My home

26 January 2014

Perlanjutan Kisah - MURID SEKOLAH DIHUKUM SEPERTI LEMBU DI SUNGKAI PERAK

SUNGKAI 25 Jan. - Hanya kerana gagal menyiapkan tugasan sekolah yang diberi, dua murid tahun empat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Meng dekat sini dilayan seperti seekor lembu apabila digantung loceng di leher dan dipaksa memakan rumput oleh seorang guru sekolah itu, Khamis lalu.
Manusia suka menyamakan manusia lain seperti lembu
Kasihan lembu-lembu yang banyak membantu manusia
dipandng hina oleh manusia yang tinggi tamadunnya ini.

Guru lelaki berusia 26 tahun yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris itu bukan sahaja menggelarkan Muhammad Nasvinder Muhammad Amit dan Mohd. Izat Iqbal Mohd. Harith masing-masing 10 tahun sebagai ‘lembu’ malah turut mengugut akan memuat naik gambar mereka yang diambil menggunakan telefon bimbit di laman sosial Facebook.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, empat orang murid gagal menyiapkan tugasan yang diberi namun guru terbabit hanya memberikan hukuman kepada kedua-dua mangsa.
Difahamkan, dua lagi murid lain tidak dikenakan denda kerana berpenyakit dan mempunyai surat sakit daripada doktor.

Bapa saudara kepada Muhammad Nasvinder, Muktasim Hashim, 28, berkata, pada mulanya kedua-dua murid berkenaan dirotan sebanyak dua kali di bahagian tapak tangan sebelum diarahkan memakai loceng di leher dari pukul 9 pagi sehingga tamat waktu persekolahan pada pukul 1.30 petang.
Katanya, jika murid itu ingkar arahan berkenaan, mereka akan dikenakan hukuman lebih berat iaitu denda rotan sebanyak 10 kali lagi.

“Kedua-dua murid ini akur dengan arahan guru tersebut kerana bimbang akan dirotan lagi. Bagaimanapun, tindakan guru terbabit membuatkan mereka malu untuk ke kantin sekolah," katanya dalam sidang akhbar di Balai Islam Taman Permai di sini hari ini.

Muktasim berkata, kejadian kedua pula berlaku pada pukul 10.10 pagi iaitu pada waktu rehat yang guru tersebut datang semula ke kelas mangsa sebelum mengambil rumput di hadapan kelas lalu memaksa mangsa makan.

Tindakan keterlaluan guru itu, katanya, memaksa Muhammad Nasvinder mengeluarkan kata-kata ‘Lembu puasa hari ini jadi saya tidak boleh makan’ kepada gurunya kerana tidak tahan dipaksa makan rumput tersebut.

“Empat murid tidak siapkan kerja sekolah iaitu dua daripada kaum Cina dan dua lagi murid beragama Islam yang diambil tindakan hanya dua pelajar Islam sahaja dua lagi tiada apa-apa tindakan.

“Alasan yang diberikan guru itu kerana dua lagi (murid Cina) berpenyakit dan mempunyai surat sakit daripada doktor. Ini tidak masuk akal kerana anak saudara saya juga mempunyai masalah kesihatan kerana menghidap asma," katanya.

Sementara itu, ibu Muhammad Nasvinder, Siti Aisha Hashim, 32, memberitahu, anaknya trauma dan malu dengan kejadian tersebut apabila terdapat rakan-rakannya mengejek dengan panggilan ‘lembu’.

Katanya, guru terbabit mengakui anaknya seorang murid yang pandai, namun akibat perbuatannya, anak kedua daripada enam beradik itu kini fobia untuk ke sekolah.

“Saya rasa cukup terkilan kerana kita hantar mereka pergi sekolah untuk belajar tetapi guru pula tunjuk contoh tidak baik, apa akan jadi pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Yarni Kasuma Dewi Zainal Aripin, 33, ibu kepada Mohd. Izat Iqbal berkata, mereka membuat laporan polis di Balai Polis Sungkai berhubung perbuatan melampau guru berkenaan, semalam.

Katanya, guru itu ada menemui mereka dan membuat permohonan maaf, namun permohonan maaf itu dilihat dibuat dalam keadaan tidak ikhlas.

“Guru besar yang ditemui juga memberitahu kejadian itu (gantung loceng) bukan kali pertama dilakukan oleh guru terbabit tetapi memaksa makan rumput dengan gelaran ‘lembu’ adalah kali pertama," katanya.

