Demi
negara: Kisah malam yang panjang di kampung Simunal
SELASA,
26 MAC 2013 22:11 oleh:HELME HANAFI
Anggota-angota keselamatan yang terkorban
Inspektor
Mohd Hasnal Jamil adalah saksi hidup tentang kekejaman pengganas Kiram yang
berlaku di Kampung Sri Jaya, atau dikenali juga kampung Simunal Semporna Sabah
pada malam Sabtu 2 Mac baru-baru ini.
Simunal
adalah nama pulau di Tawi-Tawi, Selatan Filipina, tempat asal rata-rata orang
Sulu yang berhijrah ke Sabah atau dalam kata lain, padang permainan mereka.
Enam
anggota polis berbagai pangkat terkorban dalam serang hendap tersebut dan
Inspektor Hasnal sendiri cedera dengan tiga tembakan; satu diperut, dua di
tangan, bersama-sama enam tetakan, tiga di kepala dan tiga ditangan kanannya.
Hari
ini, genap 25 hari selepas kejadian tersebut, kali pertama Inspektor Hasnal
bertemu media, dalam satu majlis bertempat di Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi & Kepenggunaa (KPDNKK) Putrajaya.
Majlis
pada asalnya hanya sekadar penyerahan sumbangan kepada balu, ahli keluarga
serta anggota yang cedera sahaja.
Wartawan
yang menunggu telah dimaklumkan tidak ada temubual tapi selepas dipujuk-pujuk,
dengan mendapat kelulusan pegawai atasannya, Inspektor Hasnal bersedia untuk
menceritakan pengalamannya kepada wakil media.
Dengan
tangan yang masih berbalut, jari kanan yang tidak berfungsi, anggota polis
cawangan khas Bukit Aman berusia 31 tahun ini, bercerita satu persatu
pengalamannya terkepung antara jam 7.30 malam 2 Mac sehingga diselamatkan jam
5.30 petang 3 Mac lalu.
Menurutnya,
kisah serang hendap yang menggemparkan negara itu bermula selepas mereka
memperolehi maklumat mengenai kehadiran kumpulan bersenjata di Kampung Simunal
itu.
Dalam
keadaan perang, dan orang ramai panik, ada berbagai pihak menyalurkan maklumat,
dan polis, mahu tidak mahu adalah tanggungjawab polis menyiasat setiap maklumat
yang disalurkan.
Mereka
berkerja tanpa mengira masa untuk tujuan tersebut, jika maklumat disampaikan
pagi, pagilah mereka pergi menyiasat, jika malam, malamlah.
Ini
situasi perang, dan khabar angin bertebaran tanpa henti di media-media sosial.
Malam
itu, kira-kira 50 orang anggota polis berbagai unit termasuk satu platun
Pasukan Gerakan Am (PGA) mula memasuki perkampungan atas air tersebut untuk
memeriksa kesahihan maklumat yang disalurkan sebelumnya.
Inspektor
Hasnal antara yang berada dalam kumpulan paling hadapan, mereka bergerak
melalui jambatan sempit, dari satu jambatan ke satu jambatan sehingga ke
jambatan nombor lima, di sebuah rumah, tiba-tiba tembakan dilepaskan tanpa
henti.
"Tembakan
dilepaskan dari dalam rumah, saya terkena peluru di perut, dan tangan. Sebelum
ditetak di kepala tiga kali, saya lawan balik, dan ditetak di tangan
pula," katanya.
Pengganas
yang berusia 20-an itu dipercayai mahu memenggal kepalanya selepas melihat
beliau sudah kena tembakan.
Mujurlah
beliau mampu bertindak balas dan melawan termasuk menghalang tetakan barong
(sejenis senjata asal Sulu) dengan tangan kanannya, sebelum berundur ke sebuah
rumah lain tidak jauh dari tempat kejadian.
Dengan
tangan kanannya terkulai dan hampir putus, dalam keadaan berbalas tembakan
tersebut, kata Inspektor Hasnal beliau berundur mencari perlindungan.
"Kami
berlindung dalam rumah yang sempit, sembilan orang. Dua yang menjaga saya dan
jenazah rakan kami, manakala selebihnya berada dalam keadaan 'siap tempur'
berkubu di sekeliling rumah,"ujar beliau.
Tempat Inspektor Hasnal dan lain-lain anggota berlindung
Jelasnya,
lima belas minit pertama, keadaannya seperti tembak menembak dalam filem, tidak
henti-henti, hanya percikan cahaya dari senjata musuh yang kelihatan dan peluru
melayang di mana-mana.
"Semua
tunduk, jika berdiri mesti kena peluru, sebab rumah itu dindingnya papan yang
nipis dan tembus peluru," kata beliau.
Terlentang
dalam keadaan telinganya sudah dimasuki darah dari tetakan di kepala tadi,
perut yang ditembusi peluru dan tangan kanan yang terkulai, tangan kiri yang
ditembak, ditambah dengan bunyi tembakan tidak henti-henti, kata Inspektor
Hasnal, beliau pekak sekejab, malam itu.
"Saya
cuba berdiri tapi rasa nak pitam, ketika itu saya fikir akan mati sahaja, di dalam
hati saya berdoa tidak putus-putus," ujarnya.
