Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjawab pelbagai soalan mengenai
beberapa isu yang diutarakan oleh pelbagai pihak termasuk Tun Dr Mahathir
Mohamad.
Sambil
menegaskan bahawa keutamaan beliau ialah kepada rakyat dan negara, Najib menjawab
segenap aspek persoalan dan kritikan terhadap pentadbiran beliau, meliputi isu
pengurusan 1MDB, pelaksanaan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), BRIM (Bantuan
Rakyat 1Malaysia), kes pembunuhan Altantuya, Akta Hasutan, POTA (Rang
Undang-Undang Pencegahan Keganasan) dan prospek ekonomi negara.
Beliau
mengupas segala isu itu ketika diwawancara Hamdan Ahmir dalam program Soal
Jawab TV3 Edisi Khas yang disiarkan malam ini.
Berikut
adalah transkrip penuh wawancara itu:
MUKADIMAH
HAMDAN: Sejak kebelakangan ini, ada beberapa pihak yang mengkritik Yang Amat
Berhormat Perdana Menteri berkaitan beberapa isu pengurusan kewangan dan
pentadbiran. Malah ada pihak yang meminta supaya Perdana Menteri melepaskan
jawatan kerana mereka berpendapat UMNO dan Barisan Nasional akan tewas dalam
pilihan raya umum akan datang sekiranya Yang Amat Berhormat terus memimpin.
Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, saya alu-alukan kedatangan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
SOALAN: Saya ingin
mulakan sesi kita dengan menyampaikan rasa simpati kami kepada Datuk Seri dan
juga warga kerja Pejabat Perdana Menteri atas kehilangan sahabat Datuk Seri
yang cukup rapat, Tan Sri Jamaluddin Jarjis, dan juga dua pegawai kanan yang
paling rapat dengan Datuk Seri, Datuk Azlin Alias dan Datuk Mohd Poad (Jelani).
Bagaimana Datuk Seri menangani kesukaran dalam saat-saat yang berdukacita ini?
NAJIB: Tentu sekali
kehilangan mereka bertiga merupakan tragedi bagi Pejabat Perdana Menteri,
lebih-lebih lagi bagi diri saya sendiri, tentu sekali bagi keluarga mereka,
sahabat handai. Dalam konteks pentadbiran negara, Allahyarham Tan Sri
Jamaluddin Jarjis telah memberi sumbangan yang besar dalam pelbagai kapasiti di
dalam dan luar negara.
Allahyarham Datuk
Azlin dalam pentadbiran pejabat saya telah menjalankan tugasnya dengan efisien,
dengan amanah. Begitu juga dengan Datuk Poad sebagai setiausaha sulit saya,
telah jalankan tugasnya dengan baik.
Namun, walaupun saya
tetap dalam kesedihan tetapi kehilangan mereka itu menguatkan iltizam saya
untuk menjalankan tugas-tugas saya memimpin negara dengan sebaik mungkin untuk
mencapai segala impian, segala cita-cita dan wawasan negara.
SOALAN: Kita dapati
Datuk Seri, kerajaan membuat penilaian semula dari segi perkembangan ekonomi
negara akibat tekanan-tekanan yang kita hadapi secara global. Dari segi
ekonomi, bagaimana Datuk Seri melihat usaha-usaha yang dijalankan setakat ini
dalam memantapkan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi?
NAJIB: Memang
penilaian semula itu sangat kena pada masa berikutan kejatuhan harga minyak
yang agak begitu drastik, merudum jatuh hingga ke paras separuh daripada
masa-masa sebelum ini. Sudah tentu mana-mana negara pengeluar minyak terpaksa
membuat penyesuaian/adjustment kepada kedudukan fiskal negara, supaya
langkah-langkah yang lebih proaktif kita dapat menjamin bahawa fundamental
ekonomi negara kita masih kukuh.
Ini yang nak saya
tekankan. Meskipun harga minyak jatuh tetapi fundamental ekonomi negara kita
tetap utuh dan kita masih boleh mencapai kadar pertumbuhan yang sederhana
tinggi.
Kita masih boleh
menarik pelaburan, kita masih boleh melaksanakan pembaharuan transformasi
negara dan kita boleh terus memastikan rakyat Malaysia terbela.
SOALAN: Kita dapati
banyak pihak yang menyambut baik usaha-usaha yang dibuat kerajaan dari segi
memantapkan ekonomi negara. Dalam pada itu, Datuk Seri, ada pihak-pihak
tertentu yang nampaknya tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran Datuk Seri
sendiri sebagai Perdana Menteri.
Saya ingin khususkan kepada
kritikan-kritikan yang dibuat sejak akhir-akhir ini oleh mantan Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Datuk Seri sendiri. Bagaimana Datuk
Seri melihat kritikan yang datang ini?
NAJIB: Saya tetap
hormati Tun Dr Mahathir seperti mana saya hormati rakyat Malaysia. Saya terbuka
sekiranya mana-mana pihak yang mengkritik kepimpinan saya, pentadbiran saya.
