Aku tertarik dengan satu tulisan berkaitan kenaikan bahan bakar Ron 95 dan diesel. Betul kata penulis bahawa pasti pihak pembangkang akan mengambil kesempatan menghentam kerajaan bagai nak giler berhubung isu kenaikan harga ini. Yang lucu tapi ada benarnya, penulis kata ini adalah hadiah pertama selepas kemenangan BN selepas 100 hari. Pasal naik harga minyak ini, rasanya tak kira dia penyokong BN atau pembangkang, pasti tak suka dengan pengumuman kenaikkan oleh PM semalam. Yang pasti kesan kenaikkan akan menyebabkan harga barang-barang lain juga akan naik. Aku pun hairan kerana pengumuman serupa ini sanggup dibuat oleh kerajaan pada tempoh terawal selepas berlangsung PRU ke 13. Seribu macam persoalan menjadi begitu keliru pada semua rakyat Malaysia? Mana slogan janji ditepati? Mana janji nak menyenang dan membantu rakyat? Aku tertanya-tertanya. Aku pun hairan apa sebenarnya kelebihan kerajaan pada pengumuman ini? Menguntungkan, merugikan atau memang kerajaan dah tak ada jalan yang lebih sopan untuk mencari alternatif lain untuk membaik pulih ekonomi negara ini?
Walau macam mana pun bacalah petikan tulisan di bawah dan fikir-fikirkan akan kesannya pada rakyat, kerajaan dan siapa saja yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung akibat kenaikkan bahan bakar ini.
Awas!! Selepas Minyak, Banyak Lagi
Kenaikan Sedang Menunggu
Kerajaan mulai malam tadi menaikkan
harga minyak petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen. Dengan kenaikan itu,
harga semasanya menjadi RM2.10 sen dan RM2.00 seliter bagi diesel. Langkah
kenaikan yang disifatkan Najib untuk pengukuhan ekonomi itu juga menyebabkan
subsidi kerajaan keatas petrol kini menurun kepada 63 sen manakala untuk diesel
menjadi 80 sen sahaja.
Kenaikan ini jelas tidak
menggembirakan rakyat. Di alam maya, Najib menerima kritikan, cemuhan dan
serangan yang berterusan sepanjang malam tadi. Bukan saja rakyat biasa yang
rasa terbeban dengan kenaikan itu meluahkan perasaan dan kemarahan mereka,
malahan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin dan ahli akademik, Dr Mazleee
Malik juga turut aktif di twitter masing-masing dengan pelbagai maklumat yang
berupa kritikan dan sindiran mengenai kenaikan itu.
Ahli-ahli politik pembangkang pula
tentulah menggunakan peluang ini untuk menghentam dan mengkritik kerajaan
semahu-mahunya, apalagi kenaikan petrol dan diesel ini umpama hadiah daripada
Najib kepada rakyat sempena 100 hari kemenangan BN.
Buat pertama kali juga, pemimpin
UMNO menjadi kurang aktif sama ada si facebook ataupun twitter. Selalunya jika
timbul isu-isu sebegini, para pemimpin UMNO yang aktif di dunia sosial turut
memainkan peranan mempertahankan apa yang dilakukan kerajaan, tetapi malam tadi
ramai yang berdiam diri dan tidur awal agaknya. Mungkin mereka juga sudah tiada
idea lagi untuk mempertahankan tindakan Najib itu.
Pengendali laman sosial yang pro
UMNO dan kerajaan juga kelihatan pasif dan tidak tidak berdaya lagi
mempertahankan langkah tidak bijak Najib itu.
Hanya Bung Mokhtar Radin, Ahli
Parlimen Kinabatangan dan Pengerusi Felcra yang cuba mempertahankan dan
menyokong kenaikan minyak ini tetapi beliau juga kemudiannya dikritik dan
diserang hebat, termasuk mengaitkan dengan perkahwinan keduanya bersama aktres
Zizie Ezzette.
Di alam nyata pula, kenaikan ini
disambut dengan rungutan dan cebikan mulut daripada rakyat terhadap Najib dan
BN. Mulai petang semalam, jalan mulai sesak kerana orangramai berebut-rebut
keluar awal bagi mengisi minyak di stesen-stesen minyak sebelum harga baru
bermula pukul 12.01 malam.
