My home

22 November 2012

Adakah Penyakit Alzheimer Atau Nyanyuk Pada Ibu atau Bapa Kita Satu Ujian Allah s.w.t Pada Kita Untuk Menguji Kesabaran Dan Keimanan Kita...?


MENJAGA orang tua yang uzur bukanlah senang. Mereka terdedah kepada pelbagai jenis penyakit dan boleh menunjukkan pelbagai ragam.
Begitulah luahan hati Puan Normala apabila meluahkan perasaan mengenai keadaannya yang terpaksa mengambil giliran setiap tiga bulan untuk menjaga ibu yang uzur.

Pada waktu itu hidupnya sekeluarga akan menjadi kelam-kabut, tambahan pula kesukaran untuk mendapatkan pembantu rumah yang sanggup membantu.
Masalah kesihatan ibunya bermula beberapa tahun yang lepas. Puan Normala pelik apabila ibunya memberi jawapan yang bukan-bukan ketika diajukan sebarang soalan yang mudah.
Pada mulanya beliau menyangka ibunya mengalami masalah pendengaran sehinggalah pada satu hari ibunya hilang di pusat membeli belah ketika dibawa keluar.

Ibunya ditemui sedang merayau-rayau tanpa tujuan dan tidak ingat lokasi di mana dia berada. Ibunya lalu dibawa berjumpa doktor.
Doktor membuat beberapa pemeriksaan dan ujian mudah. Keputusan mengesahkan ibunya mengalami tanda-tanda penyakit Alzheimer atau nyanyuk.
Ini menjawab teka-teki perubahan ganjil yang ditunjukkan melalui tingkahlaku ibunya selama ini.
Nyanyuk adalah sejenis penyakit otak yang disebabkan oleh penuaan. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja seawal usia 65 tahun.

Simptom utamanya adalah sifat pelupa yang melampau. Simptom lain adalah perubahan yang ketara terhadap emosi dan tingkahlaku.
Puan Normala teringat pengalamannya menjaga ibu. Memang ibu ada mengalami masalah pelupa. Ibu kerap memberitahu belum mengambil sarapan pagi walhal baru sahaja selesai makan.
Ibu juga pernah masak makanan yang terlalu masin sehingga tidak boleh dimakan kerana memasukkan garam berkali-kali ke dalam masakan. Ibu lupa yang dia telah pun memasukkan garam sebelum itu.

Buang air di ruang tamuPada waktu pagi Puan Normala mendapati ibunya tidur dan buang air di ruang tamu kerana gagal mencari kedudukan bilik air.
Ibu kerap bertanyakan soalan yang sama walaupun telah diberi jawapan berulang kali. Ibu juga kerap ke sana ke mari mencari barang-barang miliknya yang dikatakan hilang tetapi sebenarnya dia yang terlupa tempat simpanan.
Tidak hairanlah adiknya menyediakan bilik khas seperti kurungan di rumah setiap kali sampai gilirannya menjaga ibu.

Sekarang ibu selalu kelihatan murung. Ingatan masa lampaunya juga terjejas. Kini nama anak dan rakan lama juga tidak mampu diingat.

Apabila ditanya ibunya meradang. Ibu termenung ketika diberi baju untuk dipakai kerana lupa cara untuk mengenakan butang baju tersebut. Ibu juga bersolat pada waktu yang salah kerana tidak dapat lagi membezakan antara siang dan malam.
Bela hantuSaya menerangkan kepada Puan Normala, pesakit nyanyuk juga boleh mengalami halusinasi seperti mendengar suara ghaib.
Ini ditunjukkan melalui tingkah laku ibunya yang kerap bercakap seorang diri. Pesakit juga boleh mendapat delusi seperti mengatakan ada orang menghantar ilmu hitam atau ada hantu mengacau. Keadaan ini dipanggil psikotik.

Puan Normala mengambil nafas lega. Beliau kini mempunyai fakta untuk dijelaskan kepada anak-anaknya yang keadaan nenek mereka bukanlah disebabkan membela hantu.
Perkara sama akan dijelaskan kepada suaminya agar tidak lagi menghabiskan wang berubat dari satu tempat ke satu tempat untuk membuang hantu tersebut.
Kajian menunjukkan penyakit nyanyuk boleh memberi tekanan hebat kepada penjaga atau caregiver. Penjagaan memerlukan kesabaran, komitment dan kos yang tinggi.

Inilah sebab utama mengapa anak-anak memilih untuk menghantar ibu bapa mereka ke rumah kebajikan atau pusat perlindungan orang tua.
Jika dikesan pada peringkat awal, penyakit ini boleh dicegah dari menjadi bertambah teruk. Malangnya ia tetap tidak akan dapat mengembalikan ingatan pesakit seperti sediakala.
Walaubagaimanapun, ubat-ubatan seperti Aricept, Exelon dan Ebixa contohnya boleh membantu pesakit menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik.

Kepada anak-anak, elakkan pesakit berpindah-randah daripada satu rumah ke rumah lain. Ini bertujuan supaya orang tua mereka mudah mengingat dan tidak keliru dengan susun atur perabut dan kedudukan bilik di rumah anak-anak.
Pastikan bilik tidur mempunyai tingkap dan jam yang besar supaya mereka boleh dirangsang mengenal-pasti perubahan waktu siang dan malam.
Banyakkan bersabar, ini mungkin perkara terbaik yang anda boleh lakukan untuk mereka.

saifulfromslim.blogspot

No comments:

Post a Comment