Saya harap kritikan
itu dibuat dengan penuh berhemah dan cara bertanggungjawab. Saya meneliti, saya
menimbang kewajaran setiap kritikan itu. Tetapi saya perlu tegaskan pada
kesudahannya, saya perlu membuat keputusan sebagai Perdana Menteri dan sebagai
Presiden UMNO, dan saya bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia dan kepada
parti. Itu saya nak tegaskan.
Apapun pendapat
individu, pada kesudahannya, saya akan bertanggungjawab kepada rakyat dan
kepada parti.
SOALAN: Kita ambil
contoh misal kata pengenalan GST pada 1 April. Ada pihak yang beranggapan
bahawa dari segi timing GST diperkenal itu kurang sesuai di kala rakyat
merasakan kesan ekonomi dunia yang memberi kesan kepada Malaysia itu juga
menghimpit mereka. Apa komen Datuk Seri?
NAJIB: Sebenarnya,
tiada masa yang dikatakan sesuai untuk memperkenalkan GST. Kalau kita lihat
pada keseluruhannya, antara faktor yang boleh dikatakan menyebelahi langkah
kerajaan untuk memperkenalkan GST; harga minyak dah jatuh.
Bila harga minyak
jatuh, maknanya harga petrol dan diesel lebih rendah dari masa-masa sebelumnya.
Itu satu...rakyat mendapat faedah daripada penurunan harga minyak dunia. Yang
kedua, kerajaan telah membuat persediaan yang begitu lama.
Soal GST ini sejak
tahun 80-an lagi. Bukan perkara baharu. Jadi kita laksanakan daripada makronya
sesuai masanya sebab kerajaan perlu kepada punca kewangan tambahan sebab hasil
dividen daripada Petronas akan berkurangan kerana harga minyak dah jatuh.
Jadi amat sesuai kita
perkenal sekarang dan kita juga telah membuat satu bentuk di mana banyak produk
perkhidmatan keperluan rakyat yang di-zero rated atau dikecualikan. Lebih
daripada 4,000. Tak pernah mana-mana negara yang membuat cara sedemikian dan
ini bukan cukai tambahan.
Ini penggantian kepada
cukai perkhidmatan dan jualan (SST) yang selain daripada itu, kita tambah BR1M,
Bantuan Rakyat 1Malaysia, kita bagi pengurangan cukai peribadi antara satu hingga
tiga per cent. Dan kita kurangkan juga cukai korporat, juga satu per cent. Jadi
pakej, jika kita lihat keseluruhannya, adalah pakej yang tidak membebankan
rakyat.
Kerana kita nak
pastikan pelaksanaannya, ini pokok, pelaksanaannya dari segi penguatkuasaan.
Kalau ada pihak komplen, dia bukan pengenalan GST sebenarnya, tetapi pihak
peniaga yang mengambil kesempatan. Peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab,
bukan semua.
Ada yang telah
mengiklankan harga tak naik, ada yang kata harga akan dikurangkan. Misalnya,
harga kereta dikurangkan. Ada rangkaian supermarket seperti Mydin yang kata
kekalkan harga, ada yang kedai kain cakap mereka akan absorb GST dan
sebagainya.
Jadi (apa yang) kita
nak pihak penguatkuasaan ambil tindakan ialah peniaga-peniaga yang tidak
bertanggungjawab.
SOALAN: Kita faham
bahawa barangan harian yang menjadi keutamaan rakyat Malaysia dikecualikan GST.
Tapi ada juga dalam kalangan rakyat yang membangkitkan soal apabila mereka
pergi kedai makan, makanan orang Malaysia seperti nasi lemak atau roti canai
dengan teh tarik juga dikenakan GST.
Kalau nak beli kicap
tomato, sos Maggi misalnya pun dikenakan GST. Jadi mereka bertanya bagaimana
GST ini tidak membebankan mereka. Keluar hari-hari makan di kedai kopi pun
dikenakan GST.
NAJIB: Kalau pihak itu
tidak sepatutnya kenakan GST, tolong lapor kepada pihak Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri (Koperasi dan Kepenggunaan). Di sini letaknya kuasa pengguna. Kita
mesti tahu kita ada kuasa.
Kuasa pertama kita
boleh pilih mana-mana kedai yang kita nak beli barangan ataupun kedai-kedai
makan, kita boleh pilih. Jadi kedai-kedai yang tak bertanggungjawab yang
sengaja menaikkan harga, lepas itu menyalahkan pihak kerajaan.
Kita janganlah pergi
ke kedai itu. Banyak kedai lain. Kedai alternatif lain. Yang kedua kita mesti
lapor kepada kementerian dan pihak kastam. Jadi gunakan kuasa sebagai pengguna.
Lambat laun, mereka yang menggeksploitasikan keadaan ini, mereka akan
kehilangan pembeli.
