My home

28 July 2012

PRU13: Orang muda pilih siapa? - Satu Huraian Lengkap





Bahagian 1

GENDANG Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) hanya menunggu masa untuk dipalu. Pelbagai andaian mengenai tarikh sebenar pilihan raya dibuat oleh mereka yang arif dalam rentak politik negara namun, sehingga kini ia masih menjadi tanda tanya.

Selain tarikh PRU13, persoalan yang masih kabur ialah parti mana yang menjadi pilihan anak muda di negara ini di mana mereka disifatkan sebagai talian hayat parti politik yang bertanding dalam pilihan raya umum itu nanti.

Bagi mendapatkan jawapan kepada persoalan itu, Sinar Harian dengan kerjasama Astro Awani dan Bernama Radio 24 mengadakan Debat Sinar yang bertajuk PRU13: Orang muda pilih siapa? Yang berlangsung selama satu jam setengah di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Khamis lalu.

Debat itu mempertemukan dua tokoh politik muda iaitu Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya sementara moderatornya pula ialah Pensyarah Jabatan Strategik dan Antarabangsa, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Berdasarkan tajuk kita pada hari ini ‘PRU 13: Orang Muda Pilih Siapa?’, apakah definisi orang muda seperti yang anda fahami?

FATHUL BARI: Berbicara tentang ‘PRU 13: Orang Muda Pilih Siapa?’, kita perlu klasifikasi ataupun mengetahui terlebih dahulu teknologi orang muda, siapakah orang muda? Kalau kita lihat PRU telah berlangsung selama 12 kali. Lima tahun lalu telah berlangsung PRU sampai ke hari ini, maka inilah pilihan orang muda. Jadi adakah kita nak maksudkan orang muda itu adalah orang yang berada pada kurun ini ataupun pada masa ini tahun 2000 ke atas. Ataupun orang muda adalah memiliki ciri-ciri cara berfikir tertentu.

Mungkin kita boleh kombinasikan antara cara orang muda dan juga massa. Kalau kita lihat di dalam hadis Nabi SAW, baginda menggambarkan ciri orang muda sebagai agresif dan kritis contohnya apabila sahabat Nabi, Abdullah Umar r.a meminta Nabi SAW untuk menyertai peperangan di saat bila berusia 13 tahun. Usia agresif.

Begitulah mereka berfikiran kritis sehingga kalau kita lihat sebahagian daripada sahabat Nabi, antaranya Abu Jannah dan Mu'az Bin Jabal. Mereka bertanya kepada Nabi Ishak soalan jarang diajukan oleh orang yang senior daripada mereka. Contoh, mereka bertanya kepada Nabi SAW tentang apakah amalan yang boleh mendekatkan diri dengan syurga, apakan soalan yang tidak pernah diajukan kepada kamu Ya Rasulullah yang mampu mendekatkan seseorang dengan syurga. Menunjukkan mereka ini berfikiran kritis.

Apabila kita berkata orang muda ini agresif, kadangkala tindakan itu keterlaluan. Sebagai contoh, apabila datang dua orang kepada nabi SAW, lelaki yang pertama agak berusia. Ini ada berhubung kait dengan hukum hakam di dalam bulan Ramadan Al Mubarak. Apabila lelaki pertama bertanya kepada Rasulullah mengenai hukum bermesra dengan isteri pada siang hari. Katanya Rasulullah SAW tidak memberi sebarang masalah.

Tiba-tiba datang orang muda kepada Nabi SAW, bertanya kembali apakah hukum bermesra dengan isteri di siang Ramadan? Nabi SAW tidak mengizinkan pemuda. Sehingga sahabat Nabi bertanya mengapa berlaku sedemikian? Orang tua kamu izinkan, orang muda kamu tidak izinkan. Kata Nabi SAW, sesungguhnya orang tua itu mampu mengekang jiwanya. Maknanya di sini, ciri-ciri orang muda bersifat agresif, kritis dan kadang kala tidak keterlaluan yang jauh berbeza.

Yang kedua, dilihat pada manusia semasa, zaman. Sesungguhnya, apabila zaman pada hari ini dunia komuniti web. Orang muda generasi dot net digelar sebagai menguasai media sosial. Menurut kajian AC Nielsen, 80 peratus antaranya usia 20 hingga 40 tahun menggunakan internet. Maksudnya, dunia orang muda pada zaman kini adalah massa, media sosial terdiri daripada facebook dan sebagainya. Itu yang kita tekankan dua ciri-ciri orang muda.