Selepas
lima belas minit dengan tembakan yang galak, bunyi tembakan musuh hanya
sekali-sekala, namun mereka yang berkawal tetap berkawal, kerana bimbang musuh
kembali menyerang memandangkan jarak antara rumah yang menjadi kubu musuh dan
tempat pasukan keselamatan berlindung (rumah tempat anggota polis berkubu kiri)
hanya sekitar 15 meter.
Rumah perlindungan pengganas
Anggota
yang lain sudah menghubungi bilik gerakan dan memaklumkan keadaan mereka yang
bertahan di rumah papan tersebut.
"Dua
orang anggota menjaga saya, berikan air yang diambil dari tong biru, entah air
hujan atau air apa, dalam keadaan begitu kami dah tak periksa, saya minum sikit
pada malam tersebut, ada lagi satu botol air dibekalkan untuk saya,"
katanya.
Dalam
keadaan menanggung kesakitan, Inspektor Hasnal mengarahkan anggotanya agar
mematikan telefon bimbit masing-masing.
"Kami
tidak mahu bunyi perbualan menyebabkan musuh dapat mengesan lokasi kami,"
katanya yang telah bertugas lebih 10 tahun dengan PDRM.
Beliau
tidur-tidur ayam selepas jam 12 malam, sejam sekali terjaga.
"Ketika
itu, saya dapat kekuatan, saya percaya hari ini belum datang ajal aku, saya
bertahan dan kuatkan hati," katanya yang tidur dengan luka yang terbuka
tanpa dibalut.
Pagi
hari Ahad 3 Mac, selepas 12 jam bertahan di rumah tersebut, beliau menelefon
isterinya, sekejab sahaja, dan memberitahu bahawa dirinya masih bekerja dan
berjanji akan telefon semula petang nanti.
Tujuan
ayah kepada seorang anak lelaki berusia dua tahun tujuh bulan itu berbuat
demikian adalah supaya isterinya tidak bimbang, beliau langsung tidak
memberitahu keadaan dirinya yang cedera parah.
Di
Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil Kedah, kampung dan rumah keluarga Inspektor
Hasnal, malam tersebut bacaan yassin sudah dibuat.
"Ada
orang beritahu saya sudah terkorban, di kampung dan di pejabat orang dah baca
yassin, pagi itu apabila mereka beritahu isteri saya, beliau tidak percaya,
kerana katanya, baru tadi beliau bercakap dengan saya," katanya mengimbas
kembali apa yang berlaku.
Apabila
keadaan di Kampung Sri Jaya sudah mula cerah, Inspektor Hasnal tahu beliau akan
diselamatkan, namun bantuan yang ditunggu-tunggu belum juga muncul. (rumah
pengganas gambar kanan)
"Darah
sudah kering dan jadi keras di baju dan seluar saja, lalat mula banyak
menghurung luka, dan semut merayap di tompok-tompok darah, keadaan dalam rumah
mula panas, zinknya rendah, saya rasa dahaga betul dan minum apa saja air yang
ada," ujarnya.
Di
luar, pihak polis sudah bersedia dengan unit elit VAT69 untuk masuk ke
perkampungan atas air tersebut dengan penuh taktikal.
Inspektor Hasnal dipindah ke Hospital Lahad Datu
Ini
kerana bahaya yang menunggu berikutan saki-baki pengganas masih ada dan tidak
tahu di manakah mereka bersembunyi.
Menurut
Inspektor Hasnal, sebelum pasukan VAT69 masuk, beliau menyuruh anggotanya
membasuh darah di muka beliau.
"Selepas
21 jam terperangkap, muka saya penuh darah kering," katanya tersenyum.
Dalam
kejadian tersebut pegawai polis ACP Ibrahim Lebar, 52, dari Cawangan Khas Bukit
Aman. ASP Michael Padel, 36, dari IPD Semporna. Sjn Abdul Azis Sarikon, 48,
dari PGA Tawau. L/Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27, dari PGA Tawau. Sjn Detektif
Baharin Hamit, 49, dari Kontinjen Sabah. dan Kpl Salam Tugiran, 42, dari IPD
Tawau terkorban.
Kumpulan pengganas yang menyerah
Inspektor
Hasnal yang cedera parah diusung keluar dan terus dibawa ke Hospital Lahad
Datu, sebelum diterbangkan ke Hospital Tawau dan akhirnya ke Hospital Selayang
di mana ada pakar khusus untuk menyambung semula tangannya yang ditetak
pengganas.
Suspect pengganas yang ditangkap di Kampung Simunal Semporna
Dua
minggu beliau terlantar di hospital, dan kini beransur sembuh.
Sungguhpun
berdepan dengan kejadian ngeri tersebut, Inspektor Hasnal tidak fobia.
"Ia
tidak melunturkan semangat saya untuk berjuang. Saya juga tidak menghadapi
fobia akibat kejadian pada malam itu," ujarnya.
Kepada
yang pelekeh pasukan keselamatan, kata Inspektor Hasnal, mereka boleh pergi
sendiri, kalau berani untuk bertempur dengan musuh.
"Ia
bukan main-main... masa tidur sangat sedikit, ada maklumat terus siasat, rasa
takut terpaksa dibuang,"katanya.
Untuk
anggota polis dan tentera yang masih di Sabah pula, pesan Inspektor Hasnal
supaya teruskan perjuangan hingga ke titisan darah terakhir... demi
negara.
26/3/2013 OLEH HELME HANAFI
saifulfromslim
terharu baca artikel ni....
ReplyDeleteA ah.... Nyawa dihujung tanduk...
ReplyDelete