SOALAN: Saya nak
kaitkan kembali antara BR1M dan GST seperti yang disuarakan Tun Mahathir juga
bahawa masa yang tidak sesuai mengikut pandangan beliau, tidak semestinya
betul. Tidak sesuai untuk dilaksanakan GST dan handout BR1M bukan langkah yang
berkesan untuk diambil oleh kerajaan.
NAJIB: BR1M bukan
handout. Sebenarkan BR1M merupakan social safety net yang telah dicadangkan
Jawatankuasa Fiskal, bukan saya sendiri. Jawatankuasa Fiskal terdiri daripada
jabatan-jabatan kerajaan termasuk Bank Negara, EPU, Kementerian Kewangan dan
sebagainya. Bila mereka bincang, pada mulanya kerana kita nak kurangkan subsidi
pukal.
Maknanya subsidi
daripada minyak kita nak kurangkan kerana banyak ketirisan. Banyak pembaziran.
Banyak pihak yang tak layak dapat subsidi mendapat faedah subsidi. Jadi kita
kata, kita kurangkan. Tapi kita kena kurangkan berperingkat-peringkat.
Kalau kita kurangkan,
kita jimat perbelanjaan kerajaan. Bila jimat perbelanjaan kerajaan, sebahagian
daripada penjimatan itu kita salurkan balik kepada rakyat. Jadi jika rakyat
terpaksa membayar harga minyak lebih, mereka adalah, orang kata timbal balas
dalam BR1M bagi mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Sekarang kita
tambah sikit kepada RM4,000, tapi RM3,000 ke bawah ada timbal balas. Jadi
itulah falsafahnya sebenarnya.
Soal social safety net
yang bukan saja Malaysia, tapi banyak negara lain mengamalkan sistem social
safety net dalam pelbagai kaedah.
SOALAN: Berbalik
kepada kritikan Tun Mahathir, beliau ada sebut kes Altantuya Shaariibuu. Kita
semua sedia akur bahawa mahkamah telah buat keputusan kes ini...sudahpun
berlalu. Tapi ada pula timbul kritikan daripada Tun Mahathir yang kata siapa
yang beri arahan kepada pegawai polis terbabit untuk membunuh Altantuya. Terasa
perkara ini pelik sebab kes itu sudah berlalu. Apakah Datuk Seri ada terbabit
dalam perkara ini?
NAJIB: Ini cerita
2008...dah lama dah. Sebenarnya saya dah lafazkan sumpah Wallahi Wabillahi
Watallahi, tiga kali termasuk di sebuah masjid di Permatang Pauh pada
2008...bahawa saya tidak mengenali Altantuya dan saya tidak terlibat sama
sekali sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dan pihak polis telah
jalankan siasatan. Dan pada masa itu Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi)
sebagai Perdana Menteri dah laporkan, dan Ketua Polis Negara dah buat kenyataan
bahawa saya tak terlibat.
Dan tak ada bukti sama
sekali yang timbul bahawa saya kenal Altantuya. Tak ada langsung...tak ada
gambar, tak ada tulisan, tak ada saksi dan sebagainya. Mahkamah telah tentukan
prosesnya sampai ke Federal Court. Apakah kita nak persoal integriti mahkamah
kita yang kita pertahankan sebelum ini?
SOALAN: Difahamkan
Datuk Seri sebenarnya sebelum ini pernah bertemu Tun Mahathir sendiri mengenai
beberapa isu. Adakah beliau bertanyakan Datuk Seri kes Altantuya ini?
NAJIB: Tak secara
langsung tapi kita pernah sekali berbincang. Dalam perbincangan itu saya lihat
beliau tak persoalkan penglibatan saya dalam (kes) Altantuya. Dan saya anggap
perkara ini tak berbangkit sama sekali. Bila saya bincang dengan Tun Mahathir, saya
tunjuk bahawa saya tetap hormat dia misalnya, walaupun saya sebagai perdana
menteri. Tapi saya pergi ke rumah dia, saya tak benarkan dia datang rumah saya.
Tapi macam mana pun bila kita bincang saya perlu buat keputusan sebagai perdana
menteri.
SOALAN: Dia (Tun
Mahathir) faham bila (Datuk Seri) jumpa dan memberi penerangan tetapi kenapa
ditimbulkan lagi perkara ini?
NAJIB: Dia ada satu
dua perkara dia nak saya buat. Tapi saya dah beri pandangan atas perkara ini.
Misalnya dia tak setuju BR1M, dia minta saya buat jambatan bengkok ganti Tambak
Johor. Saya dah bagi pandangan atas perkara ini. Saya anggap ini sebagai
perbincangan antara dua individu...agak sihat kalau ada perbezaan pendapat tapi
macam mana pun akhirnya saya kena bertanggungjawab kepada rakyat dan parti. Dan
kebanyakan perkara ini saya bawa dalam Kabinet dan Kabinet akan putuskan
perkara ini.
