my advertise

THE BLOG OWNER

THE BLOG OWNER
“Kindness is a language which the deaf can hear and the and the blind can see”

MY Frenz / MY Sahabat

16 March 2013

Cakap pasal pembubaran dan PRU 2013 nie...sebenar kempen dah bermula sejak dulu-dulu lagi... Jangan syok sendiri, usah pendam perasaan terlalu lama


cakap pasal pembubaran dan PRU 2013 nie...sebenar kempen dah bermula sejak dulu-dulu lagi...

Jangan syok sendiri, usah pendam perasaan terlalu lama  :  Oleh   Hassan   Mohd.   Noor

SECARA tidak rasmi, kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sudah bermula. Bukan sekadar kemeriahan kibaran bendera parti politik tetapi risalah, poster, sepanduk, video klip dan macam-macam lagi. Lihat sahaja dalam internet, macam-macam ada. Tidak ketinggalan risalah Kalau Pakatan Memerintah, dan klip Mr. Mansuh. Ada juga slogan sepanduk yang diubah suai. Begitulah kreatifnya rakyat kita dalam menghadapi PRU. Jumaat lalu genaplah lima tahun 8,161,039 rakyat Malaysia keluar mengundi pada PRU-12 pada 8 Mac 2008. Kini 13.29 juta pengundi sedang menanti untuk mengundi pada PRU-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa. Jika tidak silap, inilah kali pertama, PRU melalui tempoh genap lima tahun sebelum Dewan Rakyat (DR) atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan. Berdasarkan tempoh itu, ada pihak sama ada secara sedar atau tidak mengeluarkan kenyataan seolah-olah Perdana Menteri (PM), Menteri Besar (MB) atau Ketua Menteri (KM) sudah ‘hilang kuasa’.

Hakikatnya, hayat kerajaan itu bermula apabila Persidangan DR atau DUN diadakan selepas PRU. Tarikh 8 Mac hanyalah genap lima tahun rakyat mengundi. Berdasarkan detik tersebut, bermakna mereka masih memegang kuasa. Belum ada yang ‘hilang kuasa’. Najib Tun Razak masih sah sebagai PM. Begitu juga Lim Guan Eng, Khalid Ibrahim, Azizan Razak, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan ramai lagi masih kekal sebagai MB/KM. Bilakah PRU perlu diadakan?

Jika diambil kira tempoh bermulanya persidangan DR atau DUN, selewat-lewatnya PRU boleh diadakan selewat-lewatnya pada bulan April atau awal Mei. Maka menjelang tempoh itu, eloklah orang politik yang begitu ghairah mahu ke puncak kuasa lebih banyak bersabar menanti detik PRU nanti. Tidak salah jika kita menanti genap lima tahun kuasa itu dipegang oleh sesebuah kerajaan. Kenapa harus terburu-buru? Mungkin menggenapkan lima tahun, akan menjadi satu sejarah PRU negara kerana sebelum ini, banyak PRU diadakan sebelum tempoh penggal itu berakhir. Ada yang hanya berusia lebih tiga tahun atau empat tahun sahaja. Mungkin ini satu permulaan kepada cadangan yang mahukan tempoh penggal sesebuah kerajaan digenapkan selama lima tahun sebelum PRU berikutnya diadakan.

Ada sesetengah pemimpin parti politik yang asyik menghitung hari mahu mengadakan PRU. Usia DR atau DUN baru masuk tiga tahun, sudah membuat tilikan PRU berikutnya. Saban tahun, mereka asyik berteka-teki mengenai tarikh PRU. Apabila teka-teki atau tilikan mereka tidak menjadi, maka mulalah mereka mengeluarkan pelbagai kenyataan. Inilah sikap sesetengah pemimpin yang suka mempolitikkan semua perkara. Tidak terkecuali kematian anggota pasukan keselamatan juga ada yang sanggup mempolitikkannya. Lebih menarik apabila pesawat komersial yang membawa anggota pasukan keselamatan untuk melancarkan Ops Daulat di Lahad Datu turut dipolitikkan. Siap dengan lakaran kartun. Begitulah tahap pemikiran sesetengah rakyat kita yang ghairah mempertikaikan segala usaha yang dilakukan walaupun dalam soal keselamatan rakyat dan negara. Tindakan serius dijadikan bahan lawak jenaka. Semua ini kerana politik memperlekehkan usaha orang lain. Akibatnya orang yang cerdik pandai atau profesional dengan jawatan yang hebat-hebat sanggup mengeluarkan kenyataan meloyakan, bodoh, bangang atau bengap.

