my advertise

THE BLOG OWNER

THE BLOG OWNER
“Kindness is a language which the deaf can hear and the and the blind can see”

MY Frenz / MY Sahabat

26 June 2012

AKU TERTARIK DENGAN UCAPAN MR PRIME MINISTER DATUK SERI NAJIB TUN ABD RAZAK


Perutusan Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia Sempena Peristiwa Israk Dan Mikraj 1433 Hijrah

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia, Saudara dan saudari sekalian,

1. Alhamdulillah, sekali lagi kita diberi kesempatan untuk bertemu bulan Rejab, dengan harapan akan disusuli dengan Syaaban seterusnya menikmati kemuliaan beribadah di bulan Ramadhan. Sesungguhnya, 27 Rejab secara tradisinya membawa ingatan kita kepada satu peristiwa agung yang tiada taranya, iaitu Peristiwa Israk dan Mikraj. Biarpun kisah ini berlaku melebihi 1400 tahun yang lalu, tetapi kerelevanan dan kepentingannya adalah amat signifikan buat umat Islam.

2. Sememangnya, ini adalah sesuai dengan apa yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran apabila Allah SWT memaktubkan peristiwa agung Israk melalui firman-Nya dalam surah al-Israa^ ayat pertama yang bermaksud:-

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

3. Sebaiknya, selain kita mengagumi peristiwa ini secara harfiah, adalah lebih afdal kiranya kita menjadikannya pedoman bagi mendepani cabaran semasa umat hari ini. Sebagaimana para nabi telah disatukan untuk berimamkan Rasulullah SAW di Masjidil Aqsa, demikianlah kita perlu bersatu untuk mempertahan serta menegakkan agama Islam.

4. Kita juga mestilah mengiktibari peristiwa Israk dan Mikraj ini untuk mengukuhkan akhlak kita sebagai seorang muslim yang unggul terutamanya melalui solat dan ibadah-ibadah yang lain. Rasulullah SAW sentiasa menyeru kita agar menjaga solat dan akhlak. Akhlak yang kurang baik dan keruntuhan moral oleh segelintir umat Islam kini berpunca daripada solatnya yang tidak khusyuk menyebabkan mereka masih melakukan perbuatan keji dan maksiat. Justeru, pelaksanaan solat yang khusyuk berupaya menjadi benteng untuk mengukuhkan kekuatan akidah dan akhlak umat Islam bagi menghadapi segala serangan sosial masa kini.

5. Menyaksikan apa yang berlaku di luar negara, kita seharusnya bersyukur dengan kestabilan sosial, politik dan ekonomi yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kita. Ini semua memerlukan dukungan dan peranan semua pihak. Syukur Alhamdulillah, baru-baru ini kita telah dinobatkan sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara dalam Indeks Keamanan Global. Justeru, saya menyeru segenap lapisan masyarakat agar menyokong usaha-usaha kerajaan dan mengambil bahagian dalam membina persekitaran negara yang aman dan selamat.

6. Sesungguhnya, institusi masjid yang menjadi teras di dalam peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj ini telah mengingatkan umat Islam dengan ikatan erat mereka dengan Masjidil Aqsa dan Baitulmaqdis. Dunia menyaksikan, bagaimana Malaysia terus istiqamah dengan pendirian kita menentang kezaliman dan keganasan rejim zionis Israel di Palestin tanpa berdolak-dalik.

7. Akhirul kalam, saya dan keluarga mengajak semua umat Islam di negara ini bersama-sama mengiktibari Peristiwa Israk dan Mikraj ini. Semoga penghayatan kita kepada peristiwa hebat ini menjadikan hari esok kita lebih baik daripada hari ini. Insya-Allah.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...