Justeru katanya, mereka sebulat suara mahukan guru tersebut diambil tindakan keras agar kejadian sama tidak berulang.


sumber: Utusan Malaysia

25 January 2014

MURID SEKOLAH DIHUKUM SEPERTI LEMBU DI SUNGKAI PERAK





minggu lepas citer guru disuruh bukak tudung, hari ini suruh jd lembu pulak. Ape semua nie? Sendiri fikirle....

19 January 2014

Jangan pandang buah pisang sebagai buah-buahan biasa je.... TERLALU BANYAK KELEBIHANNYA

Lepas baca anda semua pasti akan pandang mulia pada buah pisang.

Pisang mengandungi 3 jenis gula semulajadi – sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian. Pisang memberikan tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan. Kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa 2 biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit. Tidak hairanlah pisang dijadikan buah utama kepada atlit terkenal dunia. Bukan itu saja, malah pisang juga amat sesuai untuk mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit, menjadikannya amat sesuai dalam pemakanan kita seharian.

Tekanan:
Merujuk kepada survey terbaru yang dijalankan oleh MIND terhadap pesakit-pesakit tekanan jiwa, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan pisang. Ini kerana pisang mengandungi tryptophan, iaitu sejenis protin yang bertukar kepada serotonin dalam tubuh manusia, yang menyebabkan kita tenang, mengembalikan mood dan secara amnya membuatkan kita berasa gembira.

PMS:
Lupakan pil-pil hospital – makan sahaja pisang. Vitamin B6 yang terkandung mampu meneutralkan paras glukosa dalam darah, yang boleh mengembalikan mood anda.

Anemia:
Dengan kandungan zat besi yang tinggi, pisang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah, yang secara tak langsung membantu dalam kes-kes anemia.

Tekanan Darah Tinggi:
Buah tropikal unik ini mengandungi kadar potassium yang tinggi – garam rendah, menjadikannya sempurna untuk menstabilkan tekanan darah.

Kuasa Minda:
Kajian dibuat terhadap 200 pelajar di sebuah sekolah di mana semasa peperiksaan dijalankan, mereka diberi makan pisang untuk sarapan, rehat, dan makan tengahari. Keputusannya, buah pisang yang mengandungi kadar potassium yang tinggi dapat membantu pembelajaran dengan menjadikan pelajar-pelajar itu lebih cekap (alert).

Penghadaman:
Gentian tinggi, jadikan pisang sebagai diet seharian anda pasti membantu menstabilkan tindakan usus kecil dan besar.

Keletihan:
Salah satu cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat minuman pisang susu campur madu. Pisang bertindak menyejukkan perut dan dengan bantuan madu dapat membina semula kandungan gula dalam darah yang berkurangan akibat keletihan, manakala susu pula memperbetulkan sistem hidrasi semula anda.

Panas Jantung:
Pisang mempunyai kesan anti-asid semulajadi dalam badan. Oleh itu, jika anda menghadapi rasa panas di jantung, cuba makan pisang untuk pemulihan yang baik.

Demam Pagi:
Jadikan pisang sebagai snek setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah untuk mengelakkan demam pagi.

Gigitan Nyamuk:
Sebelum menggunakan krim gigitan serangga, cuba sapukan kawasan bekas gigitan nyamuk dengan lapisan dalam kulit pisang. Ramai yang telah berjaya mengatasi kegatalan akibat gigitan nyamuk dengan cara ini.

Saraf:
Pisang mengandungi kadar vitamin B yang tinggi yang dapat membantu menenangkan sistem saraf anda.

Obesiti dan Tekanan Kerja:
Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi pemangkin kepada pengambilan makanan seperti coklat dan kerepek. Berdasarkan 5,000 pesakit hospital, kajian mendapati kebanyakan pesakit obes membuat kerja-kerja tekanan tinggi. Laporan juga menyatakan, untuk mengatasi masalah ini, kita perlu mengawal kadar gula dalam darah dengan mengambil makanan karbohidrat tinggi setiap 2 jam untuk mengekalkan kadar yang stabil. Makanlah pisang.

Ulser:
Pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan organ dalaman kita. Ia juga bertindak sebagai peneutral lebihan asid serta mengurangkan kepedihan dengan bertindak menyaluti lapisan dinding perut kita.

Kawalan Suhu:
Ramai yang percaya bahawa dengan memakan pisang, ia dapat menurunkan suhu kedua-dua fizikal dan emosi kepada ibu-ibu mengandung. Di Thailand sebagai contoh, ibu mengandung mengambil pisang untuk memastikan bayi yang dilahirkan itu menjadi seorang yang penyabar (cool).