Begitu jugalah dengan PRU. Disebabkan tidak sabar untuk menang dan berkuasa, mereka mengeluarkan kenyataan yang tidak berlandaskan peraturan serta undang-undang yang tersedia.
Memanglah seperti diselak pada minggu lalu, rakyat Malaysia kini dalam fasa terakhir untuk menghadapi PRU. Ketika ini kebanyakan parti politik sudah menetapkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi. Tidak kurang juga yang masih berebut mengenai jumlah kerusi yang mahu ditandingi. Terdapat juga parti politik yang sudah menamakan calon untuk bertanding di kawasan tertentu. Pengumuman awal ini tentunya menimbulkan pelbagai reaksi. Ada yang terluka dan memendam perasaan.

Naik turun dalam politik adalah perkara biasa. Dipilih, dipilih semula atau tidak dipilih sebagai calon PRU sudah menjadi lumrah. Terimalah hakikat ini. Kita sering mendengar pemimpin di peringkat bahagian mengulas mengenai calon. Kenyataan seperti ini sering didengar iaitu: ‘‘Kami serah kepada pucuk pimpinan; Calon adalah hak Pengerusi BN; Kami sokong siapa sahaja yang dicalonkan; Saya reda jika tidak dipilih’’. Adakah mereka ini ikhlas atau dalam erti kata lain cakap serupa bikin? Bersediakah mereka menerima setiap calon ‘pilihan’ yang pastinya mengambil kira kriteria calon boleh menang dan diterima rakyat yang dapat membantu kemenangan BN?

Bukanlah satu kisah baru apabila bilik gerakan ditutup atau poster PRU tersimpan rapi dalam bungkusan setelah seseorang yang terlalu mengharapkan untuk menjadi calon akhirnya tidak terpilih. Dulu ada juga cerita bakal calon yang belum pasti kedudukannya sudah siap sedia mencetak poster. Pernah terjadi, malam ini tandatangan borang calon, keesokannya orang lain pula diarak ke pusat penamaan calon. Apabila tidak terpilih, timbullah pelbagai reaksi dan yang lebih teruk calon pilihan pemimpin disabotaj.

Begitulah akibat terlalu berteka-teki mengenai calon pada PRU. Janganlah ada mana-mana individu yang syok sendiri sehingga menjadi seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Cakap-cakap akan dipilih bukan satu jaminan. Apa yang penting turunlah ke padang untuk membantu jentera bukan sekadar menunjuk muka kerana sudah terasa diri bakal dicalonkan.

Mungkin ada juga kebenarannya apabila Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya BN mengumumkan calon PRU-13 dalam tempoh tujuh hingga 10 hari sebelum hari penamaan. Langkah itu dapat memberi ruang dan masa bagi BN ‘merawat’ sebarang masalah yang mungkin timbul - termasuk mereka yang kecewa tidak dipilih menjadi calon - di peringkat bahagian atau dalam jentera kempen parti.

Di Kelantan, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Mustapa Mohamed juga mengharapkan calon UMNO Kelantan diumumkan lebih awal supaya calon berkenaan dapat membuat persiapan awal.Sama ada dipilih atau tidak, apa yang penting adalah kemenangan parti yang diwakili.

Jika tidak dipilih janganlah memendam perasaan atau marah terlalu lama sehingga menimbulkan percanggahan dan perpecahan dalam parti menjelang PRU. Habis marah, bantulah calon yang terpilih.


saifulfromslim

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...