CERPEN 1 PILIHAN SAIFULFROM SLIM
Cerpen: Virus
DIA memandang ke luar jendela yang berlangsir ungu muda. Melihat cebisan-cebisan putih yang gugur dari langit. Dia merasakan ia seperti tepung yang keluar dari ayak, tertabur di jalan raya dan bangunan di depan banglo mewah tiga tingkat. Dia sendiri terpegun dengan keadaan cuaca yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Daerah Mawar Merah. Kedinginan cuaca pada pagi yang amat dingin seperti tidak mampu menenangkan hatinya. Ia bagaikan dihangatkan oleh suatu perasaan yang menjarumi fikirannya.
Fikirannya berlari lagi pada dua ayat panjang. Terucap lancar pada lidah seorang lelaki 60 tahun. Lalu terusik pada jiwa.
Di tengah-tengah fikirannya yang keruh, dia merasakan dalam dirinya ada air kekusutan berkocak hebat. Membuatkan dia penat. Amat penat. Namun, dia masih bertahan dengan perasaan yang dipikul berat. Kalau dia terus bersabar dan yakin pada pembedahan itu nanti, dia akan selamat. Diselamatkan oleh pakar bedah yang hebat.
Bercakap tentang hebat, dia segera teringatkan Ilahi. Mahu cepat-cepat bertaubat. Dia terus meluruhkan pandangannya ke luar, ke langit yang muram yang tidak berjaya ditembusi jalur mentari yang biasanya atau sebelumnya ditikami terik yang memijar kulit.
Masakan tidak hebatnya Ilahi kerana kebenaran-Nya terbukti jelas. Teringatnya kini surah Yasin ayat 82 yang bermaksud:
“Hanya urusan-Nya (Allah), bila Dia menghendaki (mengadakan ) sesuatu, ia berkata kepadanya: Jadilah engkau! Lalu jadilah ia.”
Kebenaran ini dikuatkan lagi dengan kejadian yang menimpa ke atas dirinya seperti salji tebal yang menyebabkan kenderaan terbenam dalam lapisan-lapisan putih di jalan raya. Mungkin kesejukan tapi penuh kehangatan beban yang ditimpanya.
Fikirannya berlari lagi, teringat dua ayat panjang yang diluahkan lelaki yang sebaya dengannya bulan sudah, berbunyi keras dan pedas penuh sinis : “Kalau kau tak berhenti bercakap yang dusta tentangku, aku akan terus bercakap yang benar tentang kau! Ingat Malik, ini bukan ancaman tapi satu janji!”
Pada tahap ini, Malik merasakan Reduan yang agak tinggi, masih berambut walaupun sudah beruban sedikit sana sini, berbadan sasa dan bermisai nipis mentertawakannya. Reduan tidak perlu lagi terus bercakap yang benar tentangnya. Janjinya bagaikan terpenuh tanpa dia meluahkan sepatah kata pun. Apatah lagi ayat-ayat panjang kepada pengetahuan orang lain akan dirinya sebagai pemimpin yang bersaing dengannya.
Ya Allah, semua orang akan tahu. Ya, ramai yang akan tahu penyakit yang dihadapinya. Penyakit yang serius. Pakar yang mendiagnosisnya menekankan bahawa dia perlu dibedah segera. Kalau tidak, virus yang menyerang dalam dirinya akan membunuhnya lambat laun.
Tidak! Aku belum mahu mati lagi!
Terasa Reduan terus mentertawakannya. Penuh sinis dan mencemuhnya bulat-bulat. Padan dengan muka kau! Nama saja pemangku ketua wakil rakyat, tapi sifat macam hantu. Kalau hendak bersaing untuk merebut jawatan ketua pemimpin Mandala Jaya dalam Daerah Mawar Merah ini, bersainglah dengan penuh etika. Bukan berdusta tentangku. Biarlah pemilihan dibuat secara telus dan tulus serta adil.
Dapat dirasakannya tukasan Reduan terngiang-ngiang di telinganya.
“Malik, aku tahu kau mengupah orang memalsukan gambar-gambarku dengan perempuan-perempuan dalam keadaan yang menjijikkan di internet. Kononnya aku kaki perempuan, kaki botol, kaki judi. Kononnya aku kuat bersolat tapi buat perkara-perkara yang meluat, bertentangan dengan orang-orang yang sepatutnya beriman. Kononnya aku menggelapkan wang dan kes fitnah ini semua masih disiasat. Ini semua dusta. Dusta! Sebenarnya kau seperti menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri. Tembelang tak boleh disimpan lama-lama. Pecah juga sudahnya!
Apabila banyak ayat pedas yang panjang itu menjentik-jentik gegendang telinganya, dia dapat merasakan seperti keadaan huru-hara yang menimpa seluruh Daerah Mawar Merah, dan daerah-daerah lain yang berdekatan dan sewaktu dengannya. Keadaan yang tidak menyenangkan telah menyebabkan kemalangan. Beberapa jalan menuju ke lebuh raya ditutup. Ribut salji di daerah-daerah jiran lebih buruk lagi. Ada sampai 20 sentimeter salji di jalan. Cuaca teramat dingin, 2 darjah Celsius. Jauh bezanya dengan suhu panas yang lazimnya sampai 35 darjah Celsius pada siang hari.
Malik terus mendongak ke langit. Kemudian meluruhkan pandangan ke jalan raya. Jutaan butir-butir putih hening terus menggugur. Angin lembut menggerbangkan rambut setengah-setengah orang yang tidak berserkup di kepala. Mereka yang berada di luar berjaket tebal dan kelihatan berjalan perlahan-lahan dengan agak payah.
Cebisan-cebisan putih yang menari lemah yang berirama tiupan angin lembut itu serta wap yang keluar dari mulut orang-orang yang bercakap amat mengusik jiwanya. Seolah-olah cebisan-cebisan jernih itu berubah menjadi luahan kata-kata hitam terhadapnya dan asap panas yang terhambur keluar mengumpat akan dirinya. Berat! Malunya dia.
Malik melekapkan jari-jari tangan kanan pada kaca tingkap ditingkat tiga seakan-akan ingin membelai cebisan salji yang bertepek di luar tingkap. Jernih dan bersih bagaikan kapas yang berputih juga pada dahan pokok yang berdaun jarang. Ketika dia berbuat demikian, dia merasakan dia menerima satu kebenaran. Inilah kebesaran Allah seperti yang terfirman dalam surah 36, ayat 82 itu.
Reduan berpusing dan duduk di sofa berwarna krim. Berpeluk tubuh yang berbalut baju tebal untuk mengusir semacam kedinginan. Namun dalam dirinya terus terasa panas, dipanaskan keadaannya kini. Dia melihat surat khabar di atas meja kecil di depannya. Dia melepaskan tangannya daripada memeluk tubuhnya sendiri. Tangan itu mengangkat akhbar lalu dibelek-beleknya hingga ke muka tengah dan dibacanya. Berita itu ada mengatakan tentang sebuah daerah yang jauh daripada Daerah Mawar Merah, watannya. Daerah Sekuning Langsat, di sebelah barat dayanya mengalami bah yang paling buruk. Bah yang tidak pernah terjadi di bumi panas itu, meragut nyawa 80 orang dalam seminggu sejauh itu. Angka korban meningkat. Banyak kerosakan pada harta benda seperti rumah, jalan dan jambatan. Keadaan bertambah buruk dengan tiada makanan untuk mengisi perut yang kosong. Mangsa-mangsa bah mengalami sakit-sakit di badan. Demam dan batuk menjadi-jadi.
Dibacanya terus, tentang kebakaran hutan di Daerah Sehijau Daun. Daerah yang lazimnya amat sejuk itu telah mengorbankan 30 orang dan memusnahkan 1,260 orang sejauh itu. Ahli-ahli bomba bertungkus lumus melawan api yang dahsyat. Suhu yang biasanya serendah 1 darjah Celsius telah dirampas suhu sehingga 38.2 darjah Celsius. Banyak hektar gandum dan barli digodam kemusnahan. Keadaan darurat juga memusnahkan 300 rumah, 500 orang hilang tempat tinggal. Banyak orang berendam di tasik dan sungai.
Masya-Allah!
Dibacanya lagi. Di Daerah Seharum Bunga yang biasanya dibelai kesejukan juga, mengalami cuaca panas dan telah mengorbankan lima orang sejauh itu.
Mahu dibacanya lagi, tetapi batinnya tidak mengizinkannya. Dia merasakan dia mungkin berpakaian tebal dalam banglonya yang mewah, tetapi sebenarnya yang membaluti tubuhnya adalah semacam kekalutan dan keresahan yang amat panas.
Astaghfirullah-Aladzim.
Sejurus rasa takut itu ditindih pula oleh rasa yang amat kalut. Manakan tidak? Bagaimana kalau anak isteri yang kini berada di rumah mentuanya melihat tubuhnya yang kaku nanti? Kaku, kerana pembedahan yang dijalankan oleh pakar bedah gagal.
Tidak! Aku belum mahu mati lagi. Aku ingin kembali ke pangkal jalan. Aku bernazar. Benar-benar. Malik memejamkan matanya erat-erat.
Dalam mata pejam, hatinya tiba-tiba kembali diserang satu macam perasaan sayu. Bagaimana kalau virus itu yang sudah merebak ke seluruh jiwa raganya tidak dapat diatasi pakar bedah kelak? Maknanya pembedahan esok pagi nanti akan menghantarnya ke dunia lain?
“Bukan dunia lain, Malik. Lebih tepat ke neraka!
“Huh! Pergi! Pergi jauh-jauh!”
Terdengar Reduan ketawa tak gering gusi. Menjengkelkan hati.
Hati: Aku benar-benar bernazar kini. Aku akan menjadi manusia yang beriman. Tak berdusta lagi. Tak beriak lagi. Tak bongkak lagi. Tak sombong lagi. Tak suka bermegah lagi. Tak berpura-pura lagi. Pendek kata tak tersasar lagi. Percayalah.
“Hati kau adalah ombak yang pecah di pantai. Lebih baik habiskan usia kau di laut kemusnahan. Lebih baik mati di laut kekecewaan seperti ikan dan sotong yang kesasar!”
“Pergi kau Reduan! Pergi!”
Apabila Malik membuka matanya semula, dia seperti mendengar jeritan batinnya. Yang dia nampak di ruang matanya ialah orang-orang di Daerah Mawar Merah, khususnya di Mandala Jaya akan menjamu mata apabila asyik disuapi berita di akhbar nanti. Bagaimana seorang pemimpin yang disanjungi sebelum ini menjalani satu pembedahan. Pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya daripada virus yang berbahaya. Bahaya, kerana kalau tidak dikeluarkan dari tumbuhan itu akan memburukkan penyakit yang sudah sampai ke puncaknya.
Malik memejamkan matanya semula. Kini Doktor Aziz, pakar bedah datang merapat kepadanya.
“Setelah mengimbas dalam diri encik dengan menggunakan alat imbasan tercanggih, kami dapati ada semacam trauma yang didorongi virus aneh yang menyerang seluruh urat nadi dan jiwa raga encik. Degupan jantung encik kuat satu macam. Tekanan darah encik juga amat tinggi. Sifat-sifat aneh ini disebabkan virus ganjil dalam tumbuhan dalam tubuh itu mesti dihapuskan.”
Diam.
Kemudian Doktor Aziz menambah, “Oleh itu Encik Malik tiada pilihan lain.”
“Maksud doktor, dibedah?”
“Ya, kalau tidak penyakit rasuah dan salah guna kuasa serta permainan kotor yang diamali Encik Malik akan menyebabkan tumbuhan-tumbuhan dosa dalam serata tubuh Encik Malik membesar. Ia dipenuhi sejenis virus yang menyebabkan encik tak dapat tidur dengan aman. Imsonia encik akan perlahan-lahan mengunyah hayat encik. Fikiran encik tak akan tenteram. Hati dan jantung encik juga akan perlahan-lahan dimakan virus ini. Sebelum terlambat, pembedahan ini perlu dijalankan segera. Minggu depan pada sebelah pagi, pembedahan akan dijalankan di hospital ini juga.”
“Bagaimana peluang saya?” tanya Malik sebaik saja penjelasan ekspres Doktor Aziz tamat tadi.
“Bergantung pada keyakinan encik sendiri. Kami akan memberikan suntikan rohani. Suntikan yang boleh memberikan ketenangan dan kegembiraan. Tenang dan gembira kerana virus itu dilenyapkan dari tubuh encik. Kami boleh melakukan yang terbaik di sini. Tapi yang penting ialah suntikan keyakinan encik sendiri. Yakin kepada kebesaran Allah,” tekan Doktor Aziz panjang lebar dengan penuh nada serius.
(ii)
SEBULAN kemudian, Malik sembuh sepenuhnya. Pembedahan telah berjaya dijalankan di Hospital Iman Al-Islamiah. Virus dalam tumbuhan-tumbuhan itu dapat diatasi sepenuhnya. Lidahnya yang sebelumnya lancar menegakkan gambaran orang lain yang bobrok , di sebalik bibir yang segar dan indah serta manis tersenyum, kini lancar menegakkan kebenaran dan yang muluk-muluk.
Dua orang anak remaja dan isteri cantik menitis air mata kegembiraan. Ia bagaikan merenjis bunga kesyukuran. Bagaikan membentuk wajah dan imej baru Malik. Malik bagaikan mengotai nazarnya. Alhamdulillah.
(iii)
PADA suatu malam, beberapa purnama kemudian, apabila tiada lagi salji dan keadaan cuaca serta suasana kembali seperti biasa, Malik dilihat melekapkan curut di bibir. Curut mahal yang hanya boleh didapati dari luar daerah dipasangnya. Dalam pub yang samar-samar itu, dia sudah lupa pada cebisan-cebisan putih menari lemah dan berirama ditiup angin lembut dan bermandikan cahaya bulan yang putih dan jernih tempoh waktu dulu. Dia sudah lupa pada satu kebenaran dan kebesaran Ilahi yang terfirman pada ayat kedua terakhir Surah Yasin. Lupa pada virus berbahaya yang boleh meragut nyawa pada bila-bila masa. Dia sudah lupa juga pada nazarnya. Dia sudah lupa pada teguran Doktor Aziz yang sentiasa bersarban dan ada tanda lebam di dahinya. Dahi kepunyaan seorang lelaki 55 tahun yang air mukanya berseri dan mencerminkan semacam ketenangan.
Keinginannya untuk mengetuai Mandala Jaya dalam Daerah Mawar Merah mencuit-cuit galak hatinya. Dia ingin kembali berpolitik seperti dulu-dulu. Reduan yang kini menjawat wakil rakyat Mandala Jaya harus disingkirkan. Dia masih ada sokongan dari akar umbi Mandala Jaya. Dia masih ada banyak wang. Ya, wang adalah kuasa dan pengaruh. Tahukah mereka semuanya boleh dibeli dengan wang?
Batin Malik berombak-ombak. Kali ini berombak ganas untuk menjadi pemimpin wahid Mandala Jaya. Dia yakin banyak orang sudah lupa kisah lama. Curut yang terpasang mengeluarkan asap bila dihembusnya perlahan-lahan. Asap mengembang dari mulut dan hidungnya. Dari celah-celah kepulan asap itu, dia bagaikan nampak terus di ruang matanya Reduan yang akan disingkirkan nanti.
Khayalannya terpancung apabila seorang gadis genit dengan pakaian yang menampakkan susunya yang subur dan cerah memanggilnya, “Abang yang tampan dan gagah. Marilah minum bersama saya.”