Seasonal Affective Disorder (SAD):
Penyakit ini merupakan simptom yang terjadi akibat daripada kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari. Pisang dapat membantu pesakit ini kerana ia mengandungi tryptophan semulajadi yang membaikpulih mOOd kita.

Ketagihan Rokok & Tembakau:
Pisang dapat membantu perokok yang ingin berhenti merokok. Vitamin B6, B12, potassium dan magnesium yang terdapat dalam pisang, ia dapat membantu tubuh kita dalam membaikpulih kesan nikotin terhadap tubuh.

Stres:
Potassium merupakan bahan mineral vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam tubuh. Bila kita stres, kadar metabolisma kita naik, menyebabkan kadar potassium menurun. Keadaan ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek pisang yang tinggi potassium.

Strok:
Mengikut kajian dalam buku ‘The New England Journal of Medicine‘, mengambil pisang sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40%!

Lain-lain Penyakit Kulit:
Pengamal perubatan semulajadi (alternatif) berpendapat, untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap, dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang ingin dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa atau pun plaster bedah.

Jadi, pisang memang merupakan ubat semulajadi kepada banyak penyakit. Jika dibandingkan dengan epal, pisang mempunyai 4 kali ganda kandungan protin, 2 kali karbohidrat, 3 kali fosforus, 5 kali vitamin A dan zat besi, dan 2 kali vitamin dan mineral lain. Ia juga kaya dengan potassium dan merupakan salah satu makanan terbaik yang mudah didapati. Jadi mungkin inilah masa untuk berubah kepada kata yang biasa disebut-sebut, “Sebiji pisang sehari dapat menjauhkan doktor!”


saifulfromslim

14 January 2014

RAHSIA BULAN KELAHIRAN - kajian oleh Yg Berhagia Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah.

RAHSIA BULAN KELAHIRAN

Kajian oleh Yg Berhagia Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah.
~saifulfromslim~


Berikut disenaraikan kajian mengenai bulan dan sikap anda, yang telah dijalankan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Fadzilah Kamsah.

JANUARI

Bercita-cita tinggi dan orangnya serius, suka mendidik dan dididik.

Sangat mudah melihat kelemahan orang dan suka mengkritik.

Rajin dan setiap yang dibuat nampak keuntungan.

Suka pada kecantikan, kekemasan dan teratur.

Bersifat sensitif dan berfikiran mendalam.

Pandai mengambil hati orang lain.

Pendiam kecuali telah dirangsang.

Agak pemalu dan mempunyai daya tumpuan yang sangat tinggi.

Mudah mendisiplinkan diri sendiri.

Badannya sihat tetapi mudah diserang selsema.

Bersikap romantik tetapi tidak pandai memperlihatkannya.

Cukup sayang pada kanak-kanak.

Suka duduk di rumah.

Setia pada segala-galanya.

Perlu belajar kemahiran bersosial.

Sifat cemburu yang sangat tinggi 



FEBRUARI

Berfikiran abstrak.

Sukakan benda yang realiti dan abstrak.

Bijak dan pintar

Berpewatakan yang mudah berubah.

Mudah menawan orang lain.

Agak pendiam.

Pemalu dan rendah diri.

Jujur dan setia pada segalanya.

Keras hati untuk mencapai matlamat.

Tidak suka dikongkong.

Mudah memberontak apabila dikongkong.

Suka kegiatan yang lasak.

Emosinya mudah terluka dan sangat sensitif.

Mudah mempamerkan marahnya.

Tidak suka benda yang remeh-temeh.

Suka berkawan tapi kurang mempamerkannya.

Sangat berani dan suka memberontak.

Bercita-cita tinggi, suka berangan-angan dan ada harapan untuk merealisasikan impiannya.

Pemerhatian yang tajam.

Suka hiburan dan sukan.

Suka benda yang bersifat seni.

Sangat romantik pada dalaman tetapi tidak pada luaran.

Berkecenderungan pada benda yang tahyul.

Amat mudah dan boleh menjadi terlalu boros.

Belajar untuk mempamerkan emosi




MAC

Berpesonaliti menarik dan menawan.

Mudah didampingi.

Sangat pemalu dan pemendam rasa.

Sangat baik secara semulajadi, jujur pemurah dan mudah simpati.

Sangat sensitif pada perkataan yang dituturkan dan alam persekitaran.

Suka pada kedamaian.

Sangat peka pada orang lain.

Sesuai dengan kerjaya yang memberi khidmat kepada orang lain.

Tidak cepat marah dan sangat amanah.

Tahu membalas dan mengenang budi.

