semakan dr blog aku follow - hubungan baru selepas 13 tahun
Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke United Kingdom yang berakhir semalam berjaya membuka lembaran baru terutama dalam hubungan politik dan diplomatik antara kedua-dua negara. Kepimpinan Perdana Menteri, David Cameron, yang menyedari hubungan dua negara diabaikan lebih sedekad semasa pentadbiran parti Buruh, mahu ia dipulihkan dan diberi nafas baru.
"Kerajaan campuran UK sekarang melihat lawatan ini sebagai berprofail tinggi dan memberi gambaran jelas mahu hubungan dipulihkan dan diberi suntikan baru," jelas Najib kepada wartawan Malaysia setelah mengakhiri lawatan rasmi empat hari, lawatan rasmi pertama beliau selaku Perdana Menteri ke negara ini.
Tiada lawatan rasmi dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia sepanjang 13 tahun pemerintahan parti Buruh dahulu. Perakuan tersebut, kata Najib, diberikan sendiri oleh Cameron yang mengetuai kerajaan campuran serta menteri-menteri kanannya yang melihat Malaysia sebagai penting dalam agenda kerja negara mereka.
Oleh itu, jelasnya, hubungan Malaysia-UK, yang mempunyai sejarah panjang dan asas yang kukuh dari sudut sejarah dan bidang-bidang tradisional seperti ekonomi, perdagangan dan pendidikan dapat diperkasakan semula.
Najib berkata, kedua-dua negara juga mendalami soal kerjasama keselamatan pertahanan serta tumpuan membanteras ancaman puak pelampau dan mereka yang boleh mencetuskan ancaman pengganas sama ada di kedua-dua negara ataupun keganasan di peringkat global.
Ancaman kepada keselamatan siber juga menjadi topik perbincangan pada lawatan ini kerana ia bentuk ancaman baru yang dihadapi oleh semua pihak malah ancamannya kepada UK sekarang amat serius, katanya. UK juga tertarik dan menyokong pergerakan kesederhanaan sejagat yang diketengahkan oleh Malaysia dan menyifatkannya sebagai tepat pada masanya dalam memastikan keamanan dunia.
Perdana Menteri juga berkongsi pandangan dengan para pemimpin masyarakat Islam UK mengenai cara mana yang membantu memberi imej betul dan tepat terhadap ajaran Islam dalam usaha mengatasi Islamofobia.
No comments:
Post a Comment