My home

28 February 2014

CINTA MAINAN

CINTA MAINAN
Wanita jujur selalu memperolehi cinta mainan
The Friday Love Oleh:
http://saifulfromslim.com
Jodoh, pertemuan dan maut kesemuanya kerja Allah dan tidak sesiapa boleh menolak untuk melalui apa juga yang telah Dia tentukan untuk hamba-Nya.Begitu juga tidak semua yang diharap akan menjadi seperti yang manusia rancang kerana disebabkan berlaku perkara di luar jangkaan manusia itu sendiri.

Inilah kisah yang ingin saya kongsi dengan pembaca minggu ini. Kisah jodoh tak sampai sepasang kekasih akibat lelaki yang dikasihi memilih wanita yang disukai ibunya sebagai isteri.
Apa yang berlaku kepada Wana (bukan nama sebenar) selepas kejadian itu? Ikuti ceritanya seperti mana diberitahu kepada saya dalam e-mel yang panjang dan menyedihkan.

Begini ceritanya:

"Saya berusia 27 tahun, seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta. Saya telah berkenalan dengan Faiz (bukan nama sebenar) sejak di kampus dan kami telah berjanji untuk berkongsi hidup selepas tamat pengajian.
"Sayangnya hubungan cinta kami dihalang oleh ibu Faiz kerana ibunya sudah mempunyai calon isteri untuknya. Walaupun Faiz telah berusaha memujuk ibunya untuk menerima saya, namun itu tidak berhasil, saya masih bukan menantu pilihan.

"Selepas tamat belajar, saya dapat kerja di Kuala Lumpur, Faiz pula bekerja di utara tanah air tempat kelahirannya. Hubungan kami berlangsung dalam suasana jarak jauh, dua tiga bulan sekali Faiz turun bertemu saya, tidak pun saya ke sana, itu pun tidak selalu.

"Dalam masa yang sama, saya selalu mendesak supaya hubungan kami ditamatkan dengan ikatan pernikahan.
Faiz meminta saya bersabar, kononnya masih berusaha memujuk ibunya menerima saya. Akur dengan kesetiaan kami, saya menunggu.

"Tetapi bagaikan menunggu buah yang tak gugur, tidak ada tanda-tanda yang Faiz akan melamar saya seperti mana janjinya. Dua tahun berlalu tanpa ada tanda-tanda yang kami boleh disatukan. Saya mula bosan menunggu, tambahan pula ibu bapa dan keluarga selalu bertanya.

"Tidak mahu terus menunggu, saya meminta dia datang berjumpa saya untuk mengetahui status hubungan kami. Maklum sahajalah, semakin lama menunggu, usia saya semakin meningkat. Faiz mengelak daripada memberi keputusan yang boleh saya terima dengan gembira dan masih berdolak-dalik.

"Akhirnya, saya bagi kata dua kepadanya sama ada dia melamar saya dalam masa dua bulan atau saya akan putuskan hubungan kami. Saya tidak meminta simpati daripada Faiz tetapi mahu dia serius dalam hubungan kami.
"Dia setuju. Saya menunggu saat itu, sayangnya dua bulan berlalu begitu sahaja. Saya reda dan nekad untuk putuskan hubungan kami. Selepas itu, Faiz hilang tanpa khabar berita. Satu hari Ina, kenalan saya yang sama-sama menuntut di universiti datang berkunjung ke rumah. Dia sekampung dengan Faiz. Ina bertanya sama ada saya pernah berjumpa Faiz. Terkejut juga saya, tetapi saya buat macam tidak ada apa-apa berlaku.

"Saya terpaksa berlakon kerana Ina tidak tahu kami masih bercinta selepas tamat belajar. Di mana Faiz sekarang, saya pura-pura bertanya seperti saya tidak pernah jumpa Faiz selama ini.

"Oh... dia sudah kahwin empat bulan lalu dengan sepupunya. Meriah majlis perkahwinan dia...aku pergi majlis perkahwinan itu, sebab sepupu dia itu satu sekolah dengan aku di kampung.
"Ya... Allah, apakah benar cerita yang dibawakan oleh kawan saya ini atau memang Allah sedang menguji saya? Akhirnya saya berterus terang dengan Ina tentang hubungan saya dengan Faiz.
"Terkejut bukan kepalang Ina dengar cerita saya. Dia minta maaf kerana tidak tahu yang kami masih berhubungan selepas keluar universiti. Saya menangis di hadapannya kerana terlalu sedih. Patutlah Faiz sentiasa berdolak-dalik bila saya sebut tentang kahwin, rupa-rupanya dia sudah pun menjadi suami orang.
"Saya tidak tunjuk kekecewaan saya kepada Ina tetapi berkata, kami tiada jodoh, elok dia pilih gadis pilihan ibunya, sebab rumah tangganya akan bahagia dan diberkati, jawab saya.

