Aku tertarik dengan pandangan seorang penulis, dari laman web Malaysia Insider. Mungkin ini hanya satu pendapat bak kata orang putih, it's just an opinion.
SATU PENDAPAT – AN OPINION
Pusingan terakhir perlawanan Dr
Mahathir-Anwar Ibrahim
FEBRUARY 16, 2014
Amin Iskandar
Amin Iskandar adalah penerima
anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Kini
merupakan Pengarang Berita bagi The Malaysian Insider. Beliau
"berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.
Dalam politik Malaysia, hanya dua
watak yang memainkan peranan utama, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad dan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini kerana pengaruh kedua-duanya dalam
menentukan rentak dalam permainan politik dan percaturan kuasa dalam negara.
Yang lain-lain seperti Datuk Seri
Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang penting juga, tetapi tidak lebih seperti
pelakon tambahan dalam filem-filem. Semenjak 1998, pertembungan di antara Dr
Mahathir dan Anwar yang satu ketika dahulu mempunyai hubungan seperti ayah dan
anak, tidak pernah berhenti.
Selepas empat pusingan bermula
Pilihan Raya Umum 1999, 2004, 2008 dan 2013, akhirnya pertembungan yang berjaya
mengheret seluruh negara itu sudah berada di pusingan terakhir.
Dan keputusan daripadanya akan
menentukan perjalanan Malaysia pada masa akan datang. Apa yang menakjubkan,
kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar masih lagi mempunyai semangat sama untuk
berlawan seperti semasa pusingan pertama dahulu dari 1998-2004.
Pertembungan pusingan terakhir
ini selain daripada akan menyaksikan survival politik kedua-dua kumpulan yang
diketuai kedua tokoh ini, ia juga akan memperlihatkan legasi politik siapakah
yang akan terus hidup. Dr Mahathir mempunyai Datuk Seri Mukhriz manakala Anwar
mempunyai Nurul Izzah untuk meneruskan legasi masing-masing.
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan
Rakyat (PR) kini berada dalam keadaan sama kuat dan kemenangan sama ada Dr
Mahathir atau Anwar dalam pusingan terakhir ini akan menyaksikan kelangsungan
BN memimpin negara atau PR mengambil alih Putrajaya. Pada ketika ini, walaupun
Dr Mahathir sudah bersara daripada politik lebih 10 tahun, beliau masih
dibanjiri dengan pertemuan demi pertemuan dengan ahli politik, ahli politik
veteran, ekonomi dan ahli perniagaan yang mahukan beliau melakukan sesuatu
terhadap perdana menteri yang dilihat terlalu lemah untuk memastikan survival
BN.
Bagi kumpulan yang bertemu Dr
Mahathir ini, Najib perlu disingkirkan sebelum BN berhadapan dengan Pilihan
Raya Umum ke 14 (PRU14). Dr Mahathir – yang masih mendapat liputan luas
daripada media arus perdana dan media atas talian, sudahpun mula menyerang
polisi dan dasar Najib yang dilihat lebih menguntungkan Anwar dan PR.
Seperti dikatakan dalam tulisan
terbaru bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk A Kadir Jasin
di blognya, perbincangan untuk mencari pengganti Najib sudah bermula dikalangan
kelompok pro Dr Mahathir dalam Umno.
Sementara di pihak Anwar pula,
rancangan Kajang yang menyaksikan buat pertama kalinya beliau bertanding di
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam sejarah politiknya akan memberi nafas
baru kepada konsensus nasional di antara PR dan BN.
Selepas menang di DUN Kajang,
beliau akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar
Selangor dan ini akan mempercepatkan konsensus nasional yang akan beliau
lakukan demi menyelamatkan Najib. Menyelamatkan Najib, akan membantunya menang
dalam pertembungan pusingan terakhir dengan Dr Mahathir. Jika rancangan ini
berjaya, Najib dan Anwar akan bertemu Presiden Barack Obama yang akan melawat
Malaysia pada April ini secara rasmi sebagai ketua kerajaan persekutuan dan
ketua kerajaan negeri.
Selepas menjadi menteri besar
Selangor juga, Anwar dan Najib akan berada bersama dalam mesyuarat perdana
menteri bersama menteri besar dan ketua menteri yang akan menyaksikan kerjasama
antara negeri terkaya itu dan kerajaan pusat. Pelbagai isu akan cuba
diselesaikan dan proses konsensus nasional di antara BN-PR akan berjalan, mahu
tak mahu, parti komponen BN, parti komponen PR seperti DAP dan PAS akan
mengikutnya juga.
Sebab itu kita boleh melihat
Najib dan kumpulannya dalam BN tidak begitu beria-ia menyerang Anwar yang
bertanding di DUN Kajang. Yang lebih kuat menghalang Anwar adalah PAS Selangor
dan sesetengah pemimpin pusat parti Islam itu.
Sebab itu, Dr Mahathir dan
kumpulan juga akan bertindak cepat bagi memastikan rancangan ini tidak berjaya.
Kesukaran utama bagi Dr Mahathir adalah untuk mencari tokoh pengganti Najib. Seperti
dikatakan Kadir Jasin, Muhyiddin tidak berminat dan hanya mahu pencen sebagai
timbalan perdana menteri.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
yang kini merupakan pemimpin kanan paling popular yang dipilih secara
demokratik dalam Umno pula lebih mempunyai ikatan yang kuat dengan Najib dan
Anwar berbanding Dr Mahathir. Tidak mustahil PAS akan menjadi sekutu Dr
Mahathir dalam pertembungan pusingan terakhir di antara beliau dan Anwar ini.
Dr Mahathir juga secara terbuka
menyeru agar PAS yang mempunyai 15 kerusi DUN di Selangor agar merebut kerusi
menteri besar di negeri terkaya itu. Dalam politik, musuh kepada musuh kita
adalah kawan kita. Sekali lagi, pertembungan Dr Mahathir-Anwar akan mengheret
seluruh negara untuk bersama. Akan tetapi, ini adalah yang terakhir. – 16
Februari, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi
penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment