SELASA, 10 FEBRUARI 2015
KRONOLOGI KES LIWAT DATUK SERI ANWAR IBRAHIM DAri 28 JUN hingga 10 FEBRUARI 2015.
28 Jun 2008 : Bekas pembantu Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, membuat
laporan polis mendakwa Anwar meliwatnya di sebuah kondominium di Damansara.
30 Jun 2008 : Anwar memfailkan
saman fitnah terhadap Saiful yang membuat laporan polis ke atasnya bagi tuduhan
liwat, dengan mendakwa laporan itu palsu dan berniat jahat.
7 Ogos 2008 : Anwar, penasihat
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini
atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, di
Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara,
antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Beliau dituduh mengikut Seksyen
377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat
jika sabit kesalahan.
Hakim S M Komathy Suppiah
membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi RM20,000 tanpa penjamin.
7 Nov 2008 : Hakim Mahkamah Sesyen
S M Komathy Suppiah memutuskan supaya kes liwat Anwar dibicarakan di Mahkamah
Sesyen selepas mendapati sijil untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi
yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak sah.
Dalam menolak permohonan
pendakwaan (supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi), Komathy berkata
sijil itu bercanggah dengan jangkaan perundangan Anwar bahawa Abdul Gani tidak
akan terbabit dalam kes itu.
5 Mac 2009 : Mahkamah Tinggi
memutuskan kes liwat itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan bukannya di
Mahkamah Sesyen.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu berikutan
permohonan pihak pendakwaan supaya dikaji semula keputusan Mahkamah Sesyen
mengekalkan perbicaraan kes itu di Mahkamah Sesyen.
Beliau berkata Hakim Mahkamah
Sesyen S M Komathy Suppiah terkhilaf dalam memutuskan bahawa sijil pemindahan
kes itu yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, tidak
sah.
6 Mac 2009 : Anwar memfailkan
rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi supaya kes
liwatnya didengar di Mahkamah Tinggi.
10 Mac 2009 : Mahkamah Tinggi
menetapkan 1 hingga 24 Julai sebagai tarikh perbicaraan kes liwat itu.
17 Jun 2009 : Anwar memfailkan
permohonan untuk mengetepikan pertuduhan liwat beliau di Mahkamah Tinggi.
6 Nov 2009 : Mahkamah Rayuan
menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen penting dan sampel DNA yang
didakwanya amat penting untuk pembelaannya dalam perbicaraan bagi pertuduhan
liwat yang dihadapinya.
Antara dokumen penting itu ialah
kenyataan yang direkodkan daripada saksi iaitu Saiful, Dr Osman Abdul Hamid
dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium Hassanuddin Abdul Hamid, kenyataan
tiga doktor Hospital Kuala Lumpur, nota ahli kimia dan laporan perubatan.
1 Dis 2009 : Mahkamah Tinggi
memutuskan bahawa ia tidak boleh membatalkan pertuduhan meliwat terhadap Anwar
hanya berdasarkan laporan perubatan yang menyatakan ketiadaan penetrasi.
Semasa menolak permohonan Anwar
untuk mengetepikan pertuduhan liwatnya, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah
berkata laporan perubatan tidak boleh dijadikan asas untuk mahkamah menggunakan
kuasa untuk membatalkan pertuduhan itu.
3 Feb 2010 : Perbicaraan kes liwat
Anwar dimulakan dengan Saiful memberi keterangan sebagai saksi pertama.
Perbicaraan itu, di hadapan Hakim Mohamad Zabidin, bermula selepas 18 bulan
Anwar dituduh pada Ogos 2008.
Dalam keterangannya, Saiful
memberitahu bahawa Anwar yang didakwa meliwatnya, mengajaknya untuk melakukan
hubungan seks di luar tabii.
Saiful berkata insiden itu berlaku
pada 26 Jun 2008 selepas beliau dan Anwar selesai berbincang mengenai jadual
kerja di sebuah unit kondominium Desa Damansara di sini.