Malik menyapu-nyapu dahinya dan kepalanya yang gondol yang semakin terpercik peluh renik yang kasar satu-satu dengan sehelai sapu tangan. Benar-benar dihangatkan keinginan untuk bermalam dengan gadis genit berambut panjang yang dicelup warna perang itu. Kendengaran gelas ramping berlaga-laga. Hanya dua biji gelas di meja di suatu sudut pub. Tapi berbotol-botol yang pastinya menghangatkan keinginannya yang lebih hebat nanti.
Reduan, aku akan kembali!
Suatu suara dalam diri Malik memekik-mekik. Bagaikan menenggelamkan suara ketawa nakal gadis genit yang pandangannya sudah berbinar-binar. Gadis itu tidak lagi melihat lelaki yang pendek disebelahnya sebagai lelaki gempal dan bermuka bulat, tetapi sebagai putera muda yang kacak lagi tinggi, datang merangkul dan memapahnya keluar dari pub itu. Menuju ke kereta mewah yang sedang menanti mereka, membelah malam yang semakin larut.
Biodata Penulis
PETER Augustine Goh adalah nama pena Iskandar Goh. Beliau dilahirkan di Melaka pada 1953 dan menerima pendidikan di Malaysia dan Singapura. Kini bertugas sebagai penterjemah dalam perkhidmatan awam di Singapura. Bidang penulisannya termasuk cerpen, novel dewasa, novel kanakkanak, puisi, drama TV dan radio serta ulasan sastera. Beliau banyak menghasilkan novel, novel kanakkanak dan antologi cerpen. Antara hadiah sastera yang dimenanginya ialah Hadiah Pena Mas bagi cerpen (1995, 1999) dan puisi 2003. Novel Warna Sebuah Penghijrahan terbitan Pustaka Nasional dicalonkan untuk Hadiah Sastera Singapura Bahagian Melayu pada 2006 dan Hadiah Persuratan Melayu 2007. Beberapa bukunya diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Antaranya novel kanak-kanaknya, Tertangkapnya Raja Tupai (1999) dan antologi cerpen, Teruskan Ceritamu Pak Dalang (1999), Hati Yang Terusik (2006) dan Rahsia Sebuah Kasih Sayang (2003). Buku terbarunya yang juga disenaraipendekkan untuk Hadiah Sastera Singapura 2008 adalah antologi puisi, Cetusan Kalbu Seorang Penyair terbitan DBP.
CERPEN 2 PILIHAN SAIFULFROM SLIM
Cerpen: Durian Tembaga dan...
JUNID memandang pokok durian tembaga dalam kebun buah-buahannya itu dengan senyum panjang. Pokok itu sudah sampai lebih separuh abad usianya, tetapi ia kelihatan masih utuh, masih tegap, masih subur, masih mampan. Junid mendongak. Senyumnya menjadi lebar pula apabila dia terpandang akan buah durian tembaga itu yang lebat.
Lalu Junid menebas semak-semak kecil di keliling pokok durian tembaga itu supaya nanti apabila buah durian tembaga itu gugur, senang memungutnya. Dia fikir tidak lama lagi buah durian tembaganya itu akan matang. Apabila matang ia akan jatuh. Junid tahu tidak lama lagi buah durian tembaganya itu akan masak. Apabila masak ia akan gugur.
Beberapa hari juga Junid menebas semak-semak kecil itu. Sambil menebas, dia memerhati kalau-kalau ada makhluk perosak buah-buahan datang untuk merosakkan buah durian tembaganya itu. Untuk menjaga buah durian tembaganya itu dari dirosakkan, Junid tidak punya belas kasihan terhadap makhluk-makhluk perosak itu.
Monyet muncul, monyet ditembaknya.
Tupai datang, tupai ditembaknya.
Kera tiba, kera ditembaknya.
Lalu terbayang dalam mata khayalnya akan kegiatan hidupnya apabila buah-buah durian tembaga itu matang. Junid akan menunggu siang dan malam di kebun buah-buahannya itu untuk memungut buah yang gugur. Tergambar juga wajah Tuk Ku, ketua kampungnya. Junid nampak senyum kerepot Tuk Ku apabila dia menyerahkan sebiji durian tembaga kepadanya. Suka amat Tuk Ku dapat makan isi durian tembaga.
Aku hanya makan durian ini dari kebun kamu Junid.
Terima kasih kerana Tuk Ku sudi.
Aku yang patut berterima kasih.
Junid nampak dia senyum. Dia nampak isi durian tembaganya yang kuning seperti tembaga yang baru digilap. Isinya yang sebesar pergelangan lengan itu tebal. Sementara biji di dalamnya sebesar jari kelingking. Baunya harum. Apabila isinya digigit dan menjamah lidah ia terasa lemak-lemak manis.
Junid bersandar pada dinding bangsal yang sedia dalam kebunnya itu. Dia memandang ke hadapan. Burung-burung berkicau merata. Rama-rama terbang lambat-lambat dari pokok ke pokok senduduk di luar kebun Junid. Tinggi di awan, berlegar-legar helang kepala putih mengintai-ngintai mangsanya di bawah.
Junid memandang pada puncak durian tembaganya. Di situ sebiji buah durian yang agak besar seperti terlalu kukuh pada dahan. Sementara pada dahan-dahan lain di bawah, buah-buah duriannya bergantungan menunggu matang untuk gugur. Durian-durian yang gugur ketika matang menyenangkan Junid.
Anak-anak dan cucunya akan pulang dari bandar untuk menikmati durian tembaganya. Selepas anak-anak dan cucu-cucunya puas menikmati isi durian tembagnya itu, baharulah Junid menjualnya kepada mereka yang ingin membelinya. Biasanya, ramai pelanggan datang ke kebunnya untuk membeli buah durian tembaganya itu.
Kecuali yang datang hendakkan durian tembaganya itu memberi alasan bahawa isterinya mengidam, maka Junid tidak punya alasan. Lalu Junid menghadiahkan kepadanya sebiji. Dia tidak jual. Junid tahu, perempuan yang mengidam bukan sekadar perempuan itu yang inginkan isi durian tembaganya itu, malah anak dalam kandungannya juga inginkan isi durian tembaga itu.
Lalu Junid, sebagai manusia matang, lelaki yang tergolong dalam usia emas, amat memahami isi hati dan kalbu perempuan yang mengidam. Maka tidak elok baginya meletakkan harga durian tembaganya kepada perempuan yang mengidam.
Mata Junid kemudian nampak sekujur badan isterinya memasuki kawasan kebun buah-buahannya itu. Di tangan isterinya itu ada mangkuk tingkat. Dia lalu memandang pada langkah isterinya yang juga seusia dengannya.
“Puas saya tunggu, awak tak balik,” kata Janah isteri Junid.
Junid senyum.
“Dah gugur buah tu?”. Tanya Janah sambil memandang pada pokok durian tembaga kesayangan suaminya.
Junid sadin.
“Hohhhhh! Saya ingat dah gugur.”
“Tak apalah. Saya tunggu kalau ada tupai datang.”
“Tupai keliling kebun awak ni, nampak awak saja dah melompat lari.”
“Saya bimbangkan kera.”
“Hammm! Yalah.”
“Awak bukan tak tahu perangai kera hutan tu. Ia bukan makan sebiji, tapi melurut putik-putik durian tu. Khianatnya yang lebih,” kata Junid.
“Perangai kera.”
Mata Junid pada mangkuk tingkat yang dibawa oleh isterinya.
Janah senyum melihat itu.
“Baru terasa lapar?” Tanya Janah.
Junid sengih.
Janah lalu membuka mangkuk tingkat. Ada mangkuk nasi. Pada mangkuk lain ada gulai kuning garaman ikan tenggiri. Ada pula ulam dan sambal pada mangkuk yang lain. Dua biji mangkuk kosong Janah letakkan sebiji di hadapan suaminya dan sebiji di hadapannya. Janah lalu mengisi nasi ke dalam mangkuk kosong itu.
Mereka mula menikmati makan tengah hari. Angin kering waktu tengah hari menyaman badan mereka. Ia menyegarkan dalam suasana kehijauan pokok dalam kebun buah-buahan itu.
Pagi itu setelah selesai solat Subuh Junid sendirian ke dalam kebun buah-buahannya. Dengan senapang di bahu dia mendongak pada pokok durian tembaganya. Hidungnya kemudian terhidu bau. Lalu Junid mencari-cari bau itu. Dia mengelilingi kawasan pokok durian tembaganya itu. Kalbu Junid kegembiraan. Bibirnya segera mengukir senyum. Sebiji durian tembaga terbaring di hadapannya. Junid segera mencapainya. Dia lalu membawa buah durian tembaga itu ke bangsal rehatnya.
Suasana pagi menyegarkan seluruh makhluk Allah di keliling kawasan kebun buah-buahan Junid. Burung-burung berterbangan, berkicau sambil mencari makan. Tidak terkecuali tupai. Dari kawasan luar kebun Junid, beberapa ekor tupai seperti kegembiraan melompat-lompat arah ke pokok durian tembaga Junid.
Mata Junid segera menangkap lompatan-lompatan tupai itu. Junid segera mencapai senapang lalu meluru ke arah pokok petai yang menjadi tempat singgah tupai-tupai itu sebelum melompat ke pokok durian tembaga. Junid lalu melepaskan tembakan apabila matanya pada seekor tupai di atas pokok petai. Ia jatuh ke bumi. Beberapa ekor yang lain bercemera melompat-lompat melarikan diri. Ada pula yang menuruni batang petai lalu ke bawah. Tupai itu seperti faham bahawa Junid tidak akan menembak pada paras dada di bawah kerana bimbangkan peluru tersasar kepada orang-orang di luar kebun Junid.
Sepi buat seketika.
Junid balik pada bangsal. Dia pandang buah durian tembaga itu. Lama. Dia senyum. Kemudian Junid menoleh pada puncak durian tembaganya. Buah yang sebiji di puncak masih utuh di situ.
Angin pagi yang lembut menyamankan Junid. Tiba-tiba telinganya terdengar bunyi durian gugur. Segera Junid ke pokok durian tembaganya. Dia capai durian itu sambil mendongak ke atas. Durian sebiji di puncak masih kukuh pada dahan. Junid membawa buah durian itu ke bangsal. Dia kemudian turun semula mengelilingi kebunnya lalu melepaskan beberapa das tembakan ke udara. Tembakan itu sebagai amaran kepada makhluk Allah yang berniat hendak merosakkan durian tembaganya.
Junid pulang dengan membawa dua biji durian tembaganya. Durian itu akan dicekah di hadapan isterinya Janah. Dia tidak pernah makan durian tembaga itu sendirian di kebun sebelum Janah isterinya menikmati durian itu.
“Dah gugur? ” Tanya Janah.
“Rezeki awak,” kata Junid sambil mencekah buah durian tembaga itu. Terbuka sahaja kulitnya, nampak isi durian tembaga yang kuning serta harum. Junid menghulurkan kepada Janah.
Dengan senyum Janah mencapai seulas.
Junid juga mencapai seulas.
“Saya nak ke kebun lepas ni. Tak balik hari ini,” kata Junid.
“Saya faham. Tak apa. Saya akan bawa nasi nanti.”
Junid dan Janah terus menikmati isi durian tembaga itu. Paksa akhir dicekah oleh Junid. Dia nampak isi durian itu seperti berkata, ‘terima kasih kerana sudikan saya.’
“Petang nanti awak telefon anak-anak kita tu, “ kata Junid.
Janah memandang wajah suaminya dengan mata berkaca.
Pada hari ketiga durian tembaga itu gugur, tengah hari ketika Junid berehat di bangsal dengan beberapa biji durian tembaganya terbaring di atas lantai, muncul Kipli anak sulungnya bersama isteri dan tiga orang anaknya. Diikuti di belakangnya Zaleha dengan suami serta dua orang anaknya. Janah mendukung anak kecil Kipli.
Junid kesukaan lalu mencekah durian tembaga itu untuk dinikmati oleh anak dan cucunya.
“Buah di puncak tu besar, abah, kenapa belum gugur?” Tanya Kipli.
Junid sengih pada wajah Kipli.
“Patut buah di puncak tu gugur dulu. Dah terlalu besar tu. Tentu dah masak,” kata Kipli lagi.
Junid memandang wajah Kipli.
Kemudian kedengaran bunyi durian gugur. Sazali anak sulung Kipli meluru dengan adiknya Amran untuk mendapatkan durian itu. Sazali mendahului Amran. Belum sempat keduanya sampai di bangsal, kedengaran pula durian jatuh. Amran meluru. Dia capai durian itu. Mereka lalu menikmati isi durian tembaga itu. Tergambar rasa suka pada wajah mereka. Tergambar ras riang dan syukur pada wajah mereka.
Durian gugur lagi.
Kipli pula yang datang mengambil buah durian itu.
“Eh! Tak gugur juga yang di puncak tu abah. Apa cerita? “Tanya Kipli sambil mendongak pada buah durian sebiji di puncak yang baginya terlalu besar itu.
Junid sengih pada wajah anaknya.
“Li bimbang, ia terlalu masak abah. Nanti kalau gugur melepuk menyek jadi tempoyak masam. Tak boleh dimakan,” kata Kipli.
“Harap-harap taklah begitu, Li,” kata Junid.
Durian gugur lagi. Buah-buah yang pada julai di bawah terus jatuh berganti-ganti, tetapi buah sebiji di puncak tidak juga gugur. Hairan juga Junid. Apakah buah sebiji di puncak itu mesti dikait? Tidak ada galah yang mampu mencapainya di puncak pokok itu.
Keluarga Junid terus menikmati isi durian tembaga itu. Isi-isi yang dicekah seolah-olah berkata, ‘terima kasih kerana anggap kami masih berharga.’
Petang itu tinggal Kipli dalam kebun durian itu. Junid ke rumah Tuk Ku membawa sebiji durian untuk dihadiahkan kepada Tuk Ku. Dan ketika buah durian tembaga itu diserahkan kepada Tuk Ku, Junid merenung buah durian tembaganya itu. Dia nampak durian itu seperti berkata, ‘terima kasih kerana anggap saya masih bernilai.’
Anak dan cucu-cucu Junid sudah pulang ke rumah mereka di bandar. Tinggal Junid dengan Janah menunggu durian tembaga itu. Waktu siang, Junid sendirian di kebun itu. Tetapi apabila malam, Janah menemaninya tidur di bangsal itu. Dan buah-buah duriannya terus gugur, tetapi buah sebiji di puncak masih kukuh pada dahan. Buah-buah pada dahan lain di bawahnya sudah tinggal hanya beberapa biji sahaja lagi. Tetapi buah sebiji di puncak itu masih juga utuh pada dahannya. Ia seperti tidak mahu gugur. Ketika angin meniup agak kencang banyak durian tembaga Junid gugur, tetapi buah sebiji di puncak itu tidak juga jatuh.
Junid diterjah rasa hairan. Dia rasa buah di puncak itu sudah terlebih matangnya.
Junid merasa buah durian tembaganya di puncak itu sudah terlalu masak.
“Awak tembaklah,” kata Janah beri cadangan.
“Mana boleh tembak. Pecah durian tu nanti. “
“Pakai lastik.”
“Tak sampai.”
“Habis, apa ikhtiar awak nak paksa durian tu gugur?” Mata Janah pada wajah suaminya Junid.
“Mana boleh paksa-paksa. Sejak datuk nenek kita, mana ada kita paksa durian gugur?”.
“Habis nanti, kalau gugur jadi tempoyak masam, nak buat apa?”
“Apa daya saya,” kata Junid. Matanya lalu memandang buah durian sebiji di puncak pokok durian tembaganya itu.
Buah-buah durian tembaga Junid sudah gugur semuanya kecuali yang sebiji pada puncak pokok itu sahaja yang belum gugur. Banyak juga Junid dapat wang hasil jualan buah durian tembaganya itu. Hairan Junid tidak terkira. Tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menjatuhkan buah durian sebiji di puncak pokok itu.