Pemerhatian dan penilaian yang sangat tajam.

Kecenderungan untuk berdendam jika tidak dikawal.

Suka berangan-angan.

Suka melancong.

Sangat manja dan suka diberi perhatian yang sangat tinggi.

Kelam kabut dalam memilih pasangan.

Suka dengan hiasan rumahtangga.

Punya bakat seni dalalm bidang muzik.

Kecenderungan pada benda yang istimewa dan baik.

Jangan terlalu mengikut selera atau perasaan






APRIL

Sangat aktif dan dinamik.

Cepat bertindak membuat keputusan tetapi cepat menyesal.

Sangat menarik dan pandai menjaga diri.

Punya daya mental yang sangat kuat.

Suka diberi perhatian.

Sangat diplomatik (pandai memujuk ).

Berkawan dan pandai menyelesaikan masalah orang.

Sangat berani dan tiada perasaan takut.

Suka perkara yang mencabar, pengasih, penyayang, sopan santun dan pemurah.

Emosi cepat terusik.

Cuba kawal perasaan.

Kecenderungan bersifat pendendam.

Agresif dan kelam kabut dalam membuat keputusan.

Kuat daya ingatan.

Gerak hati yang sangat kuat.

Pandai mendorong diri sendiri dan memotivasikan orang lain.

Berpenyakit disekitar kepala dan dada.

Sangat cemburu dan terlalu cemburu 




MEI

Keras hati & tegas.

Kuat semangat & bermotivasi tinggi.

Pemikiran yang tajam.

Mudah marah apabila tidak dikawal.

Pandai menarik hati & perhatian orang lain.

Perasaan yang amat mendalam.

Cantik dari segi mental & fizikal.

Tidak perlu dimotivasikan.

Tetap pendirian, tetapi mudah dipengaruhi oleh orang lain.

Mudah dipujuk.

Bersikap sistematik (otak kiri).

Suka berangan.

Kuat daya firasat memahami apa yang terlintas di hati orang lain tanpa diberitahu.

Bahagian telinga & leher mudah diserang penyakit.

Daya khayalan yang tinggi.

Permikiran yang tajam.

Pandai berdebat.

Fizikal yang baik.

Kelemahan sistem pernafasan.

Suka sastera, seni & muzik serta melancong.

Tidak berapa suka duduk di rumah.

Tidak boleh duduk diam.

Tidak punya ramai anak.

Rajin dan bersemangat tinggi.

Agak boros



JUN

Berfikiran jauh & berwawasan.

Mudah ditawan kerana sikap baik.

Berperangai lemah lembut.

Mudah berubah sikap, perangai, idea dan mood.

Idea yang terlalu banyak di kepala.

Bersikap sensitif.

Mempunyai pemikiran yang aktif (sentiasa berfikir).

Sukar melakukan sesuatu dengan segera.

Bersikap suka menangguh-nangguh.

Bersikap terlalu memilih & mahukan yang terbaik.

Cepat marah & cepat sejuk.

Suka bercakap & berdebat.

Suka buat lawak & bergurau.

Otaknya cerdas berangan-angan.

Mudah berkawan & pandai berkawan.

Seorang yang sangat tertib.

Pandai mempamerkan sikap.

Mudah kecil hati.

Mudah kena selsema.

Suka berkemas.

Cepat rasa bosan.

Sikap terlalu memilih & cerewet.

Kurang mempamerkan perasaan.

Lambat untuk sembuh apabila terluka hati.

Suka pada barang yang berjenama.

Mudah menjadi eksekutif.

Kedegilan yang tidak terkawal.

Sesiapa yang memuji, dianggap musuh. Siapa yang menegur dianggap kawan. 



JULAI

Sangat suka didamping.

Banyak berahsia dan sukar dimengerti terutamanya lelaki.

Agak pendiam kecuali dirangsang.

Ada harga dan maruah diri.

Tak suka menyusahkan orang lain tapi tidak marah apabila disusahkan.

Mudah dipujuk dan bercakap lurus.

Sangat menjaga hati orang lain.

Sangat peramah.

Emosi sangat mendalam tapi mudah terluka hatinya.

Berjiwa sentimental.

Jarang berdendam.

Mudah memaafkan tapi sukar melupakan.

Tidak suka benda remeh-temeh.

Membimbing cara fizikal dan mental.

Sangat peka, mengambil berat dan mengasihi serta penyayang.

Layanan yang serupa terhadap semua orang.

Tinggi daya simpati.

Pemerhatian yang tajam.

Suka menilai orang lain melalui pemerhatian.