SOALAN: Datuk Seri,
saya nak beralih kepada soal 1MDB. Ada pihak-pihak yang mendakwa urus niaga
1MDB dengan didalangi beberapa personaliti tertentu amatlah meragukan sekali.
Apa komen Datuk Seri?
NAJIB: Saya nak
jelaskan bahawa 1MDB merupakan sebuah badan yang kita sifatkan sebuah
investment company. Bermula dengan capital hanya RM1 juta saja berbanding
dengan PNB, Khazanah dan badan-badan lain kita beri macam-macam suntikan modal.
Tapi untuk 1MDB cuma RM1 juta saja.
Bila 1MDB nak
kembangkan perniagaan, dia terpaksa meminjam tapi aset-aset yang telah pun
diperoleh oleh 1MDB melebihi liabiliti. Ini saya nak tekankan... melebihi
liabiliti. Kita perlu beri lebih masa kepada 1MDB untuk membangunkan atau
mencairkan aset-aset ini supaya dia dapat melunaskan hutang-hutangnya. Kita
boleh pertikai business model, saya sedia dengar pandangan-pandangan berbeza
tapi apa saya nak tegaskan di sini, saya tak condone, tak boleh terima kalau
ada apa-apa salah guna kuasa dalam 1MDB. Misalnya duit dilesapkan...dan
sebagainya.
Sebab itu bila Lloyd
sebagai auditor telah sahkan auditnya, saya masih tak puas hati. Saya dah bawa
cadangan dalam Kabinet supaya Ketua Audit Negara menyemak balik secara
terperinci. Dan setelah Ketua Audit Negara menyemak, saya minta PAC
(Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) teliti pula. Dalam PAC ada pembangkang,
mereka boleh bincang laporan audit.
Apa saya nak katakan,
biarlah proses ini berjalan...bagi tempoh. Sebab kalau kita dakwa, ada banyak
beza kalau kata duit dilesap atau pinjam, rizab. Saya juga minta Ketua Audit
sahkan adakah tidak duit 1MDB diguna untuk buat filem umpamanya. Saya nak tahu
dan ini antara perkara-perkara yang mesti ditentukan laporan ketua audit dan
mesti disahkan atau sebaliknya oleh PAC.
SOALAN: Adakah Datuk
Seri pohon pengurusaan 1MDB agar lebih transparent dalam urus niaga akan datang
supaya rakyat dapat maklumat secukupnya?
NAJIB: Ya, begitulah
dengan penyusunan semula pengurusan 1MDB saya harap sedemikian. Begitu juga
kita umumkan program rationalisation...kita sekarang dalam langkah pelaksanaan
rationalisation 1MDB. Kita perlu tempoh masa sikit tetapi pelannya sudah
disediakan dan kita dalam peringkat pelaksanaan.
SOALAN: Tadi Datuk
Seri sebut pembikinan filem yang dituduh daripada 1MDB. Kenapa Datuk Seri
bangkitkan soal pembikinan itu. Apa implikasinya?
NAJIB: Sebab ada
dakwaan-dakwaan sedemikian. Saya tidak mahu mempertahankan apa-apa sebab ia
melibatkan ahli keluarga tapi saya nak Ketua Audit mengesahkan perkara ini.
SOALAN: Saya nak
beralih kepada Akta Hasutan. Pada satu ketika dahulu Datuk Seri sendiri
menyatakan kemungkinan Akta Hasutan ini akan dikaji semula. Tapi baru-baru ini
keputusan telah dibuat bahawa Akta Hasutan akan kekal. Jadi banyak pihak yang
mengkritik Datuk Seri atas keputusan yang berubah-ubah ini. Apa komen Datuk
Seri?
NAJIB: Sebenarnya bila
saya kata Akta Hasutan akan dikaji semula ia tidak bererti bahawa
peruntukan-peruntukan yang menjadikan sesuatu bentuk dakwaan yang boleh
disifatkan sebagai hasutan tidak kita masukkan dalam akta baharu. Cuma nama
Akta Hasutan, Sedition Act itu boleh dianggap sebagai controversial sebab asal
usul 'sedition' itu dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa yang dahulu. Jadi kita
nak melihat dalam sudut lebih positif. Ia misalnya air dalam gelas. Separuh
kosong kah separuh penuh. Itu sahaja. Tapi saya sedar dalam negara kita ini
negara yang berbilang kaum dan berbilang agama kita mesti ada undang-undang
yang menyekat dan membanteras sesiapa yang boleh membuat dakwaan, kenyataan dan
apa-apa berita dalam majalah, tulisan dan sebagainya yang boleh menghasut
rakyat, membenci rakyat, sehinggakan timbul rusuhan. Perbalahan dan rusuhan.
Dan ini mempertahankan
semua kaum, semua kepercayaan bukan sahaja orang Islam, orang Melayu tetapi
yang bukan Islam, yang bukan Melayu juga dipertahankan. Supaya negara kita ini
aman. Kalau kita tidak sentuh soal agama, tidak menghina agama orang lain,
tidak menidakkan soal kewarganegaraan orang lain, tidak mengatakan orang itu
pendatang dan sebagainya, amanlah negara kita.