Dan Junid, sifat sayangnya pada buah durian itu memaksa dia terus-terusan menunggu, memaksa dia menanti siang dan malam untuk mengambil buah itu apabila gugur. Junid siap dengan senapangnya yang sentiasa sedia dengan peluru di dalam larasnya menunggu buah durian sebiji itu.
Waktu petang angin kencang. Buah durian tembaga sebiji itu tidak juga gugur.
Junid tetap menunggu.
Waktu malam angin kuat melanda. Buah sebiji di puncak itu tidak juga jatuh.
Junid tetap patuh menanti.
Angin sejuk waktu pagi. Durian sebiji di puncak itu tidak juga gugur.
Junid tetap setia menunggu.
Malah ketika angin gemuruh waktu tengah hari, durian itu tidak juga gugur.
Junid tetap taat menanti.
Apabila beberapa hari menunggu, buah durian tembaga sebiji itu tidak juga gugur, Junid mula merasa puas menunggu. Mula timbul rasa meluat dalam kalbu Junid. Lalu petang itu dia melangkah longlai keluar dari kebunnya dengan niat tidak mahu lagi datang menunggu buah durian sebiji itu. Senapangnya sedia di bahu. Ketika dia sampai di pintu pagar, tiba-tiba kedengaran bunyi benda jatuh pada umbi pokok durian tembaganya. Junid segera ke tempat itu.
Junid sengih melihat buah durian yang berkecai. Bau masamnya menerawang kawasan keliling. Biji-bijinya sebesar kelingking merata. Sementara isinya seperti muntah kucing di atas rumput. Junid menggeleng-gelengkan kepalanya.
Kenapa kamu baru gugur?
Tidak ada harganya lagi.
Aku, jangan nak makan, nak sentuh pun tak larat.
Bau masam kamu menyesak hidung.
Kasihan.
Kalau kamu gugur dulu, aku akan simpan dalam almari kaca, tanda hormat aku pada kamu. Tetapi sekarang, tengok, jangankan tupai, lalat angau pun tidak datang menjenguk kamu.
Junid menggeleng-gelengkan kepalanya melihat isi durian tembaganya yang ditunggu-tunggu selama ini gugur menjadi tempoyak masam.
Inilah akibatnya kalau terlalu lama berada di puncak. Walaupun kamu amat tinggi nilainya, tetapi jatuh begini, menjadi tempoyak masam yang tidak punya harga apa-apa.
Junid terus menggeleng-gelengkan kepalanya.
INFO: Penulis
NAMA sebenarnya Abd Rahman Che Mat, mula menulis awal 1960- an dan terbabit dalam penulisan genre cerpen, sajak, drama, skrip TV, skrip filem, rencana serta novel. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1984 lewat puisinya, Sebuah Pinis. Tidak ketinggalan beliau juga pernah memenangi hadiah peraduan menulis skrip drama TV anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2003/2004. Cerpennya, Che Soleh Rial yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 21 Januari 2007 menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007 untuk Kategori Eceran Genre Cerpen.
CERPEN 3 - PILIHAN SAIFULFROMSLIM
Cerpen: Editor Seorang Tuhan
KATA salah seorang rakan penulis yang agak berkuasa, manusia bergelar editor sudah mula menganggap dirinya sebagai Tuhan. Memang mereka mengadili penulis sama ada penulis yang baik mahupun terbaik yang bukan kerabat mereka. Penulis inilah seperti hamba yang meminta.
Mahkamah sastera pun tidak boleh mengatasi masalah-masalah seumpamanya di negara ini. Pucuk pimpinan yang dikatakan berkuasa juga tidak boleh menyingkirkan mereka. Kalau dia perempuan, dia cukup cantik dan harus dikurung di tempat khusus. Kalau dia lelaki, dia cukup kacak diletakkan pada tabir kerusi boneka. Desas-desus kekuatan editor seorang Tuhan dalam landskap jabatan itu memang ternyata utuh. Buktinya, manis mulutnya berkata di dada majalah agung itu. Maka, penulis seperti aku memang sukar untuk diberi ruang khas. Siapa penulis seperti aku? Penulis seperti aku tidak perlu diagungkan kerana aku penulis bangsa yang tidak dikenali. Akulah penulis yang sengaja dipinggirkan.
“Sekalipun kita sudah 1Malaysia, itu bukan jaminan.” Itu kata penulis yang bernama Sampah. Aku tahu suatu ketika dulu dia memang banyak menulis dan tulisannya hampir setiap bulan die-melkan kepada seorang editor. Setahun sekali karyanya terbit tetapi kini, Sampah juga seperti aku. Kami tidak diberi ruang sama rata seperti penulis lain. Kami dijahanamkan oleh seseorang editor yang tidak mengerti hak sama rata warga penulis. Beberapa orang rakan penulis dari negeri sabahat juga menerima nasib serupa. Kami diadili tanpa mengira bahasa dan bangsa. Rumpun kami mahu dihapuskan. Inilah sebuah sistem dalam dunia sastera yang tidak ada siapa akan ambil tahu.
Pernah aku mendiamkan diri di satu sudut yang indah. Aku cuba tidak mahu menulis. Melihat masyarakatku bertani. Belajar menoreh. Menarik rotan. Menjadi nelayan. Menjadi pemburu. Aku juga menikmati hidup dengan kerja ilmiah lain. Ketika itu aku merindui dunia penulisan kembali sehingga aku mahu menulis lagi. Memerdekakan diri bukan bermakna aku ingin menjadi penulis yang kaya raya seperti penulis agung. Ingin juga aku menjadi seorang Tuhan seperti dia, tetapi aku tidak mampu. Aku rasakan diriku hanya mampu menjadi seorang pengikut Tuhan Yang Maha Kuasa yang terbaik di dunia ini.
Apabila aku kembali menulis lagi, karya-karya kususul ke beberapa buah majalah dan media akhbar tanah air. Besar harapan agar karya itu terbit. Aku memang terlalu cemburu dengan karya penulis lain yang diterbitkan. Apa lagi karya itu agak teruk juga persembahannya. Kisahnya sama dengan kisah karya itu dan ini. Sama saja! Masakan aku tidak boleh menilai kerana aku juga seorang penulis yang memiliki sarjana. Karya aku lebih baik kerana aku menulis tentang kisah yang berlainan di negara ini. Cuma aku tidak diberi ruang oleh seorang editor yang memilih kerabatnya. Aku tahu editor itu dari Utusan Berangkai. Aku juga tahu editor itu dari Majalah Dewan Kaya Raya. Aku tahu editor itu hanya memilih orang-orang yang sama. Orang-orang itulah konco-konconya. Karya-karya mereka tiga empat kali terbit di dada majalah dan akhbar yang sama. Bagaimana ada ruang karya aku diterbitkan?
“Kalau politik kian kotor, kerja editor pun seperti itu!” Itu sungutan seorang sahabat. Aku hanya terpinga-pinga kerana tidak mampu bersuara. Hilang daya kuasa untuk menulis. Ukuran bagaimana lagi yang harus aku lakukan jika keadaan terus begini. Akulah seorang penulis yang dibiarkan oleh editor seorang Tuhan.
Aku masih menjejak kembali kata-kata seorang editor yang pernah menabur janji manis. Janji-janji manis itu lebur menjadi kata-kata keji dan marah. “Tolong nasihatkan rakan kau ini.” Itu peringatan dia melalui rakan penulis aku. Dalam masa yang sama aku susulkan e-mel kepadanya dengan peringatan agar menepati janji. Atau sekurang-kurangnya beri ruang sepatah perkataan untuk karyaku diterbitkan. Alangkah bongkaknya dia, menaburkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Inilah detik-detik tamatnya hubungan manis kami. Juga, telah lebur harapanku. Aku kembali mengingati doaku kepada Tuhan yang pada suatu ketika dulu aku mengharapkan dia sihat dan sembuh daripada penyakitnya. Syukur dia benar-benar sihat, tetapi itulah balasannya. Kini, dia menganggap aku penulis yang tidak patut diberi ruang kerana aku tidak patut maju seperti penulis pujaannya. Aku bukan bangsanya dan aku tidak patut dimajukan.
Sesudah detik itu, aku paling benci kepadanya. Aku memang tidak berniat menghantar karya kepada majalahnya. Aku juga tidak mahu menghantar karya ke Utusan Berangkai kerana editor jenis muka bertalam dua akan memilih karya dari rakan-rakan mereka. Malah mahkamah sastera sudah kelompok mereka genggam. Semua penulis tahu yang mereka hanya memilih karya rakan mereka sahaja. Mereka ini diberi ruang dengan menutup ruangan penulis lain. Oleh kerana itulah sikap tidak sihat mereka sudah diketahui orang ramai. Biarlah orang ramai yang menjadi hakim kepada kelompok mereka ini.
Isu buku etnik kebangsaan menjadi isu besar. Pemimpin sering memilih karya bangsa kerabatnya. Bicara mereka berlegar besar agar karya etnik diberi ruang. Agar semua masyarakat berdiri sama tinggi. Agar karya dari negeri bumi kami dan negeri di bawah angin juga diberi perhatian. Namun, karya-karya etnik juga tidak diberi ruang. Mereka inilah yang menenggelamkan karya kami. Mereka ini masih menerbitkan karya-karya kerabat mereka.
“Shit!” Herdik Sampah di depan aku. Karyanya juga sudah tidak dilayan lagi walaupun hampir setiap bulan dia menghantarnya kepada editor berkenaan. Pada hari ini, sudah tidak ada pertimbangan lagi dalam dunia sastera. Betul kata beberapa orang penulis bahawa editor sudah macam Tuhan yang perlu disembah. Editor ada kalanya terlalu menutup ruang penulis lemah. Penulis seperti aku, apa lagi kerana jauh di pulau yang lain. Malah atas perkara-perkara yang lain. Memang langsung tidak boleh dipertimbangkan apabila aku menjadi penulis kelompok aku.
Aku damai dengan dunia yang lain. Aku berjuang dengan pekerjaan tetap, namun mengharapkan ada editor lain menawarkan ruang untuk berkarya. Kerunsingan hilang apabila aku terlibat dengan aktiviti itu dan aktiviti ini. Aku berlagak seperti penyanyi. Aku seperti seorang pemain bola sepak. Aku juga berlagak seperti seorang pengarah filem. Dengan itu, aku berusaha membesarkan peluang diri di bawah himpitan. Aku dapat juga makan empat bungkus nasi dengan kerja yang aku lakukan seharian. Dapat juga aku membuka ruang kepada rakan yang senasib denganku. Ketika itu aku terus beringat untuk tidak menjadi Tuhan seperti editor itu.
Aku tetap membaca majalah Dewan Kaya Raya. Karya-karya orang yang sama masih memenuhi ruang majalah itu. Aku juga membaca karya-karya Utusan Berangkai. Terbukti karya-karya rakan dan kerabatnya sahaja yang terbit. Aku langsung tidak melihat karya bangsaku di situ. Aku tidak melihat karya-karya bangsa lain di situ, tetapi hanya karya-karya dari kelompok kerabatnya. Editor jenis itu memang paling teruk. Seorang editor yang tiada pembaharuan, apa lagi mahu memperkenalkan penulis baru. Penulis lama yang bukan kerabatnya, langsung tidak diterima mereka. Patutlah hanya kerabatnya mengisi tempat kemenangan anugerah sastera tanah air saban tahun.
“Dasar editor tidak guna!” rungut seorang penulis yang bernama pena, Kutu kepadaku.
“Awak sembah dia! Awak puji dia!” kataku kepada Kutu sambil ketawa, tetapi di dalam hati bukan lagi kepalang geramnya. Apa tidaknya, editor jenis itu menutup ruang demokrasi buat satu bangsa negara ini. Mereka itulah tidak seharusnya mengisi kerusi editor kerana tabiat mengampu antara mereka. Mereka itu berlagak sombong! Ada kalanya bersifat mereka kurang komunikasi peramah dengan penulis seperti kita. Mereka dilahirkan di bandar-bandar yang kurang ajar. Pelajaran yang mereka terima tidak cukup untuk mereka menjadi manusia yang peramah.
Mereka membuat peraturan sendiri. Mereka inilah memegang tabiat talam dua muka. Mereka menyembah penulis besar dan kerabat mereka sendiri. Jadi, kita kena menyembah pula mereka agar karya kita diterima. Menurut Kutu, editor jantan lebih peramah, tetapi perlu dirayu. Sedangkan editor betina, bermulut manis tetapi hati mereka lain-lain. Bongkak dan sombong kalau dihubungi tentang bila karya kita hendak diterbitkan. Malah kita harus menjaga tutur percakapan kita.
Sebelum Kutu memberitahu, aku sudah tahu kerana aku sudah mengharungi saat genting itu. Aku tahu editor betina itu tidak pernah respon e-mel yang aku susulkan. Agaknya, dia tetap mengutamakan kelompoknya. Susahkah beri respon yang dia telah terima e-mel dan karya kita? Susahkah dia menghubungi melalui telefon yang dia sudah terima karya berkenaan dan tidak dapat diterbitkan kerana tidak sesuai? Susahkan dia beritahu karya kita itu sampah? Memang itulah penyakit editor seorang Tuhan. Susahkah dia beritahu karya itu tidak matang seperti yang diinginkan?
Editor itu memang mengutamakan kelompok kerabatnya. Editor itu memang telah merancang agar semua anugerah dikaut oleh kerabatnya sahaja. Anugerah yang berharga sesen pun mereka kaut, apa lagi anugerah yang besar.
Aku dapat merasakan keraguan warga penulis yang terpinggir seperti aku. Mereka tidak berdoa seperti dulu. Mereka sudah mula tidak mengharapkan apa-apa harapan daripada editor itu. Cuma, mereka berharap editor jenis itu ditukar. Editor itu dijangka menjadi kudis kepada kemajuan sastera kita. Jutaan terima kasih buat akhbar Berita Gempar kerana sentiasa memberi peluang kepada karya kami yang diterbitkan. Aku melihat kebanyakan karya penulis terpinggir diterbitkan di dada Berita Tergempar.
Namun, aku masih ingatkan editor seorang Tuhan agar beri peluang karya kami diterbitkan. Karya dia pun sama tahapnya dengan karyaku. Aku menilai begitu kerana aku membaca semua karya yang terbit di majalah itu tidaklah seagung mana pun. Karya aku dan rakan-rakan juga setanding dengan karya mereka itu. Mungkin kerana masalah editor itu berpenyakit kronik mungkin? Atau berpenyakit tidak suka? Atau memang menutup karya penulis dari pulau yang jauh seperti kami? Itulah satu kemungkinan yang berlaku.
Namun, editor itu masih lagi tidak memandang penulis seperti aku. Tetap juga memilih kerabatnya. Tetap meminta karya-karya daripada kelompok dia sahaja. Malah menutup langsung pintu untuk karya aku diterbitkan.
“Dia Tuhan! Dia editor yang kerabatnya sembah,” itu kata Sampah kepadaku dan Kutu.