Mudah dan rajin belajar.

Suka muhasabah diri.

Suka mengenangkan peristiwa atau kawan lama.

Suka mendiamkan diri.

Suka duduk di rumah.

Suka tunggu kawan tapi tak cari kawan.

Tidak agresif kecuali terpaksa.

Lemah dari segi kesihatan perut.

Mudah gemuk kalau tak kawal diet.

Minta disayangi.

Mudah terluka hati tapi lambat pulih.

Terlalu mengambil berat.

Rajin dalam membuat kerja



OGOS

Suka berlawak.

Mudah tertawan padanya.

Sopan santun dan mengambil berat terhadap orang lain.

Berani dan tidak tahu takut.

Orangnya agak tegas & bersikap kepimpinan.

Pandai memujuk orang lain.

Terlalu pemurah & bersikap ego.

Nilai harga diri yang sangat tinggi.

Dahagakan pujian.

Semangat juang yang luar biasa.

Cepat marah & mudah mengamuk.

Mudah marah apabila cakapnya dilawan.

Sangat cemburu.

Daya pemerhatian yang tajam & teliti.

Cepat berfikir.

Fikiran yang berdikari.

Suka memimpin & dipimpin.

Sifat suka berangan.

Berbakat dalam seni lukis, hiburan & silat.

Sangat sensitif tapi tidak mudah merajuk.

Cepat sembuh apabila ditimpa penyakit.

Belajar untuk bertenang.

Sikap kelam kabut.

Romantik, pengasih dan penyayang.

Suka mencari kawan 




SEPTEMBER

Sangat bersopan santun & bertolak ansur.

Sangat cermat, teliti & teratur.

Suka menegur kesilapan orang lain & mengkritik.

Pendiam tapi pandai bercakap.

Sikap sangat cool, sangat baik & mudah simpati.

Sangat perihatin & terperinci, amanah, setia & jujur.

Kerja yang dilakukan sangat sempurna.

Sangat sensitif yang tidak diketahui.

Seorang yang banyak berfikir.

Daya pentaakulan yang baik.

Otak bijak & mudah belajar.

Suka mencari maklumat.

Kawal diri dari terlalu mengkritik.

Pandai mendorong diri sendiri.

Mudah memahami orang lain kerana banyak menyimpan rahsia.

Suka sukan, hiburan & melancong.

Kurang menunjukkan perasaannya.

Terluka hatinya sangat lama disimpan.

Terlalu memilih pasangan.

Sukakan benda yang luas.

Bersistematik 





OKTOBER

Suka berbual.

Suka orang yang sayang padanya.

Suka ambil jln tengah.

Sangat menawan & sopan santun.

Kecantikan luar & dalam.

Tidak pandai berbohong & berpura-pura.

Mudah rasa simpati, baik dan mementingkan kawan.

Sentiasa berkawan.

Hatinya mudah terusik tetapi merajuknya tak lama.

Cepat marah.

Macam pentingkan diri sendiri.

Tidak menolong orang kecuali diminta.

Suka melihat dari perspektifnya sendiri.

Tidak suka terima pandangan orang lain.

Emosi yang mudah terusik.

Suka berangan & pandai bercakap.

Emosi yang kelam kabut.

Daya firasat yang sangat kuat (terutamanya perempuan).

Suka melancong, bidang sastera & seni.

Pengasih, penyayang & lemah lembut.

Romantik dalam percintaan.

Mudah terusik hati & cemburu.

Ambil berat tentang orang lain.

Suka kegiatan luar.

Seorang yang adil.

Boros & mudah dipengaruhi persekitaran.

Mudah patah semangat 




NOVEMBER

Banyak idea dalam perkara.

Sukar untuk dimengertikan atau difahami sikapnya.

Berfikiran kehadapan.

Berfikiran unik dan bijak.

Penuh dengan idea-idea baru yang luarbiasa.

Pemikiran yang tajam.

Daya firasat yang sangat halus dan tinggi.

Sesuai jadi seorang doktor.

Cermat dan teliti.

Personaliti yang dinamik.

Sifat yang berahsia, pandai mencungkil dan mencari rahsia.

Banyak berfikir, kurang bercakap tetapi mesra.

Berani, pemurah setia dan banyak kesabaran.

Terlalu degil dan keras hati.

Apabila berkehendak sesuatu, akan diusahakan sehingga berjaya.

Tak suka marah kecuali digugat.

Mudah ambil berat terhadap orang lain.

Pandai muhasabah diri.

Cara berfikir yang lain dari orang lain.

Otak yang sangat tajam.