5 Feb 2010 : Saiful memberitahu
Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak membuang air besar selama dua hari selepas
diliwat oleh Anwar. Beliau juga memberi keterangan bahawa seluar yang
dipakainya pada hari insiden itu berlaku adalah hadiah daripada Anwar.
9 Feb 2010 : Perbicaraan kes liwat
itu ditangguhkan sekali lagi bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan maklum
balas kepada afidavit jawapan terhadap permohonan Anwar supaya hakim menarik
diri.
Ia ditangguhkan selepas pembelaan
memohon supaya Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri daripada mendengar
kes itu dengan alasan beliau bertindak berat sebelah.
18 Feb 2010 : Anwar gagal dalam
cubaannya untuk meminta Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar
perbicaraan kes liwatnya.
Hakim Mohamad Zabidin, semasa
menolak permohonan itu, memutuskan bahawa tidak ada sebab beliau perlu menarik
diri daripada menghakimi kes itu, dan jika beliau berbuat demikian, ia seperti
melarikan diri daripada tanggungjawabnya.
25 Feb 2010 : Anwar gagal dalam
cubaannya untuk mendapatkan dokumen-dokumen penting termasuk contoh spesimen
DNA Saiful sebelum bermulanya perbicaraan kes liwatnya, selepas Mahkamah
Persekutuan menolak permohonannya.
3 Mac 2010 : Semasa pemeriksaan
balas oleh peguam Anwar, Karpal Singh, Mohd Saiful memberitahu Mahkamah Tinggi
bahawa beliau tidak membasuh duburnya selepas insiden liwat yang didakwa
berlaku pada 26 Jun 2008 kerana beliau mahu "simpan bukti".
Saiful, saksi utama terhadap kes
liwat ketua pembangkang itu, juga memberitahu bahawa beliau tidak mandi selepas
insiden itu sebaliknya hanya menyiram tubuhnya.
Beliau mandi pada pagi sebelum
insiden itu berlaku, katanya.
16 Ogos 2010 : Anwar gagal dalam
cubaan keduanya untuk menggugurkan pertuduhan liwat terhadap dirinya selepas
permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi.
Dalam usahanya menggugurkan
pertuduhan itu, Anwar mendakwa integriti dan kesaksamaan keseluruhan pasukan
pendakwaan adalah dicurigai berikutan dakwaan wujudnya hubungan antara Saiful
dengan seorang daripada anggota pendakwaan.
20 Sept 2010 : Mahkamah Rayuan
menolak rayuan Anwar untuk membatalkan pertuduhan liwatnya kerana ia tidak ada
bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan perkara berkenaan.
6 Dis 2010 : Anwar sekali lagi
gagal dalam cubaan keduanya meminta Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada
menghakimi perbicaraan kes liwatnya selepas Mahkamah Tinggi menolak
permohonannya.
Anwar memohon penarikan diri hakim
itu berikutan keengganannya mengenakan tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana
menghina mahkamah kerana mengeluarkan laporan yang didakwa pihak pembelaan
sebagai prejudis kepada kes itu.
14 Dis 2010 : Bapa Saiful, Azlan
Mohd Lazim, merayu kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin
supaya membantu mempercepatkan kes membabitkan anak lelakinya itu.
14 Jan 2011 : Mahkamah Rayuan
menolak rayuan Ketua Pembangkang itu untuk mengetepikan keengganan Hakim
Mohamad Zabidin menarik diri daripada mendengar perbicaraan itu.
16 Mei 2011 : Mahkamah Tinggi
memerintahkan Anwar membela diri atas tuduhan meliwat Saiful tiga tahun lalu,
selepas pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie terhadap Anwar.
Dalam penghakimannya, Hakim
Mohamad Zabidin berkata saksi utama, Saiful, adalah seorang saksi yang benar,
boleh dipercayai dan diyakini.