Biodata Penulis:
JAYA Ramba, penulis Iban yang dilahirkan di Tinjar Baram, juga menggunakan nama Jay R Miri untuk genre puisi. Pemegang Sarjana Muda Pengurusan dan Pentadbiran (Kepujian), kini berkhidmat di Jabatan Kewangan, Lembaga Air Kawasan Utara Sarawak, Miri. Antologi puisinya Wajah Kita Bandar Kita (2003), Kota Gemilang Warisan Kita (2004), Pelagus (2004), Getus Fikir (2004), Penangkap Rama-rama dan Kelawar (2005). Antologi cerpennya ialah Karya Sasterawan (2005), Seikhlas Bicara, Pelagus, Kepanasan Seketul Salji Hitam (2006) dan Memori Sebuah Rindu (200), Sea of Rainbow-cerpen Ngayap(2009). Sudah menghasilkan ebih 10 novel dan antaranya Senja Cinta Warisan (2003), Dendam Asmara (2004), Sempadan Dendam (2003), Bara Yang Menyala (2009), Indu Iban Ti Penudi (2010). Memenangi Hadiah Pertama Pertandingan Cerpen Jubli Perak Negeri Sarawak (Pahat Masih Berbunyi), Hadiah Ketiga Pertandingan Novel DBP-SHELL (Bara Yang Menyala) dan Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 2004, 2005, 2006 dan 2007. Hadiah Pertama Pertandingan Cerpen Jubli Perak Negeri Sarawak, Pertandingan Novel DBP-SHELL (Bara Yang Menyala) dan Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 2004, 2005, 2006 dan 2007. Menang Tempat Kedua Peraduan Menulis Cerpen Pelbagai Kaum Malaysia 2005. Menang Hadiah Utama Menulis Cerita Legenda Miri 2006. Pernah menyertai Bengkel Penulisan Novel (MASTERA-Majlis Sastera Asia Tenggara) di Bogor, Jakarta, Indonesia (Ogos, 2006). Menyertai Bengkel Penataran Penulis Muda Borneo-Kalimantan, di Kalimantan Barat, 2004. Kini Setiausaha 1, Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA). Karyanya pernah terbit di Utusan Sarawak, Utusan Borneo, Utusan Malaysia, Berita Harian, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Tunas Cipta, Jendela Sarawak dan Harian Equator-Kalimantan Indonesia. Juga sudah menerbitkan album pertama. Sekarang menyiapkan album kedua dalam bidang nyanyian. Bakal mengarah filem sendiri.
CERPEN 4 PILIHAN SAIFULFROMSLIM
Cerpen: Segenggam Tanah Setitis Darah
"CICIT-CICITKU mahu mendengar kelangsungannya?" Buyut menghulurkan piring berisi nagasari. Disambut seorang cicit perempuan dan diletakkan di sisi juadah berbuka puasa. Buyut duduk perlahan-lahan.
“Ya, Buyut. Ini kesinambungan tempoh hari? Bagaimana nasib segenap penghuni Desa?” Dedaun tanya seorang cicit lelaki jatuh lembut di deria dengar Buyut. Membetulkan duduk punggung dan tumpuan mata. Busur panah cicit-cicitnya tertancap di bibir Buyut yang rekah seribu rahsia, menyampai kisah dan cerita bukan sia-sia.
“Oh, cicit masih mengingati ya? Kita mesti mengambil erti dari jalan cerita ini. Buyut ada rentetannya. Seusai kisah ini, hantarkan sepiring kuih ke rumah sebelah.” Buyut mengerling ke dalam kolam makna mata cicitnya yang masih setia mendengar kisah-kisah epik yang diamati Buyut. Buyut khuatir masa hadapan mereka – cicit-cicitnya. “Cicit dengar ini, 'Segenggam Tanah Setitis Darah'.”
1
BAPA mula resah memerhatikan kepul-kepul asap hitam. Bapa melihatnya jauh. Tebal. Mengapung lambat. Dalam fikiran anak yang mengiringi bapa tertanya-tanya asap apakah itu? Seperti asap dari getah yang terbakar. Bergumpal, berkumpul, naik ke udara – putih awan bertukar kelabu dan hitam. Langit yang biru, hitam.
“Sekali dipandang persis cendawan gergasi,” runsing anak memandang bapa.
“Jika melihat dari arahnya, asap itu dari kawasan tasik.” Bapa mengecilkan sedikit kelopak mata. Cahaya menjelang petang membiaskan silau di celah pohon-pohon besar.
“Tasik yang dihuni naga itukah, ayah?” Anak memohon kepastian daripada bapa. Anak berusia lingkungan belasan tahun itu bimbang – apa yang terjadi?
“Ya.”
“Jika begitu, apakah mungkin kawasan Desa yang terbakar?”
“Mungkin, anakku.” Bapa menggeleng. Kelat durjanya lapisan bimbang.
“Bagaimana boleh terbakar, ayah? Apakah naga-naga yang menghuni tasik mula ....”
“Benar, naga-naga itu mula bangun dari habitatnya. Mengeluarkan api, membalun dengan ekor dan segala yang disembunyikan. Naga mula menyalakan nyali.”
“Api! Api!! Api!!!” Suara-suara marhaen dan jelata mula bergabung menjadi guruh yang kuat. Tetapi, naga-naga di dalam tasik menggunakan kelebihan dan kekuatan yang dimiliki. Penduduk Desa yang dahulunya begitu memanjakan naga mulai tersentak dan terkejut. Naga seakan meronta. Asap kelabu nipis keluar dari mulut naga. Api menjilat Desa. Rintik-rintik hujan di atas permukaan tasik tidak mampu lagi menerbitkan panorama tenang.
Kain panjang yang mengerdip kerlip bersilang di leher naga menjadikan penduduk serba rencam tanda tanya. Kain satin apakah itu? Atau kain berenda? Atau kelihatannya seperti sari? Mengapa naga itu bersilangkan sari di lehernya? Pundak semua penghuni Desa dibebani bungkah-bungkah tanya yang berat. Penghuni Desa terbongkok-bongkok dibebani angkuh sikap dan sifat. Mereka tertanya-tanya. Mengapa begini?
Gabungan suara seakan tidak lagi mampu menewaskan naga. Mengapa? Beberapa orang marhaen yang dahulunya ketawa menafikan kewujudan naga dan memperkecilkan tentang betapa utamanya penghuni Desa - jelata, marhaen, pengiring, pengikut, hulubalang, pemikir dan pendeta - perlu bersatu semula mula mengalirkan air mata darah. Berjurai-jurai. Deras. Terus menitis masuk ke dalam tasik. Naga-naga seraya mendapat tenaga dengan darah-darah air mata penduduk Desa. Naga-naga seperti menghamburkan ketawa melihat penduduk Desa menangis dengan air mata darah. Inilah peluangnya. Sesekali perlakuan naga persis manusia, berperasaan. Mencuri kesempatan dan merentap peluang. Aneh.
Dalam celah-celah belantara berhampiran tasik; ketika naga-naga mengeluarkan api menghembuskan asap, menghayunkan ekor tajam untuk membalun, tidak semena-mena melintas seekor singa yang seakan tersenyum-sengih kepada naga yang sedang membakar itu. Singa itu seakan-akan jinak, liar atau berbaur – ia sebenarnya berpura-pura. Singa itu barangkali sahabat kepada naga. Singa itu berpura-pura. Fikir seorang pendeta yang sempat memerhatikan tingkah singa itu, berulang kali. “Celaka!” Sentap pendeta. Cuma dengan kata-kata. Sebelum menggeleng ralat. Kesal. Kecewa. Kesah. Meratapi kemusnahan.
Dalam kekalutan yang menghambat, Paduka Raja mengumpulkan penghuni dan penduduk Desa. Juga beberapa orang kanan, hulubalang dan pengiring. Di sebalik rimba kecil yang di kelilingi pohon-pohon sederhana besar. Jauh sedikit dari tasik.
“Apakah ini mimpi?” Mendongak sambil melihat langit biru kian bertukar merah.
“Tidak Paduka Raja. Sesungguhnya kita sudah terlambat.” Singkap seorang pemikir yang telah lama menjangka situasi itu akan berlaku. Tetapi seringnya, kata-kata nasihat si pemikir itu tidak diambil dengar.
“Inilah kenyataan yang memang didamba sebahagian penghuni Desa.” Seorang pengiring memuntahkan kata-kata yang lama terpendam. Melihatkan tingkah laku saudara-maranya yang lebih suka mengadu domba – tentu, kehancuran ini yang didamba.
“Inilah timbal balas sifar sifat syukur yang dicipta. Inilah hasil yang dicari seusai tidak pernah mengirim rama-rama terima kasih, lantaran mencungkil-tuding silap saudara.” Seorang nenek tua melutut, memerhatikan kemusnahan yang terjadi dari celah-celah semak-samun sembunyi. Lantaran apakah lagi yang boleh diharapkan daripada sebuah kehancuran? Api marak mengunyah atap-atap rumbia. Rumah limas yang kukuh sebelum ini, rebah menjadi arang, bara dan debu.
“Apakah mereka alpa? Mencari kesalahan sahaja? Lantas mencalitkan sedikit luka, menanarkan seluruh lumpur ke tubuh penggawa.” Sedu-sedan menyebabkan bahunya terhinggut-hinggut. Tersengguk-sengguk menahan sebal. Pengiring membisikkan suaranya.
“Sudah begitu, marhaen tidak gemar bersatu. Leka. Yang muda gemarnya bernyanyi-tari di peterana libur. Yang berusia menuding silap dan bersetuju tanpa usul periksa.” Suara-suara berpusu seoalah-olah mula membariskan kenyataan yang menyebabkan naga-naga itu bangun muncul membakar Desa yang lewa; santai alpa. Naga mencuri peluang.
“Tidak hulubalang! Mulutmu usah terlalu pantas bicara begitu.” Paduka Raja menggenggam amarah. Bersilang tangan kanan-kirinya di belakang pinggang.
“Mengapa Paduka Raja sukar menerima. Ini kenyataan. Bagaimana harapan kita?” Seorang pengikut bangun dari tempat duduk, menganjak ke hadapan Paduka Raja.
“Lihat itu. Marhaen dan jelata di Desa kita. Ya Allah, berlari sedang tubuhnya terbakar. Apakah memang sejak dahulu kita seringnya 'berlari'? Tidak! Tidak!” Mengacungkan tangan kanannya ke arah penghuni Desa dikenal pasti berkhidmat di menara Paduka Raja namun sering menyebarkan hikayat cerita samar.
“Naga-naga ini memang tidak sedar untung. Sudah diberi makan dan habitat semasa kecil, sekarang sudah dewasa dan sebesar gunung, kita dibakar api dan dibalun ekornya.”
“Nagakah yang tidak sedar untung atau manusia yang tidak sedar syukur?” Suara garau seorang lagi marhaen kedengaran. Antara celah-celah rimba mereka memerhatikan Desa sekelip mata musnah. Segala retorik frasa dan polemik kosa-kota hanya tinggal sejarah.
“Bukankah, telah ada insan yang lebih berusia itu tempoh hari menasihatkan. Kita tidak mendengar.” Seorang pemegang tombak mengingatkan apakala kesedihan mula menggunung. Penyesalan hilang. Tiada makna. Tindakan menjadi tumpul oleh kata-kata.
“Kita dapatkan Cahaya Purnama. Kitakah yang akan ke sana. Atau wakil Cahaya Purnama yang akan menemui kita?” Pandangan seorang jelata yang masih tetap setia memegang kepada akar seluhur wangsa dan sesuci agama.
“Yang pentingnya adalah kesedaran bersama, Paduka Raja.”
“Demi Desa!”
“Keris Pekaka! Keris Pekaka!” Jerit seorang pengiring Paduka Raja berlari membawa Keris Pekaka diambil semula dari Rumah Pameran. Pernah dihebah, magis kebenarannya apakala Keris Pekaka dan Cahaya Purnama ditemukan dapat menewaskan naga-naga itu.
“Pengiring, ayuh kita perlu cepat.”
“Apakah naga-naga itu akan penat?”
“Lengkara! Mustahil!”
“Malah naga itu akan bertambah kuat. Tidakkah naga-naga itu berada di dalam satu tasik? Naga berapi, naga jadian, naga balun, segala bagai naga.”
“Jika dapat ditemu-jodohkan Cahaya Purnama dan Keris Pekaka, alangkah ...” seorang marhaen mengorak langkah. Sesekali beberapa orang marhaen terbatuk-batuk kecil oleh debu yang berterbangan. Asap memedihkan mata kanak-kanak, mengekang penglihatan orang tua.
“Seharusnya kita mengambil iktibar. Sekeliling tasik yang sudah terbakar oleh naga berapi itu – kita cermin sikap kita,” hulubalang Paduka Raja mencelah.
“Lihat, naga-naga itu pun mulai mendapat resa. Kembali ke dalam tasik. Kerana hanya nawaitu gabungan antara Keris Pekaka dan Cahaya Purnama.” Naga mulai diam, menyusup ke dasar tasik. Senyap. Keanehan mula mengepung Desa di tepian tasik.
“Lantaran itu membawa kepada kesatuan yang berterusan. Bermula di sini. Kesatuan yang mengukuh-jaminkan kebahagiaan hidup Desa dan isinya.” Tambah pendeta.
“Melaksanakan tidak semudah bicara, pendeta.” Fikir Paduka Raja.
“Kita belajar daripada kehancuran, Paduka Raja.” Tenang pendeta, melihat sinar bersatu melorongi jalan utama Desa.
2
“Bukankah ini ketika terbaik untuk mereka berbaik-baik?” Anak yang memerhati asap dan mendengar kata-kata bapanya, spontan mengeluarkan tutur.
“Benar. Ayah juga berharap mereka penduduk dan penghuni Desa mengambil iktibar ini.” Bara-bara api di dahan dan kayu dengan debu dan asap bertindan terbang dari jauh tasik menghampiri anak dan bapa. Anak mengipas dengan tangan menepis asap dan debu.
“Kita doakan moga mereka belajar daripada sejarah. Ayah percaya jika mereka berpecah-telagah, Desa di tepi tasik itu akan terbakar terus menerus – yang tinggal hanyalah debu dan nama. Sejarah tiada maknanya lagi.”
“Benar, ayah.” Anak mula belajar memahami apa yang ingin dikongsi oleh bapa.
“Kita mesti belajar daripada apa yang terjadi kepada Desa yang berhampiran dengan tasik itu. Kemusnahan itu sukar untuk disembuhkan. Khuatir tidak akan ada jalan menyembuhkannya.”
“Genggamlah tanah ini, kejap. Erat, seerat-eratnya.” Bapa tunduk mengepal tanah yang berpasir keras kerikil dengan tangannya.
“Ayah, darah menitis dari genggaman tangan ayah!”
“Ayah cinta akan tanah ini … kau jagalah tanah ini seperti kami – ayah dan nendamu menjaganya dahulu. Usah lupa, seperti yang terjadi pada Desa sebelah tasik itu.”
Kirmizi menjelma tanda waktu berbuka puasa tiba. Tidak jauh dari tangga, seorang anak jiran menghulurkan sepiring kuih untuk berbuka. Kedengaran suara kanak-kanak memberi salam. “Pak cik, Buyut kirim sepiring nagasari juadah untuk berbuka.”
Biodata Penulis:
WAHYU Budiwa Rendra lahir di Johor Bahru pada 15 Syawal 1399 Hijrah. Berkelulusan Bacelor Pentadbiran Perniagaan UPM. Berkarya sejak 2002, selepas mengikuti Bengkel Kelab Penulis Zaharah Nawawi. Mazhab Cinta (DBP, 2008) meraih Hadiah Kumpulan Cerpen Remaja Hadiah Sastera Darul Takzim 2009. Penerima Anugerah Penulis Muda Johor oleh Persatuan Penulis Johor (PPJ) pada 2007, kini bertugas di YWJ Citra Holdings Sdn Bhd. Buku Warkah Alam (Ameen Books, 2010) menghimpunkan cerita motivasi karya bersama-sama Mohd Fadzli Abu Bakar. Blognya boleh dilayari di wbrendra.blogspot.com
Cerpen: Virus
Oleh Peter Augustine Goh
2010/12/25
DIA memandang ke luar jendela yang berlangsir ungu muda. Melihat cebisan-cebisan putih yang gugur dari langit. Dia merasakan ia seperti tepung yang keluar dari ayak, tertabur di jalan raya dan bangunan di depan banglo mewah tiga tingkat. Dia sendiri terpegun dengan keadaan cuaca yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Daerah Mawar Merah. Kedinginan cuaca pada pagi yang amat dingin seperti tidak mampu menenangkan hatinya. Ia bagaikan dihangatkan oleh suatu perasaan yang menjarumi fikirannya. Fikirannya berlari lagi pada dua ayat panjang. Terucap lancar pada lidah seorang lelaki 60 tahun. Lalu terusik pada jiwa.