Pandai mendorong diri sendiri.

Tidak hargai pujian.

Kekuatan semangat dan daya juang yang sangat tinggi apabila berkehendak sesuatu.

Cuba sampai berjaya.

Badan yang sasa.

Kasih sayang dan emosi yang sangat mendalam dan romantik.

Tidak pasti dengan hubungan kasih sayang.

Suka duduk d irumah.

Sangat rajin dan berkemampuan tinggi.

Amanah, jujur, setia dan pandai berahsia.

Tidak berapa berjaya dalam mengawal emosi.

Bercita-cita tinggi.

Perangai tidak dapat diramal dan mudah berubah-ubah 




DISEMBER


Sangat setia dan pemurah.

Bersifat patriotik.

Sangat aktif dalam permainan dan pergaulan.

Sikap kurang sabar dan tergesa-gesa.

Bercita-cita tinggi.

Suka menjadi orang yang berpengaruh dalam organisasi.

Seronok bila didampingi.

Suka bercampur dengan orang.

Suka dipuji, diberi perhatian dan dibelai.

Sangat jujur, amanah dan bertolak ansur.

Tidak pandai berpura-pura.

Cepat marah.

Perangai yang mudah berubah-ubah.

Tidak ego walaupun harga dirinya sangat tinggi.

Benci pada kongkongan.

Suka berlawak.

Pandai buat lawak dan berfikiran logik

saifulfromslim.blogspot.com


08 January 2014

Suara hati....

Suara hati Dr. Mahathir

Walau pun keluhan ini diterbitkan pada 23/09/2012....aku rasa perlu aku simpan hasil suara hati Tun Mahathir ini pada blog aku. Memang ada segelintir orang melayu memang menyampah dengan Tun ini. Golongan ini memang sedia ada semenjak negara dah mencapai kemerdekaan pada 31hb Ogos 1957. Rasanya ada dua golongan yang tak setuju dengan keluhan Tun ini, yang pertama memang faham tapi kerana memang dah bersifat hati batu dan ingin sangat mendapat apa yang dicita-citanya biar pun terpaksa memporak perandakan keutuhan perpaduan bangsa sendiri. Satu golongan lagi, sememangnya tak faham, ajar le macam mana pun, dia tetap tak faham. Dia lebih percaya pada golongan pertama itu dan menjadi pengikut kumpulan ini yang mempunyai cita-cita besar untuk dirinya sendiri tanpa mengira kerukunan bangsanya sendiri dan sanggup merosakkan perpaduan sesama bangsanya sendiri. Tapi rasanya ramai lagi antara kita memang sedar dan mengaku pada keluhan Tun Mahathir ini memang ada benarnya.




SAYA sedih. Bukanlah saya berharap kerana kesedihan saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya- perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri.
Bagi generasi yang dilahirkan selepas merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah bangsa mereka.

Jika mereka sudah lupa, jika mereka tidak dapat memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya yang biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu semasa dijajah.

Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri mereka. Mereka terpaksa bertuankan orang putih Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang lain.

Orang putih, secara terbuka menyatakan orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan orderly atau budak pejabat atau kerani. Mereka dianggap tidak berkebolehan melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan tidak cekap.

Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan jawatan-jawatan rendah yang lain. Mereka terpaksa jadi penjual pisang di tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Jika tidak tunduk serendah mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun. Jika gagal mereka ditempeleng dan terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun.

Tanpa bertanya sedikitpun akan pandangan orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi Siam.

Di bawah pemerintahan Siam, orang Melayu diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan. Saya dan beberapa Melayu lain tidak berani menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong.

Kemudian, British kembali dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka jika tidak tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu diserah secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka.

Cadangan Malayan Union British bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union milik British.
Dalam keadaan orang Melayu begitu miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan, tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya daripada mereka. Sudah tentu tidak akan ada Tanah Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak bernegara, tidak bertanahair. Tidak ada masa depan bagi mereka.

Alhamdulillah. Di saat itu mereka tiba-tiba sedar. Berkat beberapa kerat di antara mereka yang terpelajar yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau kepada keturunan mereka. Mereka bersatu dan bangun menentang rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu. Maka terselamatlah orang Melayu dan negeri mereka.

Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan dewan undangan Persekutuan. Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun dan lain-lain kemudahan.

Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan Perdana Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan.

Yang kecewa, yang tidak dapat nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO untuk tubuh kesatuan mereka sendiri. Dengan ini mereka akan dapat dicalon oleh parti mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang.

Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.