Ini tidak bererti
bahawa kita tidak boleh mengkritik kerajaan. Sebab dalam pindaan akta ini kita
kata peruntukan mengkritik kerajaan itu kita mansuhkan. Kalau dulu misalnya
kita boleh dakwa mana-mana pihak yang mengkritik kerajaan sebab ada peruntukan
dalam Sedition Act yang sedia ada. Kita dalam pindaan Sedition Act kita
mansuhkan. Mereka boleh kritik kerajaan. Tetapi kritik kerajaan bukan bererti
mereka boleh menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan melalui tunjuk perasaan
umpamanya. Itu salah. Tapi kalau dia kata tukar kerajaan waktu pilihan raya itu
tidak salah.
Jadi inilah yang nak
diamalkan dalam negara kita bahawa sistem demokrasi yang sihat dan
bertanggungjawab. Sebab saya sebagai perdana menteri, tanggungjawab saya adalah
menjaga keamaman dan keselamatan negara kita. Kalau tiada keamanan, keselamatan
negara, tiada apa guna bagi kita semua.
SOALAN: Ada juga
kalangan parti pembangkang yang beranggapan bahawa Akta Hasutan ini sebenarnya
ialah untuk memerangkap mereka. Adakah ini benar?
NAJIB: Tidak benar.
Mereka pembangkang mereka boleh kata, mereka boleh kritik kerajaan, mereka
boleh kata kerajaan tidak bagus, mahu tukar kerajaan waktu pilihan raya, mereka
boleh kata. Tentu sekali ini amalan demokorasi. Yang kita tidak mahu kalau
mereka mengeksploit soal-soal agama, soal-soal kaum yang menghasut rakyat.
Kalau mereka menghasut rakyat, rakyat marah, timbul perbalahan, kesudahannya
berlaku rusuhan kaum, antara agama dan sebagainya. Siapa yang akan menderita?
Rakyat yang akan menderita. Negara rosak. Jadi inilah yang kita mahu elakkan.
SOALAN: Akta Hasutan
mungkin terguna pakai untuk masalah yang wujud di dalam negara. Tetapi sekarang
ini muncul pula ancaman terbaharu kepada negara iaitu ancaman pengikut-pengikut
IS. Jadi bagaimanakah Datuk Seri melihat kerajaan akan menangani perkara ini
daripada berlarutan?
NAJIB: Itu sebab kita
memperkenalkan akta baharu ini. Supaya kita boleh bertindak dengan kekuasaan
baharu. Tetapi ia dikhususkan kepada soal violence extremism.
Pengganas-pengganas menggunakan kekerasan, bakal menggunakan kekerasan. Saya
tahu yang dipertikaikan ia merupakan preventive detention, ada element
preventive detention. Tetapi ia tidak boleh disamakan dengan ISA sebab kuasa
menahan ini kuasa badan khas yang terdiri daripada mungkin hakim atau bekas
hakim, orang yang ada kredibiliti. Bukan kuasa yang diberikan kepada badan
eksekutif.
Jadi kalau kita nak
tahan orang pun, kita mesti memberi bukti yang boleh meyakinkan badan khas ini
dan mereka boleh membuat keputusan. Kalau kita tunggu sesuatu kejadian berlaku,
katalah sebuah bom telah diletupkan, tentu kesan yang cukup dahsyat,
implikasinya cukup buruk. Jadi sebelum sesuatu itu berlaku, kita ambil tindakan
di bawah akta yang baharu ini tetapi kita mesti ada bukti yang cukup. Misalnya
kita sudah tahu dia sudah ada bom, nak buat bom, tunggu masa sahaja nak
bergerak, nak bertindak, masa itu kita boleh ambil tindakan di bawah akta yang
baharu.
SOALAN: Dalam Datuk
Seri menangani isu-isu panas kebelakangan ini, banyak yang menyentuh kerajaan,
mengkritik kerajaan dan sebagainya. Bagaimanakah sokongan daripada anggota
Kabinet dan juga parti komponen Barisan Nasional dan UMNO sendiri?
NAJIB: Alhamdulillah
setakat ini sokongannya sangat baik. Banyak pihak telah membuat kenyataan
secara terbuka dari kalangan anggota Kabinet, parti-parti komponen, ketua-ketua
bahagian, ahli-ahli Yang Berhormat dan sebagainya. Yang sebelum tadi, yang
petang tadi Wanita UMNO buat kenyataan dan sebagainya. Jadi saya melihat parti
ada bersama-sama saya, di belakang saya untuk terus memimpin parti dan negara.
Tapi seperti mana yang saya kata, bahawa saya boleh menerima kritikan. Tetapi
kesudahannya saya bukan bertanggungjawab kepada mana-mana individu, saya
bertanggungjawab untuk rakyat Malaysia dan parti.