Di tengah-tengah fikirannya yang keruh, dia merasakan dalam dirinya ada air kekusutan berkocak hebat. Membuatkan dia penat. Amat penat. Namun, dia masih bertahan dengan perasaan yang dipikul berat. Kalau dia terus bersabar dan yakin pada pembedahan itu nanti, dia akan selamat. Diselamatkan oleh pakar bedah yang hebat.
Bercakap tentang hebat, dia segera teringatkan Ilahi. Mahu cepat-cepat bertaubat. Dia terus meluruhkan pandangannya ke luar, ke langit yang muram yang tidak berjaya ditembusi jalur mentari yang biasanya atau sebelumnya ditikami terik yang memijar kulit.
Masakan tidak hebatnya Ilahi kerana kebenaran-Nya terbukti jelas. Teringatnya kini surah Yasin ayat 82 yang bermaksud:
“Hanya urusan-Nya (Allah), bila Dia menghendaki (mengadakan ) sesuatu, ia berkata kepadanya: Jadilah engkau! Lalu jadilah ia.”
Kebenaran ini dikuatkan lagi dengan kejadian yang menimpa ke atas dirinya seperti salji tebal yang menyebabkan kenderaan terbenam dalam lapisan-lapisan putih di jalan raya. Mungkin kesejukan tapi penuh kehangatan beban yang ditimpanya.
Fikirannya berlari lagi, teringat dua ayat panjang yang diluahkan lelaki yang sebaya dengannya bulan sudah, berbunyi keras dan pedas penuh sinis : “Kalau kau tak berhenti bercakap yang dusta tentangku, aku akan terus bercakap yang benar tentang kau! Ingat Malik, ini bukan ancaman tapi satu janji!”
Pada tahap ini, Malik merasakan Reduan yang agak tinggi, masih berambut walaupun sudah beruban sedikit sana sini, berbadan sasa dan bermisai nipis mentertawakannya. Reduan tidak perlu lagi terus bercakap yang benar tentangnya. Janjinya bagaikan terpenuh tanpa dia meluahkan sepatah kata pun. Apatah lagi ayat-ayat panjang kepada pengetahuan orang lain akan dirinya sebagai pemimpin yang bersaing dengannya.
Ya Allah, semua orang akan tahu. Ya, ramai yang akan tahu penyakit yang dihadapinya. Penyakit yang serius. Pakar yang mendiagnosisnya menekankan bahawa dia perlu dibedah segera. Kalau tidak, virus yang menyerang dalam dirinya akan membunuhnya lambat laun.
Tidak! Aku belum mahu mati lagi!
Terasa Reduan terus mentertawakannya. Penuh sinis dan mencemuhnya bulat-bulat. Padan dengan muka kau! Nama saja pemangku ketua wakil rakyat, tapi sifat macam hantu. Kalau hendak bersaing untuk merebut jawatan ketua pemimpin Mandala Jaya dalam Daerah Mawar Merah ini, bersainglah dengan penuh etika. Bukan berdusta tentangku. Biarlah pemilihan dibuat secara telus dan tulus serta adil.
Dapat dirasakannya tukasan Reduan terngiang-ngiang di telinganya.
“Malik, aku tahu kau mengupah orang memalsukan gambar-gambarku dengan perempuan-perempuan dalam keadaan yang menjijikkan di internet. Kononnya aku kaki perempuan, kaki botol, kaki judi. Kononnya aku kuat bersolat tapi buat perkara-perkara yang meluat, bertentangan dengan orang-orang yang sepatutnya beriman. Kononnya aku menggelapkan wang dan kes fitnah ini semua masih disiasat. Ini semua dusta. Dusta! Sebenarnya kau seperti menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri. Tembelang tak boleh disimpan lama-lama. Pecah juga sudahnya!
Apabila banyak ayat pedas yang panjang itu menjentik-jentik gegendang telinganya, dia dapat merasakan seperti keadaan huru-hara yang menimpa seluruh Daerah Mawar Merah, dan daerah-daerah lain yang berdekatan dan sewaktu dengannya. Keadaan yang tidak menyenangkan telah menyebabkan kemalangan. Beberapa jalan menuju ke lebuh raya ditutup. Ribut salji di daerah-daerah jiran lebih buruk lagi. Ada sampai 20 sentimeter salji di jalan. Cuaca teramat dingin, 2 darjah Celsius. Jauh bezanya dengan suhu panas yang lazimnya sampai 35 darjah Celsius pada siang hari.
Malik terus mendongak ke langit. Kemudian meluruhkan pandangan ke jalan raya. Jutaan butir-butir putih hening terus menggugur. Angin lembut menggerbangkan rambut setengah-setengah orang yang tidak berserkup di kepala. Mereka yang berada di luar berjaket tebal dan kelihatan berjalan perlahan-lahan dengan agak payah.
Cebisan-cebisan putih yang menari lemah yang berirama tiupan angin lembut itu serta wap yang keluar dari mulut orang-orang yang bercakap amat mengusik jiwanya. Seolah-olah cebisan-cebisan jernih itu berubah menjadi luahan kata-kata hitam terhadapnya dan asap panas yang terhambur keluar mengumpat akan dirinya. Berat! Malunya dia.
Malik melekapkan jari-jari tangan kanan pada kaca tingkap ditingkat tiga seakan-akan ingin membelai cebisan salji yang bertepek di luar tingkap. Jernih dan bersih bagaikan kapas yang berputih juga pada dahan pokok yang berdaun jarang. Ketika dia berbuat demikian, dia merasakan dia menerima satu kebenaran. Inilah kebesaran Allah seperti yang terfirman dalam surah 36, ayat 82 itu.
Reduan berpusing dan duduk di sofa berwarna krim. Berpeluk tubuh yang berbalut baju tebal untuk mengusir semacam kedinginan. Namun dalam dirinya terus terasa panas, dipanaskan keadaannya kini. Dia melihat surat khabar di atas meja kecil di depannya. Dia melepaskan tangannya daripada memeluk tubuhnya sendiri. Tangan itu mengangkat akhbar lalu dibelek-beleknya hingga ke muka tengah dan dibacanya. Berita itu ada mengatakan tentang sebuah daerah yang jauh daripada Daerah Mawar Merah, watannya. Daerah Sekuning Langsat, di sebelah barat dayanya mengalami bah yang paling buruk. Bah yang tidak pernah terjadi di bumi panas itu, meragut nyawa 80 orang dalam seminggu sejauh itu. Angka korban meningkat. Banyak kerosakan pada harta benda seperti rumah, jalan dan jambatan. Keadaan bertambah buruk dengan tiada makanan untuk mengisi perut yang kosong. Mangsa-mangsa bah mengalami sakit-sakit di badan. Demam dan batuk menjadi-jadi.
Dibacanya terus, tentang kebakaran hutan di Daerah Sehijau Daun. Daerah yang lazimnya amat sejuk itu telah mengorbankan 30 orang dan memusnahkan 1,260 orang sejauh itu. Ahli-ahli bomba bertungkus lumus melawan api yang dahsyat. Suhu yang biasanya serendah 1 darjah Celsius telah dirampas suhu sehingga 38.2 darjah Celsius. Banyak hektar gandum dan barli digodam kemusnahan. Keadaan darurat juga memusnahkan 300 rumah, 500 orang hilang tempat tinggal. Banyak orang berendam di tasik dan sungai.
Masya-Allah!
Dibacanya lagi. Di Daerah Seharum Bunga yang biasanya dibelai kesejukan juga, mengalami cuaca panas dan telah mengorbankan lima orang sejauh itu.
Mahu dibacanya lagi, tetapi batinnya tidak mengizinkannya. Dia merasakan dia mungkin berpakaian tebal dalam banglonya yang mewah, tetapi sebenarnya yang membaluti tubuhnya adalah semacam kekalutan dan keresahan yang amat panas.
Astaghfirullah-Aladzim.
Sejurus rasa takut itu ditindih pula oleh rasa yang amat kalut. Manakan tidak? Bagaimana kalau anak isteri yang kini berada di rumah mentuanya melihat tubuhnya yang kaku nanti? Kaku, kerana pembedahan yang dijalankan oleh pakar bedah gagal.
Tidak! Aku belum mahu mati lagi. Aku ingin kembali ke pangkal jalan. Aku bernazar. Benar-benar. Malik memejamkan matanya erat-erat.
Dalam mata pejam, hatinya tiba-tiba kembali diserang satu macam perasaan sayu. Bagaimana kalau virus itu yang sudah merebak ke seluruh jiwa raganya tidak dapat diatasi pakar bedah kelak? Maknanya pembedahan esok pagi nanti akan menghantarnya ke dunia lain?
“Bukan dunia lain, Malik. Lebih tepat ke neraka!
“Huh! Pergi! Pergi jauh-jauh!”
Terdengar Reduan ketawa tak gering gusi. Menjengkelkan hati.
Hati: Aku benar-benar bernazar kini. Aku akan menjadi manusia yang beriman. Tak berdusta lagi. Tak beriak lagi. Tak bongkak lagi. Tak sombong lagi. Tak suka bermegah lagi. Tak berpura-pura lagi. Pendek kata tak tersasar lagi. Percayalah.
“Hati kau adalah ombak yang pecah di pantai. Lebih baik habiskan usia kau di laut kemusnahan. Lebih baik mati di laut kekecewaan seperti ikan dan sotong yang kesasar!”
“Pergi kau Reduan! Pergi!”
Apabila Malik membuka matanya semula, dia seperti mendengar jeritan batinnya. Yang dia nampak di ruang matanya ialah orang-orang di Daerah Mawar Merah, khususnya di Mandala Jaya akan menjamu mata apabila asyik disuapi berita di akhbar nanti. Bagaimana seorang pemimpin yang disanjungi sebelum ini menjalani satu pembedahan. Pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya daripada virus yang berbahaya. Bahaya, kerana kalau tidak dikeluarkan dari tumbuhan itu akan memburukkan penyakit yang sudah sampai ke puncaknya.
Malik memejamkan matanya semula. Kini Doktor Aziz, pakar bedah datang merapat kepadanya.
“Setelah mengimbas dalam diri encik dengan menggunakan alat imbasan tercanggih, kami dapati ada semacam trauma yang didorongi virus aneh yang menyerang seluruh urat nadi dan jiwa raga encik. Degupan jantung encik kuat satu macam. Tekanan darah encik juga amat tinggi. Sifat-sifat aneh ini disebabkan virus ganjil dalam tumbuhan dalam tubuh itu mesti dihapuskan.”
Diam.
Kemudian Doktor Aziz menambah, “Oleh itu Encik Malik tiada pilihan lain.”
“Maksud doktor, dibedah?”
“Ya, kalau tidak penyakit rasuah dan salah guna kuasa serta permainan kotor yang diamali Encik Malik akan menyebabkan tumbuhan-tumbuhan dosa dalam serata tubuh Encik Malik membesar. Ia dipenuhi sejenis virus yang menyebabkan encik tak dapat tidur dengan aman. Imsonia encik akan perlahan-lahan mengunyah hayat encik. Fikiran encik tak akan tenteram. Hati dan jantung encik juga akan perlahan-lahan dimakan virus ini. Sebelum terlambat, pembedahan ini perlu dijalankan segera. Minggu depan pada sebelah pagi, pembedahan akan dijalankan di hospital ini juga.”
“Bagaimana peluang saya?” tanya Malik sebaik saja penjelasan ekspres Doktor Aziz tamat tadi.
“Bergantung pada keyakinan encik sendiri. Kami akan memberikan suntikan rohani. Suntikan yang boleh memberikan ketenangan dan kegembiraan. Tenang dan gembira kerana virus itu dilenyapkan dari tubuh encik. Kami boleh melakukan yang terbaik di sini. Tapi yang penting ialah suntikan keyakinan encik sendiri. Yakin kepada kebesaran Allah,” tekan Doktor Aziz panjang lebar dengan penuh nada serius.
(ii)
SEBULAN kemudian, Malik sembuh sepenuhnya. Pembedahan telah berjaya dijalankan di Hospital Iman Al-Islamiah. Virus dalam tumbuhan-tumbuhan itu dapat diatasi sepenuhnya. Lidahnya yang sebelumnya lancar menegakkan gambaran orang lain yang bobrok , di sebalik bibir yang segar dan indah serta manis tersenyum, kini lancar menegakkan kebenaran dan yang muluk-muluk.
Dua orang anak remaja dan isteri cantik menitis air mata kegembiraan. Ia bagaikan merenjis bunga kesyukuran. Bagaikan membentuk wajah dan imej baru Malik. Malik bagaikan mengotai nazarnya. Alhamdulillah.
(iii)
PADA suatu malam, beberapa purnama kemudian, apabila tiada lagi salji dan keadaan cuaca serta suasana kembali seperti biasa, Malik dilihat melekapkan curut di bibir. Curut mahal yang hanya boleh didapati dari luar daerah dipasangnya. Dalam pub yang samar-samar itu, dia sudah lupa pada cebisan-cebisan putih menari lemah dan berirama ditiup angin lembut dan bermandikan cahaya bulan yang putih dan jernih tempoh waktu dulu. Dia sudah lupa pada satu kebenaran dan kebesaran Ilahi yang terfirman pada ayat kedua terakhir Surah Yasin. Lupa pada virus berbahaya yang boleh meragut nyawa pada bila-bila masa. Dia sudah lupa juga pada nazarnya. Dia sudah lupa pada teguran Doktor Aziz yang sentiasa bersarban dan ada tanda lebam di dahinya. Dahi kepunyaan seorang lelaki 55 tahun yang air mukanya berseri dan mencerminkan semacam ketenangan.
Keinginannya untuk mengetuai Mandala Jaya dalam Daerah Mawar Merah mencuit-cuit galak hatinya. Dia ingin kembali berpolitik seperti dulu-dulu. Reduan yang kini menjawat wakil rakyat Mandala Jaya harus disingkirkan. Dia masih ada sokongan dari akar umbi Mandala Jaya. Dia masih ada banyak wang. Ya, wang adalah kuasa dan pengaruh. Tahukah mereka semuanya boleh dibeli dengan wang?
Batin Malik berombak-ombak. Kali ini berombak ganas untuk menjadi pemimpin wahid Mandala Jaya. Dia yakin banyak orang sudah lupa kisah lama. Curut yang terpasang mengeluarkan asap bila dihembusnya perlahan-lahan. Asap mengembang dari mulut dan hidungnya. Dari celah-celah kepulan asap itu, dia bagaikan nampak terus di ruang matanya Reduan yang akan disingkirkan nanti.
Khayalannya terpancung apabila seorang gadis genit dengan pakaian yang menampakkan susunya yang subur dan cerah memanggilnya, “Abang yang tampan dan gagah. Marilah minum bersama saya.”
Malik menyapu-nyapu dahinya dan kepalanya yang gondol yang semakin terpercik peluh renik yang kasar satu-satu dengan sehelai sapu tangan. Benar-benar dihangatkan keinginan untuk bermalam dengan gadis genit berambut panjang yang dicelup warna perang itu. Kendengaran gelas ramping berlaga-laga. Hanya dua biji gelas di meja di suatu sudut pub. Tapi berbotol-botol yang pastinya menghangatkan keinginannya yang lebih hebat nanti.