Tetapi Tuhan Maha Kaya. Rata-rata orang Melayu terus menyokong UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya. Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa serah kuasa kepada Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957.

Tanpa merampas hak orang lain, pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah. Berkat semua ini maka terpulihlah maruah bangsa Melayu. Alhamdulillah.

Ramalan bahawa pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya memajukan negara sehingga dikagumi dunia.

Semua ini terang dan nyata. Dunia akui kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan tamak. Rebutan kuasa antara mereka terus berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka.

Mereka yang kecewa kerana gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk menjadi Perdana Menteri. Untuk ini mereka membohong, menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara ini.

Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain.

Sokongan orang lain ini tidak diberi secara percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti telunjuk orang lain. Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan terjadi hasil perpecahan orang Melayu.

Siapakah yang membawa malapetaka ini. Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut.

Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka.

Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur, mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan. Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada mereka.

Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur. Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang lain.

Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita sendiri.
Sumber:
© Utusan Melayu (M) Bhd 

oleh: saifulfromslim

07 January 2014

Penggunaan kalimah Allah kini menjadi topik panas pada perbincangan2 samada pro dan ada yang kontra mengikut katahati dan rasahati masing-masing.


Sebagai warganegara, saya tak pernah ada niat untuk membenci penganut agama lain. Sebagai seorang yang beragama Islam, saya suka jika semua orang hidup dalam harmoni pada suasana yang aman sejahtera. Saya hormat anda, anda juga perlu hormat saya. Sebagai warganegara kita harus mematuhi peraturan dan undang-undang disesabuah negara. Mana ada undang-undang serta peraturan yang memungkinkan mengikut kehendak dan selera kita saja dimuka bumi ini. Sebagai warganegara saya diasuh dengan ' Rukun Negara ' sejak sekolah rendah lagi. Salah satu daripadanya ialah kita harus menghormati peraturan dan undang-undang yang sedia ada.



Pada perhatian saya penggunaan kalimah allah kini menjadi topik panas pada perbincangan2 samada pro dan ada yang kontra mengikut katahati dan rasahati masing-masing. Masalah sekarang mahkamah telah buat keputusan tidak dibenar Christian menggunakan kalimah Allah dinegara ini. Lain-lain negara tidak melarang, jadi itu hak mereka. Ramai pendapat golongan tertentu, soalah2, islam tidak membenarkan terjemahan bible ke Bah Melayu. Rasanya tiada larangan pun di Malaysia terjemahan ke bahasa melayu. Yang tak dibenarkan hanya penggunaan kalimah Allah saja.

Mungkin keputusan itu dirasa sebagai tidak adil. Mana ada SEMUA keputusan mahkamah didunia itu sentiasa adil untuk semua pihak. Pemilik rumah hasil titik peluhnya membeli rumah itu pernah dikaviet akibat orang yang tak berhak pada harta membawa usul mahkamah dan pihak yg tak berhak mendapat hak pemilikan. Ada orang yg tak membunuh dijatuh hukuman mati. Ada orang makan rasuah tidak diambil tindakan tetapi orang yg tak bersalah pula dikenakan. Mahkamah buat keputusan berdasar sudut teknikal yang tepat. Jk pihak yang tak bersalah tersilap memberi kenyataan maka kekadang dia boleh dihukum.

Disini, bukan masalah politik atau agama yang kita pertikaikan sangat. Tapi yang penting kita hormati keputusan mahkamah. Keputusan mahkamah itu perlu dipatuhi, tak kiralah dimana negara pun didunia ini. Takkan jika keputusan tak menyebelahi kita, kita harus menentangnya. Malah ada ibu angkat mendapat hak penjagaan anak, manakala ibu kandung hilang hak penjagaan. Jadi mahkamah tidak adillah? Sebenar mahkamah buat keputusan yang adil berdasar situasi dan sudut-sudut teknikal tertentu...walaupun dirasai tidak adil oleh ibu kandung itu. 


Dengan itu kita sebagai warganegara terpaksa patuh pada keputusan mahkamah. Jika rasa tak puas hati cuba iktiarkan secara yang betul...bukan melanggar perintah. Sebab perlanggaran itu secara langsung menunjukkan kita membuat sesuatu yang dilarang yang boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Jk tak puas hati, jangan melanggar keputusan, jika rasa perlu buatlah rayuan secara teratur jk rasa perlu sampai ke queen counsel pun boleh kita diusahakan... oleh mana-mana pihak yang berasa tak berpuas hati ini....Tapi yang penting bila dah ada keputusan patuhi. Jangan nak ikut kehendak kita saja...sebab itu maka pentingnya ada peraturan, undang-undang yang harus kita patuhi. Kadang2 memang ada peraturan/undung2 yang kita tak menyetujui...tp sbg warganegara kita harus hormati keputusan yang telah dibuat. 