"Selepas sebulan Ina berjumpa saya, Faiz menelefon saya. Pada mulanya, saya tidak mahu layan tetapi saya fikir elok saya uji dia, sama ada dia ikhlas atau tidak dengan saya. Faiz meminta untuk berjumpa saya, katanya dia rindukan saya.

"Pelikkan lelaki! Pandai dia berlakon. Tapi saya beri ruang kepadanya untuk berjumpa. Dan saya akan selesaikan drama yang sedang dia lakonkan itu dalam pertemuan kami nanti.

"Seperti dijanji, kami berjumpa di tempat biasa kami bertemu. Inilah kenangan akhir saya dengan Faiz. Saya bawa adik saya sebagai teman tetapi dia tidak duduk semeja dengan kami. Saya minta dia perhatikan saya, bimbang jika terjadi apa-apa.

"Faiz datang seperti biasa dengan senyum yang tidak putus-putus. Dia menyapa dan bertanya khabar. Kemudian beritahu saya dia rindu saya. Banyak yang dia ceritakan tentang hidupnya dalam pertemuan itu kecuali pernikahannya.

"Saya semakin hilang sabar dan tidak mahu lagi mendengar celoteh mengarutnya itu. Tapi macam mana saya nak mulakan skrip saya? Lalu saya tanya, apa khabar ibunya. Jawab dia, ibunya sihat dan nampak gembira sejak akhir-akhir ini.

"Saya tanya lagi, sebab ibu you sudah dapat menantu idaman kan? Itu yang membahagiakan ibu you? Antara sedar dengan tidak, soalan itu terkeluar dari mulut saya. Saya lihat wajah Faiz berubah. Dia tersandar di kerusi.
"Apa yang you cakap ini? Jangan nak tuduh sembarangan ya..I ikhlas datang jumpa you, macam ini you layan I? Bertubi-tubi Faiz menerjah dan saya buat tak faham sahaja.

"Gunung berapi dalam dada saya semakin hendak meletup. Tanpa menunggu Faiz bersuara lagi, saya beritahu dia supaya jangan berlakon lagi sebab rahsianya sudah terbongkar.

"Betul kan you sudah kahwin dengan sepupu idaman ibu you tu kan? Ini buktinya? Saya tunjukkan dia gambar persandingannya dengan gadis itu seperti yang diberi oleh Ina kepada saya menerusi telefon bimbitnya.
"Terkebil-kebil Faiz melihat gambar itu. Dia menepuk dahi berkali-kali sambil mengeluh. Wajahnya merah padam. Mungkin dia malu kerana masih berdrama dengan saya. Dia tidak memandang wajah saya, sebaliknya tunduk memandang lantai.

"Jangan nak berlakon lagi. Mengaku sahajalah. I boleh terima keadaan. I dah agak dari dulu, inilah yang akan berlaku dengan hubungan kita, anak mak memang macam ini, tidak akan membantah kehendak ibu walaupun orang lain akan kecewa.

"Macam-macam yang saya katakan kepada Faiz, habis semua yang terpendam dalam hati saya terkeluar, satu persatu. Saya lega dan puas...seronok pun ada. Saya tidak akan menangis dan melayan perasaan putus cinta. Itu kerja orang bodoh.

"Saya akan teruskan hidup seperti biasa. Saya bagi tahu Faiz tentang perkara itu. Saya minta maaf atas segala perlakuan saya kepadanya dan berdoa agar dia bahagia dengan isterinya.

"Tanpa menunggu jawapan, saya minta diri dan meninggalkan restoran itu. Faiz terkapai-kapai, walaupun dia cuba menghalang saya terus melangkah. Suaranya semakin hilang dari telinga saya. Dan saya amat berharap biarlah untuk selama-lamanya.

"Kini, setahun sudah berlalu. Saya tetap bahagia dengan cara saya. Hidup saya tetap ceria walaupun sesekali teringat juga akan hubungan indah yang telah berakhir dengan kesedihan itu. Saya berharap Allah sedang aturkan kehidupan yang indah untuk saya. Apa yang berlaku, saya anggap pengajaran dalam hidup.

"Semoga Allah lindungi kehidupan saya di dunia dan akhirat. Amin," begitu penyudah cerita Wana.
Saya kagum dengan kecekalan Wana menangani masalah cintanya. Inilah sebaik-baik tindakan yang perlu diambil oleh seorang wanita apabila berdepan dengan masalah berkaitan kasih sayang.

Kumbang bukan seekor, walau berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Saya faham, Wana juga kecewa kerana cintanya tidak kesampaian, tetapi dia bijak menangani masalah itu. Tidak dibuai sedih dan kecewa hanya kerana seorang lelaki.

"Saya doakan Wana akan mendapat jodoh yang lebih baik selepas ini. Setiap perkahwinan perlu restu ibu bapa, jika tidak, banyak cabaran yang akan dihadapi.

Menamatkan catatan, pesanan saya untuk renungan bersama: "Kesabaran itu kunci kebahagiaan dan kesenangan, oleh itu redalah dengan takdir Allah. Insya-Allah ada bahagia yang menanti.




No comments:

Post a Comment