Reduan, aku akan kembali!
Suatu suara dalam diri Malik memekik-mekik. Bagaikan menenggelamkan suara ketawa nakal gadis genit yang pandangannya sudah berbinar-binar. Gadis itu tidak lagi melihat lelaki yang pendek disebelahnya sebagai lelaki gempal dan bermuka bulat, tetapi sebagai putera muda yang kacak lagi tinggi, datang merangkul dan memapahnya keluar dari pub itu. Menuju ke kereta mewah yang sedang menanti mereka, membelah malam yang semakin larut.
Biodata Penulis
PETER Augustine Goh adalah nama pena Iskandar Goh. Beliau dilahirkan di Melaka pada 1953 dan menerima pendidikan di Malaysia dan Singapura. Kini bertugas sebagai penterjemah dalam perkhidmatan awam di Singapura. Bidang penulisannya termasuk cerpen, novel dewasa, novel kanakkanak, puisi, drama TV dan radio serta ulasan sastera. Beliau banyak menghasilkan novel, novel kanakkanak dan antologi cerpen. Antara hadiah sastera yang dimenanginya ialah Hadiah Pena Mas bagi cerpen (1995, 1999) dan puisi 2003. Novel Warna Sebuah Penghijrahan terbitan Pustaka Nasional dicalonkan untuk Hadiah Sastera Singapura Bahagian Melayu pada 2006 dan Hadiah Persuratan Melayu 2007. Beberapa bukunya diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Antaranya novel kanak-kanaknya, Tertangkapnya Raja Tupai (1999) dan antologi cerpen, Teruskan Ceritamu Pak Dalang (1999), Hati Yang Terusik (2006) dan Rahsia Sebuah Kasih Sayang (2003). Buku terbarunya yang juga disenaraipendekkan untuk Hadiah Sastera Singapura 2008 adalah antologi puisi, Cetusan Kalbu Seorang Penyair terbitan DBP.
CERPEN 2 PILIHAN SAIFULFROM SLIM
Cerpen: Durian Tembaga dan...
Oleh A Rahman CM
2010/07/24
JUNID memandang pokok durian tembaga dalam kebun buah-buahannya itu dengan senyum panjang. Pokok itu sudah sampai lebih separuh abad usianya, tetapi ia kelihatan masih utuh, masih tegap, masih subur, masih mampan. Junid mendongak. Senyumnya menjadi lebar pula apabila dia terpandang akan buah durian tembaga itu yang lebat. Lalu Junid menebas semak-semak kecil di keliling pokok durian tembaga itu supaya nanti apabila buah durian tembaga itu gugur, senang memungutnya. Dia fikir tidak lama lagi buah durian tembaganya itu akan matang. Apabila matang ia akan jatuh. Junid tahu tidak lama lagi buah durian tembaganya itu akan masak. Apabila masak ia akan gugur.
Beberapa hari juga Junid menebas semak-semak kecil itu. Sambil menebas, dia memerhati kalau-kalau ada makhluk perosak buah-buahan datang untuk merosakkan buah durian tembaganya itu. Untuk menjaga buah durian tembaganya itu dari dirosakkan, Junid tidak punya belas kasihan terhadap makhluk-makhluk perosak itu.
Monyet muncul, monyet ditembaknya.
Tupai datang, tupai ditembaknya.
Kera tiba, kera ditembaknya.
Lalu terbayang dalam mata khayalnya akan kegiatan hidupnya apabila buah-buah durian tembaga itu matang. Junid akan menunggu siang dan malam di kebun buah-buahannya itu untuk memungut buah yang gugur. Tergambar juga wajah Tuk Ku, ketua kampungnya. Junid nampak senyum kerepot Tuk Ku apabila dia menyerahkan sebiji durian tembaga kepadanya. Suka amat Tuk Ku dapat makan isi durian tembaga.
Aku hanya makan durian ini dari kebun kamu Junid.
Terima kasih kerana Tuk Ku sudi.
Aku yang patut berterima kasih.
Junid nampak dia senyum. Dia nampak isi durian tembaganya yang kuning seperti tembaga yang baru digilap. Isinya yang sebesar pergelangan lengan itu tebal. Sementara biji di dalamnya sebesar jari kelingking. Baunya harum. Apabila isinya digigit dan menjamah lidah ia terasa lemak-lemak manis.
Junid bersandar pada dinding bangsal yang sedia dalam kebunnya itu. Dia memandang ke hadapan. Burung-burung berkicau merata. Rama-rama terbang lambat-lambat dari pokok ke pokok senduduk di luar kebun Junid. Tinggi di awan, berlegar-legar helang kepala putih mengintai-ngintai mangsanya di bawah.
Junid memandang pada puncak durian tembaganya. Di situ sebiji buah durian yang agak besar seperti terlalu kukuh pada dahan. Sementara pada dahan-dahan lain di bawah, buah-buah duriannya bergantungan menunggu matang untuk gugur. Durian-durian yang gugur ketika matang menyenangkan Junid.
Anak-anak dan cucunya akan pulang dari bandar untuk menikmati durian tembaganya. Selepas anak-anak dan cucu-cucunya puas menikmati isi durian tembagnya itu, baharulah Junid menjualnya kepada mereka yang ingin membelinya. Biasanya, ramai pelanggan datang ke kebunnya untuk membeli buah durian tembaganya itu.
Kecuali yang datang hendakkan durian tembaganya itu memberi alasan bahawa isterinya mengidam, maka Junid tidak punya alasan. Lalu Junid menghadiahkan kepadanya sebiji. Dia tidak jual. Junid tahu, perempuan yang mengidam bukan sekadar perempuan itu yang inginkan isi durian tembaganya itu, malah anak dalam kandungannya juga inginkan isi durian tembaga itu.
Lalu Junid, sebagai manusia matang, lelaki yang tergolong dalam usia emas, amat memahami isi hati dan kalbu perempuan yang mengidam. Maka tidak elok baginya meletakkan harga durian tembaganya kepada perempuan yang mengidam.
Mata Junid kemudian nampak sekujur badan isterinya memasuki kawasan kebun buah-buahannya itu. Di tangan isterinya itu ada mangkuk tingkat. Dia lalu memandang pada langkah isterinya yang juga seusia dengannya.
“Puas saya tunggu, awak tak balik,” kata Janah isteri Junid.
Junid senyum.
“Dah gugur buah tu?”. Tanya Janah sambil memandang pada pokok durian tembaga kesayangan suaminya.
Junid sadin.
“Hohhhhh! Saya ingat dah gugur.”
“Tak apalah. Saya tunggu kalau ada tupai datang.”
“Tupai keliling kebun awak ni, nampak awak saja dah melompat lari.”
“Saya bimbangkan kera.”
“Hammm! Yalah.”
“Awak bukan tak tahu perangai kera hutan tu. Ia bukan makan sebiji, tapi melurut putik-putik durian tu. Khianatnya yang lebih,” kata Junid.
“Perangai kera.”
Mata Junid pada mangkuk tingkat yang dibawa oleh isterinya.
Janah senyum melihat itu.
“Baru terasa lapar?” Tanya Janah.
Junid sengih.
Janah lalu membuka mangkuk tingkat. Ada mangkuk nasi. Pada mangkuk lain ada gulai kuning garaman ikan tenggiri. Ada pula ulam dan sambal pada mangkuk yang lain. Dua biji mangkuk kosong Janah letakkan sebiji di hadapan suaminya dan sebiji di hadapannya. Janah lalu mengisi nasi ke dalam mangkuk kosong itu.
Mereka mula menikmati makan tengah hari. Angin kering waktu tengah hari menyaman badan mereka. Ia menyegarkan dalam suasana kehijauan pokok dalam kebun buah-buahan itu.
Pagi itu setelah selesai solat Subuh Junid sendirian ke dalam kebun buah-buahannya. Dengan senapang di bahu dia mendongak pada pokok durian tembaganya. Hidungnya kemudian terhidu bau. Lalu Junid mencari-cari bau itu. Dia mengelilingi kawasan pokok durian tembaganya itu. Kalbu Junid kegembiraan. Bibirnya segera mengukir senyum. Sebiji durian tembaga terbaring di hadapannya. Junid segera mencapainya. Dia lalu membawa buah durian tembaga itu ke bangsal rehatnya.
Suasana pagi menyegarkan seluruh makhluk Allah di keliling kawasan kebun buah-buahan Junid. Burung-burung berterbangan, berkicau sambil mencari makan. Tidak terkecuali tupai. Dari kawasan luar kebun Junid, beberapa ekor tupai seperti kegembiraan melompat-lompat arah ke pokok durian tembaga Junid.
Mata Junid segera menangkap lompatan-lompatan tupai itu. Junid segera mencapai senapang lalu meluru ke arah pokok petai yang menjadi tempat singgah tupai-tupai itu sebelum melompat ke pokok durian tembaga. Junid lalu melepaskan tembakan apabila matanya pada seekor tupai di atas pokok petai. Ia jatuh ke bumi. Beberapa ekor yang lain bercemera melompat-lompat melarikan diri. Ada pula yang menuruni batang petai lalu ke bawah. Tupai itu seperti faham bahawa Junid tidak akan menembak pada paras dada di bawah kerana bimbangkan peluru tersasar kepada orang-orang di luar kebun Junid.
Sepi buat seketika.
Junid balik pada bangsal. Dia pandang buah durian tembaga itu. Lama. Dia senyum. Kemudian Junid menoleh pada puncak durian tembaganya. Buah yang sebiji di puncak masih utuh di situ.
Angin pagi yang lembut menyamankan Junid. Tiba-tiba telinganya terdengar bunyi durian gugur. Segera Junid ke pokok durian tembaganya. Dia capai durian itu sambil mendongak ke atas. Durian sebiji di puncak masih kukuh pada dahan. Junid membawa buah durian itu ke bangsal. Dia kemudian turun semula mengelilingi kebunnya lalu melepaskan beberapa das tembakan ke udara. Tembakan itu sebagai amaran kepada makhluk Allah yang berniat hendak merosakkan durian tembaganya.
Junid pulang dengan membawa dua biji durian tembaganya. Durian itu akan dicekah di hadapan isterinya Janah. Dia tidak pernah makan durian tembaga itu sendirian di kebun sebelum Janah isterinya menikmati durian itu.
“Dah gugur? ” Tanya Janah.
“Rezeki awak,” kata Junid sambil mencekah buah durian tembaga itu. Terbuka sahaja kulitnya, nampak isi durian tembaga yang kuning serta harum. Junid menghulurkan kepada Janah.
Dengan senyum Janah mencapai seulas.
Junid juga mencapai seulas.
“Saya nak ke kebun lepas ni. Tak balik hari ini,” kata Junid.
“Saya faham. Tak apa. Saya akan bawa nasi nanti.”
Junid dan Janah terus menikmati isi durian tembaga itu. Paksa akhir dicekah oleh Junid. Dia nampak isi durian itu seperti berkata, ‘terima kasih kerana sudikan saya.’
“Petang nanti awak telefon anak-anak kita tu, “ kata Junid.
Janah memandang wajah suaminya dengan mata berkaca.
Pada hari ketiga durian tembaga itu gugur, tengah hari ketika Junid berehat di bangsal dengan beberapa biji durian tembaganya terbaring di atas lantai, muncul Kipli anak sulungnya bersama isteri dan tiga orang anaknya. Diikuti di belakangnya Zaleha dengan suami serta dua orang anaknya. Janah mendukung anak kecil Kipli.
Junid kesukaan lalu mencekah durian tembaga itu untuk dinikmati oleh anak dan cucunya.
“Buah di puncak tu besar, abah, kenapa belum gugur?” Tanya Kipli.
Junid sengih pada wajah Kipli.
“Patut buah di puncak tu gugur dulu. Dah terlalu besar tu. Tentu dah masak,” kata Kipli lagi.
Junid memandang wajah Kipli.
Kemudian kedengaran bunyi durian gugur. Sazali anak sulung Kipli meluru dengan adiknya Amran untuk mendapatkan durian itu. Sazali mendahului Amran. Belum sempat keduanya sampai di bangsal, kedengaran pula durian jatuh. Amran meluru. Dia capai durian itu. Mereka lalu menikmati isi durian tembaga itu. Tergambar rasa suka pada wajah mereka. Tergambar ras riang dan syukur pada wajah mereka.
Durian gugur lagi.
Kipli pula yang datang mengambil buah durian itu.
“Eh! Tak gugur juga yang di puncak tu abah. Apa cerita? “Tanya Kipli sambil mendongak pada buah durian sebiji di puncak yang baginya terlalu besar itu.
Junid sengih pada wajah anaknya.
“Li bimbang, ia terlalu masak abah. Nanti kalau gugur melepuk menyek jadi tempoyak masam. Tak boleh dimakan,” kata Kipli.
“Harap-harap taklah begitu, Li,” kata Junid.
Durian gugur lagi. Buah-buah yang pada julai di bawah terus jatuh berganti-ganti, tetapi buah sebiji di puncak tidak juga gugur. Hairan juga Junid. Apakah buah sebiji di puncak itu mesti dikait? Tidak ada galah yang mampu mencapainya di puncak pokok itu.
Keluarga Junid terus menikmati isi durian tembaga itu. Isi-isi yang dicekah seolah-olah berkata, ‘terima kasih kerana anggap kami masih berharga.’
Petang itu tinggal Kipli dalam kebun durian itu. Junid ke rumah Tuk Ku membawa sebiji durian untuk dihadiahkan kepada Tuk Ku. Dan ketika buah durian tembaga itu diserahkan kepada Tuk Ku, Junid merenung buah durian tembaganya itu. Dia nampak durian itu seperti berkata, ‘terima kasih kerana anggap saya masih bernilai.’
Anak dan cucu-cucu Junid sudah pulang ke rumah mereka di bandar. Tinggal Junid dengan Janah menunggu durian tembaga itu. Waktu siang, Junid sendirian di kebun itu. Tetapi apabila malam, Janah menemaninya tidur di bangsal itu. Dan buah-buah duriannya terus gugur, tetapi buah sebiji di puncak masih kukuh pada dahan. Buah-buah pada dahan lain di bawahnya sudah tinggal hanya beberapa biji sahaja lagi. Tetapi buah sebiji di puncak itu masih juga utuh pada dahannya. Ia seperti tidak mahu gugur. Ketika angin meniup agak kencang banyak durian tembaga Junid gugur, tetapi buah sebiji di puncak itu tidak juga jatuh.
Junid diterjah rasa hairan. Dia rasa buah di puncak itu sudah terlebih matangnya.
Junid merasa buah durian tembaganya di puncak itu sudah terlalu masak.
“Awak tembaklah,” kata Janah beri cadangan.
“Mana boleh tembak. Pecah durian tu nanti. “
“Pakai lastik.”
“Tak sampai.”
“Habis, apa ikhtiar awak nak paksa durian tu gugur?” Mata Janah pada wajah suaminya Junid.
“Mana boleh paksa-paksa. Sejak datuk nenek kita, mana ada kita paksa durian gugur?”.
“Habis nanti, kalau gugur jadi tempoyak masam, nak buat apa?”
“Apa daya saya,” kata Junid. Matanya lalu memandang buah durian sebiji di puncak pokok durian tembaganya itu.
Buah-buah durian tembaga Junid sudah gugur semuanya kecuali yang sebiji pada puncak pokok itu sahaja yang belum gugur. Banyak juga Junid dapat wang hasil jualan buah durian tembaganya itu. Hairan Junid tidak terkira. Tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menjatuhkan buah durian sebiji di puncak pokok itu.
