My home

21 April 2013

Calon PRU-13: Antara strategi, jaga hati dan restu ‘warlord’




Calon PRU-13: Antara strategi, jaga hati dan restu ‘warlord’
Oleh Zaini Hassan

PRU-13 akan diadakan bila-bila masa sahaja dari sekarang, sebaik-baik sahaja Parlimen dibubarkan, juga pada bila-bila masa ini.Ada muka baru dan lama yang sudah mendapat isyarat awal bakal dicalonkan.Ada yang sudah turun padang memperkenalkan diri dan berceramah di kawasan tersebut saban malam.Ada yang sudah mula bergegas balik kampung menemui ibu dan bapa untuk mendapatkan ‘perkenan’. Yang ibu bapa sudah meninggal dunia, mahu pulang menziarahi pusara masing-masing untuk mendapatkan ‘restu’.

Macam-macam fiil mereka ini. Ada juga yang sudah lama menjadi wakil rakyat berangan-angan mahu terus menjadi calon.Difahamkan ada calon yang sudah berkali-kali menjadi MP (Ahli Parlimen) terus mendabik dada mengatakan dia masih winnable candidate (calon sahih menang).Sama ada benar atau tidak kisah ini, pucuk pimpinan sendiri pernah menasihatkan “orang yang mendabik dada" itu supaya berundurlah, tetapi dia tetap mengatakan dia boleh menang.

Sehinggakan kononnya, mahu ditukar dengan anaknya juga, dia masih mengatakan “saya boleh menang".
Itulah akibatnya jika warlord ini sudah terlalu kebal dan menganggap dia sahaja yang hebat. Samalah juga seperti warlord Nik Aziz yang mahu terus bertanding pilihan raya ‘sampai bila-bila’.Ada juga yang sudah berkira-kira mahu menukar kerusi Parlimen kerana bimbang kalah setelah mendapati sokongan semakin lari ke lain. Antaranya ialah Anwar Ibrahim. Beliau sedar sokongan kepadanya di Pematang Pauh sudah jatuh. Petunjuknya ialah: Majlis ceramahnya hampir kosong.

Konon kata ada juga pemimpin besar UMNO bertaraf menteri yang akan turut sama berbuat demikian.
Apa pun kita berharap PM bertegas membuat keputusan dalam menentukan calon. Ini soal penting dan paling penting dalam PRU-13 ini.Namun, berbagai usaha sedang dijalankan oleh ‘para strategis’ untuk menentukan warlord ini, yang kebanyakan ketua bahagian, terus membantu dan merestui calon-calon baru sekiranya mereka tidak terpilih kelak.

Setakat ini percaturan itu berjalan lancar. Difahamkan yang paling sukar ditangani ialah di Kelantan. Selangor boleh ditangani dan begitu juga di Kedah.Formulanya ialah keluarkan mereka melalui satu ‘tawaran’ perjanjian lain. Formula seterusnya ialah ada yang akan ditukar ke Parlimen atau sebaliknya, mengikut kesesuaian. Nampak di atas kertas percaturan ini diterima.Realiti politik menunjukkan warlord ini harus dipelihara dan dijagai, terutama di saat-saat ini bagi mengelakkan masalah yang lebih besar tercetus.

Jika kita menganggap pilihan raya kali ini sebagai ibu kepada segala pilihan raya (mother of all elections) maka semua pihak harus sedar diri.Letak ke tepi kepentingan diri dan beri sepenuh kepercayaan kepada pucuk pimpinan, iaitu PM yang juga Presiden parti.Ingatlah rakyat selaku pengundi sedang mengikuti perkembangan ini dengan cukup teliti. Di tangan mereka hidup dan mati calon-calon itu.

Saya amat percaya pengundi sekarang sudah cukup bijak membuat keputusan. Jangan diperlihatkan kekalutan dalaman ekoran pemilihan dan pengumuman calon itu kelak. Jangan buat pengundi meluat dan menyampah dengan gelagat-gelagat yang ditunjukkan.Saya percaya di saat ini, mungkin senarai calon sudah disiapkan. Sesiapa yang terpilih maka tahniahlah, dan sesiapa yang terlucut terimalah hakikat dan sesiapa yang menawarkan diri tidak mahu dicalonkan lagi kerana merasakan sudah terlalu tua dan lama, terima kasih banyak-banyak.

Kita mahu melihat nisbah antara yang baru dan lama memihak kepada muka-muka baru dan segar. Baru tidak semestinya muda.Saya pernah cadangkan nisbah 80 peratus baru: 20 peratus lama. Angka ini mungkin agak keterlaluan walaupun ada yang bersetuju, tapi jika 60:40 baru:lama pun sudah memadai.Ingatlah wahai bangsaku, beristiqamahlah. Cabaran politik semasa cukup getir bagi kita.

Sesungguhnya, rakyat sudah tidak sabar untuk mengundi demi agama, bangsa dan negara.


saifulfromslim

No comments:

Post a Comment