6 Jun 2011 : Anwar gagal dalam
percubaan ketiganya supaya Hakim Mohamad Zabidin menarik diri daripada
mendengar perbicaraan kes liwatnya. Beliau mengemukakan permohonan itu atas
alasan terdapat prapenghakiman dan sikap berat sebelah oleh hakim itu apabila
memutuskan bahawa Saiful adalah seorang saksi yang boleh dipercayai pada
penggulungan kes pendakwa.
22 Ogos 2011 : Anwar yang memilih
untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh apabila membacakan kenyataannya
yang setebal 32 muka surat, menafikan beliau mengadakan hubungan seks dengan
Saiful.
Anwar mempunyai tiga pilihan -
memberi keterangan dari kandang saksi yang bermakna beliau boleh disoal balas
oleh pihak pendakwaan; memberi keterangan dari kandang tertuduh yang bermakna
beliau tidak boleh diperiksa balas oleh pihak pendakwaan tetapi dalam membuat
keputusan, mahkamah mengambil kira fakta bahawa pihak pendakwaan belum menyoal
balas tertuduh; atau memilih untuk berdiam diri.
Pada perbicaraan kes liwatnya yang
pertama pada 1998, Anwar memberi keterangan dari kandang saksi.
6 Okt 2011: Mahkamah Tinggi
memutuskan tidak perlu bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri,
Datin Seri Rosmah Mansor memberi keterangan sebagai saksi pembela dalam perbicaraan
kes liwat Anwar.
Mahkamah membuat keputusan itu
selepas membenarkan permohonan Najib dan Rosmah untuk mengetepikan sapina yang
mengarahkan mereka menjadi saksi untuk pihak pembela pada perbicaraan kes liwat
itu.
Hakim Mohamad Zabidin berkata
selepas meneliti afidavit, hujah daripada pihak berkaitan, mahkamah bersetuju
dengan peguam yang mewakili Najib dan Rosmah bahawa Anwar gagal menunjukkan
kerelevanan dan kepentingan apabila mengemukakan sapina kepada perdana menteri
dan isteri.
9 Jan 2012 : Mahkamah Tinggi
membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Saiful. Penghakiman 80
muka surat oleh Hakim Mohamad Zabidin menunjukkan adanya kemasukan zakar tetapi
ia tidak disokong oleh bukti-bukti lain.
Beliau berkata mahkamah tidak
boleh 100 peratus yakin mengenai integriti sampel yang diambil untuk ujian DNA
daripada Saiful kerana sampel itu mungkin telah dikompromi sebelum tiba di
Jabatan Kimia untuk dianalisis.
9 Julai 2012 : Pihak pendakwaan
mengemukakan petisyen rayuan mengandungi sembilan alasan, yang antara lain,
supaya Anwar disabitkan atas tuduhan liwat mengikut Seksyen 377B Kanun
Keseksaan.
12 Sept 2012 : Anwar menarik balik
samannya terhadap Mohd Saiful kerana membuat laporan polis terhadapnya kerana
meliwat dan mendakwa laporan itu bersifat palsu dan berniat jahat.
22 Feb 2013 : Mahkamah Rayuan
menetapkan dua hari dari 22 Julai 2013 untuk mendengar rayuan pendakwaan
terhadap pembebasan Anwar.
18 Sept 2013 : Mahkamah Rayuan
menolak permohonan Anwar untuk melucutkan kelayakan peguam kanan Tan Sri
Muhammad Shafee Abdullah sebagai pendakwa raya bagi mengetuai pasukan
pendakwaan dalam rayuannya terhadap keputusan membebaskan Anwar daripada
tuduhan liwat.
2 Okt 2013 : Mahkamah Rayuan
menetapkan dua hari mulai 11 Disember untuk mendengar rayuan pihak pendakwa
terhadap pembebasan Anwar.