SOALAN: Bagaimana pula
dengan pandangan Tun Dr Mahathir yang mengatakan bahawa sekiranya Datuk Seri
terus memimpin negara, UMNO dan Barisan Nasional akan tewas pada pilihan raya
umum akan datang.
NAJIB: Itu pendapat
peribadi Tun Dr Mahathir. Apa yang kita dalam parti merasakan, bahawa soal
kejayaan kepada UMNO dan BN bergantung kepada kekuatan kita. Kekuatan kita
hanya akan menjadi suatu kejayaan kalau kita padu dalam parti. Kalau kita padu
dan tidak bercanggah sesama kita, tiada unsur-unsur sabotaj dan sebagainya,
saya yakin kita boleh menang dalam PRU ke-14 yang akan datang.
SOALAN: Tapi
kritikan-kritikan ini nampaknya berterusan Datuk Seri. Bagaimana Datuk Seri
keep on moving forward dengan kritikan-kritikan yang tidak pernah sunyi ini dan
mungkin tidak akan berakhir?
NAJIB: Kritikan pada
kali ini lebih daripada biasa. Lebih sengit daripada biasa, tapi saya kena
terimalah ini asam garam politk yang mana bukan semua keadaan, wujud keadaan
yang tenang dan selesa sepanjang masa. Sebaliknya kritikan ini saya terima
walaupun pedih. Tetapi pokok pangkalnya saya bertanggungjawab kepada rakyat dan
parti. Selagi rakyat dan parti memberi mandat kepada saya, meletakkan amanah,
saya tetap akan teruskan kepimpinan negara dan parti.
SOALAN: Ada juga
kalangan berpendapat perkara yang dibuat nampak jelas oleh kerajaan ialah dari
segi pemberian BRIM. Itu nampak ada kalangan yang berpendapat sebenarnya tidak
ada perkara projek-projek lain yang benar-benar bagi manfaat kepada kepada
rakyat. Adakah dakwaan ini benar?
NAJIB: Tidak. Kalau
kita lihat pencapaian negara kita pertamanya kita mulakan dengan data-data
mikro misalnya kalau kita lihat kadar pertumbuhan tahun sudah, kita capai kadar
pertumbuhan enam peratus, antara yang tertinggi di Asia Tenggara.
Kedua, kalau kita
lihat dari segi pertambahan kekayaan GNI sejak 2009 sampai 2014 bertambah 47
peratus. Itu merupakan satu kadar peningkatan GNI yang begitu tinggi. Kadar apa
nama, kemiskinan misalnya, sekarang ini tahapnya satu peratus sahaja.
Kita telah mewujudkan
1.5 juta pekerjaan misalnya dan kita telah beri peluang untuk ramai pihak
mencapai kelulusan dan dah menjadi middle class dan sebagainya dan kalau kita
lihat dari segi on the ground dan keadaan sebenarnya, bekalan api, elektrik,
jalan asas terutama sekali untuk Sabah dan Sarawak, banyak yang telah kita
tunaikan dan program-program yang kita jalankan misalnya di bawah 1Azam, latihan-latihan
keusahawanan, bantuan kepada SME (perusahaan kecil dan sederhana) dan
sebagainya untuk peniaga-peniaga dan sebagainya.
Banyak yang telah kita
lakukan. Ini semua kita telah rakamkan dalam buku-buku, yang telah kita
maktubkan dalam risalah-risalah dan sebagainya, dalam surat khabar. Jadi nak
kata kita tak buat banyak itu, tidak benar.
Sebenarnya kita dah
buat terlalu banyak termasuk projek seperti MRT dan sebagainya. Yang terbaharu
saya melancarkan Pan Borneo Highway yang ditunggu-tunggu 50 tahun oleh rakyat
Sarawak. Hari ini mula pelaksanaannya.
Jadi kalau kita lihat
segala-galanya kita boleh tengok di Malaysia ini memang banyak perubahan
dilakukan.
SOALAN: Projek
perumahan rakyat?
NAJIB: Banyak ya,
termasuk projek perumahan rakyat. Semalam saya lancarkan projek perumahan untuk
penjawat-penjawat awam. 1,500 penjawat awam akan menerima rumah mampu dimiliki
oleh mereka.
Kita dah janji nak
buat satu juta rumah mampu dimiliki dalam tempoh lima tahun. Jadi ini semua
komitmen kerajaan yang kita sedang laksanakan.
SOALAN: Adakah Datuk
Seri berpuas hati dengan kerja-kerja untuk membangunkan semula kediaman
mangsa-mangsa banjir di Kelantan?
NAJIB: Setakat ini
saya fikir banyak yang boleh kita lakukan lagi. Saya tidak begitu puas hati
sebenarnya. Saya ingat, saya rasa perlu lagi ditingkatkan.
Saya harap kerjasama
antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri inilah dapat diperkukuhkan lagi
terutama sekali nak beri tanah. Sebab tanah di bawah kerajaan negeri. Kalau
kita ada tanah, peruntukan kewangan dah bersedia, dan kita boleh serahkan untuk
dibina rumah-rumah baharu.