Perlu diingat semua undang2 dan peraturan dibuat secara adil dan ilmiah oleh pihak-pihak yang mahir dan layak sebelum setiap peraturan/keputusan yang dibuat dan diguna pakai secara sah oleh sesuatu negara itu

oleh;
saifulfromslim

06 January 2014

Runtuhnya Kaabah di akhir zaman

Runtuhnya Kaabah di akhir zaman

Ya Allah, aku memohon kepadaMu semua kebaikan masa kini dan akan datang, sama ada yang aku ketahui atau tidak, dan aku berlindung kepadaMu dari semua kejahatan masa kini dan akan datang, sama ada yang aku ketahui atau tidak... 
Banyak riwayat yang menguatkan tentang akan runtuhnya Kaabah di akhir zaman. Diriwayatkan dari Abu Hurairah radhiallahu'anhu bahawa Rasulullah shallallahu'alaihi wa sallam bersabda: "Kaabah akan diruntuhkan oleh seorang yang berkaki bengkok berbangsa Habsyah”.

Diriwayatkan dari Ali bin Abi Talib ra, bahawa Rasulullah shallallahu'alaihi wa sallam bersabda: "Perbanyaklah melakukan thawaf di Baitullah semampu kalian sebelum kalian dihalangi untuk melakukannya, seolah-olah aku melihatnya sedang melakukan hal tersebut. Tanda-tandanya: berkepala dan bertelinga kecil, dia menghancurkan Kaabah dengan beliungnya”.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas radhiallahu'anhu bahawa Rasulullah shallallahu'alaihi wa sallam bersabda, "Tandanya orang tersebut berkulit hitam, kakinya bengkok, dia meruntuhkan batu dinding Kaabah satu per satu”.

Diriwayatkan daripada Sa'id bin Sam'an ra, bahawa dia mendengar Abu Hurairah radhiallahu'anhu bercerita kepada Abu Qatadah ra, bahawa sesungguhnya Rasulullah shallallahu'alaihi wa sallam bersabda: "Seorang lelaki (Imam Mahdi) akan dibai'at di antara sudut (tempat Hajar Aswad) dan Maqam Ibrahim dan Kaabah tidak akan dirosakkan kehormatannya melainkan oleh orang Arab sendiri, dan bila mereka telah merosakkan kehormatan Kaabah, maka itulah saatnya kehancuran bangsa Arab, kemudian datang orang-orang Habasyah meruntuhkan Kaabah yang selepas itu tidak pernah dibina kembali selama-lamanya dan merekalah yang menggali harta yang terpendam di dalamnya".

Hadis di atas tidak bertentangan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ra, bahawa Nabi shallallahu'alaihi wa sallam bersabda: "Sebuah pasukan hendak menyerang Kaabah, hingga ketika mereka berada di sebuah padang pasir, semua pasukan ditenggelamkan Allah Subhanahu wa Ta'ala ke dalam bumi".

Ibnu Hajar dalam bukunya "Fath al-Bari" dalam bab: runtuhnya Kaabah, berkata: "Hadis-hadis di atas menjelaskan akan berlakunya serangan terhadap Kaabah. Penyerang pertama dimusnahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebelum mereka sampai ke Kaabah dan penyerangan kedua dibiarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala, sepertinya penyerang yang dimusnahkan berlaku lebih awal."
Dan jangan sampai timbul pertanyaan: Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menggagalkan serangan tentera bergajah terhadap Kaabah padahal saat itu Kaabah belum menjadi kiblatnya umat Islam, maka mana mungkin Allah Subhanahu wa Ta'ala membiarkan bangsa Habasyah memusnahkan setelah Kaabah menjadi kiblatnya umat Islam?

Soalan ini tidak akan muncul andai dijelaskan bahawa peristiwa runtuhnya Kaabah akan berlaku nanti di akhir zaman menjelang kiamat. Di waktu itu tidak ada seorang pun di permukaan bumi yang mengucapkan, "Allah! Allah", seperti yang disebutkan dalam sahih Muslim: "Kiamat tidak akan terjadi hingga tidak ada lagi orang yang mengucapkan, "Allah ! Allah." [ Sumber: Sejarah Kota Mekah oleh Syaikh Syaifurrahman Mubarakfury]


sumber harakah daily oleh saifulfromslim