TAHUN
BARU 2014
2014...Tahun Baru...ada ke kelebihan meraikannya |
HANYA 5
jam lagi dari sekarang, kita akan menyambut sambutan tahun baru Masihi 2014. Memang tidak
dinafikan bahawa tahun Masihi dijadikan tarikh utama di dalam kalendar
masyarakat antarabangsa. Pada setiap tahun menjelang hendak masuk tahun baru
Masihi, pelbagai acara sambutan besar-besaran diadakan oleh orang bukan Islam
bagi meraikan dan membesarkan hari tersebut. Tetapi akhir-akhir ini telah
didapati sesetengah masyarakat Islam juga turut meraikan awal tahun baru masihi
dengan sambutan sebagaimana orang bukan Islam meraikannya.
Khutbah Jumaat ada pernah menegaskan sebenarnya menyambut awal
tahun baru Masihi bukanlah budaya orang-orang Islam dan ia bukanlah salah satu
dari hari-hari kebesaran Islam sebagaimana orang-orang Islam menyambut awal
tahun Hijriah, Hari Maulidur Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Israk dan
Mikraj, puasa Ramadan, Nuzul Al-Qur'an, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya
Aidiladha.
Dalam pesta menyambutnya, bermacam-macam acara sering diadakan
untuk memeriahkan kedatangan tahun baru itu.Pada malam 1 Januari, pelbagai
pesta dibuat dan lain-lain acara sementara menanti acara kemuncak iaitu
pengiraan detik tahun baru. Apabila jam sudah menunjukkan ke angka 12 tengah
malam, maka kedengaranlah teriakan dan sorak sorai orang ramai tanda tahun baru
sudah menjelma dan dentuman bunga api berbunyi di sana sini. Dalam pesta yang
diadakan itu, sudah setentunya banyak perkara negatif berlaku, antaranya
percampuran di antara lelaki dan perempuan, terdapat bentuk hiburan yang
dilarang oleh Islam dan yang tidak bersesuaian dengan akhlak Islam.
Perkara-perkara yang disebutkan itu sangatlah bertentangan dengan kemuliaan
Islam.
Sudah jelas pesta atau sambutan berbentuk begitu hanya dilakukan
oleh masyarakat bukan Islam yang bercorakkan agama mereka sendiri. Oleh itu
kita sebagai umat Islam tidak boleh turut sama membesarkan kedatangan awal
tahun Masihi seperti mana orang bukan Islam membesarkannya, kerana dikhuatiri
akan membawa tasyabbuh (penyerupaan) dari segi budaya, tujuan dan akidah mereka
yang beragama, selain dari agama Islam. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
bersabda kira-kira bermaksud :
"Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka
dianggap salah seorang dari kalangan mereka." (Hadis riwayat Abu Daud).
Namun ada baiknya kita menyambut kedatangan awal tahun itu dengan
doa dan sembahyang sunat seperti menyambut awal tahun Hijriah agar kita
diberkati dalam apa jua perkara yang kita lakukan sepanjang tahun. Awal tahun
Hijriah iaitu awal Muharam adalah salah satu dari hari-hari kebesaran Islam
yang dihormati dan mengandungi kemuliaan dan kelebihan yang tersendiri seperti
bulan-bulan Hijriah yang lain.
Kerana itu kita, sebagai umat Islam sepatutnya berbangga dengan
budaya dan cara kita umat Islam di dalam menyambut kepergian dan kedatangan
tahun baru yang sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Janganlah kita terlalu terikut dengan cara budaya barat menyambut kedatangan
tahun baru yang sentiasa membawa keburukan dan kemungkaran pada diri sendiri.
Walaupun ianya mendatangkan keseronokan di waktu hidup kita tetapi pada
hakikatnya akan mendatangkan keseksaan dan kesengsaraan di akhirat kelak.
Berdoa adalah satu ibadat, disuruh pada setiap masa dan detik.
Tidak ada batas waktu baginya. Firman Allah (tafsirnya): "Berdoalah kamu
nescaya Aku perkenankan bagi kamu doa kamu itu."
Cuma yang tidak kena, kita berdoa khusus demi atau kerana
menyambut dan merayakan tahun baru Masihi itu bukan asal dari orang Islam,
bukan tradisi kita umat Islam. Ia biasanya mengandungi acara-acara yang
bercampur-aduk, termasuk perkara-perkara yang menyalahi agama.
Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam pernah menyatakan jika
hendak berdoa, kita berdoa. Tetapi bukan atas nama menyambut dan merayakan
tahun baru masihi. Kita berdoa minta selamat, minta jauhkan bala dalam
peralihan ke alaf baru ini. Itu tidak mengapa sebagaimana diadakan di
masjid-masjid utama, masjid surau dan balai ibadat seluruh negara anjuran
Jabatan Hal Ehwal Masjid.
Dinegara ini, nampaknya tahun baru juga mula dah disambut dengan demontrasi jalanan atau tunjuk perasaan. Tarikh itu dah diangkat sebagai satu tarikh perjuangan pada sesetengah parti politik. Yang lebih menghairankan ada juga parti politik yang beraliran islam turut menyertainya. Apa dah jadi? Kerajaan melaksanakan perayaan tahun baru, semata-mata dari perspektif ekonomi dengan tambatan harapan peningkatan industri pelancongan. I City, Dataran Merdeka dan bandar-bandar utama dijadikan sebagai dana untuk pelaburan pada industri pelancongan.
Fikir-fikirkanlah
saifulfromslim2014
No comments:
Post a Comment