SOALAN: Kita dapati
tahun ini tahun ke-6 Datuk Seri sebagai PM, apakah agaknya perancangan Datuk
Seri seterusnya, the way forward for Malaysia?
NAJIB: Langkah ke
hadapan, the way forward kita telah jelaskan dan paparkan kepada rakyat. Sampai
kepada tahun 2020 ini kita nak Malaysia menjelma sebagai advanced economy,
sebagai negara maju. Dalam pada itu, kita tahu bila kita isytihar Malaysia
sebagai negara maju, Insya-Allah, bukan semua rakyat akan merasakan mereka
sebahagian daripada ekonomi maju sebab kita gunakan penilaian atau kriteria
average income. Ada yang merasakan kedudukan mereka tidak begitu besar
perubahannya. Tambah-tambah lagi kalau harga komoditi getah masih pada paras
rendah, harga sawit dan sebagainya. Kelompok ini kita perlu lihat bagaimana
kita boleh beri tumpuan untuk meningkatkan pendapatan mereka. Saya akan melihat
pada Rancangan Malaysia ke-11, apa yang boleh kita masukkan sebagai
program-program tambahan, misalnya latihan kemahiran, latihan teknikal,
keusahawanan. Ini kita mesti beri tumpuan sebab boleh beri perubahan besar
kepada pendapatan rakyat. Selepas tahun 2020 kita akan lihat semula. Tapi our
immediate goal dalam masa terdekat ini, dalam masa lima tahun akan datang
semestinya untuk jayakan wawasan negara.
SOALAN: Apakah Datuk
Seri berpuas hati dengan langkah yang kita ambil agar idea Wawasan 2020 yang
dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir itu terus kita capai?
NAJIB: Saya yakin
kalau kadar pertumbuhan dapat kita pastikan dalam lingkungan lima peratus
setahun. Kalau kita lihat dari segi per kapita income, Insya-Allah boleh kita
dimartabatkan sebuah negara maju Insya-Allah menjelang 2020. Tetapi saya juga
sedar bahawa ini average income. Kita mesti sedar ada kelompok yang mana
pendapatan bawah average yang merasakan mungkin kedudukan mereka tidak
sebahagian daripada negara maju. Inilah yang mesti kita beri tumpuan, supaya
pendapatan kelompok yang bawah 40 peratus average ini mesti kita beri tumpuan
yang lebih.
SOALAN: Ada juga pihak
yang berpendapat kritikan-kritikan yang datang daripada pihak, terutama sekali
daripada Tun Dr Mahathir tidak akan berhenti. Bagaimana Datuk Seri bercadang
menangani perkara-perkara ini dalam perjalanan kita menuju Wawasan 2020. Adakah
ia memberi kesan kepada Datuk Seri sebagai pemimpin negara?
NAJIB: Saya merasakan
bahawa apa yang patut saya lakukan adalah teruskan sikap saya. Maknanya saya
terbuka. Setiap kritikan itu saya pertimbang dan saya lihat kalau ada apa-apa
kekurangan dalam pentadbiran saya. Saya tak pernah kata bahawa saya tak buat
kesilapan. Saya akui bahawa setiap manusia itu bukanlah perfect. Tak ada
manusia yang tak buat kesilapan. Jadi maknanya saya bersedia dan serius lakukan
penambahbaikan. Tetapi kalaulah saya merasakan bahawa apa yang saya lakukan itu
dapat sokongan parti dan rakyat maka saya akan teruskan dasar-dasar saya dan
keputusan saya. Sebab pada hakikatnya, penentuan hala tuju negara ini bukanlah
ditentukan oleh mana-mana individu, tapi ditentukan rakyat dan parti.
SOALAN: Jadi,
kedudukan Datuk Seri sebagai pemimpin parti, ditentukan oleh ahli-ahli parti
sendiri?
NAJIB: Ahli parti dan
kesudahan pada rakyat. Dia ada dua proses. Maknanya antara pilihan raya, parti
akan tentukan. Tetapi waktu pilihan raya, rakyat akan membuat kata putus.
SOALAN: Saya nak tanya
Datuk Seri, bagaimana Datuk Seri membahagikan masa dari segi weightage, wajaran
antara hal-hal keluarga, dengan hal-hal negara. Bagaimana Datuk Seri
mengimbangi perkara ini?
NAJIB: Setiap individu
ada caranya. Tetapi bila sudah jadi Perdana Menteri ini, masa untuk keluarga
dan masa untuk diri sendiri, orang kata private time itu memang amat terbatas.
Tetapi saya cubalah untuk mengimbangi antara kerja-kerja untuk parti, untuk
rakyat, untuk kerajaan. Di samping itu kalau ada masa terluang, saya cuba
bersama-sama dengan keluarga, dan juga membuat latihan riadah umpamanya,
exercise itu mustahak. Dan kewajipan kita kepada Allah kita mesti tunaikan.