Seterusnya seperti topik perbahasan kita pada hari ini mengenai nak pilih siapa? Saya suka memilih cara al-Quran, ALLAH SWT, Rasulullah SAW. Maka di sini, saya nak jelaskan ciri-ciri pemimpin perlu ditolak oleh orang muda. Pertama sekali, pemimpin yang selalu menimbulkan huru-hara, kacau bilau, menggugat keamanan negara perlu ditolak. Apabila datang manusia yang menghancurkan negara maka ia perlu ditolak.

NASRUDIN: Pendekatan yang dibawa al-Quran, sikap yang berani, bermoral atau optimis. Ada statistik bahawa orang muda merupakan mereka yang dalam usia 24 hingga 35 tahun, 30 hingga 32 peratus, ataupun dalam negara ini hampir 4.6 juta.

Generasi muda dikenali sebagai Gen Y iaitu mereka celik maklumat, satu kelompok yang memiliki jaringan sosial secara meluas. Kebangkitan anak muda yang celik maklumat selalunya jemu dengan politik bersifat perkauman, berat sebelah, tidak bebas bersuara.

Sebaliknya pengundi muda mahu pemimpin yang bersifat terbuka dan pegang pada janji. Sebarang kata-kata pemimpin atau parti politik akan dinilai oleh mereka sendiri.

Orang muda juga jemu dan jelak dengan idea lapuk, korupsi, trend menggula-gula rakyat serta jelak dengan pemerintahan terlalu lama, pemerintahan penuh kezaliman. Kebangkitan anak muda adalah pemangkin gerakan perubahan yang mampu mencetuskan perubahan.

Lebih 50,000 pemuda hadir dalam satu program di KLCC baru-baru ini, dan jumlah ini digambarkan sebagai satu gelombang belia bertemakan kerajaan untuk belia, adakah jumlah ini boleh diterjemahkan kepada bentuk sokongan kepada kerajaan?

FATHUL BARI: Jika dihitung erti perhimpunan dari segi jumlah, saya rasa masih ramai di luar sana yang tidak datang, walau bagaimanapun ia merupakan tetap dianggap sebagai satu suara. Kerajaan dan pemerintah Umno dan BN mengambil berat tentang apa disuarakan orang muda.

Apa yang penting sikap kita dalam mengurus perhimpunan, iaitu mampu kawal sikap dan akhlak peserta. Walau bagaimanapun masih wujud sesetengah pihak menghalang dan melakukan kerosakan seperti merosakkan kenderaan polis walaupun terhadap larangan mereka masih meneruskan juga perhimpunan itu. Biarlah kita berdisiplin menggunakan kaedah syarie yang tidak melarang bersuara. Mengapa apabila ditawarkan stadium untuk berbicara, mereka pilih jalanan untuk menyebarkan di khalayak ramai.

NASRUDIN: Tidak mudah bagi parti pembangkang yang ditekan dari semua arah, tiba-tiba diberikan bantuan dan sokongan secara sukarela. Inilah yang berlaku dalam negara kita kalau kita faham erti demokrasi. Kita mahu kebebasan yang sedemikian untuk kita bersuara atau berhimpun secara aman. Namun ustaz Fathul Bari seolah-olah tidak memahami maksud sebenar demokrasi. Umno parti politik dokong demokrasi. Himpunan anti Lynas yang kita buat puluhan orang yang hadir, contohnya di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), apabila tiada provokasi daripada pihak tertentu perhimpunan itu aman.

Setiap kali turun berhimpun, kita akan keluarkan satu kenyataan kepada anggota supaya jangan membawa senjata seperti parang, pisau atau pencungkil gigi sekalipun agar tidak dituduh mencederakan polis atau sesiapa. Hanya bawa garam dan air mineral, yang menjadi kucar kacir apabila gas pemedih mata dilepaskan. Perhimpunan ini adalah perhimpunan aman, itu sebab kita tekankan bahawa hak rakyat untuk menentukan masa depan negara yang mereka akan mengundi. Kalau polis tidak kacau saya pasti kita akan hormati anggota polis. Himpunan Bersih pernah mendapat pengiktirafan dari Al Jazeera yang menyebut perhimpunan itu sebagai ‘the best trafik marshal in the word’. Dapat pengiktirafan dunia kerana selepas mengurus perhimpunan besar, kita mengutip sampah di tepi jalan sehingga bersih.

