Aku ambil petikan kisah anak derhaka ini sebagai peringatan diri aku, ahli-ahli keluarga aku agar menjauhi amalan penderhakaan ini, kerana dari pemerhatian aku terdapat ramai anak-anak yang derhaka di Malaysia ini, melakukan penderhakaan pada ibu bapa mereka tanpa menyedari mereka sedang melaku penderhakaan pada ibu bapa mereka. Kenapa ini berlaku? Apakah mereka tak takut dengan amalan dosa besar yang mereka lakukan? Baca dan insaf agar kita tak tergolong dalam kumpulan berkenaan. Wallahualam
Derhaka terhadap ibu bapa termasuk dalam empat dosa besar iaitu sebaris dengan dosa menyekutukan Allah, membunuh manusia dan menjadi saksi palsu. Anak yang tidak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selayaknya menerima balasan daripada Allah.
Diriwayatkan oleh Tabrani: “Dua (kejahatan) yang akan dibalas Allah di dunia ini adalah berzina dan derhaka kepada kedua-dua ibu bapa.”
Pengajaran di sebalik derhaka
Terdapat banyak contoh menunjukkan pengajaran dan azab derita yang ditanggung jika menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa di dunia ini. Ia mungkin datang dalam keadaan seseorang itu ditimpa penyakit, gagal mendapatkan pekerjaan atau nafkah serta keadaan hidup mereka yang tidak tenang.
Pada zaman Rasulullah SAW, terdapat kisah Wail bin Khattab iaitu anak yang derhaka kepada ibunya. Disebabkan Wail bin Khattab terlalu cintakan isterinya, dia sering mencaci dan mempercayai segala apa yang dikatakan isterinya terhadap ibunya.
Ketika Wail menghadapi kematian, dia mengalami penderitaan yang tidak terhingga. Dia menggelupur sehingga keluar peluh membasahi seluruh tubuh badannya. Selama puluhan hari dia berada dalam keadaan demikian.
Matanya merah menyala, mulutnya terbuka luas tetapi kerongkongnya tersumbat sehingga tidak terdengar jeritan, kaki dan tangannya pula kaku. Sahabat terharu melihat penderitaan dihadapi Wail. Mereka turut mengajar Wail mengucap kalimah syahadah.
Akhirnya Ali bin Abi Talib menemui Rasulullah SAW bagi menceritakan keadaan Wail. Rasulullah SAW meminta ibu Wail dijemput untuk menemui beliau. Rasulullah SAW mahu mengetahui keadaan dan perlakuan Wail terhadap ibunya sebelum sakit.
Termakan hasutan isteri
Ibu Wail menceritakan keadaan sebenar kelakuan anaknya terhadapnya kepada Rasulullah SAW. Dia sering dicaci oleh anaknya kerana termakan hasutan isterinya. Dia terlalu mempercayai kata-kata isterinya sehingga menyebabkan ibunya terasa hati.
Rasulullah SAW memujuk ibu Wail supaya segera mengampuni dosa anaknya itu. Tetapi ibunya berkeras tidak mahu memaafkannya. Kemudian, Baginda memerintahkan sahabat mengumpul kayu api kerana mahu membakar Wail hidup-hidup.
Rasulullah SAW menyatakan, jika ibu Wail tidak mahu memaafkan dosa anaknya, Wail pasti derita menghadapi maut dalam jangka masa yang tidak pasti. Mendengar kata Rasulullah SAW itu, ibu Wail berkata: “Wahai Rasulullah, jangan dibakar dia. Wail anakku, aku ampuni dia. Kesalahannya aku maafkan.”
Selepas itu keadaan Wail bertukar dengan wajahnya mula berubah selepas mendapat keampunan ibunya. Dia akhirnya dapat mengucap kalimah syahadah dan kemudian meninggal dunia. Begitulah azab dan penderitaan yang ditanggung oleh seorang anak yang sanggup mengetepikan ibunya.
Allah SWT berfirman: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman, ayat 14)
Cara berbakti kepada ibu bapa
Salah seorang dari suku Bani Salimah datang dan bertanya kepada Rasulullah SAW: “Kedua orang tuaku telah mati, apakah ada cara untuk aku berbakti kepada mereka? Jawab Rasulullah SAW: Ya, membaca istighfar untuk kedua mereka, melaksanakan wasiat mereka, menghormati sahabat mereka, dan menghubungkan keluarga mereka.”
Oleh itu marilah kita tingkatkan iman dan takwa serta mengasihi ibu bapa. Jika mereka masih hidup ziarah dan tunjukkanlah kasih sayang kita yang tidak berbelah bagi. Jika ibu bapa sudah meninggal dunia, banyakkan berdoa dan memohon keampunan daripada Allah untuk mereka.
Punca anak terabai
Salah satu punca berlakunya perkara ini kerana kurangnya didikan ilmu agama daripada ibu bapa sendiri. Ibu bapa zaman moden kini terlalu banyak menyerahkan tanggungjawab mendidik kepada guru di sekolah.
Apabila pulang ke rumah, mereka dibiarkan saja dan secara tidak langsung ilmu yang dipelajari terabai begitu saja. Mereka terlalu mementingkan kerjaya masing-masing hingga sanggup membiarkan anak mencari hala tuju kehidupan tanpa sebarang panduan daripada ibu bapa.
Ibu bapa perlu bijak berfikir. Didikan kepada anak perlulah sesuai dengan kehidupan sebagai seorang Muslim yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. – Berita Harian
saifulfromslim
done follow sini no. 842
ReplyDeletesudilah kiranya follow me back yea..
he2.. salam kenal.. keep in touch yea..=)
http://tengkubutang@gmail.com/
dan my 2nd blog
http://kucenkucenbelog.blogspot.com/