SOALAN: Pada pandangan
Datuk Seri, apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada perpecahan dan
kejatuhan sama ada dari segi parti atau sesuatu kerajaan?
NAJIB: Kalau berlaku
sesuatu krisis dalaman parti, kalau ada parti itu berpecah misalnya kepada dua
tiga kumpulan dan kita hilang kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan negara
dan parti, maka parti akan lemah. Bila parti lemah dari dalam, parti boleh
tewas. Saya selalu mengingatkan ahli-ahli parti bahawa tak mungkin parti kalah
kerana ancaman asakan dari luar tetapi parti boleh kalah kerana perpecahan dari
dalam.
SOALAN: Bagaimana pula
peringkat negara, untuk keseluruhan rakyat Malaysia?
NAJIB: Saya kena
hadapi. Zaman sekarang zaman persepsi sebenarnya, bukan realiti. Dengan
pengaruh sosial media yang begitu berleluasa hari ini. Zaman Tun Mahathir tak
ada sosial media. Zaman sekarang ini sosial media berperanan besar. Jadi inilah
satu yang terpaksa kita buat pengubahsuaian dari segi pendekatan supaya
menangani persepsi. Persepsi ini jika tidak ditangani boleh menjadi realiti.
Inilah mungkin cabaran paling besar bagi saya dan rakan-rakan saya ialah untuk
menangani persepsi.
SOALAN: Kita semua
tahu bahawa keluarga Datuk Seri, daripada Allayarham Tun Abdul Razak mempunyai
perhubungan cukup erat dengan Tun Dr Mahathir. Ini pertalian yang cukup lama.
Walaupun dengan kritikan daripada Tun Dr Mahathir, bagaimanakah Datuk Seri
melihat Tun Dr Mahathir. Adakah pandangan Datuk Seri sudah berubah? Kalau dulu
Datuk Seri melihat beliau seperti seorang bapa, dan Datuk Seri sendiri
merupakan anak didik beliau. Adakah pandangan seumpama itu sudah berubah kerana
timbul kritikan terbaharu Dr Mahathir.
NAJIB: Saya akan tidak
apa-apa dengan kritikan Tun Mahathir. Tetapi saya ingin menyatakan bahawa,
hakikatnya saya bertanggungjawab kepada rakyat dan parti. Sama ada hubungan
kita ini macam dulu atau tidak, masa akan tentukan. Tapi bagi saya, saya
beriltizam untuk menyerahkan kedudukan saya kepada rakyat dan parti. Bukan
bererti saya tak hormat mana-mana individu. Tapi itu soal individu. Dari segi
hakikatnya saya mesti serahkan kedudukan saya kepada rakyat dan parti.
SOALAN: Apakah hasrat
Datuk Seri kepada ahli-ahli parti dan rakyat keseluruhan supaya kita dapat
keluar daripada kemelut ini dan bawa ke tahap lebih baik?
NAJIB: Pada saya kita
mesti lihat yang pentingnya apa? Pada saya yang pentingnya the big picture.
Yang penting adalah soal masa depan kita, hala tuju kita. Kita jangan benarkan
sesuatu isu yang digembar-gemburkan seolah-olah negara kita ini ekonominya
sudah hancur, atau pun kita sudah bermasalah sampai tidak boleh ditangani. Itu
tidak benar sama sekali. Kita mesti yakin kita menuju hala tuju yang benar dan
positif. Dan dalam pada itu kalau ada kelemahan kita perbaiki, kita
perbetulkan. Mana-mana kerajaan di dunia pun tak ada yang perfect, mesti ada
kelemahan. Zaman Tun Dr Mahathir pun tak perfect juga, zaman saya pun tak
perfect. Tetapi kita mesti sedar bahawa kita ini mempunyai sikap yang terbuka,
kita betulkan keadaan, supaya hari esok lebih baik daripada hari ini.
SOALAN: Apakah harapan
Datuk Seri yang seterusnya, sebagai yang terakhir?
NAJIB: Harapan saya
rakyat akan terus bersama-sama dengan kerajaan yang ada sekarang ini. Mungkin
tak semua, tapi biar sebahagian besar. Sebab kita mewarisi sebuah negara yang
mempunyai masa depan yang begitu cerah sekali. Mana-mana luar negara yang saya
pergi, mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara contoh, model. Janganlah
kita mempolitikkan keadaaan ini terlalu sangat sehinggakan menghancurkan
kepentingan negara. Politik tidak boleh mengatasi kepentingan negara. Kalau
semua rakyat sedar, Insya-Allah kita punyai masa depan yang begitu baik sekali.
Kita boleh berbeza pendapat, tak jadi masalah, asalkan kita gunakan cara yang
baik, cara berhemah, cara penuh bertanggungjawab. Masa depan Malaysia,
Insya-Allah tetap terjamin.
-- BERNAMA
oleh http://saifulfromslim.com /Saiful D riverian