Tetapi apa yang berlaku pada Bersih 3.0 baru-baru ini, Unit Amal kita kutip sampah kena belasah polis.

Itu sebab saya tegaskan perlu wujud satu keadilan dan jangan hanya siarkan video Unit Amal serbu kawalan polis tetapi siarkan juga video unit tersebut menyelamatkan pemandu polis yang cedera selepas merempuh orang ramai. Jika pilihan raya mahu dilakukan, maklumat untuk disampaikan kepada pengundi perlu ada, ini untuk memudahkan mereka tahu apa tawaran BN atau Pakatan Rakyat. Namun, jika kita tidak boleh bersuara bagaimana untuk menyampaikan maklumat untuk pengundi mengundi dengan adil dan betul. Akhirnya mereka akan tersalah pilih, pilihan raya adalah maklumat bukan buat jalan raya atau duit raya.

Bahagian 2

Dalam usaha meremajakan Umno dan menggilap kegemilangannya, Umno memberi tumpuan kepada ketuanan Melayu, perjuangan Melayu Islam malah berkongsi 1Malaysia. Tetapi generasi hari ini juga terpukau oleh globalisasi, hak asasi manusia dan hak keadilan sejagat. Sejauh manakah pasukan ulama muda Umno sedang menangani isu ini?

FATHUL BARI: Perubahan dalam Umno, Alhamdulillah kita lakukan secara mampu dan cuba sampaikan nasihat dan teguran melalui cara yang bersifat syarie iaitu teguran yang diajar dalam Islam. Kaedah menegur adalah kaedah membetulkan bukan dengan emosi atau hawa nafsu.

Tapi kalau berbicara tentang demokrasi saya kira Pas sangat konsisten untuk katakan Perlembagaan dalam negara ini bukan Perlembagaan Islam sedangkan Pas juga suatu ketika sangat konsisten menyatakan Perlembagaan negara ini merupakan Perlembagaan kufur. Namun pada hari ini, Pas menerima demokrasi dalam Pakatan Rakyat, Keadilan dan DAP.

Berbicara untuk tujuan Islam, saya harap hujah Ketua Pemuda Pas tidak terlalu politik kepartian tapi berbicara tentang Islam kepentingan rakyat dipenuhi. Pas tidak iktiraf demokrasi bukan daripada Islam, saya peribadinya mengiktiraf demokrasi bukan daripada kalangan Islam bukan daripada ciri-ciri dan Perlembagaan Islam. Maka tugas dan tanggungjawab kita adalah untuk meminimumkan kemudaratan yang terhasil daripada demokrasi.

Kita dapati akhir-akhir ini Pas semakin memberi penekanan kepada negara berkebajikan, bagi sesetengah pemimpin yang lain iaitu pengikut Pas yang tertentu merasakan seolah-olah satu kekaburan. Adakah Pas hari ini mampu menempa satu pemahaman di kalangan pengikutnya sedangkan sebahagian besar pengikutnya ada yang tahu dan tidak tahu mengenai negara berkebajikan?

NASRUDIN: Apabila bercakap soal negara berkebajikan tohmahan yang dilemparkan kononnya Pas ini seolah-olah menggadai prinsip perjuangan. Apabila kita mahu bercakap, kita perlu faham apakah makna apa yang kita mahu sebutkan itu. Negara berkebajikan adalah salah satu struktur daripada Islam itu sendiri. Apa yang tidak kena dan salah dalam dokumen negara berkebajikan dengan Islam, tolong sebutkan.

Kalau ia sesuatu yang tidak bertentangan dengan Islam, dan ia adalah satu langkah yang kita ambil untuk memastikan kita dapat menghasilkan sebuah negara yang aman, maju dan dalam masa sama keamanan dan kemajuan itu menghasilkan keampunan daripada ALLAH, bukannya menimbulkan kemarahan dan kemurkaan ALLAH ekoran daripada penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, penipuan dan seumpamanya.

