mondok adalah mudah iaitu berlari selaju yang boleh. Sang Kancil dan Sang Tikus Mondok berpendapat bahawa Sang Siput tidak boleh mengejarnya. Sedangkan Sang Siput pula telah mempersiapkan strateginya dengan meminta tolong kawan-kawannya untuk bersembunyi disepanjang laluan lumba lari lalu dan perlu membalas teriakan Sang Kancil.
Pagi yang cerah dan sekalian penghuni hutan sudah bersedia menonton perlumbaan antara Sang Kancil dan Sang Siput. Pertandingan dimulakan dan Sang Kancil berlari dengan kencang sekali. Beberapa saat kemudian, Sang Kancil berteriak bertanya dimanakah Sang Siput dan lalu Sang Siput menjawab bahawa dia berada dihadapannya. Sang Kancil bertambah panik lalu berlari kencang lagi dan apabila yakin telah memintas Sang Siput, Sang Kancil akan berhenti dan berteriak dan Sang Siput akan membalas teriakkan bahawa dia berada dihadapan Sang Kancil.
Sampai pada satu selekoh, Sang Kancil berteriak tetapi tiada sebarang balasan daripada Sang Siput. Menyangkakan bahawa Sang Siput telah ketinggalan dibelakang dan rasa penat yang teramat sangat, maka Sang Kancil berhenti berehat seketika sebelum memulakan semula perlumbaan. Akibat penat dan tiada pula suara balasan daripada Sang Siput, Sang Kancil berjalan perlahan-lahan dan ketika beberapa langkah sampai ke garisan penamat, Sang Siput duduk diatas batu memerhatikan Sang Kancil yang sebenarnya telah pun tewas. Strategi Sang Tikus Mondok nyata gagal. Sang Kancil dimalukan sebegitu hebat oleh Sang Siput.

Tewasnya Anwar Ibrahim
Perlantikkan Azmin Ali sebagai Menteri Besar (MB) Selangor yang baru adalah satu tamparan hebat buat Anwar Ibrahim yang selama ini degil untuk meletakkan isterinya sebagai MB yang baru. Anwar Ibrahim yang selama ini terkenal sebagai pakar propaganda politik yang cekap dan pandai memainkan sentimen rakyat agar terus beranggapan bahawa dialah penyelamat Malaysia akhirnya ditewaskan oleh anak didiknya sendiri. Strategi Rafizi Ramli iaitu Langkah Kajang bukan sahaja satu kegagalan tetapi juga satu malapetaka kepada politik Pakatan Rakyat (PR). Langkah Kajang ini hanya mendedahkan wajah-wajah sebenar setiap pemimpin PR termasuk Lim Guan Eng yang secara terbuka menyelar PAS sebagai pengkhianat kerana tidak menyokong ‘nepotisme halal’ yang dipelopori oleh Anwar Ibrahim.
Apabila Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak disenaraikan dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) maka untuk apa pilihanraya kecil Kajang ini diadakan sebenarnya? Untuk memenuhi nafus politik siapa? Mengapa rakyat diheret dalam perebutan kuasa oleh Anwar Ibrahim ini? Keegoan Anwar terus dicalar apabila dipecat daripada jawatan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor oleh Khalid Ibrahim pada hari terakhirnya sebagai MB Selangor.

Istana Selangor vs Anwar Ibrahim
Sepanjang krisis MB Selangor ini umum ketahui bagaimana Anwar Ibrahim mengheret pihak Istana dalam cubaan untuk meletakkan isterinya sebagai MB. Malah, ada juga pemerhati dan politikus pro Anwar Ibrahim mencabar pihak Istana kerana enggan melantik Wan Azizah sebagai MB yang dikatakan mempunyai sokongan 30 ADUN. Serangan ke atas istana diperhebat lagi oleh penganalisis dan pakar perlembagaan yang menjadi pengikut setia Anwar Ibrahim.
Namun semua diam dan senyap apabila pihak Istana melantik Azmin Ali dan perlantikkan itu pula akhirnya terpaksa dipersetujui oleh suami isteri iaitu Anwar Ibrahim dan Wan Azizah. Konco-konconya pula perhebatkan serangan terhadap Istana kerana melantik Azmin Ali sebagai MB. Dan paling bahaya apabila terdapat unsur agar rakyat pertikaikan hak Sultan Selangor dalam perlantikkan MB.

Halatuju Politik Anwar Ibrahim
Seseorang ahli politik tidak pernah dan tidak akan berhenti daripada berpolitik selagi apa yang diimpikannya tidak tercapai. Biar tewas sekalipun, otaknya akan ligat mencari sebab musabab yang lain untuk digerakkan agar agenda peribadinya dapat dicapai. Anwar yang kini berdepan dengan siasatan dibawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan dengan keputusan kes liwatnya yang akan didengari pada 28 Oktober nanti, adalah mustahil untuk melihat cita-citanya menjadi Perdana Menteri tercapai. Paling sedih, cita-citanya untuk meletakkan isterinya sebagai MB juga digagalkan oleh Azmin Ali dengan strategi liciknya. Namun bagi seorang manusia yang sentiasa mendakwa bahawa hanya dialah penyelamat Malaysia, belum tentu dia akan menyerah kalah.
Strategi semestinya sudah dipasang untuk menjadikan Azmin Ali sebagai MB yang paling pendek khidmatnya. Dan dengan DAP yang berdiri teguh dibelakang Anwar Ibrahim, adalah beronak laluan buat Azmin Ali untuk memastikan tiada gangguan dalam pentadbirannya nanti.
Namun, mahu tidak mahu harus diakui bahawa kecerdikan dan ketangkasan Azmin Ali memintas secara senyap strategi Langkah Kajang ini adalah sesuatu yang tidak harus dipandang sepi. Dipihaknya, tentu strategi sedang dirangka untuk memastikan kekal berkuasa.
Kegagalan Langkah Kajang petanda matinya reformasi seperti matinya kesombongan Sang Kancil pada Sang Siput sementara Sang Tikus Mondok pula menghilangkan diri kerana strategi yang bertukar menjadi tragedi. – FMT
Nota: Edwin Michael adalah Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman, Kampar Perak.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...