21 Nov 2013 : Anwar gagal dalam
rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee
Abdullah daripada bertindak sebagai pendakwa raya untuk mengetuai pasukan
pendakwaan dalam kes rayuannya.
Anwar mengemukakan permohonan
dengan alasan bahawa Muhammad Shafee tidak boleh bertindak sebagai pendakwa
raya dalam kes rayuan itu kerana beliau (Muhammad Shafee) adalah saksi penting
pada perbicaraan kes liwat.
11 Dis 2013 : Anwar gagal dalam
permohonannya bagi kali kedua untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee.
20 Dis, 2013 : Anwar gagal dalam
permohonannya bagi kali kedua untuk melucutkan kelayakan Muhammad Shafee
mengetuai pihak pendakwa raya. Ketika menolak permohonan Anwar, Mahkamah Rayuan
memutuskan permohonan itu tidak mempunyai merit.
Kali ini, Anwar menggunakan
maklumat daripada akuan berkanun bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala
Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim sebagai alasan untuk mengemukakan permohonan.
6 dan 7 Mac 2014 : Mahkamah Rayuan
mendengar hujah daripada Muhammad Shafee dan peguam Karpal Singh.
7 Mac 2014 : Anwar dijatuhi
hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan selepas mahkamah mendapatinya
bersalah meliwat Mohd Saiful, enam tahun lepas.
Hakim Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai
panel tiga hakim mendengar rayuan pendakwa dalam kes itu, bagaimanapun
membenarkan permohonan Anwar bagi penangguhan pelaksanaan hukuman, sementara
menunggu keputusan rayuan dengan mengenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang
penjamin.
Ketika mengetepikan keputusan
Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Anwar, Hakim Balia berkata mahkamah dengan
sebulat suara memutuskan bahawa hakim perbicaraan telah tersilap dalam
penghakimannya bahawa integriti sampel DNA yang digunakan dalam kes itu telah
dikompromi.
Karpal Singh, ketika ditemui
pemberita kemudian, berkata berikutan keputusan itu, Anwar tidak dapat
mengemukakan borang penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Kajang pada 10
Mac.
24 April, 2014 : Ketua Pembangkang
mengemukakan petisyen rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun atas kesalahan
liwat di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan 35 alasan
mengapa sabit kesalahan dan hukuman ke atasnya harus diketepikan.
14 Ogos 2014 : Mahkamah
Persekutuan menetapkan 28 dan 29 Okt untuk mendengar rayuan akhir Anwar. Datuk
Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pembela berikutan kematian peguam Karpal
Singh yang terkorban dalam nahas jalan raya pada 17 April.
14 Okt 2014 : Mahkamah Persekutuan
memutuskan Muhammad Shafee ialah seorang yang sesuai dan layak untuk mengetuai
pasukan pendakwa dalam kes rayuan Anwar pada 28 Okt.
Panel lima hakim yang diketuai
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mencapai keputusan itu dengan sebulat
suara, berkata saluran yang sesuai untuk Anwar mencabar pelantikan Muhammad
Shafee ialah melalui semakan kehakiman dan bukan melalui notis usul.
28 dan 29 Okt 2014: Mahkamah
Persekutuan mula mendengar hujah daripada pihak pembela dan pendakwa.
7 Nov 2014: Selepas lapan hari
prosiding, Mahkamah Persekutuan menangguhkan ke satu tarikh lain keputusan
rayuan akhir kes liwat Anwar.
26 Jan 2015: Mahkamah Persekutuan
menetapkan 10 Januari keputusan rayuan akhir kes liwat Anwar terhadap Saiful.
10 feb 2015 : Datuk Seri
Anwar Ibrahim keluar dari Istana Kehakiman, Putrajaya dipercayai menuju ke
Penjara Sungai Buloh. Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara
lima tahun ke atas Anwar Ibrahim yang dijatuhi Mahkamah Rayuan berikutan
sabitan kesalahan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
No comments:
Post a Comment