Apa yang kita mahu ialah negara yang disebut sebagai
good governance, bebas rasuah, bebas daripada penyalahgunaan kuasa, itu kita maksudkan dengan negara berkebajikan. Ia adalah bertepatan dengan Islam, bukan apabila sesuatu terma itu bertukar ia bermakna kita telah menukar prinsip. Itu adalah pendekatan dan pendekatan itu mendapat respons yang sangat positif daripada masyarakat hari ini.

Rata-rata memberi fokus kepada kita berbanding sebelum ini, ada juga yang kata kita ubah prinsip, sedangkan waktu kita kemukakan dokumen negara Islam pun mereka tolak juga. Jadi kita memudahkan cara, kita harap dengan kita memudahkan bahasa ini mereka akan faham. Saya nampak apa yang berlaku sekarang kita sedang gerakkan satu pendekatan untuk memudahkan masyarakat memahami apa itu Islam.

Macam tadi apa yang disebutkan sahabat saya, saudara Fathul Bari bahawa Pas mula menyertai demokrasi adalah fakta salah, kita menyertai politik sejak tahun 1951, bukan hari ini sertai demokrasi. Demokrasi ialah sebahagian daripada sistem politik yang mahu pastikan negara kita berpolitik dengan cara Islam, maka kita menyertai politik ini dan sebahagian daripada demokrasi itu tidak bertentangan dengan Islam, bukan keseluruhannya bertentangan dengan Islam.

Tohmahan bahawa Pas menyertai DAP ini juga tidak betul. Kita tidak pernah menyertai mahupun bersekongkol dengan DAP. Apa yang ada ialah kerjasama politik dan dalam kerjasama politik ini kita membataskan syarak dan meletakkan pendekatan- pendekatan kita untuk memberi pemahaman kepada mereka supaya mereka boleh menerima dasar perjuangan kita.

Kita perlu akui satu realiti dalam negara kita kita tidak boleh menang dengan satu parti, kita bekerjasama supaya kita dapat memberi penerangan mengenai Islam terhadap mereka. Jangan jadi seperti MCA, MCA kata Umno hilang akal, apabila wakil Umno, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah mahu laksana hudud, MCA kata Umno hilang akal. Pemimpin Umno senyap, tak kata apa.

Kita berdepan dengan jumlah penganggur yang besar, termasuk 80,000 yang kononnya terdiri daripada para mahasiswa dan mahasiswi yang menganggur. Kalau golongan tidak menganggur kita telah berusaha memberi kupon membeli tayar, kupon beli buku, jadi apakah langkah yang boleh diambil dengan kerjasama Ulama Muda Umno bagi memastikan mereka menyokong pergerakan Umno menjelang pilihan raya?

FATHUL BARI: Hasil daripada apa yang berlaku hari ini yang menyebabkan kita katakan berkaitan dengan pelajaran, pendidikan itu perlu ditekankan lagi, perlu diberi perhatian serius. Pada hari ini apabila dibangkitkan isu PTPTN, misalnya, memperjuangkan isu memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kita kena ingat bahawa di dalam Islam kita tidak diajar keterlaluan dan bersikap meminta-minta. Kita juga tidak diajar, rakyat asyik bertanyakan haknya, dalam Islam, kita diajar, di samping rakyat bertanyakan haknya, pada masa sama pemerintah juga memiliki haknya perlu kita tunaikan.

Ini keadilan, apabila kita asyik berbahas tentang hak rakyat, hak pemimpin diketepikan, itu tidak boleh. Begitu juga bila kita asyik berbahas tentang hak pemimpin, hak rakyat diketepikan. Tidak boleh, kita perlu bersikap lebih adil dan terbuka dalam membahaskan isu-isu sebegini. Tadi dibangkitkan tentang dokumen tolak negara Islam, saya kira, bagi mahasiswa dan orang cerdik pandai, apabila tahun 2000 menyatakan hudud adalah 0.001 peratus daripada Islam, apa maksudnya?

Perjuangan Pas dalam tempoh berpuluh-puluh tahun ini menyatakan perjuangan mereka untuk menegakkan negara Islam, memartabatkan hudud, tetapi apabila mereka\ perintah negeri Terengganu, misalnya, kenyataan itu pula dikeluarkan.