Dan Junid, sifat sayangnya pada buah durian itu memaksa dia terus-terusan menunggu, memaksa dia menanti siang dan malam untuk mengambil buah itu apabila gugur. Junid siap dengan senapangnya yang sentiasa sedia dengan peluru di dalam larasnya menunggu buah durian sebiji itu.
Waktu petang angin kencang. Buah durian tembaga sebiji itu tidak juga gugur.
Junid tetap menunggu.
Waktu malam angin kuat melanda. Buah sebiji di puncak itu tidak juga jatuh.
Junid tetap patuh menanti.
Angin sejuk waktu pagi. Durian sebiji di puncak itu tidak juga gugur.
Junid tetap setia menunggu.
Malah ketika angin gemuruh waktu tengah hari, durian itu tidak juga gugur.
Junid tetap taat menanti.
Apabila beberapa hari menunggu, buah durian tembaga sebiji itu tidak juga gugur, Junid mula merasa puas menunggu. Mula timbul rasa meluat dalam kalbu Junid. Lalu petang itu dia melangkah longlai keluar dari kebunnya dengan niat tidak mahu lagi datang menunggu buah durian sebiji itu. Senapangnya sedia di bahu. Ketika dia sampai di pintu pagar, tiba-tiba kedengaran bunyi benda jatuh pada umbi pokok durian tembaganya. Junid segera ke tempat itu.
Junid sengih melihat buah durian yang berkecai. Bau masamnya menerawang kawasan keliling. Biji-bijinya sebesar kelingking merata. Sementara isinya seperti muntah kucing di atas rumput. Junid menggeleng-gelengkan kepalanya.
Kenapa kamu baru gugur?
Tidak ada harganya lagi.
Aku, jangan nak makan, nak sentuh pun tak larat.
Bau masam kamu menyesak hidung.
Kasihan.
Kalau kamu gugur dulu, aku akan simpan dalam almari kaca, tanda hormat aku pada kamu. Tetapi sekarang, tengok, jangankan tupai, lalat angau pun tidak datang menjenguk kamu.
Junid menggeleng-gelengkan kepalanya melihat isi durian tembaganya yang ditunggu-tunggu selama ini gugur menjadi tempoyak masam.
Inilah akibatnya kalau terlalu lama berada di puncak. Walaupun kamu amat tinggi nilainya, tetapi jatuh begini, menjadi tempoyak masam yang tidak punya harga apa-apa.
Junid terus menggeleng-gelengkan kepalanya.
INFO: Penulis
NAMA sebenarnya Abd Rahman Che Mat, mula menulis awal 1960- an dan terbabit dalam penulisan genre cerpen, sajak, drama, skrip TV, skrip filem, rencana serta novel. Beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1984 lewat puisinya, Sebuah Pinis. Tidak ketinggalan beliau juga pernah memenangi hadiah peraduan menulis skrip drama TV anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2003/2004. Cerpennya, Che Soleh Rial yang disiarkan dalam Berita Minggu pada 21 Januari 2007 menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2006/2007 untuk Kategori Eceran Genre Cerpen.
CERPEN 3 - PILIHAN SAIFULFROMSLIM
Cerpen: Editor Seorang Tuhan
Oleh Jaya Ramba
2010/10/09
KATA salah seorang rakan penulis yang agak berkuasa, manusia bergelar editor sudah mula menganggap dirinya sebagai Tuhan. Memang mereka mengadili penulis sama ada penulis yang baik mahupun terbaik yang bukan kerabat mereka. Penulis inilah seperti hamba yang meminta. Mahkamah sastera pun tidak boleh mengatasi masalah-masalah seumpamanya di negara ini. Pucuk pimpinan yang dikatakan berkuasa juga tidak boleh menyingkirkan mereka. Kalau dia perempuan, dia cukup cantik dan harus dikurung di tempat khusus. Kalau dia lelaki, dia cukup kacak diletakkan pada tabir kerusi boneka. Desas-desus kekuatan editor seorang Tuhan dalam landskap jabatan itu memang ternyata utuh. Buktinya, manis mulutnya berkata di dada majalah agung itu. Maka, penulis seperti aku memang sukar untuk diberi ruang khas. Siapa penulis seperti aku? Penulis seperti aku tidak perlu diagungkan kerana aku penulis bangsa yang tidak dikenali. Akulah penulis yang sengaja dipinggirkan.
“Sekalipun kita sudah 1Malaysia, itu bukan jaminan.” Itu kata penulis yang bernama Sampah. Aku tahu suatu ketika dulu dia memang banyak menulis dan tulisannya hampir setiap bulan die-melkan kepada seorang editor. Setahun sekali karyanya terbit tetapi kini, Sampah juga seperti aku. Kami tidak diberi ruang sama rata seperti penulis lain. Kami dijahanamkan oleh seseorang editor yang tidak mengerti hak sama rata warga penulis. Beberapa orang rakan penulis dari negeri sabahat juga menerima nasib serupa. Kami diadili tanpa mengira bahasa dan bangsa. Rumpun kami mahu dihapuskan. Inilah sebuah sistem dalam dunia sastera yang tidak ada siapa akan ambil tahu.
Pernah aku mendiamkan diri di satu sudut yang indah. Aku cuba tidak mahu menulis. Melihat masyarakatku bertani. Belajar menoreh. Menarik rotan. Menjadi nelayan. Menjadi pemburu. Aku juga menikmati hidup dengan kerja ilmiah lain. Ketika itu aku merindui dunia penulisan kembali sehingga aku mahu menulis lagi. Memerdekakan diri bukan bermakna aku ingin menjadi penulis yang kaya raya seperti penulis agung. Ingin juga aku menjadi seorang Tuhan seperti dia, tetapi aku tidak mampu. Aku rasakan diriku hanya mampu menjadi seorang pengikut Tuhan Yang Maha Kuasa yang terbaik di dunia ini.
Apabila aku kembali menulis lagi, karya-karya kususul ke beberapa buah majalah dan media akhbar tanah air. Besar harapan agar karya itu terbit. Aku memang terlalu cemburu dengan karya penulis lain yang diterbitkan. Apa lagi karya itu agak teruk juga persembahannya. Kisahnya sama dengan kisah karya itu dan ini. Sama saja! Masakan aku tidak boleh menilai kerana aku juga seorang penulis yang memiliki sarjana. Karya aku lebih baik kerana aku menulis tentang kisah yang berlainan di negara ini. Cuma aku tidak diberi ruang oleh seorang editor yang memilih kerabatnya. Aku tahu editor itu dari Utusan Berangkai. Aku juga tahu editor itu dari Majalah Dewan Kaya Raya. Aku tahu editor itu hanya memilih orang-orang yang sama. Orang-orang itulah konco-konconya. Karya-karya mereka tiga empat kali terbit di dada majalah dan akhbar yang sama. Bagaimana ada ruang karya aku diterbitkan?
“Kalau politik kian kotor, kerja editor pun seperti itu!” Itu sungutan seorang sahabat. Aku hanya terpinga-pinga kerana tidak mampu bersuara. Hilang daya kuasa untuk menulis. Ukuran bagaimana lagi yang harus aku lakukan jika keadaan terus begini. Akulah seorang penulis yang dibiarkan oleh editor seorang Tuhan.
Aku masih menjejak kembali kata-kata seorang editor yang pernah menabur janji manis. Janji-janji manis itu lebur menjadi kata-kata keji dan marah. “Tolong nasihatkan rakan kau ini.” Itu peringatan dia melalui rakan penulis aku. Dalam masa yang sama aku susulkan e-mel kepadanya dengan peringatan agar menepati janji. Atau sekurang-kurangnya beri ruang sepatah perkataan untuk karyaku diterbitkan. Alangkah bongkaknya dia, menaburkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Inilah detik-detik tamatnya hubungan manis kami. Juga, telah lebur harapanku. Aku kembali mengingati doaku kepada Tuhan yang pada suatu ketika dulu aku mengharapkan dia sihat dan sembuh daripada penyakitnya. Syukur dia benar-benar sihat, tetapi itulah balasannya. Kini, dia menganggap aku penulis yang tidak patut diberi ruang kerana aku tidak patut maju seperti penulis pujaannya. Aku bukan bangsanya dan aku tidak patut dimajukan.
Sesudah detik itu, aku paling benci kepadanya. Aku memang tidak berniat menghantar karya kepada majalahnya. Aku juga tidak mahu menghantar karya ke Utusan Berangkai kerana editor jenis muka bertalam dua akan memilih karya dari rakan-rakan mereka. Malah mahkamah sastera sudah kelompok mereka genggam. Semua penulis tahu yang mereka hanya memilih karya rakan mereka sahaja. Mereka ini diberi ruang dengan menutup ruangan penulis lain. Oleh kerana itulah sikap tidak sihat mereka sudah diketahui orang ramai. Biarlah orang ramai yang menjadi hakim kepada kelompok mereka ini.
Isu buku etnik kebangsaan menjadi isu besar. Pemimpin sering memilih karya bangsa kerabatnya. Bicara mereka berlegar besar agar karya etnik diberi ruang. Agar semua masyarakat berdiri sama tinggi. Agar karya dari negeri bumi kami dan negeri di bawah angin juga diberi perhatian. Namun, karya-karya etnik juga tidak diberi ruang. Mereka inilah yang menenggelamkan karya kami. Mereka ini masih menerbitkan karya-karya kerabat mereka.
“Shit!” Herdik Sampah di depan aku. Karyanya juga sudah tidak dilayan lagi walaupun hampir setiap bulan dia menghantarnya kepada editor berkenaan. Pada hari ini, sudah tidak ada pertimbangan lagi dalam dunia sastera. Betul kata beberapa orang penulis bahawa editor sudah macam Tuhan yang perlu disembah. Editor ada kalanya terlalu menutup ruang penulis lemah. Penulis seperti aku, apa lagi kerana jauh di pulau yang lain. Malah atas perkara-perkara yang lain. Memang langsung tidak boleh dipertimbangkan apabila aku menjadi penulis kelompok aku.
Aku damai dengan dunia yang lain. Aku berjuang dengan pekerjaan tetap, namun mengharapkan ada editor lain menawarkan ruang untuk berkarya. Kerunsingan hilang apabila aku terlibat dengan aktiviti itu dan aktiviti ini. Aku berlagak seperti penyanyi. Aku seperti seorang pemain bola sepak. Aku juga berlagak seperti seorang pengarah filem. Dengan itu, aku berusaha membesarkan peluang diri di bawah himpitan. Aku dapat juga makan empat bungkus nasi dengan kerja yang aku lakukan seharian. Dapat juga aku membuka ruang kepada rakan yang senasib denganku. Ketika itu aku terus beringat untuk tidak menjadi Tuhan seperti editor itu.
Aku tetap membaca majalah Dewan Kaya Raya. Karya-karya orang yang sama masih memenuhi ruang majalah itu. Aku juga membaca karya-karya Utusan Berangkai. Terbukti karya-karya rakan dan kerabatnya sahaja yang terbit. Aku langsung tidak melihat karya bangsaku di situ. Aku tidak melihat karya-karya bangsa lain di situ, tetapi hanya karya-karya dari kelompok kerabatnya. Editor jenis itu memang paling teruk. Seorang editor yang tiada pembaharuan, apa lagi mahu memperkenalkan penulis baru. Penulis lama yang bukan kerabatnya, langsung tidak diterima mereka. Patutlah hanya kerabatnya mengisi tempat kemenangan anugerah sastera tanah air saban tahun.
“Dasar editor tidak guna!” rungut seorang penulis yang bernama pena, Kutu kepadaku.
“Awak sembah dia! Awak puji dia!” kataku kepada Kutu sambil ketawa, tetapi di dalam hati bukan lagi kepalang geramnya. Apa tidaknya, editor jenis itu menutup ruang demokrasi buat satu bangsa negara ini. Mereka itulah tidak seharusnya mengisi kerusi editor kerana tabiat mengampu antara mereka. Mereka itu berlagak sombong! Ada kalanya bersifat mereka kurang komunikasi peramah dengan penulis seperti kita. Mereka dilahirkan di bandar-bandar yang kurang ajar. Pelajaran yang mereka terima tidak cukup untuk mereka menjadi manusia yang peramah.
Mereka membuat peraturan sendiri. Mereka inilah memegang tabiat talam dua muka. Mereka menyembah penulis besar dan kerabat mereka sendiri. Jadi, kita kena menyembah pula mereka agar karya kita diterima. Menurut Kutu, editor jantan lebih peramah, tetapi perlu dirayu. Sedangkan editor betina, bermulut manis tetapi hati mereka lain-lain. Bongkak dan sombong kalau dihubungi tentang bila karya kita hendak diterbitkan. Malah kita harus menjaga tutur percakapan kita.
Sebelum Kutu memberitahu, aku sudah tahu kerana aku sudah mengharungi saat genting itu. Aku tahu editor betina itu tidak pernah respon e-mel yang aku susulkan. Agaknya, dia tetap mengutamakan kelompoknya. Susahkah beri respon yang dia telah terima e-mel dan karya kita? Susahkah dia menghubungi melalui telefon yang dia sudah terima karya berkenaan dan tidak dapat diterbitkan kerana tidak sesuai? Susahkan dia beritahu karya kita itu sampah? Memang itulah penyakit editor seorang Tuhan. Susahkah dia beritahu karya itu tidak matang seperti yang diinginkan?
Editor itu memang mengutamakan kelompok kerabatnya. Editor itu memang telah merancang agar semua anugerah dikaut oleh kerabatnya sahaja. Anugerah yang berharga sesen pun mereka kaut, apa lagi anugerah yang besar.
Aku dapat merasakan keraguan warga penulis yang terpinggir seperti aku. Mereka tidak berdoa seperti dulu. Mereka sudah mula tidak mengharapkan apa-apa harapan daripada editor itu. Cuma, mereka berharap editor jenis itu ditukar. Editor itu dijangka menjadi kudis kepada kemajuan sastera kita. Jutaan terima kasih buat akhbar Berita Gempar kerana sentiasa memberi peluang kepada karya kami yang diterbitkan. Aku melihat kebanyakan karya penulis terpinggir diterbitkan di dada Berita Tergempar.
Namun, aku masih ingatkan editor seorang Tuhan agar beri peluang karya kami diterbitkan. Karya dia pun sama tahapnya dengan karyaku. Aku menilai begitu kerana aku membaca semua karya yang terbit di majalah itu tidaklah seagung mana pun. Karya aku dan rakan-rakan juga setanding dengan karya mereka itu. Mungkin kerana masalah editor itu berpenyakit kronik mungkin? Atau berpenyakit tidak suka? Atau memang menutup karya penulis dari pulau yang jauh seperti kami? Itulah satu kemungkinan yang berlaku.
Namun, editor itu masih lagi tidak memandang penulis seperti aku. Tetap juga memilih kerabatnya. Tetap meminta karya-karya daripada kelompok dia sahaja. Malah menutup langsung pintu untuk karya aku diterbitkan.
“Dia Tuhan! Dia editor yang kerabatnya sembah,” itu kata Sampah kepadaku dan Kutu.
