my advertise

THE BLOG OWNER

THE BLOG OWNER
“Kindness is a language which the deaf can hear and the and the blind can see”

MY Frenz / MY Sahabat

08 January 2014

Suara hati....

Suara hati Dr. Mahathir

Walau pun keluhan ini diterbitkan pada 23/09/2012....aku rasa perlu aku simpan hasil suara hati Tun Mahathir ini pada blog aku. Memang ada segelintir orang melayu memang menyampah dengan Tun ini. Golongan ini memang sedia ada semenjak negara dah mencapai kemerdekaan pada 31hb Ogos 1957. Rasanya ada dua golongan yang tak setuju dengan keluhan Tun ini, yang pertama memang faham tapi kerana memang dah bersifat hati batu dan ingin sangat mendapat apa yang dicita-citanya biar pun terpaksa memporak perandakan keutuhan perpaduan bangsa sendiri. Satu golongan lagi, sememangnya tak faham, ajar le macam mana pun, dia tetap tak faham. Dia lebih percaya pada golongan pertama itu dan menjadi pengikut kumpulan ini yang mempunyai cita-cita besar untuk dirinya sendiri tanpa mengira kerukunan bangsanya sendiri dan sanggup merosakkan perpaduan sesama bangsanya sendiri. Tapi rasanya ramai lagi antara kita memang sedar dan mengaku pada keluhan Tun Mahathir ini memang ada benarnya.




SAYA sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya- perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.
Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka.

Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah.

Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.

Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.

Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun.

Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi Siam.

Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.

Kemudian, British kembali dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka.

Cadangan Malayan Union British bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British.
Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair. Tidak ada masa depan bagi mereka.

Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.

Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.

Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan.

Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.

Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.

Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957.

Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah. Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah.

Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia.

Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka.

Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.

Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain.

Sokongan orang lain ini tidak diberi secara percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.

Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut.

Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka.

Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka.

Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.

Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.
Sumber:
© Utusan Melayu (M) Bhd 

oleh: saifulfromslim

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...