Saya tidak kata kita berada di sini untuk menolak, tidak. Kita perlu berbincang. Pengerusi DAP, Karpal Singh juga pernah berkata, kalau Pas nak laksana hudud, langkah mayat aku dahulu. Maknanya, ini juga realiti yang berlaku. Sekarang kita berhadapan dengan mereka. Apa yang kita perlu lakukan ialah kita perlu didik mereka, fahamkan mereka tentang Islam.

Kita melihat tahap kenakalan pemuda dan kegatalan pemudi hari ini tidak banyak beza dengan tahap kenakalan dan kegatalan pemuda pemudi zaman silam. Tetapi, betapa banyaknya saluran pada masa kini sehingga berleluasanya pelbagai jenayah, gerakan dan aktiviti bertentangan Islam. Bagaimana Pas berjaya mentarbiahkan mereka?

NASRUDIN: Dalam Pas kita amat konsisten terhadap ahli-ahli kita dan dalam masa sama kita menyampaikan dakwah kepada masyarakat, bukan sahaja kepada orang ramai, termasuk kepada orang luar...termasuk partiparti komponen PR yang selalu kita berjumpa dengan mereka dan memberikan penjelasan berkaitan Islam.

Sehinggalah fahaman mereka terhadap Islam semakin baik. Saya minta saudara Fathul Bari update mengenai kenyataan Karpal Singh yang kata tolak hudud, langkah mayat saya dahulu. Itu kenyataan dia 20 tahun lalu. Dia juga mengakui, sekarang dalam konvensyen PR di Pulau Pinang baru-baru ini dia kata setelah dia lihat hudud, masalah hudud boleh bincang semula. Ertinya, ada proses pemahaman sedikit demi sedikit, ini yang kita mahu. Saya tidak hairan kalau non-Muslim tidak menerima Islam, tidak menerima hudud, tetapi kalau orang Islam sendiri yang tidak mahu terima, ini menjadi kemusykilan.

Apa yang saya lihat dalam kerajaan hari ini terlalu banyak hiburan, sedangkan kita boleh bentuk dan didik rakyat dengan baik. Saya tidak nafikan ada juga rancangan yang baik, tetapi ia belum memadai jika sekadar 'melepaskan batok di tangga'.

Dalam Pas, kita pastikan aktiviti yang tidak bertentangan dengan Islam. Jika sekiranya ada aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan Islam, kita akan ambil tindakan dan kita akan pastikan ia tidak akan berulang. Itu komitmen kita, kita pastikan kalimah ALLAH dapat ditegakkan dan dilaksanakan. Kita mahu Islam dan syariat itu dapat diamalkan oleh setiap pemimpin, individu, ahli parti dan rakyat keseluruhannya.

Bajet 2012 dilihat sebagai bajet yang tidak mesra orang muda. Bantuan Rakyat 1malaysia (BR1M) dan lain-lain hanya menyasarkan golongan warga emas dan usia pertengahan, Apakah yang meyakinkan Umno dan BN bahawa kaum muda akan memilih mereka dalam PRU13?

FATHUL BARI: Usaha dan rancangan Gagasan 1Malaysia, apa yang dilakukan Perdana Menteri hari ini seperti Klinik 1Malaysia, Restoran 1Malaysia, dan yang lain-lain adalah salah satu usaha untuk membantu meringankan beban rakyat.

Usaha kerajaan ini memperlihatkan mereka sedang melakukan transformasi. Perdana Menteri kini sedang berusaha melakukan transformasi ekonomi, politik, sosial dan hal yang seumpamanya. Apa yang baik daripada rancangan itu kita perlu terima. Apa yang buruk, tidak baik, menyusahkan negara, kita perlu tolak.

Anak muda berhak membuat penilaian, mereka guna akal yang dikurniakan ALLAH untuk berfikir. Berpegang dengan fakta, jangan hanya propaganda yang hanya persepsi semata-mata. Kita perlu sokong yang baik. Saya tertarik dengan kenyataan saudara Nasrudin yang menyatakan bahawa di stesen televisyen ada menyiarkan rancangan keagamaan yang perlu diberikan sokongan.

Ini yang kita mahukan, yang baik kita katakan baik, yang buruk kita tegur dan perbetulkan. Bukannya kita berdiri mempertahankan kebenaran di samping mempertahankan kebatilan. Kebatilan kita perlu tolak.