Biodata Penulis:
JAYA Ramba, penulis Iban yang dilahirkan di Tinjar Baram, juga menggunakan nama Jay R Miri untuk genre puisi. Pemegang Sarjana Muda Pengurusan dan Pentadbiran (Kepujian), kini berkhidmat di Jabatan Kewangan, Lembaga Air Kawasan Utara Sarawak, Miri. Antologi puisinya Wajah Kita Bandar Kita (2003), Kota Gemilang Warisan Kita (2004), Pelagus (2004), Getus Fikir (2004), Penangkap Rama-rama dan Kelawar (2005). Antologi cerpennya ialah Karya Sasterawan (2005), Seikhlas Bicara, Pelagus, Kepanasan Seketul Salji Hitam (2006) dan Memori Sebuah Rindu (200), Sea of Rainbow-cerpen Ngayap(2009). Sudah menghasilkan ebih 10 novel dan antaranya Senja Cinta Warisan (2003), Dendam Asmara (2004), Sempadan Dendam (2003), Bara Yang Menyala (2009), Indu Iban Ti Penudi (2010). Memenangi Hadiah Pertama Pertandingan Cerpen Jubli Perak Negeri Sarawak (Pahat Masih Berbunyi), Hadiah Ketiga Pertandingan Novel DBP-SHELL (Bara Yang Menyala) dan Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 2004, 2005, 2006 dan 2007. Hadiah Pertama Pertandingan Cerpen Jubli Perak Negeri Sarawak, Pertandingan Novel DBP-SHELL (Bara Yang Menyala) dan Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak 2004, 2005, 2006 dan 2007. Menang Tempat Kedua Peraduan Menulis Cerpen Pelbagai Kaum Malaysia 2005. Menang Hadiah Utama Menulis Cerita Legenda Miri 2006. Pernah menyertai Bengkel Penulisan Novel (MASTERA-Majlis Sastera Asia Tenggara) di Bogor, Jakarta, Indonesia (Ogos, 2006). Menyertai Bengkel Penataran Penulis Muda Borneo-Kalimantan, di Kalimantan Barat, 2004. Kini Setiausaha 1, Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA). Karyanya pernah terbit di Utusan Sarawak, Utusan Borneo, Utusan Malaysia, Berita Harian, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Tunas Cipta, Jendela Sarawak dan Harian Equator-Kalimantan Indonesia. Juga sudah menerbitkan album pertama. Sekarang menyiapkan album kedua dalam bidang nyanyian. Bakal mengarah filem sendiri.
CERPEN 4 PILIHAN SAIFULFROMSLIM
Cerpen: Segenggam Tanah Setitis Darah
Oleh WB Rendra
wbrendra.blogspot.com
2010/08/21
"CICIT-CICITKU mahu mendengar kelangsungannya?" Buyut menghulurkan piring berisi nagasari. Disambut seorang cicit perempuan dan diletakkan di sisi juadah berbuka puasa. Buyut duduk perlahan-lahan. “Ya, Buyut. Ini kesinambungan tempoh hari? Bagaimana nasib segenap penghuni Desa?” Dedaun tanya seorang cicit lelaki jatuh lembut di deria dengar Buyut. Membetulkan duduk punggung dan tumpuan mata. Busur panah cicit-cicitnya tertancap di bibir Buyut yang rekah seribu rahsia, menyampai kisah dan cerita bukan sia-sia.
“Oh, cicit masih mengingati ya? Kita mesti mengambil erti dari jalan cerita ini. Buyut ada rentetannya. Seusai kisah ini, hantarkan sepiring kuih ke rumah sebelah.” Buyut mengerling ke dalam kolam makna mata cicitnya yang masih setia mendengar kisah-kisah epik yang diamati Buyut. Buyut khuatir masa hadapan mereka – cicit-cicitnya. “Cicit dengar ini, 'Segenggam Tanah Setitis Darah'.”
1
BAPA mula resah memerhatikan kepul-kepul asap hitam. Bapa melihatnya jauh. Tebal. Mengapung lambat. Dalam fikiran anak yang mengiringi bapa tertanya-tanya asap apakah itu? Seperti asap dari getah yang terbakar. Bergumpal, berkumpul, naik ke udara – putih awan bertukar kelabu dan hitam. Langit yang biru, hitam.
“Sekali dipandang persis cendawan gergasi,” runsing anak memandang bapa.
“Jika melihat dari arahnya, asap itu dari kawasan tasik.” Bapa mengecilkan sedikit kelopak mata. Cahaya menjelang petang membiaskan silau di celah pohon-pohon besar.
“Tasik yang dihuni naga itukah, ayah?” Anak memohon kepastian daripada bapa. Anak berusia lingkungan belasan tahun itu bimbang – apa yang terjadi?
“Ya.”
“Jika begitu, apakah mungkin kawasan Desa yang terbakar?”
“Mungkin, anakku.” Bapa menggeleng. Kelat durjanya lapisan bimbang.
“Bagaimana boleh terbakar, ayah? Apakah naga-naga yang menghuni tasik mula ....”
“Benar, naga-naga itu mula bangun dari habitatnya. Mengeluarkan api, membalun dengan ekor dan segala yang disembunyikan. Naga mula menyalakan nyali.”
“Api! Api!! Api!!!” Suara-suara marhaen dan jelata mula bergabung menjadi guruh yang kuat. Tetapi, naga-naga di dalam tasik menggunakan kelebihan dan kekuatan yang dimiliki. Penduduk Desa yang dahulunya begitu memanjakan naga mulai tersentak dan terkejut. Naga seakan meronta. Asap kelabu nipis keluar dari mulut naga. Api menjilat Desa. Rintik-rintik hujan di atas permukaan tasik tidak mampu lagi menerbitkan panorama tenang.
Kain panjang yang mengerdip kerlip bersilang di leher naga menjadikan penduduk serba rencam tanda tanya. Kain satin apakah itu? Atau kain berenda? Atau kelihatannya seperti sari? Mengapa naga itu bersilangkan sari di lehernya? Pundak semua penghuni Desa dibebani bungkah-bungkah tanya yang berat. Penghuni Desa terbongkok-bongkok dibebani angkuh sikap dan sifat. Mereka tertanya-tanya. Mengapa begini?
Gabungan suara seakan tidak lagi mampu menewaskan naga. Mengapa? Beberapa orang marhaen yang dahulunya ketawa menafikan kewujudan naga dan memperkecilkan tentang betapa utamanya penghuni Desa - jelata, marhaen, pengiring, pengikut, hulubalang, pemikir dan pendeta - perlu bersatu semula mula mengalirkan air mata darah. Berjurai-jurai. Deras. Terus menitis masuk ke dalam tasik. Naga-naga seraya mendapat tenaga dengan darah-darah air mata penduduk Desa. Naga-naga seperti menghamburkan ketawa melihat penduduk Desa menangis dengan air mata darah. Inilah peluangnya. Sesekali perlakuan naga persis manusia, berperasaan. Mencuri kesempatan dan merentap peluang. Aneh.
Dalam celah-celah belantara berhampiran tasik; ketika naga-naga mengeluarkan api menghembuskan asap, menghayunkan ekor tajam untuk membalun, tidak semena-mena melintas seekor singa yang seakan tersenyum-sengih kepada naga yang sedang membakar itu. Singa itu seakan-akan jinak, liar atau berbaur – ia sebenarnya berpura-pura. Singa itu barangkali sahabat kepada naga. Singa itu berpura-pura. Fikir seorang pendeta yang sempat memerhatikan tingkah singa itu, berulang kali. “Celaka!” Sentap pendeta. Cuma dengan kata-kata. Sebelum menggeleng ralat. Kesal. Kecewa. Kesah. Meratapi kemusnahan.
Dalam kekalutan yang menghambat, Paduka Raja mengumpulkan penghuni dan penduduk Desa. Juga beberapa orang kanan, hulubalang dan pengiring. Di sebalik rimba kecil yang di kelilingi pohon-pohon sederhana besar. Jauh sedikit dari tasik.
“Apakah ini mimpi?” Mendongak sambil melihat langit biru kian bertukar merah.
“Tidak Paduka Raja. Sesungguhnya kita sudah terlambat.” Singkap seorang pemikir yang telah lama menjangka situasi itu akan berlaku. Tetapi seringnya, kata-kata nasihat si pemikir itu tidak diambil dengar.
“Inilah kenyataan yang memang didamba sebahagian penghuni Desa.” Seorang pengiring memuntahkan kata-kata yang lama terpendam. Melihatkan tingkah laku saudara-maranya yang lebih suka mengadu domba – tentu, kehancuran ini yang didamba.
“Inilah timbal balas sifar sifat syukur yang dicipta. Inilah hasil yang dicari seusai tidak pernah mengirim rama-rama terima kasih, lantaran mencungkil-tuding silap saudara.” Seorang nenek tua melutut, memerhatikan kemusnahan yang terjadi dari celah-celah semak-samun sembunyi. Lantaran apakah lagi yang boleh diharapkan daripada sebuah kehancuran? Api marak mengunyah atap-atap rumbia. Rumah limas yang kukuh sebelum ini, rebah menjadi arang, bara dan debu.
“Apakah mereka alpa? Mencari kesalahan sahaja? Lantas mencalitkan sedikit luka, menanarkan seluruh lumpur ke tubuh penggawa.” Sedu-sedan menyebabkan bahunya terhinggut-hinggut. Tersengguk-sengguk menahan sebal. Pengiring membisikkan suaranya.
“Sudah begitu, marhaen tidak gemar bersatu. Leka. Yang muda gemarnya bernyanyi-tari di peterana libur. Yang berusia menuding silap dan bersetuju tanpa usul periksa.” Suara-suara berpusu seoalah-olah mula membariskan kenyataan yang menyebabkan naga-naga itu bangun muncul membakar Desa yang lewa; santai alpa. Naga mencuri peluang.
“Tidak hulubalang! Mulutmu usah terlalu pantas bicara begitu.” Paduka Raja menggenggam amarah. Bersilang tangan kanan-kirinya di belakang pinggang.
“Mengapa Paduka Raja sukar menerima. Ini kenyataan. Bagaimana harapan kita?” Seorang pengikut bangun dari tempat duduk, menganjak ke hadapan Paduka Raja.
“Lihat itu. Marhaen dan jelata di Desa kita. Ya Allah, berlari sedang tubuhnya terbakar. Apakah memang sejak dahulu kita seringnya 'berlari'? Tidak! Tidak!” Mengacungkan tangan kanannya ke arah penghuni Desa dikenal pasti berkhidmat di menara Paduka Raja namun sering menyebarkan hikayat cerita samar.
“Naga-naga ini memang tidak sedar untung. Sudah diberi makan dan habitat semasa kecil, sekarang sudah dewasa dan sebesar gunung, kita dibakar api dan dibalun ekornya.”
“Nagakah yang tidak sedar untung atau manusia yang tidak sedar syukur?” Suara garau seorang lagi marhaen kedengaran. Antara celah-celah rimba mereka memerhatikan Desa sekelip mata musnah. Segala retorik frasa dan polemik kosa-kota hanya tinggal sejarah.
“Bukankah, telah ada insan yang lebih berusia itu tempoh hari menasihatkan. Kita tidak mendengar.” Seorang pemegang tombak mengingatkan apakala kesedihan mula menggunung. Penyesalan hilang. Tiada makna. Tindakan menjadi tumpul oleh kata-kata.
“Kita dapatkan Cahaya Purnama. Kitakah yang akan ke sana. Atau wakil Cahaya Purnama yang akan menemui kita?” Pandangan seorang jelata yang masih tetap setia memegang kepada akar seluhur wangsa dan sesuci agama.
“Yang pentingnya adalah kesedaran bersama, Paduka Raja.”
“Demi Desa!”
“Keris Pekaka! Keris Pekaka!” Jerit seorang pengiring Paduka Raja berlari membawa Keris Pekaka diambil semula dari Rumah Pameran. Pernah dihebah, magis kebenarannya apakala Keris Pekaka dan Cahaya Purnama ditemukan dapat menewaskan naga-naga itu.
“Pengiring, ayuh kita perlu cepat.”
“Apakah naga-naga itu akan penat?”
“Lengkara! Mustahil!”
“Malah naga itu akan bertambah kuat. Tidakkah naga-naga itu berada di dalam satu tasik? Naga berapi, naga jadian, naga balun, segala bagai naga.”
“Jika dapat ditemu-jodohkan Cahaya Purnama dan Keris Pekaka, alangkah ...” seorang marhaen mengorak langkah. Sesekali beberapa orang marhaen terbatuk-batuk kecil oleh debu yang berterbangan. Asap memedihkan mata kanak-kanak, mengekang penglihatan orang tua.
“Seharusnya kita mengambil iktibar. Sekeliling tasik yang sudah terbakar oleh naga berapi itu – kita cermin sikap kita,” hulubalang Paduka Raja mencelah.
“Lihat, naga-naga itu pun mulai mendapat resa. Kembali ke dalam tasik. Kerana hanya nawaitu gabungan antara Keris Pekaka dan Cahaya Purnama.” Naga mulai diam, menyusup ke dasar tasik. Senyap. Keanehan mula mengepung Desa di tepian tasik.
“Lantaran itu membawa kepada kesatuan yang berterusan. Bermula di sini. Kesatuan yang mengukuh-jaminkan kebahagiaan hidup Desa dan isinya.” Tambah pendeta.
“Melaksanakan tidak semudah bicara, pendeta.” Fikir Paduka Raja.
“Kita belajar daripada kehancuran, Paduka Raja.” Tenang pendeta, melihat sinar bersatu melorongi jalan utama Desa.
2
“Bukankah ini ketika terbaik untuk mereka berbaik-baik?” Anak yang memerhati asap dan mendengar kata-kata bapanya, spontan mengeluarkan tutur.
“Benar. Ayah juga berharap mereka penduduk dan penghuni Desa mengambil iktibar ini.” Bara-bara api di dahan dan kayu dengan debu dan asap bertindan terbang dari jauh tasik menghampiri anak dan bapa. Anak mengipas dengan tangan menepis asap dan debu.
“Kita doakan moga mereka belajar daripada sejarah. Ayah percaya jika mereka berpecah-telagah, Desa di tepi tasik itu akan terbakar terus menerus – yang tinggal hanyalah debu dan nama. Sejarah tiada maknanya lagi.”
“Benar, ayah.” Anak mula belajar memahami apa yang ingin dikongsi oleh bapa.
“Kita mesti belajar daripada apa yang terjadi kepada Desa yang berhampiran dengan tasik itu. Kemusnahan itu sukar untuk disembuhkan. Khuatir tidak akan ada jalan menyembuhkannya.”
“Genggamlah tanah ini, kejap. Erat, seerat-eratnya.” Bapa tunduk mengepal tanah yang berpasir keras kerikil dengan tangannya.
“Ayah, darah menitis dari genggaman tangan ayah!”
“Ayah cinta akan tanah ini … kau jagalah tanah ini seperti kami – ayah dan nendamu menjaganya dahulu. Usah lupa, seperti yang terjadi pada Desa sebelah tasik itu.”
Kirmizi menjelma tanda waktu berbuka puasa tiba. Tidak jauh dari tangga, seorang anak jiran menghulurkan sepiring kuih untuk berbuka. Kedengaran suara kanak-kanak memberi salam. “Pak cik, Buyut kirim sepiring nagasari juadah untuk berbuka.”
Biodata Penulis:
WAHYU Budiwa Rendra lahir di Johor Bahru pada 15 Syawal 1399 Hijrah. Berkelulusan Bacelor Pentadbiran Perniagaan UPM. Berkarya sejak 2002, selepas mengikuti Bengkel Kelab Penulis Zaharah Nawawi. Mazhab Cinta (DBP, 2008) meraih Hadiah Kumpulan Cerpen Remaja Hadiah Sastera Darul Takzim 2009. Penerima Anugerah Penulis Muda Johor oleh Persatuan Penulis Johor (PPJ) pada 2007, kini bertugas di YWJ Citra Holdings Sdn Bhd. Buku Warkah Alam (Ameen Books, 2010) menghimpunkan cerita motivasi karya bersama-sama Mohd Fadzli Abu Bakar. Blognya boleh dilayari di wbrendra.blogspot.com
OLEH SAIFUL ANUAR SAFIAN
No comments:
Post a Comment