Ditambah dengan hujan yang turun
sejak awal petang, kesesakan bukan saja berlaku di jalan-jalan raya, malahan
juga di hampir semua stesen minyak. Ini jelas menggambarkan kenaikan 20 sen
tetap memberi kesan kepada kebayakan rakyat dan mereka berusaha untuk
menjimatkan perbelanjaan masing-masing sedaya yang mungkin.
Dilaporkan juga terdapat kejadian
merosakkan stesen minyak berikutan rakyat menjadi marah selepas beratur lama
untuk mengisi minyak, tiba-tiba diberitahu bekalannya sudah habis. Ini
menggambarkan bukan saja kenaikan itu dibantah, malahan masa pengumuman
mengenai kenaikan itu juga memperlihatkan sikap tidak bijak Najib sehingga
mencetuskan suasana kelam-kabut dan panik di kalangan sesetengah rakyat.
Kenaikan minyak kali ini tidak
disebut Najib sebagai kesan kenaikan minyak dunia tetapi lebih ke arah
pengukuhan ekonomi dan mengurangkan defisit. Najib lantas memberitahu kenaikan
harga minyak ini akan diseimbangkan dengan kenaikan BR1M yang akan diumumkan
dalam Belanjawan pada Oktober nanti.
Terlihat di sini bahawa Najib
mengambil pendekatan ekonomi "tutup lubang, gali lubang" untuk
menyelesaikan masalah. Dengan subsidi petrol dan diesel yang dapat dijimatkan,
ia kemudian akan disalurkan pula melalui BR1M. Walaupun pemberian tunai BR1M
ini mendapat kritikan daripada Mahathir tetapi nampaknya Najib akan terus
menggunakan pendekatan itu untuk mengambil hati orang-orang kampung dan rakyat
berpendapatan rendah, malah sudah membayangkan akan menaikkan lagi jumlahnya. Kali
ini mungkin menjadi RM700, RM 1000 ataupun mungkin juga menjadi RM1200.
Kesan kenaikan petrol dan diesel ini
tentu saja akan menyebabkan kenaikan harga-harga barang di pasaran. Walaupun
Najib mengingatkan peniaga tidak menaikkan harga barang, tiada jaminan kawalan
ataupun penguatkuasaan akan diambil terhadap peniaga yang ingkar. Ia hanyalah
sekadar peringatan semata-mata.
Ini bermakna belum pun BR1M
dilaksnakan, beban kenaikan harga barang sudah menyusah dan mengeringkan lagi
poket rakyat. Bagi yang tinggal di Lembah Kelang dan bandar-bandar lain dan
tidak layak pula menerima BR1M, kenaikan harga minyak dan disertai dengan kenaikan
harga barang keperluan harian umpama "pontianak" yang menghisap poket
mereka sehingga kering setiap hari.
Kenaikan harga minyak ini juga
berlaku dicelah-celah ura-ura kerajaan mahu menaikkan tarif elektrik dan
melaksanakan cukai GST yang mungkin akan diumumkan dalam Belanjawan nanti.
Walaupun propa kerajaan melalui Mahahdir Khalid mengatakan kenaikan elektrik
dijamin tidak membebankan rakyat, sebenarnya asal saja namanya kenaikan, ia
tetap memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
Kerajaan juga bertegas mahu
melaksanakan GST. Idris Jala yang merangka mengenainya sudah pun membayangkan
hakikat itu. Masalahnya hanyalah berapa peratus saja, mungkin 5 peratus,
mungkin 4 peratus dan sebagainya. Namun ia pasti akan dilaksanakan oleh Najib.
Tunggu saja berita "gembira" ini dalam Belanjawan nanti.
Jika kenaikan petrol dan diesel
dianggap hadiah 100 hari kemenangan BN kepada rakyat, sebenarnya banyak lagi
hadiah-hadiah dalam bentuk penambahan cukai, kenaikan harga barang dan
peningkatan kos hidup akan dilaksanakan oleh Najib dari semasa ke semasa.
Kenaikan minyak adalah permulaannya dan lepas ini akan disusuli dengan tarif
elektrik dan cukai GST pula.
Lepas itu cukai dan kenaikan yang
entah apa-apa pula akan diumumkan. Mungkin juga harga minyak akan naik lagi.
Bagaimanapun di sebalik semua
kenaikan ini, masih lagi ada sesetengah rakyat yang berkata, syukurlah Malaysia
masih aman!
saifulfromslim
sape suke dgn kenaikkan nie mesti gilo agak nya
ReplyDelete