Islam tidak ajar kita segala-galanya percuma. Kalau nak syurga ALLAH juga tidak mungkin dapat percuma. Syurga diwariskan kepada mereka atas asas apa yang mereka wariskan. Jangan sekadar cakap sahaja. Semua perkara ini kita perlu muhasabah.

Bahagian 3

Kita melihat akhir-akhir ini penyertaan dalam Pas yang baik daripada banyak pihak termasuk dalam kalangan artis, tetapi ada yang tidak bersetuju sekiranya mereka ini menjadi calon.

NASRUDIN: Alhamdulillah, ini adalah salah satu daripada kejayaan pendekatan kita kepada masyarakat di mana ramai selebriti yang dulunya diasingkan daripada Pas, kononnya Pas memerintah nanti, periuk nasi mereka akan ditutup. Mereka tidak boleh menyanyi lagi dan dunia akan menjadi sepi. Kononnya muzik ini haram dan sebagainya.

Alhamdulillah setelah kita menjelaskan apa dibenarkan dan apa yang tidak. Kenyataannya, mereka berjaya memahaminya dan telah menyertai perjuangan kita untuk menegakkan Islam di atas tanah air.

Soal calon ini, kita putuskan dalam parti berkait dengan
winnable candidates. Berhubung soal karakter, kewibawaan, keupayaan, kemahuan untuk jadi pemimpin, bukan bermakna apabila dia menjadi tokoh, dia akan terus diangkat menjadi calon dalam pilihan raya.

Itu berkaitan persoalan teknikal, persoalan dalaman parti yang kita akan putuskan siapa yg akan menjadi calon. Yang pasti, kita akan memberikan yang terbaik kerana kita tidak mahu calon yang kita tawarkan itu akhirnya menggunakan kesempatan itu untuk melakukan kezaliman, penipuan dan sebagainya. Kita mahukan pemimpin yang ada kemampuan untuk memimpin dan amanah.

Ini adalah perkara yang boleh menarik perhatian orang ramai menyokong kita sebab kita bandingkan antara Pas atau PR dengan BN memerintah. Laporan pencapaian dan pelaksanaan manifesto Pas yang juga dirujuk sebagai manifesto bersama PR untuk dinilai oleh rakyat di mana dalam 56 perkara, 44 telah ditunaikan.

Banyak larangan terhadap demonstrasi sebagaimana yang dibuat oleh kerajaan, jadi, apa jalan untuk rakyat meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada kerajaan?

FATHUL BARI: Agama ialah nasihat untuk siapa sahaja. Atas asas nasihat dan erti nasihat ini yang dinyatakan tadi, inginkan kebaikan untuk orang yang dinasihati. Maka di sana, Islam bukan sahaja mensyariatkan nasihat, Islam juga mensyariatkan kaedah dan tatacara untuk menasihati.

Begitu juga Islam bukan memfardukan solat, ia juga memfardukannya kaedah melaksanakan ibadah. Apabila kita bercakap soal nasihat banyak cara dan kaedah yang boleh kita ikuti, ini termasuk apa yang diajar melalui al-Quran dan sunah.

Ini menunjukkan asas-asas nasihat kepada pemimpin itu bukan dalam bentuk terbuka dalam semua hal dan keadaan. Apakah pada waktu ini, Pas atau parti-parti lain menegur atau mengkritik pemimpin mereka secara terbuka dalam semua hal dan keadaan?. Sudah tentu tidak.

Sesiapapun yang memegang tampuk pemerintahan, mereka akan pastikan nasihat itu disampaikan dengan cara yang baik.

Antara Pas dan parti-parti dalam PR yang berdayung hari ini, mampukah Pas menjadi parti dominan sedangkan ada di sesuatu kawasan Pas tidak pun dilayan oleh DAP dan terpaksa akur dengan kehendak DAP?

NASRUDIN: Soalan berbangkit ialah mengenai kemampuan Pas menjadi parti dominan dalam PR. Di situ wujud satu persoalan penting iaitu bagaimana kita mahu wujudkan suasana saling hormat-menghormati antara
satu sama lain untuk menjaga hak kepentingan negara dan juga rakyat.

Soal dominan, itu bergantung pada kerusi kita. Pas bertanding di kawasan Umno, yang biasanya didominasi Umno. Kita bertanding di kawasan Melayu. Sekiranya Pas menang, ada juga momokan di luar yang kita dengar sekiranya Pas menang, habislah Melayu kerana Pas tidak dominan pun dalam PR. Kalau BN kalah, Umno kalah, yang menang itu Pas, maka, Pas boleh menang, boleh mendominasi.

Kalau PR menang, kawasan yang Pas bertanding tu Melayu, jadi Pas Melayu, Tok Guru Nik Aziz juga Melayu. Apa masalah yang ditimbulkan ini? Ini bukan soal siapa dominan dari segi bilangan kerusi, tetapi bagaimana kita mampu untuk mewujudkan kesedaran. Apa yang pentingnya keupayaan kita. Kita perlu bercakap dari segi fakta.

Penggulungan:

FATHUL BARI: Persepsi yang dilontarkan mengenai isu rasuah, isu yang mengaitkan pemimpin-pemimpin dengan isu pembunuhan dan hal-hal yang tidak sewajarnya tidak boleh dilakukan kepada orang lain, bukan kepada kerajaan semata-mata. Kalau kita masing-masing asyik menyalahkan antara satu sama lain, sampai bila kita tidak dapat memperbetulkan kaedah berpolitik pada masa ini.

Saya konsisten apabila Pas pada hari ini kata politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam, itu adalah sesuatu yang baik, tetapi politik yang bagaimana? Politik yang syarie, bukan politik yang menuduh, memfitnah. Kalau dibangkitkan mengenai isu-isu sekolah agama rakyat, apabila DAP perjuangkan kesamarataan, apakah apabila mereka mahu laksanakan Buku Jingga mereka, adakah sekolah-sekolah kebangsaan juga akan dihapuskan?

Kita semua, anak-anak muda perlu berusaha untuk mengubah struktur dan cara berpolitik pada hari ini. Sikap kita, orang muda perlu pilih orang yang kita lihat mampu mengangkat dan mempertahankan kedudukan dan agama Islam.

NASRUDIN: Saya mahu tegaskan, rasuah yang berlaku dalam negara kita bukan persepsi, ia adalah realiti. Rasuah yang berlaku dalam negara kita berada pada tahap yang amat parah. Indeks rasuah di negara kita amat buruk hatta Tun Dr Mahathir sendiri mengakui kerosakan yang berlaku dalam negara kita akibat rasuah amat teruk dan penyakit itu membarah sehingga ke usus.

Kita bukan mahu salahkan antara satu sama lain, tetapi kita mahu nyatakan yang salah itu salah, yang benar itu benar. Kita menegur pemimpin, bukanlah kita datang melaung, menjerit dan membantah, tidak...

Biasanya, adat kami dalam sesuatu parti, sebelum kita bantah sesuatu, kita jumpa dahulu, serah memorandum, buat dialog, ini memang kita amalkan sejak dahulu. Semua kementerian kita ‘panjat’, kita tanya untuk mendapatkan jawapan dan bukti, untuk kita serahkan memorandum kita dan sebagainya. Agama ialah nasihat, tetapi malangnya, nasihat kita selalu sahaja diabaikan. Saya hampir pasti, nasihat daripada Ulama Muda Umno sendiri pun, sebahagian besar pemimpin Umno sendiri tidak peduli.

Sebab ini keadaan yang berlaku dalam Umno dan BN. Jadi, anak-anak muda perlu buat perubahan dan perubahan itu ke arah mencari pemimpin yang ditawarkan, pemimpin yang mana yang mampu bawa keluar daripada kemelut dan konflik yang berlaku dalam negara kita yang tidak berkesudahan ini dan perubahan yang dilakukan PR hampir menepati aspirasi anak muda.



Sebagai penutup, kedua-dua pendebat telah meluahkan perasan mereka. Masa menjelang PRU13 ini telah menjadi pertarungan nyawa politik, apakah golongan muda mampu jadi talian hayat kepada pihak berkenaan?

Di fikiran saya telah muncul satu aliran baru dalam pembukaan intelektual yang sedang berlaku dan berkembang dihidangkan oleh Sinar Harian, Astro Awani dan Radio Bernama 24. - Mohamad .

saifulfromslim

No comments:

Post a Comment